Sunday, December 23, 2007

HUBUNGAN YANG PERTAMA : IMAN KEPADA ALLAH S.W.T

Allah s.w.t telah meletakkan amanah Iman, iaitu tanggungjawab yang paling besar ke atas kita supaya kita sentiasa menghubungkan diri dengan Yang Maha Esa iaitu Allah s.w.t. Menjadikan Allah s.w.t sebagai tempat bergantung dan menyerah diri dan menerima segala sesuatu yang datangnya daripada Allah s.w.t. Meyakini segala apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi, adalah milik Allah s.w.t. Inilah hubungan yang pertama yang mesti lahir di dalam jiwa kita. Hubungan yang besar dan luas, seluas alam semesta ini. Ikatan perhubungan di antara yang dicipta ( makhluq ) dengan Yang Maha Pencipta ( Khaliq), Allah s.w.t.

Hakikat keimanan ini perlulah meresapi , menjiwai sehingga ianya sebati dalam lubuk hati. Inilah hakikat hubungan yang pertama yang dituntut oleh Allah s.w.t sehinggalah perhubungan ini dapat melahirkan keberkesanannya di dalam kenyataan hidup kita. Ia juga merupakan titik permulaan hidup manusia. Ini bererti setiap perkembangan hidup kita itu mestilah terpancar daripada asas perhubungan yang bersih ini.

Sejarah hubungan ini telah bermula sejak terciptanya manusia yang pertama di muka bumi iaitu Nabi Adam a.s dan dari saat itulah bermulanya sejarah hidup manusia itu sendiri. Sejarah hidup manusia ini mestilah selaras dengan hakikat penciptaan manusia dan alam ini sepertimana yang dikehendaki oleh Allah s.w.t; Yang Maha Pencipta dan Maha Pengatur segala sesuatu. Allah s.w.t Kita perlu berusaha untuk sampai kepada satu tahap kefahaman dan kesedaran yang sebenarnya tentang hakikat kejadian manusia dan pencipta alam ini. Maka perlunya manusia itu kepada taufik dan hidayah daripada Allah s.w.t.

Manusia yang diciptakan oleh Allah s.w.t dalam serba kekurangan dan kelemahan itu tidak akan mampu untuk menyelami rahsia dirinya sendiri dan rahsia yang ada di sebalik alam ini. Apa lagi untuk mengetahui sesuatu yang ghaib atau yang tersembunyi.

Oleh sebab itu dengan rahmat dan nikmat kurniaan Allah s.w.t maka kita dipermudahkan untuk dapat berhubung dengan kebenaran yang hakiki, dengan Yang Maha Esa. Maka dengan itu telah diutuskan Rasulullah s.a.w sebagai pembawa berita gembira dan peringatan. Allah s.w.t telah mengutuskan rangkaian para Nabi dan Rasul dari sejak terciptanya manusia yang pertama sehinggalah kepada Rasul yang terakhir Nabi Muhammad s.a.w, adalah untuk menyelamatkan manusia dari kegelapan (kesesatan) kepada cahaya ( kebenaran ).

Setiap risalah yang dibawa oleh para Nabi dan Rasul adalah untuk menjelaskan hakikat kewujudan manusia di atas muka bumi ini iaitu untuk menegakkan kedaulatan (kekuasaan) Allah s.w.t di muka bumi ini sehinggalah terlaksananya perintah Allah s.w.t dan ajaranNya dapat menguasai dan menguruskan kehidupan manusia keseluruhannya.


Di dalam al Quran banyak sekali diperjelaskan dan diperingatkan oleh Allah s.w.t kepada manusia akan kenyataan ini. Bahkan Allah s.w.t tidak segan atau jemu mengulanginya di setiap masa dan ketika terutama pada ayat-ayat yang diturunkan di Makkah. Inilah intisari yang terkandung di dalam al Quran al Karim. Ini merupakan persoalan pokok atau dasar di dalam Manhaj Tarbiyyah al Quran al Karim.

