Mukmin Yang Sedar
Susunan: Omar Khamis
Perkara pertama yang dituntut oleh Islam kepada seorang muslim ialah beriman dengan sebenarnya kepada Tuhannya. Seorang muslim dapat berhubung dengan Tuhannya dan sentiasa mengingatiNya serta bertawakal menyerah diri kepadaNya. Meminta pertolongan kepadaNya disamping melakukan segala sebab dan musababnya.
Dia merasakan dalam lubuk jiwanya bahawa sesungguhnya dia sangat berhajat dan sentiasa perlu kepada kekuatan ALlah, kepada bantuan dan sokonganNya sekalipun dia telah berusaha bersungguh-sungguh menyediakan sebab-sebab yang dimestikan.
Muslim yang sejati dan benar, adalah manusia yang sedar hatinya, celik matanya dan terbuka pintu imannya. Menyedari segala keindahan ciptaan ALlah yang terbentang di seluruh alam dan urusan manusia. Oleh kerana itu dia sentiasa mengingati ALlah pada setiap detik dan ketika lalu bertambah keimanannya kepada ALlah, dan bertambah [juga] ingatannya kepada-Nya
Firman Allah swt. yang bermaksud:
"Sesungguhnya di dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal..." (Ali-Imran:190)
Kita amat memerlukan suasana yang berteraskan tarbiyyah iman yang berterusan, samada secara formal atau tak formal agar hakikat-hakikat yg disebutkan tadi dapat melekat teguh dalam hati dan tercerna dalam kehidupan seharian. Kemungkinan kita mampu istiqamah iman kita ketika berada dalam suasana yang formal atau rasmi kerana kita lebih bersedia ketika itu tetapi sudah tentu kita tidak boleh berada dalam suasana rasmi setiap masa.
Mewujudkan suasana imaniyyah ketika berada dalam suasana yang tidak formal seperti di padang bola, di pasaraya, di kedai makan atau ketika bercuti dan berehat di tepi pantai, tentu lebih mencabar, terkadang kita mengabaikan aspek pemeliharaan iman kita, bahkan ada juga "cuti" beriman, na'uzubillah...... Nah, kini bersediakah kita untuk jadi spt sahabat Rasulullah SAW (Abi Darda' r.a.) yang satu ketika, terus memegang tangan salah seorang dari sahabatnya (Ibn Rawahah r.a.) lalu berkata (maksudnya), "Marilah kita duduk sama-sama untuk tingkatkan iman kita barang sebentar? Sesungguhnya hati itu boleh berubah lebih pantas dari air yang sedang menggelegak dalam cerek".
Semoga Allah swt memelihara iman kita dan iman ahli keluarga kita, Amin.
No comments:
Post a Comment