Dialog yang terjadi dengan orang-orang soleh, sentiasa penuh dengan nasihat, hikmah bahkan sindiran yang begitu kuat menancap di hati. Pengalaman penulis ketika berkesempatan menziarahi dai’e dan murabbi dakwah di tanah air tercinta, pasti akan beroleh bekalan yang dapat mendidik jiwa lantas iman menjadi tertingkat. Bahkan penulis pernah bermusafir dengan pakcik Rosdi baharom, murabbi penulis dalam satu perjalanan sekitar 3 jam memandu kereta. Sungguh air mata penulis bercucuran tumpah ke bumi sebaik berbual dengan beliau, nasihat santai dan susunan kisah-kisah para sahabat yang beliau nukilkan telah menggugah iman penulis dan merasai kekerdilan diri di hadapan Allah SWT. Suasana tersebut tidak dapat kita perolehi di luar sana lantaran masyarakat sibuk berbicara hal keduniaan berbanding hal keakhiratan. Bukanlah bermakna penulis mengatakan kita tidak perlu memikirkan dunia, kerana sang murabbi yang bermusafir bersama penulis itu bukan sahaja seorang pendidik jiwa, malahan seorang saintis berjaya di salah sebuah jabatan kerajaan. Kini bertugas di Kolej Teknologi Darulnaim. Kehidupan beliau penuh dengan kerja-kerja mendidik manusia, bahkan katanya hidupnya adalah untuk mewakafkan diri kepada dakwah dan tarbiah.
Penulis mengajak pembaca untuk kita mendekati satu kisah murabbi di zaman Tabi’in pula, suasana beliau bersama anak-anak didiknya perlu kita suburkan kembali, apatah lagi di zaman yang serba moden ini. Suatu hari satu soalan “mendidik” pernah diajukan oleh seorang soleh bernama Muhammad bin Wasi ’rahimahullah kepada orang-orang di sekelilingnya, “Apakah kalian hairan, jika kalian melihat seseorang menangis di syurga?” Orang--orang yang berada di sekitar Muhammad bin Wasi ’ menjawab pasti, “Tentu saja kami hairan wahai Syaikh.” Lalu Muhammad bin Wasi ’ mengatakan, “Seharusnya kita lebih hairan apabila melihat seseorang yang masih hidup di dunia, tertawa terbahak, sementara ia belum tahu bagaimana akhir perjalanannya di akhirat kelak...”
Kita, khususnya diri sang penulis begitu memerlukan dialog-dialog seperti ini. Dialog yang keluar dari lisan seorang soleh, dan langsung menyentak kesedaran. Muhammad bin Wasi ’rahimahullah yang mengucapkan nasihat begitu menusuk hati tadi, adalah seorang salafusoleh di zaman Tabi ’in yang terkenal kerana do ’a-do ’anya sering dikabulkan Allah swt. Ucapannya tadi, begitu menyentak hati kita yang selama ini sering terlena dengan kebahagiaan dan kesenangan dunia, dengan mengabaikan perhitungan bagaimana nasib dan keadaan kita di akhirat.
Ketahuilah, bahawa jerat syaitan yang paling berbahaya adalah ketika dunia begitu menguasai hati dan menguasai potensi seseorang. Hati yang sudah dipenjarai oleh dunia, akan menjadi longlai, lemah dan tidak mampu melakukan perhitungan apapun terhadap arah gelombang bisikan syaitan yang membuat seseorang terumbang ambing, tidak tentu arah. Dunia yang telah menguasai hati menjadikan seseorang lemah keinginan untuk terbang ke tingkat ubudiyah yang tinggi. Hati yang terkuasai dunia, menjadi lebih berat, malas, dan terbelenggu oleh kesalahan.
Jerat syaitan itu bernama ghaflah, yang ertinya lalai. Berapa sering kita terjerat oleh perangkap syaitan itu? Saat kehidupan begitu menyeret dan menjauhkan kita dari Allah swt. Sedikit demi sedikit. Sejengkal demi sejengkal. Hampir tak terasa. Sampai saat kita tersedar, ternyata kita sudah begitu jauh meninggalkan ketaatan. Ternyata, sudah terlalu jauh jarak yang kita buat antara kita dengan Allah swt. Sudah terlampau lama kita berpura-pura lupa dan melupakan Allah swt. Mungkin, ada sebagian kita yang selanjutnya tidak mampu lagi untuk kembali. Ini adalah kerana sudah terlalu nikmat merasakan keadaan yang telah dilalui. Saat kita, tidak bersedih lagi atas kelalaian yang dilakukan. Saat kita, tidak berduka lagi dengan dosa yang berulangkali kita lakukan. Saat kita, tidak lagi menangis dan sama sekali tidak menitiskan air mata atas kemaksiatan dan kedajalan yang dilakukan.
