Sesungguhnya kemuliaan dan ketinggian darjat manusia yang membezakannya dari seluruh manusia adalah terletak pada kesediaannya untuk mengenal Allah S.W.T. dengan hatinya dan membukti pengakuan hatinya ini dengan amal perbuatannya.
Ia beriman dengan Asma’ Allah al-Husna (Nama-Nama Allah Yang Baik) dan dengan melakukan segala yang diperintahkan oleh Allah S.W.T. serta meninggal segala larangan-Nya.
Ma’rifatullah merupakan hiasan kesempurnaan dan kebanggaan manusia semasa di dunia dan bekalan untuk di hari akhirat kelak. Tanpa mengenali Allah S.W.T. dan beriman kepada-Nya manusia akan kelitan terhina dan tidak sempurna sifat kemanusiaannya. Di akhirat kelak mereka akan memperolehi azab yang menghinakan.
Realiti sekarang kebanyakan manusia mendakwa telah mengenal Allah S.W.T. dan menghafal Nama-Nama-Nya. Tetapi dalam kehidupan mereka, dalam tindakan pemikiran mereka, memperlihatkan sebaliknya. Walaupun mereka menyatakan Allah S.W.T. itu Malik al-Mulk (Raja Segala Raja), tetapi kita melihat orang-orang ini menyerahkan diri mereka untuk dipimpin, diperintah oleh nilai dan hukum Taghut. Mereka mengatakan bahawa Allah S.W.T. itu Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya (Allah Basir Bi al-’Ibad) tetapi dalam tindakan mereka tidak segan silu untuk malakukan ma’siat terhadap Allah S.W.T.. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
“Mereka tidak mengenal Allah dengan sebenar-benarnya. Sesungguhnya Allah itu Maha Kuat lagi Maha Perkasa.” (Surah al-Hajj: ayat 74).
Sekiranya kita perhatikan realiti hidup para sahabat Rasulullah S.A.W., generasi Islam yang pertama, kita lihat hakikat Ma’rifatullah ini benar-benar menguasai hati dan tindakan mereka. Hati mereka benar-benar dikawal dan dipimpin oleh Ma’rifatullah.
Pernah Amir al-Mu’minin, ‘Umar al-Khattab bertemu dan bertanya pada seorang budak pengembala kambing: “Kambing-kambing siapakah ini?” Jawab budak tersebut: “Kambing-kambing ini milik tuan saya.” Tanya ‘Umar: “Boleh saya membeli beberapa ekor dari kambing-kambing ini?” Jawab budak pengembala tersebut: “Kambing ini bukan saya yang punya, maka saya tidak berhak untuk menjualnya.” Kata ‘Umar: “Bukankah kambing-kambing ini banyak, sekiranya kamu jual seekor kepadaku, tuanmu tidak akan tahu kehilangan seekor itu, lagi pun tuanmu tiada di sini.” Jawab budak tersebut: “Kalau begitu di mana Allah?”. (Maksudnya bukankah Allah S.W.T. itu melihat segala kerja-kerja hambanya? Apakah kita tidak takut melanggar perintah-perintah-Nya?). Mendengar kata-kata budak itu, Amir Mu’minin menangis. Ia menangis melihat betapa hidupnya Iman budak itu. Betapa hati dan pemikiran budak pengembala itu dikawal dan dipimpin oleh Ma’rifah Asma’ Allah S.W.T., iaitu mengenal dan menyedari sifat-sifat Allah S.W.T..
Begitu juga kita perhatikan pergantungan mereka kepada Allah S.W.T.. Kita lihat bagaimana Abu Bakar as-Siddiq, seorang yang dididik di Madrasah Rasulullah S.A.W., yang dididik dengan wahyu-wahyu Allah S.W.T. dan keimanan penuh kepada-Nya. Ketika turun perintah-perintah Allah S.W.T., yang mengarahkan Rasulullah S.A.W. dan para sahabatnya bersedia untuk menghadapi tentera Rom di Tabuk, sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W. mula mengeluarkan harta benda mereka untuk bekalan jihad di jalan Allah S.W.T.. ‘Umar menderma separuh dari harta kekayaannya. Manakala Othman telah membekali sepertiga kelengkapan peperangan untuk tentera-tentera Muslimin. Tetapi Abu Bakr telah mendermakan semua harta benda dan kekayaan yang ada padanya. Dan apabila ditanya pada beliau: “Apa lagi yang tinggal pada diri dan keluarganya?” Beliau menjawab: “Aku tinggalkan Allah dan Rasul untuk diri mereka.”. Inilah contoh yang benar-benar memeperlihatkan hakikat hati seseorang mu’min yang bergantung kepada Allah S.W.T.. Hati yang benar-benar yakin dan sedar tentang sifat kekuasaan Allah S.W.T..
No comments:
Post a Comment