Thursday, April 16, 2009

Usaha Pembaratan Dunia Islam

Usaha musuh-musuh Islam untuk menyesatkan manusia dari jalan Allah swt. dan memalingkan umat Islam ke jalan yang merosakkan, semakin menjadi-jadi dan berleluasa di negara-nagara Islam. Pelbagai acara, kegiatan, program dan aktiviti yang melalaikan laris di serbu oleh umat Islam. Pesta muzik, pertandingan hiburan, gelek tarian, tayangan filem, pusat hiburan yang tumbuh bagai cendawan, publisiti keseronokan dan sejenisnya marak di mana-mana sahaja. Segala bentuk aktiviti kemaksiatan dan melalaikan kini di rubah menjadi simbol kemajuan, keharmonian dan kemodenan.

Fakta diatas memang terasa amat pahit dan menyakitkan untuk kita bicarakan. Cukuplah statistik dan paparan yang sering di bongkar oleh media massa dan media cetak menceritakan segala permasalahan di atas. Bahkan sering juga media massa dan media cetak menjadi penganjur kepada budaya keseronokan ala kebaratan ini. Implikasi gejala pembaratan yang sedang melanda kepada pembangunan ketamadunan umat Islam hari ini semakin membimbangkan. Identiti dan keperibadian muslim terhakis, larut dalam keperibadian dan cara hidup asing, acuan barat. Inilah yang di sebut oleh seorang ulama dan tokoh pemikir Islam terkemuka, Anwar Al Jundy sebagai Pembaratan di Dunia Islam. Musuh Islam sering menggunakan dua senjata utamanya, pendidikan dan media massa. Mereka berusaha sekuat tenaga menjadikan umat Islam kering dari nilai-nilai Islam.Secara terus terang dan intensif, mereka menanamkan nilai-nilai dan budaya jahiliah produk Barat ke dalam jiwa umat Islam.

Bagi menjayakan perancangan tersebut, langkah utama yang mereka usahakan adalah dengan menanam rasa rendah diri dalam jiwa kaum muslimin. Dengan provokasi yang sistematik di tanamkan suatu pandangan bahawa apa-apa yang datang dari Islam adalah kuno dan terkebelakang, menyusahkan dan sukar. Sedangkan apa yang di bawa dari luar, khususnya dari barat adalah moden dan tanda kemajuan.
Hasilnya hari ini kita boleh melihat terdapat sekalangan umat Islam yang merasa asing dengan nilai-nilai Islam dalam tradisi hidupnya.

Justeru kita perlu sedar bahawa yang terpampang di depan mata kita tidak boleh di pandang sebagai gerakan budaya semata. Sebaliknya ia merupakan gerakan terancang yang lengkap dengan misi dan para pendukungnya, baik berupa sistem, sasaran dan propaganda yang mereka bawa. Target akhir kepada misi mereka adalah perosakan aqidah umat Islam. Langkah awal dari perancangan jangka panjang itu adalah membuat umat Islam asing dan ragu terhadap ajaran agamanya sendiri. Pada saat yang sama, membiasakan diri umat Islam dengan cara hidup yang tidak Islami. Menanam ke dalam jiwa umat Islam merasa selesa dengan sistem hidup yang tidak Islami dan merasa gusar dan tidak selesa apabila Islam cuba tampil sebagai cara hidup yang sempurna dan lengkap.

Mengapa musuh-musuh Islam beriya-iya benar mahu menyesatkan umat Islam. Apakah tujuan sebenarnya usaha pembaratan umat Islam yang semakin bermaharajalela ini. Sudah pasti kita akan temui jawapannya melalui firman Allah swt. dalam ayat berikut:


Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (Wahai Muhammad) sehingga Engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika Engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah Engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.
(Al Baqarah: 120)


Antara strategi pembaratan terancang yang mereka lakukan, yang pertama adalah menghalangi tertegaknya kesatuan umat Islam dengan menanam fahaman kedaerahan dan kebangsaan.

Kedua, sistem pendidikan dualisme, iaitu memisahkan antara ilmu dan pemilik ilmu yakni Allah swt. Strategi ini merupakan tombak beracun yang menghujam ke dalam diri umat Islam.

Ketiga, melaksanakan sistem riba dalam ekonomi dan menghancurkan keberkatan harta kekayaan umat Islam.

Keempat, menutupi undang-undang Rabbani yang tercermin dalam syariat Islam, dan memaksakan undang-undang buatan manusia yang meruntuhkan akhlak dan menghancurkan kekeluargaan.

Kelima, merosakkan sendi-sendi kekeluargaan, merobohkan nilai-nilai sosial, mendorong masyarakat agar menerima nilai moral yang serba boleh dan terpecah belah, serta menghancurkan keperibadian manusia.

Keenam, memecah belahkan kawasan Islam dan menanamkan unsur-unsur asing di jantungnya.

Ketujuh, menuliskan sejarah Islam berdasarkan sudut pandang Barat yang berniat jahat dan materialistik.

Kelapan, menenggelamkan jiwa dan hati umat Islam dengan kekayaan dan kemewahan serta mematikan harapan umat Islam dengan kemiskinan dan kebuluran.

