Thursday, May 08, 2008

Asas Pembentukan Masyarakat


Asas Pembentukan Masyarakat

Allah Subha Nahu Wa Ta’ala berfirman;

"Hai manusia, bertakwalah kepada Tuhan kamu yang menciptkan kamu daripada seorang (Adam) dan daripadanya Allah menciptakan isterinya (Hawa), kemudian daripada kedua-duanya itu Allah menjadikan pula lelaki dan perempuan. Hendaklah kamu bertakwa kepada Allah yang dengan (menggunakan) namaNya kamu saling meminta, dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu memelihara dan mengawasi kamu." [An-Nisa:1]


Setiap bangunan semestinya terbina daripada sejumlah batu merah (batu-bata). Dengan batu-bata itu terbentuk organisasinya dan di atas batu-bata asas ini terbina pula tiang-tiang dan bahagian-bahagiannya. Apabila batu-bata itu tidak bersatu dan retak, maka bangunan itu sudah pasti tidak teguh. Sebaliknya jika batu bata itu kuat dan terpadu erat, maka bangunan itu pun turut kuat, kukuh dan mantap. Dapat menghadapi berbagai ancaman seperti angin ribut dan taufan. Begitu juga dengan setiap umat dan masyarakat.


Seluruh masyarakat yang wujud - terbentuk daripada kesatuan-kesatuan yang berupa keluarga, dan kesatuan-kesatuan keluarga itu terdiri daripada unit-unit dan bahagian-bahagian yang lebih kecil lagi, iaitu individu-individu.


Jika masyarakat kita terdiri daripada individu-individu yang baik, kuat dan rajin bekerja, maka seluruh ahli keluarga akan menjadi baik dan kuat, dan seterusnya masyarakat kita akan memiliki landasan yang kuat dan kukuh, iaitu keluarga-keluarga yang baik dan kuat. Kesan seterusnya ialah bangsa atau umat kita pun akan menjadi kuat dan sentosa, disegani, dinilai tinggi dan dihormati oleh bangsa-bangsa lain.


Sebaliknya, suatu umat atau suatu bangsa yang terbentuk daripada asas-asas yang lemah dan rapuh, iaitu individu-individu yang bercerai berai, maka bangsa atau umat itu pun pasti lemah, tidak mempunyai asas-asas tertentu dan akan dicaci oleh bangsa-bangsa lain sebagai musuh yang mudah dikalahkan.


Kerana itulah Islam memberikan perhatian yang penting sekali kepada pembentukan keluarga Mukmin dan Muslim. Daripada keluarga-keluarga Muslim itulah akan wujud masyarakat Muslim, bangsa Muslim dan negara yang menjunjung tinggi agama Islam. Melalui jalan itulah kaum Muslimin akan dapat menjadi umat yang berjaya di dunia.


Ya, benarlah...

Kaum Muslimin memang pernah menjadi umat yang berjaya, iaitu ketika mereka menegakkan institusi kekeluargaannya di atas asas-asas yang teguh berdasarkan Kitabullah dan Sunnah Rasulnya. Pada masa itu, mereka menegakkan institusi umat atas dasar takwa, amal soleh, ibadah, saling mengerti dan saling berkasih sayang dengan ikhlas. Atas dasar itulah umat Islam menjadi kuat, mulia dan tahan menghadapi segala halangan. Akhirnya mereka menjadi umat yang berjaya dan berkuasa di dunia.


Mereka menguasai dunia bukan di dorong oleh sesuatu kepentingan, sebaliknya didorong oleh semangat hendak mengembangkan ajaran Allah Subha Nahu Wa Ta’ala. Memandu umat manusia ke jalan kebaikan dan kejayaan. Mereka menguasai dunia bukan untuk menjalankan penindasan, sebaliknya bagi menyelamatkan dunia daripada kehancuran dan kebinasaan. Berbeza dengan keadaan kaum Muslimin dewasa ini. Asas-asas kehidupan yang diredhai Allah Subha Nahu Wa Ta’ala telah ditukar dengan asas-asas kehidupan yang membawa kerosakan yang berupa peradaban palsu dan kosong. Runtuhlah asas kehidupan kekeluargaan dan hancurlah asas kesatuan bangsa tersebut. Implikasinya, hancurlah kekuatan kaum Muslimin dan mereka terpecah menjadi negeri-negeri kecil, kelompok-kelompok dan golongan-golongan.


"Tiap-tiap golongan gembira dengan apa yang ada pada mereka!" [Al-Mu'minum: 53]

Dengan demikian, mereka telah kehilangan kejayaan, kemuliaan dan kehormatan sehingga mudah dipermainkan oleh bangsa-bangsa lain. Kekuatan-kekuatan jahat dan zalim, kekuatan-kekuatan penindas dan penjajah, semuanya bersatu memusuhi mereka, menghisap darah dan peluh mereka serta merampas sumber-sumber kekayaan mereka. Jumlah mereka yang banyak itu tidak membawa erti, bagaikan sampah dilanda banjir. Mengenai hal itu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda;


"Kelak kamu nyaris dihancurkan oleh bangsa-bangsa (umat-umat) lain seperti orang-orang lapar memamah makanan di piring." Para sahabat bertanya; "Apakah kerana dikemudian hari kita sedikit jumlahnya, Ya Rasulullah?" Baginda menjawab; "Tidak! kamu bahkan banyak jumlahnya, tetapi kerana kamu bagaikan buih dipukul ombak."


Allah Subha Nahu Wa Ta’ala telah menegaskan di dalam firmanNya;


"Sesungguhnya Allah tidak akan merubah apa yang ada pada suatu kaum sebelum mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri." [Ar-Raad:11]


Jika sekarang kita ingin menjadi umat yang berguna, umat yang mulia dan umat yang terhormat, maka kita harus sedar bahawa suatu umat tidak akan menjadi baik kecuali jika dasar dan landasannya baik. Kerana itu dewasa ini kita harus memberikan perhatian yang serius terhadap masalah pembentukan keluarga kita, dan berusaha membangunkannya di atas landasan yang kukuh dan kuat berdasarkan Kitabullah dan Sunnah RasulNya.

Rujukan: Mutiara Perkahwinan Menurut Ajaran Islam, Muhammad Ali Qutb

No comments:

Post a Comment