Sekarang marilah kita dekati dengan beberapa ayat dari kitab suci tersebut: Firman Allah s.w.t :


Terjemahannya :-

Apakah mereka diciptakan tanpa sesuatupun ataukah mereka yang menciptakan ( diri mereka sendiri )?. Ataukah mereka telah menciptakan langit dan bumi itu ?; sebenarnya mereka tidak meyakini ( apa yang mereka katakan ).

Surah ath Thuur : 35-36

Firman Allah s.w.t lagi :

Terjemahannya:

“ Hai manusia, sembahlah Tuhanmu Yang telah menciptakanmu dan orang-orang yang sebelummu, agar kamu bertaqwa. Dialah Yang menjadikan bumi sebagi hamparan bagimu dan langit sebagai atap, dan Dia menurunkan air ( hujan ) dari langit, lalu Dia menghasilkan dengan hujan itu segala buah-buahan sebagai rezeki untukmu; kerana itu janganlah kamu mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah, padahal kamu mengetahui “

Surah al Baqarah : 21-22

Firman Allah s.w.t lagi :-

Terjemahannya :

Allah lah yuang menjadikan malam untuk kamu supaya kamu beristirihat padanya; dan menjadikan siang terang benderang. Sesungguhnya Allah benar-benar mempunyai kurnia yang dilimpahkan atas manusia, akan tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur. Yang demikian itu adalah Allah, Tuhan mu, Pencipta segala sesuatu. Tiada Tuhan ( yang berhak disembah ) melainkan Dia; maka bagaimanakah kamu dapat dipalingkan ? Seperti demikianlah dipalingkan orang-orang yang selalu mengingkari ayat-ayat Allah.

Surah al Mu’min : 61-63

Firman Allah s.w.t lagi :-

Terjemahannya :

Allah lah yang menjadikan bumi bagi kamu tempat menetap dan langit sebagai atap, dan membentuk kamu lalu membaguskan rupamu serta memberi kamu rezeki dengan sebahagian yang sebaik-baik, Yang demikian itu adalah Allah Tuhan mu, Maha Agung Allah, Tuhan semesta alam. Dialah Yang Hidup kekal, tiada Tuhan ( yang berhak disembah ) melainkan Dia; maka sembahlah Dia dengan memurnikan ibadah kepada Nya. Segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam. “

Surah al Mu’min : 64-65

Inilah hakikat seruan dan laungan setiap para Nabi dan Rasul yang datang silih berganti itu, kepada umat-umat mereka. Beginilah Allah s.w.t dengan limpah kurnianya meyakinkan kita akan hubungan kita dengan Nya adalah sesuatu yang sangat dihajati (dharuri). Tanpa terjalin hubungan ini hidup kita kosong, sesat , rugi semata-mata. Begitulah berhajatnya kita kepada Allah s.w.t.

Menyedari akan hakikat ini, maka kita telah membuat pilihan untuk menerima keseluruhan apa yang telah disarankan oleh Allah s.w.t kepada kita agar hubungan hati, pemikiran dan tingkah laku kita sentiasa lahir daripada hubungan yang fitrah ini. Inilah yang akan kita semaikan dan tanam di segenap ruang hati dan sanubari kita, supaya perhubungan ini sentiasa jelas dan rapat akan bertambah dekat (yakin) dari masa ke semasa.

Allah s.w.t menjadikan tanggungjawab ini sebagai tanggungjawab bersama. Ia merupakan matlamat hidup bagi setiap orang yang beriman. Hubungan kita dengan Allah s.w.t itu perlulah sentiasa terjalin rapat sehingga rasa hati kita sebati dengan kehendak-kehendak Allah s.w.t. Kita perlu selaraskan rasa hati kita dengan kehendak syara’. Yang baik ialah yang dikatakan baik oleh syara’, yang buruk ialah apa yang dikatakan buruk oleh syara’.

Oleh itu kita perlu mendidik dan melatih diri kita untuk mengasihi kepada apa yang disuruh kita kasihkan dan membenci kepada apa yang disuruh bencikan. Kita membiasakan hati kita untuk suka dan menggemari apa yang disukai oleh Allah s.w.t serta membenci dan menolak apa yang dibenci dan dimurkai oleh Allah s.w.t. Setiap apa yang dikatakan mungkar itu hendaklah kita menolaknya kerana itu adalah kemungkaran dan yang ma’ruf itu kita terima kerana itu adalah kema’rufan.

