Wednesday, May 30, 2007

Mengumpul wang untuk bersara

Mengumpul wang untuk bersara

Hanya lima peratus rakyat Malaysia bersedia untuk persaraan. Biarpun ada yang sedar mengenai kepentingan menyimpan wang untuk bersara, kebanyakannya tidak merealisasikan rancangan mereka sebagai tindakan. Ketika umur 20-an, mereka beranggapan ianya terlalu muda untuk menyimpan wang, meningkat 30-an, merasakan akan mula menyimpan, umur 40-an, mereka yakin akan dapat menyimpan dan umur 50-an, mereka terkejut kerana tidak dapat menyimpan. Itulah senario masyarakat yang rata-ratanya belum mempunyai simpanan yang banyak untuk menghadapi hari persaraan mereka.

Kisah ini sama seperti kisah seorang remaja yang telah dijadikan sebagai bahan eksperimen bagi satu kajian. Ketika berumur 20 tahun, beliau ditanya, "Apakah cita-cita kamu dalam hidup?" Soalan ini mudah dan sesuai dengan jiwa remaja, beliau menjawab, "Saya hendak menjadi seorang usahawan yang berjaya." Jawapannya mantap dan jelas.

Perjalanan hidup remaja ini dipantau dari semasa ke semasa. Apa yang dibuat, ke mana dia pergi dan dengan siapa dia berkawan, semuanya direkodkan. Kemudian apabila umurnya mencapai 30 tahun, sekali lagi penyelidik datang berjumpanya dan bertanyakan soalan, "Adakah kamu telah menjadi usahawan yang berjaya?" Ketika ini remaja berkenaan memberi alasan belum lagi bersedia. Jadi, pengkaji ini pun pulang semula ke tempat kerja mereka. Pergerakan remaja ini masih direkodkan dan perubahan mula ketara kerana peningkatan umur bermakna perubahan fikiran dan tingkah laku. Jika zaman 20-an dulu, jiwa remaja menguasai pola pemikirannya, kini beliau lebih matang.

Pengkaji datang lagi ketika beliau berusia 40 tahun dan bertanyakan soalan yang sama. Lalu dijawab olehnya, "Tunggulah, saya masih merancang untuk menjadi usahawan yang berjaya." Pengkaji ini pulang ke tempat kerja mereka dengan rekod yang baru.

Setelah masuk hari lahir yang ke-50, pengkaji sekali lagi datang menemui remaja yang kini telah menjadi tua. Soalan yang sama ditanya dan beliau menjawab, "Saya masih merancang dan tunggulah sedikit masa lagi.

" Apa yang anda fikirkan?

Sebenarnya orang ini tidak melakukan apa-apa untuk menjadi seorang usahawan. Apabila dia menoleh ke belakang melihat zaman remajanya beredar sehinggalah beliau berumur 50 tahun, dia telah mensia-siakan masa hidupnya tanpa melakukan sebarang usaha untuk menjadi usahawan yang berjaya.

Perangkaan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat 2006, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memberi angka 26,640.2 juta rakyat Malaysia pada 2006. Daripada jumlah ini, umur wanita lebih panjang iaitu 76 tahun berbanding lelaki, 72 tahun. Dengan umur persaraan hanya 56 tahun, rakyat Malaysia boleh hidup dengan wang simpanan yang ada dan terpaksa menampung hidup kira-kira 20 tahun selepas itu. Apakah kita mampu untuk menyara kehidupan yang begitu panjang selepas bersara?

Untuk hidup di bandar besar seperti Kuala Lumpur, seseorang perlukan sebanyak RM747,000 bagi meneruskan kehidupan 25 tahun selepas persaraan. Keadaannya berbeza bagi kehidupan pinggir bandar dan kampung tetapi perlu diingat, kebanyakan kampung bakal menjadi pekan dan bandar. Jumlah ini sangat besar. Bagaimana pula dengan perbelanjaan perubatan?

Semakin umur meningkat, semakin banyak pula sakitnya. Tiga jenis penyakit terkenal ialah jantung koronari, kencing manis dan sakit buah pinggang. Pelbagai jenis makanan, cara gaya hidup dan sistem kerja yang tidak mengira masa membantu orang muda mendapat penyakit ketika awal 30-an. Agak malang jika seseorang yang tidak mempunyai pendapatan yang memuaskan untuk hidup dengan selesa, mendapat rawatan yang terbaik dan bebas daripada hutang.

Justeru, apakah kita mempunyai wang untuk menampung kehidupan selepas bersara? Pertanyaan ini memang mengundang was-was kerana kita belum tahu apa yang akan terjadi, sebaliknya, tindakan terbaik adalah menjawab dengan jujur di mana tahap kemampuan kita yang sebenarnya. Jika ya, usaha lebih adalah bonus. Jika tidak, hidup perlu berjimat dan tambahkan simpanan dalam akaun bank.

Saya ingin mengaitkan keselamatan sosial, persaraan dan sikap masyarakat kita hari ini dengan kemiskinan. Orang kaya tidak ada masalah dalam soal ini. Ketika ini saya sedang menjalankan kajian mengenai orang miskin yang menerima bantuan wang dan kemudahan lain daripada sebuah agensi kerajaan. Terdapat empat jenis bantuan yang boleh dipohon dengan kriteria yang khusus. Malaysia tidak sama seperti United Kingdom. Di sana penganggur mendapat elaun kerana tidak punya kerja tetapi di Malaysia, penganggur perlu berusaha sendiri untuk makan setiap hari. Perbezaaan ini perlu difahami kerana Malaysia bukannya negara kebajikan.

