Thursday, October 23, 2008
Kewajipan Merancang Perwarisan Harta Islam
Kewajipan Merancang Perwarisan Harta Islam
Nor Hartini Bt. Saari
Pegawai Penyelidik
Umat Islam sedia maklum bahawa harta adalah satu tuntutan fitrah manusia. Dengan harta, seseorang itu boleh hidup dengan hati senang, dan sudah tentu keluarga akan bahagia dan gembira. Di dalam Al Quran, surah Al Kahfi ayat 46, telah menjelaskan bahawa antara perhiasan manusia di dunia ialah keinginan kepada pasangan, lelaki atau perempuan, keinginan untuk beranak pinak, kenderaan, emas, perak, binatang ternakan, ladang dan sebagainya. Apa yang dinyatakan ini disebut sebagai harta. Sehubungan itu, dalam meneruskan kelangsungan hidup ini, perancangan perwarisan harta amat penting diberi penekanan. Namun, berapa ramaikah umat Islam hari ini yang menyedari betapa pentingnya perwarisan harta Islam ini?
Sedar atau tidak, dalam sistem perwarisan ini sudah wujud sejak 1400 tahun dahulu. Tetapi malangnya masih ramai lagi umat Islam sendiri yang tidak dapat memahaminya. Akibatnya harta yang sepatutnya menjadi punca kebahagian keluarga itu bertukar menjadi satu perbalahan, pertelingkahan dan pergaduhan dalam keluarga berkenaan. Jika dilihat kepada perangkaan yang dikeluarkan, berkaitan nilai hartanah Melayu, yang tidak dapat diselesaikan perwarisannya adalah dianggarkan sebanyak RM 38 billion. Manakala jumlah wang yang tidak dituntut (registrar of unclaimed money) ialah sebanyak RM1.8 billion dan jumlah yang tidak dituntut kerana tidak selesai perwarisannya terutama yang berada di bawah Caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), koperasi-koperasi, Lembaga Tabung Haji (LTH) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) adalah sebanyak RM 70 juta.
Mengapa keadaan ini masih berlaku, jika umat Islam hari ini dikatakan bijak dalam membuat perancangan membabitkan harta pusaka? Mungkinkah kejahilan waris itu sendiri mengenai aliran pengurusan harta pusaka atau kejahilan waris mengenai hukum harta pusaka dari segi agama, antara sebab utama kenapa harta pusaka masih tertunggak dengan nilai yang tinggi di Malaysia sehingga menjadi penghalang kepada kemajuan negara atau adakah disebabkan oleh birokrasi dan kelemahan sistem penyampaian dalam menguruskan dana-dana ini kepada pewaris?
Dalam menghadapi keadaan ini, perancangan adalah kunci utama dan teras kecemerlangan sama ada dalam urusan duniawi mahupun ukhrawi. Hakikat kewajipan merancang ini, sebenarnya telah dinyatakan menerusi firman Allah S.W.T, dalam surah Yusuf ayat 47-48, menjelaskan kepada kita bahawa bagaimana persediaan yang telah dilakukan oleh Nabi Yusuf, bagi menghadapi musibah pada masa akan datang yang melibatkan perancangan harta yang baik. Sebagai contoh, dalam melakukan perancangan ini institusi kekeluargaan terutamanya ibu bapa bolehlah mencarum kepada pelan-pelan Takaful seperti pendidikan dan siswa untuk persediaan pembiayaan pelajaran anak-anak pada masa hadapan.
Apa yang penting sebagai umat Islam, kita boleh menggunakan faham perancangan dan persediaan ini dalam kehidupan harian. Ini kerana, persediaan atau perancangan yang rapi dan teliti dapat mengelakkan diri daripada masalah yang bakal berlaku pada masa hadapan. Namun timbul persoalan di fikiran kebanyakan umat Islam hari ini, mengapa perlunya perancangan perwarisan harta ini? Tambahan pula, negara kita telah ada sistem faraid yang menentukan agihan pusaka. Jika dilihat faham seumpama ini wujud akibat tahap kesedaran dan pengetahuan umat Islam berkenaan perwarisan harta yang masih rendah.
