AL-QURAN AL-KARIM MENDIDIK INDIVIDU DAN KELUARGA
TAKRIF AL QURAN
Kitab suci al-Quran adalah Kalam Allah SWT yang bermukjizat, diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW, ditulis dalam beberapa naskhah mashaf dan dipindahkan daripada baginda SAW dengan riwayat yang mutawatir. Membacanya merupakan satu ibadah. Inilah ta'rif al-Quran yang dipersetujui para ulama' Usul Fiqh dan bahasa.
HUBUNGAN AL QURAN DAN AS SUNNAH
Kebanyakkan hukum yang diterangkan dalam al-Quran bercorak kulli (tidak secara detail atau terperinci). Peranan as-Sunnah yang merangkumi keperibadian, perkataan, perbuatan dan pengakuan Rasulullah SAW memperincikan hukum-hukum al-Quran. Apabila seseorang berpegang dan beramal dengan as-Sunnah bererti dia berpegang dan beramal dengan al-Quran.
Al-Imam al-Auza'i telah meriwayatkan daripada Hassan Ibnu 'Atiyyah, katanya: "Ketika wahyu turun kepada Rasulullah SAW, malaikat Jibril membawa as-Sunnah yang mentafsirkan wahyu tersebut. Maka setiap perkara yang lahir daripada Rasulullah SAW samada dalam bentuk perkataan, perbuatan mahupun pengakuan berasal daripada wahyu Allah SWT jua.
Allah SWT telah berfirman:
Terjemahannya:
" Tidaklah (Rasul itu) berkata-kata mengikut hawa nafsunya melainkan apa yang telah diwahyukan kepadanya. "
(Surah an-Najm: ayat 3-4 ).
Kehidupan Rasulullah SAW adalah penterjemahan realistik al-Quran al-Karim. Sayyidatina 'Aisyah r.a. pernah ditanya mengenai akhlak Rasulullah SAW, maka dijawabnya: " Bahawa akhlaknya (Rasulullah SAW) adalah al-Quran. "
SUMBER PEMBENTUKAN INDIVIDU DAN KELUARGA BAHAGIA
Sumber pembentukan individu dan keluarga bahagia ialah al-Quran al-Karim manakala hadith atau sunnah Rasulullah SAW adalah terbitan daripada al-Quran al-Karim.
Rasulullah SAW adalah model yang praktikal bagi didikan Islam. Baginda adalah pentafsir kepada sistem tarbiyyah al-Quran samada dengan amalan, budi pekerti atau pun arahan-arahan.
DIDIKAN AL QURAN SERTA NATIJAHNYA
Sistem didikan al-Quran adalah unik. Sistem ini tidak meniru mana-mana sistem yang ada di bumi. Kesan atau natijahnya yang pernah lahir juga unik, iaitu satu generasi yang sungguh mengkagumkan dan tiada bandingan dalam sejarah. Generasi yang asal hidup bersengketa dan berperangan sesama sendiri berubah secara “total” kepada bersatu padu, membangun dan menegakkan nilai-nilai Rabbani (nilai yang diturunkan Allah SWT) dalam kehidupan. Mereka menjadi model bagi manusia dan mereka telah mendapat pujian daripada Allah SWT. Firman Allah SWT:
Terjemahannya:
" Kamu adalah sebaik-baik ummah yang diutuskan kepada manusia, kamu menyeru kepada ma'ruf dan mencegah daripada kemungkaran dan kamu beriman dengan Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, maka tentulah itu lebih baik bagi mereka; di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasiq "
(Surah 'Ali Imran: ayat 110 )
PROSES PEMBENTUKAN ADALAH IRADAH ALLAH S.W.T
Generasi muslim terbaik itu dikenali sebagai generasi al-Quran. Generasi tersebut adalah natijah daripada tarbiyyah Rasulullah SAW berdasarkan wahyu Allah SWT. Tarbiyyah Rasulullah S.A.W. berjalan selama 23 tahun - 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah.
Tiga belas tahun di Mekah adalah masa pembinaan dan pengukuhan aqidah Islamiyyah. Sepuluh tahun di Madinah adalah masa penegakan undang-undang dan hukum-hukum yang mengurus dan mengatur masyarakat dan daulah Islamiyyah yang dibentuk Rasulullah SAW.
Al-Quran membina dan mendidik aqidah ummah itu dalam jangka masa yang begitu lama kerana menurut iradah (kehendak) Allah SWT. Jika Allah SWT mahu, Allah SWT boleh menurunkan ayat-ayat al-Quran secara lengkap sekaligus lalu dibiarkan ummah itu mempelajari dan memahaminya. Sebenarnya iradah Allah SWT tidak sedemikian. Allah SWT menghendaki satu sistem tertentu dan unik dalam pembinaan ummah. Pembentukan aqidah berjalan serentak dengan kematangan ummah dan selaras dengan penurunan ayat-ayat al-Qur'an yang beransur-ansur. Allah SWT menghendaki agar ummah itu dibina dengan aqidah Islamiyyah, selepas itu Islam yang syumul dapat dipraktikkan dengan baik.