Itulah ghaflah, kelalaian. Itulah jerat syaitan yang paling berbahaya. Ghaflah, penyakit yang menjangkiti hati agar hati menjadi rela dengan kegawatan iman yang rendah, tenang dengan kemaksiatan, dan begitu mengikat mata dengan dunia. Tidak ada tempat lagi untuk akhirat. Renungkanlah firman Allah,
“...Dan syaitan telah menjadikan mereka memandang indah perbuatan-perbuatan mereka lalu menghalangi mereka dari jalan (Allah), sehingga mereka tidak mendapatkan petunjuk.” (QS.An Naml:24)
Mari memeriksa hati kita, andai kita terjerat oleh perangkap syaitan yang berbahaya ini. Bertanyalah saudaraku, tentang berapa banyak kita mengingat tentang solat malam yang kita tinggalkan dalam satu bulan, dalam satu tahun? Bertanyalah saudaraku, tentang berapa kali kita bermuhasabah dan merenungi kesalahan dan dosa, lalu kita bersedih atau menangisinya? Bertanyalah saudaraku, tentang berapa kali kita telah membaca dan mengkhatamkan Al Qur ’an seumur hidup? Berapa banyak kita mengajak dan mendorong keluarga untuk, setidaknya membaca dan mengkhatamkan Al Qur’an? Bertanyalah saudaraku, tentang seberapa rindu kita kepada syurga? Bertanyalah saudaraku, tentang berapa banyak kita memikirkan jarak yang membezakan antara hidup hingga titik kematian yang tidak pernah kita tahu bila datangnya?
Mari bandingkan pertanyaan-pertanyaan itu dengan pertanyaan lain. Bertanyalah saudaraku, tentang berapa sering kita berfikir untuk membeli pakaian dan aksesori rumah? Bertanyalah saudaraku, tentang berapa banyak kita berfikir untuk mencari pekerjaan tambahan untuk membiayai keperluan hidup yang tidak pernah ada habisnya? Bertanyalah saudaraku, tentang berapa kali kita mengingat dan menginginkan makanan yang enak dan nikmat? Bertanyalah saudaraku, tentang berapa sering kita memikirkan masa depan dunia kita?
Bagaimana kita menjawab dan membandingkan antara dua kelompok pertanyaan tadi? Mari buka jerat-jerat ghaflah yang melilit jiwa dan hati kita. Perhatikan dengan teliti, renungkan dalam-dalam, dosa dan kemaksiatan apa yang kita tinggalkan di hari ini, di hari-hari, bulan-bulan, dan tahun-tahun yang telah lalu? Lalu, bekal kebaikan apa yang sudah kita persiapkan untuk hari setelah mati?
Dengarkanlah lagi, sebuah dialog penuh nasihat dan sindiran yang menyedarkan antara seorang soleh, Hasan Al Basri, dengan seseorang yang ada di sampingnya. Saat pemakaman jenazah, Hasan Al Basri rahimahullah bertanya pada seseorang, “Menurutmu, jika dia kembali hidup di dunia, apakah ia akan melakukan amal soleh?” Orang itu menjawab, “Ya, pasti.” Hasan Al Basri menyambut perkataan itu dengan jawaban, “Jika ia sudah tidak mungkin hidup kembali di dunia untuk melakukan amal soleh, engkaulah yang seharusnya sekarang melakukan amal-amal soleh...”.
Ayuh, mari kita memberi masa kita untuk di didik, kepada yang telah berada dalam halaqah-halaqah pentarbiahan, jangan biarkan kehadiran anda dalam halalah semakin merosot dengan alasan anda merasakan ada urusan dunia lebih besar dari urusan masa depan anda di akhirat kelak atau merasakan sudah ada jaminan anda ke syurga nanti.
Kepada yang pernah ber”usrah” tapi telah lama ber”sara” dari menghadirinya, fikirkan kembali, apakah tindakan anda itu menambahkan iman atau sebaliknya… kepada yang belum pernah merasai sentuhan tarbiah dari halaqah-halaqah yang berjalan dan bertebaran di tanah air kita ini, dan berhajat untuk melalui proses mendidik jiwa, emailkan harapan anda ke alghazaliktd@gmail.com. Semoga Allah memilih kita untuk bersama-sama di didik dengan iman yang dinamik. InsyaAllah.
Jazakallah atas perkongsian ni..
ReplyDeletebaru je tadi berbual dengan seorang sahabat.. bahawa ramai kawan yang seronok berbual dengan kita tentang hal-hal duniawi, tapi tak ramai yang mahu dan hendak berbual tentang hal-hal ukhrawi..
hakikat dunia nie banyak betul tipu daya.. dan ramai yg terus terleka..
hanya dengan usaha yang sungguh2 sahaja kita mampu menghudpkan jiwa agar tidak terus terkulai layu..
Benar, malahan menurut Syeikh Said Hawwa, usaha mendidik jiwa perlu dilaksanakan apatah lagi dalam keadaan hari ini jiwa sentiasa dilukai dan dicemari dengan bi'ah yang tidak soleh, justeru proses tarbiah diri perlu terlaksana, samada dalam keadaan berlari (pantas), berjalan, merangkak hatta jika terpaksa mengensot, maka mengensotlah kamu.
ReplyDeleteSubhanallah...aku adalah yg tmasuk dlm kelompok lama x ke usrah..rasa berat dan malas... x tau knp..walaupun tahu hati rasa makin serabut.. Ya Allah..ampunkan aku... t kasih tuan penulis krn mengingatkan aku...
ReplyDelete