Inilah hakikat yang nyata bagi kita bahawa setiap kebenaran itu datangnya dari Allah s.w.t dan janganlah hati dan jiwa kita meraguinya. Di mana sahaja kita perlu merasakan perhubungan dengan Yang Maha Esa, yang mengatur semua urusan hidup.

Kita merasa bertanggungjawab pada diri kita dan saudara kita yang sedar dan insaf untuk mengujudkan suasana-suasana yang sentiasa memudahkan kita untuk mendekatkan hati kita kepada Allah s.w.t. Suasana yang dimaksudkan di sini ialah suasana yang Islamik, suasana yang sentiasa membantu kita untuk sedar dan insaf serta sentiasa bersedia mengambil Allah s.w.t sebagai Ilah dan Rabb bagi kita; mengambil Allah s.w.t sebagai tempat bergantung, tempat menyerah dan tempat mengharapkan sesuatu.

Kita perlu mengujudkan suasana yang menunjukkan kepada kita keagungan Allah s.w.t dan keEsaan Allah s.w.t. Suasana yang akan memberi kesan kepada hati kita untuk bertaqwa kepada Nya dan sentiasa berpegang kepada nilai yang telah ditentukan Nya.

Kita ingin melatih dan mendidik diri kita kepada melengkapi syarat-syarat keIslaman seperti yang dikehendaki oleh Allah s.w.t atau dengan lain perkataan, syarat-syarat sebagai hamba Allah s.w.t dalam ertikata yang sebenarnya, dan mampu melaksanakan tuntutan ‘Ubudiyyah tersebut.

Ini bererti kita perlu memiliki persediaan hati untuk memampukan kita melakukan setiap apa yang diperintahkan oleh Allah s.w.t serta menjauhi segala laranganNya. Inilah Hakikat Perhambaan yang sebenarnya dan Hakikat perhambaan atau pengabdian ini hanya akan dapat lahir apabila jelas hubungan hati kita dengan Allah s.w.t sepertimana yang dapat kita lihat pada diri para Nabi dan para Rasul serta pengikut-pengikut ( umat-umat ) mereka yang setia itu. Setiap nilai hidup hendaklah kita hubungkan dengan syarat-syarat keIslaman ini hingga ianya menjadi sebati di dalam hati dan lahir pula dalam tingkahlaku kita di segenap bidang.

Kita perlu duduk bersama dengan saudara-saudara kita yang ikhlas hatinya, yang ada persediaan hati dan jiwa yang dikosongkan untuk menjalani didikan yang boleh membawa kita kepada matlamat yang suci murni ini iaitu untuk menerima kedaulatan Allah s.w.t Yang Maha Esa tanpa berbelah bagi atau menyekutukan Allah s.w.t dengan yang lain. Inilah tugas yang besar yang dipikulkan ke atas setiap dari kita.

Kekuatan hubungan dengan Allah s.w.t sahajalah yang menjadi tenaga untuk menggerakkan hati dan rasa , pemikiran dan tingkah laku sejajar dengan syarat-syarat keIslaman ataupun hakikat perhambaan yang sebenarnya.

Inilah tenaga penggerak yang akan mencorak dengan corakan Allah s.w.t ( Sibghah Allah s.w.t ) walaupun di tempat yang sunyi ataupun di khalayak ramai, gelap atau terang, susah atau senang. Bahkan di mana sahaja atau di setiap masa. Dalam keadaan apa sekalipun. Ini jelas kita dapati apabila kita mendekati sirah perjalanan hidup Rasulullah s.a.w dan para sahabat yang murni itu. Mereka sentiasa dengan corakan Allah s.w.t walaupun dalam suasana mereka terpaksa menghadapi berbagai ujian dan rintangan.

Proses pendidikan seperti inilah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w ke atas diri para sahabat yang dikenali sebagai Generasi al Quran tersebut, sehingga lahirlah satu golongan yang beriman yang keimanan mereka diiktiraf oleh Allah s.w.t sendiri. Merekalah yang menjadi ikutan kita semua. Contoh dari ikutan itu ialah keimanan mereka, tentang bagaimana mereka berhubung dengan Allah s.w.t dan Rasul Nya, tentang keyakinan mereka, cara berfikir dan contoh tingkah laku mereka . Ini semua menjadi contoh kepada kita. Kita perlu yakin dan jelas akan hakikat ini sekiranya kita ingin mengikuti jejak langkah mereka.