Saya dapati sebahagian besar daripada responden ini tidak mempunyai simpanan kerana tidak ada kesedaran untuk menyimpan sejak muda lagi. Apabila ditanya berapa banyak wang yang disimpan, mereka memberitahu tidak ada. Yang ada hanyalah wang yang diterima daripada kerajaan setiap bulan, itu sahaja. Akhirnya mengadu tidak cukup wang untuk belanja harian, walaupun untuk makan daging atau ayam seminggu sekali.

Lihat pula latar belakang pendidikan. Rata-ratanya berpendidikan sekolah menengah dan ada juga yang tidak tamat sekolah rendah. Pendidikan mempengaruhi cara berfikir dan ketahanan hidup seseorang. Tahap pendidikan yang rendah berkecenderungan melihat hidup sebagai tidak ada masa hadapan dan aspirasi yang rendah mengenai bahagia, ceria dan menikmati keindahan hidup. Saya juga melihat, kelompok ini tidak kuat mentalnya untuk berdepan dengan keadaan susah kerana lebih kerap mereka mengadu mengenai susahnya hidup daripada berfikir bagaimana hendak membahagiakan hidup mereka sendiri.

Apabila saya tanyakan soalan, "Agaknya, 4 hingga 5 tahun yang akan datang, di mana hidup pakcik/makcik?" Sebahagian besarnya menjawab: tidak pasti. Berbeza dengan seorang ibu tunggal berumur 39 tahun yang menumpang hidup di rumah kebajikan bersama lima orang anaknya yang masih bersekolah. Semangatnya kuat, tabah dan sangat berminat dengan usahawan. Beliau pandai membuat beberapa jenis kuih tradisional Melayu dan makanan seperti laksa. Keinginannya untuk berdikari memang tinggi tetapi tidak tahu lorong mana yang harus dituju. Hasrat dan impiannya sampai di situ sahaja tanpa dapat pergi ke mana-mana.

Bab menyimpan sangat lemah. Empat per lima tidak mempunyai simpanan untuk hari tua. Nasib baik diberi kad bagi mendapatkan rawatan perubatan di klinik dan hospital kerajaan di seluruh negara. Sekurang-kurangnya beban kewangan dari segi perubatan dapat dikurangkan bagi memberi tumpuan kepada belanja harian. Susahnya hidup tanpa wang memang ketara di kalangan orang miskin. Raut wajah mereka adalah wajah kesedihan dan simpati. Sukar untuk melihat mereka senyum dengan ikhlas kerana senyuman yang diberi sebenarnya berada di sebalik derita dan sengsara hidup. Tanpa wang: hati sengsara, wajah duka, perasaan lara dan hidup merana.

Menjadi miskin di negara yang kaya memang satu nasib. Dan nasib yang paling bermakna adalah bernasib baik. Tetapi pilihan untuk keluar daripada nasib diri bergantung sepenuhnya kepada diri sendiri sama ada mahu ataupun tidak. Majoriti responden yang ditemui mengakui kemiskinan hidup boleh diubah dan perubahan sebenarnya bergantung kepada diri sendiri. Kesedaran mereka memang ada tetapi dengan peluang dan sumber yang terhad, agak sukar bagi mereka hendak keluar daripada keadaan yang sedang dihadapi.

Justeru, apakah yang boleh bagi kita: orang-orang muda dan masih ada kudrat untuk bekerja dan bergerak ke sana-sini, membuat pelan tindakan sebagai persediaan masa hadapan ketika berumur 50 tahun?

Perjalanan untuk menjadi yang terbaik tidak mudah. Ia penuh dengan rintangan. Individu yang mempunyai kemampuan untuk mengatasi dan pulih dengan cepat, biasanya punya azam yang sangat kuat. Sifat paling utama dan paling penting ialah disiplin. Shiv Khera, dalam bukunya, Anda Boleh Berjaya, menyatakan disiplin adalah menggemari ketegasan. Disiplin adalah haluan, arah tuju. Disiplin adalah pencegahan sebelum timbul masalah. Disiplin adalah memanfaatkan dan menyalurkan tenaga untuk prestasi yang sangat besar.

Disiplin memberikan kebebasan yang tidak boleh diperolehi dengan penuh keseronokan dan mendapatkan apa yang diingini, tetapi mengawal keinginan tersebut. Sama seperti peribahasa Melayu, "bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian."

Membina disiplin wajar bermula dengan ibu bapa. Jurnal Tentang Persatuan Keluarga Amerika membuat kesimpulan bahawa: ibu bapa yang meluangkan masa 15 minit seminggu dalam "perbualan penuh erti" bersama anak-anak mereka - anak-anak yang ditinggalkan akan mencontohi apa saja nilai yang mereka perolehi daripada rakan sebaya dan televisyen.

Bagaimana hendak dikaitkan dengan simpanan masa tua kita?

Jika kita masih liat untuk menyimpan 15 peratus daripada gaji yang diperolehi, bersedialah untuk hidup dengan sengsara, resah dan menyesal ketika anda mencecah umur 56 tahun. Peribadi yang lemah sering mempunyai sebuku penuh alasan untuk memberitahu kita kenapa dirinya tidak boleh.

Oleh: Zahir Zainuddin

No comments:

Post a Comment