Kesembilan, menyebarluaskan semangat kebendaan, diawali dengan teori Darwin sebagai pintu menuju atheisme, menuju kepada penanggalan kesempurnaan Islam sebagai cara hidup yang menyeluruh dan sempurna.

Kesepuluh, merobek rasa kecintaan dan ukhwah sesama umat Islam sehinggakan umat Islam saling bertelagah dan berburuk sangka. Akibatnya umat Islam tidak mampu bersatu hati dan membawa satu suara yang padu dalam mempertahankan maruah dan hak milik umat Islam.

Kesebelas, mematikan bahasa Arab, kerana ia adalah bahasa Al Quran.

Kedua belas, memprovokasi kepada dunia dan Umat Islam bahawa golongan yang memperjuangkan Islam yang sebenar sebagai golongan pengganas dan merbahaya kepada dunia.

Ketiga belas, menaja pelbagai fikrah dan pemikiran Islam yang palsu dan memesongkan umat dengan kefahaman Islam yang sebenar, seperti pemikiran liberal, pluralisme, materialisme, positivisme, eksintensialisme, hendonisme dan lain-lain lagi. Akhirnya pemikiran ini dianuti oleh umat Islam dan meluaskan lagi perpecahan di kalangan umat Islam.

Keempat belas, memisahkan peranan Islam dalam aspek pembangunan ekonomi, politik, perundangan, kenegaraaan, akhlak kemasyarakatan, pengurusan dan pentadbiran, serta menyerang aqidah dan nilai-nilai yang di bawa Islam dalam hal-hal tersebut.

Kelima belas, menyuburkan perpecahan dan permusuhan di antara agama-agama dan ras-ras manusia.

Perlu ada langkah konkrit untuk kita menghadapi dan mengatasinya. Menurut Dr. Abdul Shabur Marzuq, dalam bukunya “ Al Ghazwul Fikri” menyarankan langkah-langkah yang perlu di tempuh umat Islam untuk menghadapi gerakan musuh-musuh Islam tersebut.

Pertama, menilai kembali semua kurikulum pendidikan di negara-negara Islam. Langkah ini penting kerana dari pendidikan inilah serangan pembaratan itu dimulai. Perlu ada kurikulum pendidikan yang tidak memisahkan di antara ilmu dengan pemilik ilmu iaitu Allah swt. Kurikulum yang mampu menanam kembali dalam jiwa anak-anak Islam memahami aqidah, syariah dan akhlak. Bukan kurikulum yang sekadar menjadikan Islam sebagai pengetahuan sahaja, tanpa melahirkan keyakinan dan pengamalan.

Kedua, perlunya strategi dakwah dan tarbiyah yang berintegrasi di kalangan umat Islam agar mampu memberikan pengarahan yang benar dan memiliki kefahaman serta jatidiri yang sebenar sebagaimana yang telah dibangunkan oleh Rasulullah saw dan para sahabat Nabi saw. Dengan kata lain, diperlukan suatu pola dakwah yang mampu memberikan sistem kekebalan (Al manaah) dalaman umat Islam dalam berhadapan dengan serangan dan racun pemikiran musuh-musuh Islam. Dalam masa yang sama, perlu ada keutuhan tarbiyah di kalangan umat Islam yang berjalan sepanjang masa agar dapat memberikan wawasan dan kefahaman Islam yang sebenar.

Adalah suatu kenyataan yang tidak dapat kita bantah, keberhasilan gerakan musuh-musuh Islam selama ini adalah kerana lemahnya sistem pertahanan dalaman (jiwa) umat Islam serta kekosongan akal dan roh mereka dari ajaran Islam yang sebenar.

Ketiga, umat Islam seharusnya memberikan perhatian lebih besar terhadap bidang media massa. Bahkan seharusnya umat Islam mempunyai institusi kewartawanan Islam yang sempurna dan lengkap, yang dikelolai tenaga-tenaga yang profesional yang ikhlas dan mampu menyingkap pelbagai bahaya tersembunyi yang diusahakan oleh musuh-musuh Islam.

Keempat, bagi membangun umat Islam agar memiliki kesatuan hati, umat Islam perlu memiliki jiwa mandiri dalam pelbagai aspek kehidupan. Kebergantungan kepada pihak luar, khususnya dengan musuh-musuh Islam samada dalam bidang ekonomi, ketenteraan dan pentadbiran telah menyebabkan kepimpinan Islam akur dengan kehendak dan kemahuan mereka. Ini akan menghasilkan kelemahan dan perpecahan. Lantas situasi ini memberi peluang kepada musuh-musuh Islam terus menerus menguasai halatuju umat Islam.

Akhir sekali, umat Islam perlu berhati-hati dengan sikap toleransi yang di taja oleh musuh-musuh Islam. Jangan sampai akibat terlalu bertoleransi dengan mereka, gerakan-gerakan merosakan aqidah dibiarkan begitu sahaja. Musuh-musuh Islam seringkali mengambil kesempatan terhadap istilah toleransi untuk menyuburkan gerakan anti Islam mereka.

Oleh: Mohd Razali Maarof (Ahli HALUAN Kelantan / Exco HALUAN Pusat)

No comments:

Post a Comment