Jika mereka telah menerima hakikat yang pertama tadi sebagai titik tolak dalam melaksanakan ‘Ubudiyyah kepada Allah s.w.t, maka kita juga menerima hakikat ini sebagai suatu yang prinsip dan yang utama.

Kita perlu mendekati hakikat ini dengan didikan al Quran sepertimana mereka mendekati, perlu merasai sebagaimana yang mereka rasai, yakin sebagaimana yang mereka yakin. Sehingga segala pemikiran dan tingkah laku kita selaras dengan kehendak Allah s.w.t. Selaras dengan contoh kita yang unggul tersebut. Itulah Generasi al Quran Yang Unik.

Wallah hu ‘alam.


Keperluan Kita Kepada Tarbiah Islamiah

Tarbiah (pendidikan) Islamiah, bererti proses mempersiapkan manusia dengan persiapan yang menyeluruh yang menyentuh seluruh aspek kehidupannya, meliput rohani, jasmani dan akal fikiran. Termasuklah dalam lingkungan kehidupan duniawinya, dengan segala aspek hubungan dan kemaslahatan yang mengikatnya; dan kehidupan akhiratnya, dengan segala amalan yang dihisabnya; yang membuat Allah Subha Nahu wa Taala redha atau murka. Oleh kerana itu, ia bersifat integral (sepadu) dan menyeluruh; dan itulah yang membezakan sistem Islam dengan sistem atau aturan lain.

Ringkasnya, tarbiah Islamiah adalah proses penyiapan manusia yang soleh, yakni agar tercipta suatu keseimbangan (tawazun) dalam potensi, matlamat, ucapan serta tindakannya secara keseluruhan.

Keseimbangan potensi yang dimaksudkan adalah hendaknya jangan sampai kemunculan suatu potensi menyebabkan lenyapnya potensi yang lain atau suatu potensi sengaja dimandulkan untuk mewujudkan potensi yang lain. Inilah satu keistimewaan sistem Islam dan undang-undangnya. Juga keseimbangan antara potensi rohani, jasmani dan akal fikiran; keseimbangan antara kerohanian manusia dan kejasmaniannya, antara keperluan asas dan sekunder, antara realiti dan cita-citanya, antara wawasan pribadi dan jiwa kebersamaannya, antara keyakinan kepada alam ghaib dan keyakinan pada alam nyata, keseimbangan antara makan, minum, pakaian dan tempat tinggalnya, tanpa adanya sikap berlebih-lebihan di satu sisi dan pengabdian di sisi lain. Benar-benar keseimbangan yang mengantarkan kepada sikap adil, yakni adil dan saksama dalam segala aspek.

"Dan demikian (pula) Kami telah jadikan kamu (umat Islam) umat yang adil dan pertengahan." [Al-Baqarah: 143]

Bahkan keseimbangan adalah satu aturan yang Allah Subhanahu wa Taala tetapkan pada segenap makhlukNya; manusia, binatang, tumbuh-tumbuhan dan bintang cakerawala di angkasa raya. Semua berjalan sesuai dengan hukum alam yang telah ditetapkan oleh yang Maha Pencipta alam ini. Itulah keistimewaan kedua yang ada pada sistem Islam.

Keistimewaan lain sistem tarbiyah Islamiyah ialah ia mendorong seseorang untuk memiliki dinamika yang tinggi dalam seluruh kehidupan dirinya beserta orang-orang disekelilingnya, dan juga termasuk bersama lingkungan alamnya. Ia juga merasa terdorong untuk memakmurkan bumi dan mengambil manfaat sebesar-besarnya baik dari samudera, angkasa, binatang, tumbuh-tumbuhan, maupun semua benda mati dengan prinsip bahawa semua itu telah ditundukkan oleh Allah Subha Nahu wa Taala untuknya. Ia tidak bersikap negatif dan pasif di dalam upaya meraih kemaslahatan diri dan masyarakat yang ia hidup dengannya atau lingkungan alam yang Allah tundukkan untuknya. Namun sebaliknya, ia bersikap positif dan responsif di bawah naungan agama yang agung dan moral yang tinggi ini.

