Monday, December 01, 2008

JANGAN BERDENGKI, SEBALIKNYA BERSAUDARALAH

HADITH: JANGAN BERDENGKI DAN BERSAUDARALAH


الحديث الخامس والثلاثون:

عن أبي هريرة رضي الله عنه قال: قال رسول الله (صلى الله عليه وسلم) : "لا تحاسدوا، ولا تناجشوا، ولاتباغضوا، ولاتدابروا، ولايبع بعضكم على بيع بعض، وكونوا عباد الله إخواناً، المسلم أخو المسلم لا يظلمه ولايخذله، ولا يكذبه ولا يحقره، التقوى ههنا -ويشير إلى صدره ثلاث مرات- بحسب امرئ من الشر أن يحقر أخاه المسلم، كل المسلم على المسلم حرام؛ دمه وماله وعرضه". (رواه مسلم)


Maksudnya:

Daripada Abu Hurairah Radiallahu ’anhu beliau berkata: Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah bersabda:


Janganlah kamu saling dengki mendengki, tipu menipu, benci membenci, belakang membelakangi antara satu sama lain. Janganlah sebahagian kamu menjual barangan atas jualan orang lain. Hendaklah kamu menjadi hamba-hamba Allah yang bersaudara. Seorang muslim adalah saudara bagi seorang muslim; dia tidak boleh menzaliminya, membiarkannya (dalam kehinaan), membohonginya dan menghinanya. Ketaqwaan itu di sini - sambil Baginda menunjuk ke dadanya sebanyak tiga kali - Cukuplah seseorang itu mendapat keburukan apabila dia menghina saudaranya yang muslim. Setiap orang muslim ke atas muslim itu haram darahnya, hartanya dan maruah dirinya.

Hadis diriwayatkan oleh al-lmam Muslim.



Pengajaran hadith:

1. Hadis ini menganjurkan cara hidup ummah atau masyarakat Islam agar tercapai keharmonian hidup. Iaitu cara hidup yang mempamerkan keluhuran budi dan kemuliaan akhlak.





2. lslam melarang umatnya dari saling hasad dengki, tipu menipu, benci membenci dan pulau memulau kerana semua sifat ini adalah sifat buruk yang hanya akan membawa kepada kerosakan, huru hara dan perpecahan ummah Islamiyah. Ummah akan hancur sekiranya setiap anggota mempunyai sifat-sifat buruk seumpama ini.



3. lslam juga melarang seseorang memotong jual beli saudaranya sehingga dia selesai membuat keputusan sama ada mahu meneruskan jual beli tersebut atau membatalkannya. Apabila jual beli itu dibatalkan, maka bolehlah dia menawarkan diri untuk berurus niaga. Etika ini diajar oleh lslam demi memelihara hubungan persaudaraan sesama muslim agar tidak timbul permusuhan akibat perbuatan memotong urusniaga orang lain.



4. Umat lslam digesa hidup sebagai hamba Allah yang bersaudara dengan masing-masing menunaikan hak saudaranya dengan sempurna. Antara hak saudaranya ialah bahawa dia tidak menzaliminya, tidak membiarkannya dihina, tidak membohonginya dan tidak mencerca atau menghinanya.



5. Cukuplah seorang mukmin mendapat kecelakaan apabila dia suka menghina saudaranya.



6. Taqwa adalah perkara tersembunyi yang ada dalam hati seseorang, ia bukannya suatu perkara yang boleh didakwa. Taqwa tidak seharusnya didakwa-dakwa semata-mata bahkan ia adalah perkara tersembunyi di hati. Namun taqwa itu dapat dikesan berdasarkan amalan dan akhlak seseorang kerana seorang yang bertaqwa hanya akan melakukan amalan soleh dan berakhlak mulia.

1 comment: