Thursday, June 12, 2008

Dakwah & Keluarga

“Demi Allah wahai ibuku! Jikalau engkau mempunyai seratus nyawa. Dan nyawa itu keluar satu persatu dari tubuhmu, nescaya aku tetap tidak akan meninggalkan agama Islam.”


Ucapan inilah yang lahir dari keteguhan iman seorang pemuda bernama Sa’ad B. Abi Waqqash ra. Saat itu ibunya kehabisan cara memalingkan Sa’ad dari dari agamanya dan akhirnya melakukan mogok makan. Di waktu tersebut, Sa’ad hanya ada 2 pilihan; tinggalkan Islam atau ibu yang tercinta mati kerana nekad untuk tidak mahu makan. Dan ternyata Sa’ad dengan tetap pendirian dan keyakinan yang tinggi memilih Islam walau apa pun risikonya.


Kisah ini melatarbelakangi turunnya surah Luqman ayat 15:

Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya Engkau mempersekutukan denganku sesuatu yang Engkau tidak ada pengetahuan tentang itu, maka janganlah Engkau taat kepada mereka; dan bergaulah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan orang-orang yang kembali kepadaku (dengan Tauhid dan amal-amal yang soleh). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan.”


Kisah-kisah seputar anak dan keluarga dalam dimensi sejarah dakwah banyak berlaku. Untaian peristiwa yang seolah meninggalkan ikhtibar kepada kita betapa sebuah asas keutuhan dakwah seseorang tercetus dari keluarga atau boleh jadi berlaku sebaliknya iaitu tentangan besar yang menghalangi kita kepada dakwah. Inilah di antara hikmah Allah swt. mengirim Rasul-Nya Muhammad saw. untuk memulai tahapan dakwah yang pertama ditujukan kepada keluarga terdekat baginda saw.


”Dan berikanlah peringatan kepada keluargamu yang terdekat.” (Asy-Asyua’raa:214)

Selain kisah Sa’ad Abi Waqqash, masih ada kisah Mus’ab B. Umair ra. Salah seorang sahabat Rasulullah saw. yang merupakan seorang pemuda yang memiliki imej bangsawan dan berprestij di bumi Mekah, namun kerana memilih Islam, beliau di usir oleh keluarganya dari rumah dan di pulau oleh kaumnya kerana dia memilih Iman. Lain pula dengan Zubair bin Awwam ra. yang diikat dan di salai di atas perapian tanpa makan dan minum oleh bapa saudaranya juga kerana iman.


Namun perlu diingat, dalam dakwah, tidak semua kisah-kisah perjalanan dakwah di antara anak dengan ahli keluarganya berputar di sekitar pemberontakan atau perseteruan apabila dia memilih Islam. Sejumlah kisah lainnya juga mengkhabarkan kepada kita keberhasilan dakwah dalam keluarga atau mengilhamkan kepada kita kejayaan dan sikap bijaksana seorang anak menghadapi keluarga (orang tuanya) meskipun belum mencapai keberhasilan dakwah yang sempurna. Bahagian inilah yang patut menjadi bahan renungan kita. agar kita terus komited dan sabar dalam menjayakan misi dakwah kepada ahli keluarga kita walaupun masih belum kelihatan keberhasilannya.


Keberhasilan dakwah dalam keluarga itu seperti keberhasilan Ammar B. Yasir r.a mengislamkan kedua orang tuanya, bahkan hingga tahap mereka rela mempertahankan iman mereka dengan nyawa (syahid). Abu Bakar Shiddiq r.a yang juga berhasil mengislamkan ibunya. Thufail B. Amr ad Dausi ra. berjaya mengajak isteri dan kedua orang tuanya bahkan kaumnya ad Dausi memeluk Islam. Atau kejayaan Sa’ad B Mu’adz, salah seorang sahabat Anshar dan Abu Dzar al-Ghifari yang juga berhasil mendakwahkan kaumnya untuk menerima Islam.


Suri teladan kita di lipatan medan dakwah kepada ahli keluarga, sudah tentu yang mewarisi sikap bijak dalam hal tersebut adalah Rasulullah saw. Walaupun Baginda saw. tidak berhasil dakwahnya kepada bapa saudaranya, Abu Talib. Kita mengetahui bahawa Nabi saw. tidak sempat mengimankan bapa saudaranya, namun seperti mana yang kita ketahui ternyata Abu Talib memiliki saham yang cukup besar di saat-saat awal dakwah Islam. Serah inilah yang mesti kita fahami dalam bingkai pemikiran kita iaitu sikap bijak Rasulullah saw. dalam mengoperasikan misi dakwahnya yang tidak kenal henti dan perilaku yang tetap harmoni dalam menjaga hubungan baiknya terhadap bapa saudaranya. Walaupun dari sisi komitmen keimanan bapa saudaranya tidak berhasil diterapkan, tetapi ia tidak menjadi unsur penghalang bagi dakwah baginda saw.


Secara fitrah, tanpa harus diperintahkan sebenarnya rasa hormat dan kasih sayang itu telah ada di jiwa seorang anak kepada orang tuanya dan ahli keluarganya. Di sinilah seorang aktivis dakwah diharapkan mampu menempatkan sikap, diri dan mengendalikan operasi dakwahnya agar berhasil dan memungkinkan perjalanan dakwahnya tidak terhalang atau tersekat.


Berikut 7 panduan dalam mengoperasikan dakwah kepada keluarga:


  1. Baca situasi dan karektor keluarga.

Harus memahami latarbelakang keluarga, apakah keluarga kita seperti keluarga pendidikan, keluarga usahawan atau perniagaan, pekerja kasar, atau keluarga ketenteraan, keluarga nelayan atau berjawatan profesional, keluarga beradat atau mewarisi sikap tradisional lama, keluarga bersosial dan modenisme.


  1. Pelajari sejarah keluarga

Sebagai langkah awal, kita telaah mengapa keluarga kita begini atau begitu. Ini akan dapat memahamkan kita bentuk apakah pendekatan terbaik untuk kita mulai dakwah kita agar kita dapat memulakan dengan perkara yang tidak mereka sukai atau menyinggung rasa hati mereka.


  1. Skala keutamaan dalam berdakwah

Selidiki dan fahami, siapakah yang selayaknya kita mulai dakwah kita, samada mereka yang memegang peranan terpenting dalam keluarga agar dapat membantu kita menangani anggota yang lain, atau kita mulai di kalangan yang simpati dan tersentuh lebiha awal dengan sahsiah dakwah dan praktikal hidup islami yang kita tonjolkan.


  1. Pahatkan dalam ingatan Ayat Al Quran berikut:

”Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” (QS:66:6)

Sedarilah bahawa kita adalah sebahagian dari ahli keluarga, dan siapa yang akan peduli dengan situasi keluarga kita kalau bukan anggotanya sendiri. Apatah lagi hanya anggotanyalah yang paling memahami keadaan sebuah keluarganya.


  1. Mawadah Wa Rahmah

Kenyataan di atas harus selalu dilaksanakan dalam berdakwah kepada sesiapapun dalam ahli keluarganya, Secara fitrah, suda ada ikatan kasih sayang antara keluarganya, justeru ajaklah mereka kepada jalan-jalan mawadad wa rahmah sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah saw pada keluarga baginda.


  1. Pasukan sokongan

Jika memang diperlukan, tidak ada salahnya kita memperkenalkan keluarga kita dengan teman-teman seperjuangan, namun terlebih awal dimaklumkan kepada sahabat kita akan situasi keluarga kita dan misi kehadiran mereka adalah untuk menjayakan misi dakwah dalam keluarga kita. InsyaAllah pendekatan ini amat efektif apatah lagi sahabat yang kita bawa terserlah ciri da’ie yang ikhlas dan tinggi taqarrub mereka kepada Allah swt.


  1. Jangan patah semangat,

Kriteria ini amat penting buat seorang da’ie. Apalah erti kasih dan sayang hanya kerana ikatan darah, tanpa diiringi dengan ikatan aqidah. Dan perlu jadi renungan, apakah kita sanggup berhadapan dengan keadaan di akhirat nanti kita melihat orang-orang yang kita sayangi beriringan menuju neraka Allah kerana saat di dunia kita tidak berhasil di seru untuk taat pada sang Khaliq.

Tanamkan dalam hati agar tidak cepat putus asa dalam melangkah, meskipun hasil yang diperolehi jauh dari harapan. Azamkan terus niat membentuk keluarga Islami, kalau dalam saat ini belum berhasil, insyaAllah saat kita menjadi ketua, pemimpin dan tonggak dalam keluarga, maka bentuk dan didiklah para ahli keluarga di bawah kita secara lebih Islami.

No comments:

Post a Comment