Selain itu, tarbiah Islamiah memiliki keistimewaan dengan kemampuannya mengiringi fitrah manusia dalam menghadapi realiti kehidupan di bumi dan di alam material ini, juga mengiringi potensinya menuju tingkat keteladanan dan kepeloporan sehingga dapat memberi manfaat dan kemaslahatan bagi diri, agama dan masyarakatnya. Semua itu termasuk dalam batas yang Allah Subha Nahu wa Taala halalkan dan syariatkan. Di samping itu, Islam juga mengakui adanya kelemahan pada diri manusia ketika berhadapan dengan nafsu syahwat. Untuk menghadapi lemahnya manusia berhadapan dengan kewajiban, Islam datang dengan firman-Nya;

"Dia telah memilih kamu dan Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama satu kesempitan." [Al-Hajj: 78]

Sedangkan untuk menghadapi lemahnya manusia berhadapan dengan godaan nafsu, Allah Subha Nahu wa Taala berfirman;

"Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allahlah tempat kembali yang baik." [Ali-Imran: 14]

Tujuan Tarbiah Islamiah

Tujuan dan sasaran tarbiah Islamiah, yang kita ingin capai dan wujudkan -secara umumnya- adalah: membina keadaan serta suasana yang kondusif (sesuai) bagi manusia untuk dapat hidup di dunia secara lurus dan baik, serta hidup di akhirat dengan naungan redha dan pahala Allah Subha Nahu Wa Ta'ala.

Pertama: Ibadah kepada Allah Subha Nahu Wa Ta'ala semata-mata sesuai dengan syariatNya

Allah Subha Nahu Wa Ta'ala berfirman;

"Tidak Kuciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu." [Adz-Zariyat: 56]

Ibadah kepada Allah Subha Nahu wa Taala sesuai dengan syariat yang diucapkan oleh lisan Rasulullah SallaLlahu 'alaihi Wasallam adalah tujuan utama dan terpenting daripada tarbiah Islamiah ini. Ibadah menuntut terwujudnya banyak unsur dari seorang Muslim, antara lain: unsur iman, unsur Islam, unsur ihsan, unsur keadilan, unsur amar ma'ruf nahi mungkar, dan unsur jihad di jalan Allah Subha Nahu Wa Ta'ala untuk menjadikan kalimah Allah Subha Nahu Wa Ta'ala sebagai yang tertinggi.

Kedua: Tertegaknya khilafah Allah di muka bumi

Allah Subha Nahu Wa Ta'ala berfirman;

"Sesungguhnya aku jadikan manusia sebagai khalifah di bumi." [Al-Baqarah: 30]

Pengangkatan manusia sebagai khalifah ini menuntut aktivi pemakmuran bumi dan pemanfaatan segala sesuatu yang Allah Subha Nahu Wa Ta'ala berikan untuk umat manusia. Allah Subha Nahu Wa Ta'ala berfirman;

"Dia telah menciptakan kamu dari bumi (tanah) dan menjadikan kamu pemakmurnya." [Hud: 61]

Dengan arti bahawa Allah Subha Nahu Wa Ta'ala menempatkan semua manusia di muka bumi dengan memberinya potensi adalah untuk memakmurkannya dan mengambil manfaat sebesar-besarnya sebagai bekal hidup dan matinya. Oleh kerana itu, berinteraksi dengan seluruh alam yang terbentang ini -dengan menggunakan potensi ilmu dan seluruh hasil penemuan ilmiah yang baik- untuk mengambil manfaat daripadanya adalah kewajiban syarak atas manusia. Mencari ilmu dan mendalaminya dalam rangka kebajikan merupakan tugas yang Allah Subha Nahu Wa Ta'ala bebankan kepada manusia dan diwajibkan oleh Islam keatas kaum Muslimin. Maksudnya, mereka tidak boleh ketinggalan dalam bidang ini berbanding orang lain.

