Sunday, December 14, 2008

Bekalan Sepanjang Hayat

Bekalan Sepanjang Hayat

Puteri-puteri Islam sejati!
Salam sejahtera diiringi limpahan rahmat dan kasih sayang Ilahi.
Seluruh pujian khusus buat Allah yang empunya segala kemuliaan dan keagungan.
Selawat dan salam buat arRasul Muhammad s.a.w serta para sahabat dan seisi keluarga baginda. Juga seluruh pendokong dan pencinta deen Islam sehingga datang hari perhitungan.

Puteri-puteri tercinta!
Sepanjang hayat kehidupan kita ini umpama satu perjalanan yang menuju matlamat jauh. Dipenuhi berbagai suasana, ada kalanya mudah adakalanya susah. Beserta onak, ranjau dan duri. Berhadapan pula dengan cabaran, rintangan juga halangan. Namun semua itu sudah menjadi lumrah kehidupan. Untuk itu kita memerlukan bekalan yang mencukupi dan mampu melindungi diri kita dari tergelincir ataupun tersesat di pertengahan jalan. Juga umpama memandu kereta dalam perjalanan jauh, kita perlu memastikan tidak kehabisan minyak secara tiba-tiba. Apabila terasa lesu, perlu berhenti rehat sebentar serta menambahkan bekalan untuk kenderaan dan diri sendiri. Justru itu kita berbicara dalam siri tazkirah ini untuk menyegarkan jiwa yang sentiasa diuji dengan berbagai ragam suasana. Semoga dengannya kita terpelihara dari sebarang bentuk penyelewengan dan kesilapan. Kini dengan izin Allah kita sampai kepada bekalan yang ke 5:
MENSYUKURI NIKMAT, MENYUBUR CINTA ILAHI

Puteri-puteriku yang dikasihi kerana Allah!
Setiap kali seseorang memberikan suatu barang kepada kita, begitu mudah kita lafazkan ucapan terima kasih. Apatah lagi jika yang diberikan kepada kita sesuatu yang kita sukai atau sangat diperlukan, bertalu-talu kita luahkan penghargaan. Tetapi, sedarkah kita… Allah Yang Maha Pencipta, yang mengatur dan mentadbir seluruh alam ini dengan menyediakan berbagai nikmat yang tidak terhitung, sangat sedikit ungkapan pujian yang kita curahkan. Sewaktu terlalai…, tergamak kita merasakan nikmat-nikmat tersebut kita perolehi hasil keupayaan ilmu kita sendiri. Astaghfirullah!... Kini sudah tiba masanya kita membina kesedaran berterusan sepanjang hayat semoga kita sentiasa bergerak di landasan kebenaran yang akan membawa kita sampai kepada matlamat keredhaan Allah. Semasa di dunia maupun di akhirat kelak.

Puteri-puteri Islam sejati!
Peruntukkan sedikit waktu untuk merenung dan berfikir…,
1. Tentang nikmat Allah kepada seluruh makhluk.
“Dan Dia telahmemberikan kepadamu keperluanmu dari segala apa yang kamumohonkan kepadaNya. Dan jika kamu menghitungnikmat Allah,tidaklah dapat kamumenghitungnya. Sesungguhnya manusia itu sangat zalim dan sangat mengingkari nikmat Allah”.(QS Ibrahim:34)

Antara nikmat-nikmat Allah yang mesti sentiasa diberi perhatian:
* Nikmat sebagai makhluk. (Q.S. 76:1-3)
* Nikmat sebagai manusia. (Q.S.95:4)
* Nikmat sebagai khalifah (Q.S.2:30)
* Nikmat sebagai Muslim (Q.S.5:3) dan nikmat Mukmin (Q.S. 48:18)
Kedua-dua nikmat ini merupakan nikmat terbesar antara seluruh nikmat-nikmat Allah.

2. Mengapa Islam dan Iman menjadi nikmat terbesar ?
Hayati maksud Firman Allah dalam surah Al-Maidah ayat 3:
“Pada hari ini telah Aku sempurnakan agamamu dan telah Aku cukupkan nikmatKu atasmu dan Aku redha Islam sebagai agamamu”.

Dengan Islam kita beroleh kebahagian, ketenangan dan ketenteraman. Melalui deen Islam kita beroleh pedoman hidup yang sempurna. Tanpa Islam segala-galanya tidak beerti, malahan bencana akan menimpa diri, anak-anak juga harta benda. Hidup manusia yang tidak beroleh petunjuk Islam sentiasa meraba-raba dalam kegelapan dan kekeliruan .

