Pendahuluan
Orang-orang beriman yang terdahulu dari umat ini sangat mementingkan keikhlasan. Mereka sangat mengharapkan agar diperingatkan kepada diri mereka supaya sentiasa ikhlas. Sebab itu Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda:
( إنما الأعمال بالنيات ) رواه البخاري ومسلم
“Sesungguhnya setiap amalan itu tergantung kepada niatnya.”
Hendaklah kita menanam pohon keikhlasan ke dalam hati kita agar kita mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Kepentingan ikhlas
“Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu Kitab (Al Qur’an) dengan kebenaran. Maka sembahlah Allah dengan mengikhlaskan keta’atan kepadaNya. Ingatlah, hanya kepunyaan Allah din yang bersih”
“Katakanlah: Hanya Allah sahaja Yang aku sembah dengan ikhlas kepadaNya dalam dinku”
(Az Zumar (39) : 14)
Sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam:
( إن الله لا يقبل من العمل إلا ما كان خالصا وابتغي به وجهه ) رواه النسائي والطبراني
“Sesungguhnya Allah tidak menerima amal seseorang kecuali apabila amal itu ikhlas dan mencari redha Allah.”
Fudhail bin Iyadh menyatakan, “Meninggalkan perbuatan kerana manusia adalah riya’ dan melakukan perbuatan untuk menusia adalah syirik, sedangkan ikhlas adalah Allah membebaskan kamu dari keduanya.”
Pengertian ikhlas
Ikhlas bermakna bersih dan murni daripada campuran. Imam Abu Hamid Al Ghazali menyatakan:
“Ketahuilah bahawa segala sesuatu mungkin akan dicampuri dengan sesuatu yang lain. Jika sesuatu itu bersih dan murni daripada campuran maka ia dikatakan suatu yang murni (khalis). Amalan yang bersih dan murni adalah amalan yang ikhlas.”
Firman Allah Subhanahuwata’ala:
“Iaitu berupa susu yang bersih antara tahi dan darah, yang mudah ditelan bagi orang-orang yang meminumnya.”
( An Nahl (16) : 66)
Dari ayat di atas, bermaksud susu itu murni dan bersih apabila tidak bercampur dengan tahi dan darah.
Justeru itu niat yang ikhlas ialah melakukan sesuatu amalan semata-mata mencari kerdhaan Allah Subhanahuwata’ala, tanpa dicampuri dengan syirik, samada syirik khafi (tersembunyi) atau syirik jali (jelas). Dan, tanpa dicampuri dengan keinginan nafsu, keuntungan duniawi, pangkat, harta, populariti, inginkan pujian, takutkan cacian atau lain-lian dorongan yang boleh dihimpunkan sebagai “melakukan sesuatu bukan kerana Allah Subhanahuwata’ala.”
Niat yang ikhlas ialah buah dari tauhid yang sempurna, iaitu mengesakan Allah. Ikhlas adalah lawan kepada syirik.
Imam Hasan Al Banna menyatakan :
“Ikhlas ialah setiap akh muslim mestilah mengharapkan keredhaan Allah dan ganjaran pahala daripadaNya. Semua perkataan, amalan dan jihadnya tidak memandang kepada sebarang keuntungan, kemegahan, gelaran, kemajuan atau kemunduran. Dengan itu dia menjadi tentera fikrah dan aqidah, bukan tentera yang mengejar keinginan atau manfa’at.”
Ikhlas boleh dicapai apabila seseorang itu bersungguh-sungguh membersihkan diri daripada kepentingan peribadi, mencari balasan duniawi dan ucapan terima kasih daripada manusia. Sebaliknya menjuruskan amalnya kerana Allah Subhanahuwata’ala semata-mata.
Firman Allah Subhanahuwata’ala:
“Dan mereka yang memberikan makanan yang disukainya kepada orang miskin, anak yatim dan orang yang ditawan. Sesungguhnya kami memberi makanan kepadamu hanyalah untuk mengharapkan keredhaan Allah, kami tidak menghendaki balasan daripada kamu dan tidak pula (ucapan) terima kasih.”
(Al Insan (76): 8-9)
Orang yang jauh daripada ikhlas kepada Allah subhanahuwata’ala ialah orang yang mengungkit-ungkitkan pemberiannya dan menyakitkan hati serta mendedahkan aib orang yang telah menerima pemberiannya.
Bukti amali orang yang memberi dengan ikhlas kerana Allah Subhanahuwata’ala ialah apabila dia dapat melupakan jasanya kepada manusia. Kemudian dia bergaul dengan mereka tanpa mengungkit-ungkit dan tanpa meminta penghargaan. Bahkan, apabila mereka melakukan kesalahan kepadanya, maka dia tidak mencela mereka dan tidak mengingatkan mereka akan jasanya yang lalu.
Seterusnya, orang yang ikhlas tidak mempedulikan seandainya kedudukannya tidak dihormati oleh manusia. Dia tidak bergembira apabila manusia mengetahui kebaikan amalnya dan dia tidak membenci manusia apabila mereka mengetahui keburukan amalnya. Baginya, yang penting ialah keredhaan Allah Subhanahuwata’ala.
Amal yang terbaik
Firman Allah Subhanahuwata’ala:
“Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya.”
(Al Mulk (67): 2)
Mengenai amal yang lebih baik, dari ayat di atas, Fudhail bin Iyadh menyatakan, “Ia adalah amal yang paling ikhlas dan paling benar”. Orang bertanya kepadanya, “Wahai Abu Ali, apakah amal yang paling ikhlas dan paling benar ?”. Dia menjawab, “Suatu amal yang ikhlas tetapi tidak benar maka tidak diterima. Jika ia benar tetapi tidak ikhlas, maka tidak juga diterima. Amal yang ikhlas ialah kerana Allah. Amal yang benar ialah yang mengikut sunnah (Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam).” Lalu beliau membaca firman Allah Subhanahuwata’ala:
“ Barangsiapa yang mengharapkan perjumpaan dengan Rabnya maka hendaklah dia mengerjakan amal yang saleh dan janganlah dia mempersekutukan sesiapa pun dalam beribadah kepada Rabbnya.”
(Al Kahfi (18) : 110)
No comments:
Post a Comment