Ketiga: Saling kenal mengenal sesama manusia

Allah Subha Nahu Wa Ta'ala berfirman:

"Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenal." [Al-Hujurat: 13]

Allah Subha Nahu Wa Ta'ala menciptakan manusia berbagai jenis dan warna kulitnya dan terdiri daripada berbagai macam suku bangsa di merata pelusuk dunia. Allah menciptakan mereka dari asal yang satu, iaitu Adam dan Hawa. Oleh kerana itu tidaklah patut bagi mereka jika sentiasa bertikai, bercerai-berai dan bermusuhan. Sudah seharusnyalah mereka saling berkenalan, berkasih sayang dan saling bantu-membantu di bawah naungan persaudaraan (ukhuwwah). Bukankah mereka anak-anak dari seorang lelaki dan seorang perempuan?

Inilah salah satu tujuan besar tarbiah Islamiah, yakni mempersiapkan manusia agar dapat hidup dalam suasana penuh kasih sayang dengan saudaranya dengan disatukan oleh aqidah yang benar dan ajaran Allah Subha Nahu Wa Ta'ala.

Keempat: Kepimpinan Dunia

Allah Subha Nahu Wa Ta’ala berfirman;

“Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhai-Nya untuk mereka dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa.” [An-Nur: 55]

Inilah janji Allah Subha Nahu Wa Ta’ala kepada orang yang beriman dan beramal soleh, yakni keimanan yang disertai dengan amal adalah buah dari iman yang benar. Allah berjanji kepada mereka dengan tiga janji:

1. mengangkat kekhalifahan mereka di bumi ini dan menjadikan untuk mereka kekuasaan yang dapat mengambil manfaat sebesar-besarnya seluruh nikmat bagi kehidupan dan kematian mereka.

  1. pengukuhan kedudukan di bumi dengan Islam dan sistemnya. Oleh kerananya mereka pun memiliki kekuasaan dan dominasi atas umat manusia dan ajaran agama yang lain di muka bumi ini.
  2. Pergantian keadaan mereka, daripada rasa takut kepada rasa aman.

Artinya bahawa orang-orang yang beriman dan beramal soleh, adalah para tokoh penguasa bumi, kerana agama mereka adalah agama kemenangan dan kekuasaan, maka harus ada upaya meraihnya melalui program tarbiah Islamiah bagi semua orang.

Selama kaum Muslimin berada jauh daripada penguasaan dunia, bererti mereka jauh juga daripada hakikat iman dan amal soleh. Akibatnya mereka akan sentiasa terbelenggu dalam urusan agamanya dan terperosok dalam dosa dan maksiat. Tarbiah Islamiah berupaya - dengan segenap potensi yang dimilikinya – untuk mengeluarkan umat manusia daripada belenggu perasaan, dosa dan maksiat.

Kelima: Menghukum dengan syariat

Allah Subha Nahu Wa Ta’ala berfirman:

“Kemudian Kami jadikan kamu berada di atas suatu syariat (peraturan) daripada urusan (agama) itu, maka ikutilah syariat itu.” [Al-Jaathiah: 18]

Juga firman-Nya:

“Hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan oleh Allah Subha Nahu Wa Ta’ala , dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. Berhati-hatilah kamu terhadap mereka supaya mereka tidak memalingkan kamu daripada sebahagian apa yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu.” [Al-Maidah: 49]

Inilah salah satu tujuan besar daripada tujuan-tujuan tarbiah Islamiah, bahkan inilah tujuan utama daripada empat tujuan yang dinyatakan sebelum ini. (iaitu: ibadah, kekhalifahan di bumi, saling mengenal dan saling menolong, serta penguasaan dunia).

Mengapa demikian? Kerana semua tujuan itu adalah menjurus kepada penegakan syariat Allah Subha Nahu Wa Ta’ala tanpa tawar-menawar, undi-mengundi, dan tempel-tempelan, apalagi tunduk dan mengalah kepada sistem lain buatan manusia.