Tidak dinafikan, pada zaman dahulu, terdapat sebilangan umat Islam yang membuat perancangan harta sebelum meninggal dunia, tetapi tidaklah secara rasmi dalam bentuk sebagaimana yang ada pada hari ini. Ketika itu mereka lebih banyak menyatakan hasrat hanya secara lisan. Walaupun menurut ulama-ulama zaman silam, perancangan sebegini dibenarkan dalam agama, namun ianya masih menimbulkan pertikaian sesudah kematian waris tersebut kerana tiada bukti untuk pengesahan.
Oleh itu, kewajipan kita sebagai umat Islam dalam membuat perancangan perlulah diterapkan dalam jiwa dan akal fikiran umat Islam hari ini. Adalah diakui, perancangan perwarisan lazimnya di pandang remeh oleh masyarakat. Ada juga beranggapan bahawa perancangn ini hanya sesuai bagi mereka yang berpendapatan lumayan, berharta dan bagi yang lanjut usianya. Mungkin disebabkan kurang kefahaman dan kesedaran ini menyebabkan terdapat banyak nilai hartanah orang Melayu di negara kita yang masih lagi tertunggak hingga kini.
Selain itu, tidak dinafikan bahawa, masih ramai umat Islam di negara kita masih belum memahami dan menghayati tentang perancangan perwarisan ini. Sebagai umat Islam kita sebenarnya harus mengetahui hukum-hukum dan hal-hal yang berhubung dengan perwarisan harta ini. Di samping itu, perlaksanann undang-undang dan sistem pentadbiran perwarisan yang sedia ada juga masih mempuyai ruang untuk diperkemas dan diperkasakan lagi. Sebagai contoh, mewujudkan sistem Pendaftar Wasiat Malaysia yang memudahkan orang ramai untuk mendaftarkan wasiat mereka. Dengan adanya sistem ini, maka pewaris boleh menentukan dengan pasti samada wasiat dibuat atau tidak. Oleh itu, dengan adanya kefahaman dan kesedaran di kalangan umat Islam, nescaya sedikit sebanyak ia dapat membantu merungkai permasalahan daripada terus berlaku pertelingkahan dan perselisihan faham antara ahli keluarga.
Apa yang perlu diberi perhatian juga, sebagai pekerja yang membuat caruman dalam KWSP, mereka berkewajipan membuat perancangan dalam menamakan pewaris. Kegiatan penamaan bukan sahaja melibatkan KWSP malah mereka yang mempunyai simpanan dalam Lembaga Tabung Haji (LTH), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan mana-mana koperasi yang dimasuki juga perlulah dilantik penama tersebut. Hal ini penting dari sudut pentadbiran harta, di mana perlantikan penama dapat memudahkan agihan pencarum itu nanti. Jika tidak dilantik, ia sukar untuk mengeluarkan caruman tersebut. Sebabnya apabila seseorang itu meninggal dunia hartanya akan dibekukan. Malah jika ini diabaikan ekonomi negara kita juga tidak dapat berkembang dengan lebih pesat kerana ia bersifat jumud.
Begitu juga dengan peranan yang dimainkan oleh pihak tertentu terutama, badan amanah sama ada kerajaan mahupun swasta. Tangunggjawab mereka dalam menerangkan kaedah membuat pewarisan ini sangat penting dalam memberikan penjelasan yang mendalam dan telus dalam hal ini. Sebagai pihak yang diamanahkan mereka perlulah menjelaskan kepada umat Islam peranan kepentingan merancang perwarisan dan perkhidmatan pengurusan harta pusaka yang dijalankan dan bukan sekadar menjelaskan kepada umat Islam bagaimana membuat wasiat yang murah sahaja.
Kesimpulannya, sebagai umat Islam kewajipan merancang perwarisan harta Islam haruslah dibuat dengan bijak dan teliti. Amalan yang dinamakan perancangan perwarisan harta ini bukan hanya sekadar mengumpul, mengurus dan melindungi harta semata-mata, sebaliknya harta dan kekayaan yang dimiliki harus dipastikan dapat diwarisi dengan sebaik-baiknya tanpa menimbulkan kesulitan kepada waris yang layak menerimanya. Justeru, sebagai umat Islam, persediaan merancang pewarisan harta ini perlulah dilakukan segera kerana ajal dan maut adalah ketentuan Ilahi. Apabila tiba masanya ia tidak akan dilewat ataupun dipercepatkan walaupun sesaat.
bagaimana saya boleh memiliki buku tersebut?
ReplyDelete