Din al-Islam adalah Din Rabbani. Sistem untuk melaksanakannya juga Rabbani. Sistem ini tidak boleh dipisahkan atau diketepikan. Lantaran Din al-Islam didatangkan oleh Allah SWT untuk membina aqidah dan membentuk individu, ahli keluarga dan masyarakat, maka sudah tentu sistem pembinaan dan pembentukan itu merupakan perencanaan atau perancangan Allah SWT yang tidak boleh dipandang sepi.
Firman Allah SWT:
Terjemahannya:
" Kami (Allah) turunkan al-Quran itu terpisah-pisah supaya engkau bacakan kepada manusia dengan perlahan-lahan dan kami turunkannya sedikit demi sedikit. "
(Surah al-Isra': ayat 106)
Cara penurunan al-Quran merupakan perencanaan Allah SWT dalam proses pembentukan dan pembinaan individu, ahli keluarga dan ummah agar aqidah Islam benar-benar terbentuk, menjadi pegangan dan lahir dalam pergerakan hidup, bukan sekadar teori atau pengetahuan semata-mata.
KEMUNCAK NATIJAH
Terbukti dalam sejarah kemanusiaan, didikan al-Qur'an telah melahirkan generasi yang benar-benar mendokong al-Quran dan as-Sunnah. Itulah proses didikan yang telah menghasilkan generasi Muslimin sejati dan berwibawa mengepalai pimpinan alam ke arah kesejahteraannya. Generasi yang melengkapi sifat-sifat kepimpinan yang tinggi dan mulia, yang mengandungi pemuda-pemuda yang berjiwa Tauhid dan tidak dipengaruhi atau terpengaruh dengan nilai-nilai keduniaan. Cita-cita mereka ialah memenangi keredhaan Allah SWT semata-mata. Mereka sentiasa bersedia menyahut panggilan Iman dan memandang kehidupan jahiliyyah tidak bernilai. Nilai mereka sebenar ialah nilai Allah SWT. Justeru inilah yang perlu kita bina, membina individu muslim yang beriman, kemudian membentuk keluarga lalu ahli keluarga di didik dengan didikan Al Quran demi membina keluarga yang beriman, dan insyaAllah, masyarakat dan ahli komuniti yang beriman akan terbentuk dan dominan dalam masyarakat.
Dalam sirah Rasulullah dan para sahabat, setiap wakil atau delegasi yang dikirimkan Rasulullah SAW ke sesuatu tempat akan bertindak menurut apa yang dikehendaki Allah SWT dan Rasulullah SAW.
Perhatikanlah sikap Mu'az bin Jabal r.a. yang menjadi wakil Rasulullah SAW ke Negeri Yaman. Sebelum beliau bertolak ke Yaman, Rasulullah SAW telah menguji beliau dengan katanya yang bermaksud, "Wahai Mu'az! Bagaimanakah kamu hendak lakukan jika dikemukakan sesuatu masalah kepadamu?" Jawab Mu'az, "Saya akan berhukum dengan apa yang tersebut di dalam Kitab Allah." Baginda bertanya lagi, "Bagaimana pula jika tidak kedapatan di dalam Kitab Allah?" Jawab Mu'az, "Saya akan berhukum menurut Sunnah Rasulullah SAW." Baginda bertanya lagi, " Bagaimana jika tidak terdapat di dalam Sunnah Rasulullah SAW?" Jawab Mu'az, "Saya akan berijtihad dan saya tidak akan mengabaikan." Kemudian Rasulullah SAW berkata, "Alhamdulillah yang telah memberi pertunjuk kepada utusan Rasulullah mengikut cara yang diperkenankan Rasulullah."
Jawapan yang diberikan oleh Mu'az itu membuktikan bahawa pegangan hidup generasi sahabat Rasulullah SAW adalah syari'at Allah SWT sahaja. Mereka meletakkan tuntutan al-Quran di tempat pertama dalam hidup mereka. Mereka benar-benar terdidik dengan al-Quran bahkan kebanyakkan dari meraka adalah Huffaz (penghafaz-penghafaz) al-Quran. Dalam tragedi Bi'r al-Ma'unah terdapat 70 orang sahabat huffaz telah gugur syahid. Dalam peristiwa al-Yamamah pada zaman Khalifah Abu Bakr as-Siddiq terdapat 70 para huffaz telah syahid di suatu masa seperti yang pernah dijelaskan oleh Imam al-Qurthubi.
Kesimpulannya, kita perlu kembali menjadikan Al Quran dan Hadith Rasulullah saw sebagai panduan dan sumber dalam membina diri dan ahli keluarga kita. Tidak ada formula yang terbaik untuk kita menyelesaikan konflik yang sedang melanda manusia dan keluarga masa kini, melainkan kita memahami hakikat mengimani seluruh wahyu yang telah diturunkan oleh Allah swt untuk manusia 1400 tahun yang lalu.
No comments:
Post a Comment