Inilah tujuan tarbiah Islamiah secara global, dan itulah tujuan Islam yang sebenarnya, baik aqidah, syariah, moral, dakwah, lembaga, sistem, perilaku, maupun jihadnya sekaligus, dalam rangka menjadikan kalimah Allah Subha Nahu Wa Ta’ala sebagai yang tetinggi. Itu semua hanya akan terwujud dengan berjalannya tarbiah ruhiah, akal fikiran, fizikal, akhlak dan perilaku.

Sebelum menyelesaikan perbahasan tujuan ini, perlulah kiranya ditegaskan bahawa tarbiah Islamiah memiliki skop yang luas beraneka ragam. Antara lain;

1. Individu, dengan seluruh unsur yang dapat membangun keperibadiannya.

  1. Rumahtangga Muslim dengan seluruh nilai dan moral yang harus ditegakkannya.
  2. Masyarakat Muslim, dengan seluruh interaksi sosial dan pengaturannya.
  3. Umat Muslimah, dengan seluruh aktiviti yang ada di dalamnya.
  4. Negara Islam dengan sistem dan undang-undang yang harus ditegakkan di dalamnya.

Menghidupkan Hati

Apabila usia Nabi Muhammad SallaLlahu 'alaihi Wasallam mencapai empat puluh tahun, Baginda begitu gemar mengasingkan diri untuk beribadat dan berkhulwah di Gua Hira'. Selalunya amalan ini memakan masa beberapa hari dan malam dan kadang-kadang melewati satu bulan. Beginilah keadaan Nabi Muhammad SallaLlahu 'alaihi Wasallam yang berulang alik di antara rumah baginda dan Gua Hira' sehinggalah datangnya wahyu yang pertama.

Sesungguhnya kegemaran Nabi Muhammad SallaLlahu 'alaihi Wasallam mengasingkan diri dan beruzlah di Gua Hira' sebelum pengutusan baginda sebagai seorang Rasul, mengandungi makna yang sangat mendalam dan memberi implikasi yang begitu penting kepada seluruh penghidupan umat Islam dan agama Islam khususnya.

Amalan ini membuktikan bahawa setiap Muslim itu, tidak akan sempurna sifat keIslamannya, walaupun ia berkeperibadian atau berakhlak yang tinggi serta peribadatan yang tidak putus-putus terhadap Allah tanpa ia cuba mengasingkan dirinya untuk menilai dan mecari ketenangan jiwa dan segala sesuatu yang membolehkan ia sampai kepada hakikat keagungan ilahi.

Semuanya ini merupakan jalan bagi setiap Muslim yang mahu menempatkan dirinya sebagai seorang Muslim sejati terutamnya kepada mereka yang mahu menjadi pendakwah ke jalan Allah dan pembimbing ke jalan yang benar.

Sebagai hikmah Ilahi di sini tergambar sesungguhnya diri manusia itu senantiasa diselaputi oleh pelbagai penyakit yang tidak akan dapat diubati kecuali dengan jalan mengasingkan diri, memperhitungkan dan menghisab diri sendiri di ketika dan di tempat-tempat yang sunyi, jauh dari suasana dunia yang sombong, bongkak, hasan-dengki, bermegah-megah dan sukakan keduniaan.

Segalanya ini merupakan penyakit-penyakit yang mencengkam jiwa manusia dan menguasai hati sanubarinya, yang memainkan peranan yang sangat kotor demi merubah jiwa batin manusia, walaupun amalan saleh dan ibadat yang banyak.

Inilah penyakit dan wabak yang mencengkam mausia tadi dan ia tidak mudah dibasmikan kecuali dengan beruzlah dan mengasingkan diri dengan bertaqarrub dengan Allah Subha Nahu Wa Ta'ala dari masa ke semasa untuk mendapat taufiq, hidayah dan inayah Allah. Kemudian mengalihkan pandangan ke arah

dirinya untuk mencari titik-titik kelemahannya di hadapan Allah Subha Nahu Wa Ta'ala pencipta alam sejagat seterusnya bertafakkur dan merenung bukti-bukti kekuasaan Ilahi, Hari Akhirat dan akhirnya menginsafi tentang kewujudan hari Akhirat, rahmat dan balasannya. Ketika kita bertafakkur dan merenung berulang-ulang kali maka penyakit-penyakit tadi akan sembuh dan hilang sedikit demi sedikit dan tempatnya akan digantikan dengan cahaya dan ketenangan yang abadi. Dengan itu tidak ada sesuatu apa pun lagi yang akan mempengaruhi kehidupan manusia itu.