Manakala dengan Iman pula, kita dianugerahkan taufiq dan hidayah ke jalan ketaatan. Di samping itu kita sentiasa terpelihara dari sebarang kesesatan dan maksiat. Juga dilindungi Allah daripada halangan serta gangguan manusia, jin dan juga syaitan.
Oleh itu sentiasalah bersungguh-sungguh mentaati perintah Allah dan menjauhi perbuatan keji. Di samping mengerjakan amal soleh supaya menepati ciri-ciri muslim yang teguh iman.

3. Mengapa kita perlu bersyukur?
*Supaya berkekalan nikmat yang Allah kurniakan. Jika tidak disyukuri nikmat itu akan hilang.
*Supaya nikmat yang kita perolehi akan bertambah.

Sesungguhnya dengan bersyukur, kenikmatan akan kekal dan tetap menjadi milik kita. Sebaliknya apabila tidak disyukuri, nikmat akan hilang dan berpindah tempat. Dengan sentiasa bersyukur, nikmat akan bertambah kerana syukur merupakan pengikat nikmat.

4. Bagaimana membina rasa syukur dalam diri?
Pada hakikatnya bersyukur adalah menjaga diri dari perbuatan maksiat, zahir maupun batin. Secara sembunyi maupun secara terang-terangan. Syukur itu berhubung dengan hati, lidah dan anggota badan.

• Dengan hati ; berbuat baik kepada semua makhluk.
• Dengan lidah; melahirkan kesyukuran dengan puji-pujian.
Sabda Rasulullah s.a.w kepada seorang lelaki; “Bagaimana engkau pagi ini?”
Lelaki itu menjawab; “”Aku baik-baik saja”. Lalu Rasulullah mengulangi pertanyaan itu sehingga tiga kali, hingga lelaki itu menjawab; “Baik-baik saja. Aku panjatkan puji dan syukur kepada Allah”. Lalu Rasulullah berkata: “Inilah jawapan yang aku maksudkan dari kamu”.
• Dengan anggota badan ; menggunakan nikmaat untuk taat kepada Allah.
• Dengan mata ; menutupi cela orang Muslim lain yang terlihat oleh mata.
• Dengan telinga ; menjauhi dari mendengar perkara buruk.
Juga dengan lain perkataan, antara tanda terbina rasa syukur ialah ketaatan dan kepatuhan melaksanakan perintah serta menjauhi larangan Yang Maha Berkuasa.


5. Perhatikan juga kesan/hasil yang diperolehi dari mensyukuri nikmat-nikmat Allah.
Setiap usaha dan pemerhatian kita terhadap nikmat-nimat Allah tidak akan sia-sia, ianya akan menimbulkan kesan mendalam kepada watak, tingkah laku dan jiwa kita.
Antara kesannya;
• Hati dan jiwa kita menjadi lembut dan mudah merasai dhaifnya diri di hadapan Allah juga mudah meletakkan pergantungan kepada Allah.
• Menyedari Islam sebagai nikmat terbesar yang disertai ukhwah Islamiah, akan dapat menghindarkan hasad dengki dan permusuhan. Dengan itu hidup sesama umat Islam berlangsung dalam suasana harmoni.
• Menyedari diri kita dipenuhi segala macam nikmat dan kurnia Allah, segenap anggota badan mudah terdorong melakukan ketaatan di samping menjauhi maksiat.

Puteri-puteriku yang sentiasa gigih mengumpul kekuatan,
Dengan menyedari pentingnya hakikat mensyukuri nikmat tersebut, akan memperdalamkan lagi makrifatullah kita terhadap Yang Maha Pencipta. Tersingkap rahsia belas ikhsan serta melimpah ruahnya nikmat Allah kepada seluruh hamba-hambaNya. Maka akan terserlahlah betapa besarnya hajat kita kepada Allah setelah menyedari fakirnya diri kita. Dengan ini akan bertambah subur cinta Ilahi yang berputik di hati. Inilah juga bekalan yang dapat mendorong kita mengagungkan Allah. MengkagumiNya, menyembahNya dan mentaati titah perintahNya serta bersyukur kepadaNya. Hasilnya kita akan beribadah bersungguh-sungguh dan dengan sebaik-baiknya demi memperolehi keredhaanNya. Inilah bekalan yang kita hajati sepanjang perjalannan hidup yang bermatlamatkan kejayaan hakiki dan kebahgiaan akhirat.

Wassalam.
Ummu Anas
Ibu yang sentiasa mendoakan ketaqwaan kalian.

No comments:

Post a Comment