Suatu perkara lagi yang perlu disebut yang tidak kurang pentingnya dalam penghidupan manusia umumnya dan para pendakwah khususnya ialah menanamkan bibit-bibit cintakan Allah Subha Nahu Wa Ta'ala di dalam hati sanubari di mana ia merupakan sumber dan dorongan kepada pengorbanan, perjuangan dan asas utama kepada dakwah yang memarak. Perasaan cintakan Allah Azzawajalla tidak tercetus melalui kepercayaan kepada yang rasional lantaran perkara yang rasional itu belum lagi dapat memberikan kesan kepada hati dan perasaan. Sebab jika sedemikian, sudah tentulah para orientalis merupakan barisan yang pertama beriman kepada Allah Subha Nahu Wa Ta'ala dan RasulNya. Tidak pernah kita dengar seorang alim bijak pandai telah mengorbankan jiwanya kerana beriman dengan sesuatu teori-teori matematik yang dicipta manusia atau teori-teori algebra.

Bahawasanya tidak ada jalan lain untuk cintakan Allah Subha Nahu Wa Ta'ala melainkan dengan cara merenung dan bertafakkur dengan segala nikmat pemberiannya, merenung keagunganNya dan kebesaranNya. Kemudian memperbanyakkan bacaan-bacaan zikir dengan perantaraan hati dan lidah. Sesungguhnya kesemuanya ini tidak dapat dilaksanakan melainkan apabila seseorang Muslim itu melaksanakan apa yang disebutkan tadi dengan sempurnanya. Dengan melaksanakan amalan yang disebutkan, Allah akan memutikkan bibit-bibit kecintaan yang berkilau terhadap Allah yang menjadikannya memandang kecil segalanya; tidak menghiraukan sebarang godaan; tidak memperdulikan sebarang azab sengsara yang mungkin dihadapinya malah ia mampu mengatasi segala-galanya ini dengan mudah dan senang. Inilah senjata yang paling tajam untuk mereka yang akan melaksanakan tugas dakwah dan demikianlah senjata yang telah diperlengkapkan di dalam jiwa Muhammad SallaLlahu 'alaihi Wasallam untuk baginda melaksanakan dakwahnya.

Bahawa sesungguhnya segala perasaan yang berhimpun di dalam hati manusia, iaitu takut, berani, cinta, suka, duka dan sebagainya berupaya menjadi sebagai pendorong bagi seseorang untuk menjalankan tugas yang mungkin dapat dilaksanakan sekiranya hanya disertai dorongan daya fikiran biasa manusia. Memang tepat seperti yang ditegaskan oleh Imam al-Sathibi Rahmatullah 'alaihi di dalam kitabnyha Al-Mumabikhat yang menerangkan lebih lanjut dan membuat perbandingan di antara dua golongan; satunya Muslimin awam di dalam melakukan segala taklif suruhan Tuhannya kerana keIslamannya dan yang satu lagi golongan Muslimin yang tertentu dalam melakukan takallif suruhan Tuhannya kerana satu dorongan yang lebih dan disertai dengan kefahaman.

Katanya; golongan yang pertama ini melaksanakan tugasnya kerana keIslaman dan keimanannya tanpa lebih daripada itu, tetapi golongan yang kedua, melaksanakan segala tanggungjawabnya dengan satu dorongan tambahan, iaitu dengan disertai dorongan takut, harap dan cinta. Orang yang ketakutan, ketika melakukan sesuatu yang berat dan susah, tidak menghiraukan kesusahan dan kepayahan dan seterusnya membawa ia bersabar terhadap sebarang dugaan dan pancaroba. Manakala manusia yang berharap-harap tidak akan mnghiraukan susah payah. Harapannya itu akan membawa ia meneroka segala kepahitan dan menanggung segala keperitan. Seorang yang dilanda cinta pula, melipat gandakan segala usaha dan tenaganya dan mengorbankan segala apa yang ada demi untuk sampai kepada orang yang dicintainya