Monday, May 11, 2009

Beriman Kepada Allah swt. Tanpa Ragu-Ragu

Firman Allah swt yang bermaksud:-


“Sesungguhnya orang-orang yang beriman hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasulnya kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta benda dan jiwa raga mereka pada jalan Allah, mereka itulah orang orang yang benar.”

- Al-Hujurat : ayat 49


Iman adalah tasdiq fil qalbi (membenarkan dengan hati ). Hati benar-benar yakin dan percaya kepada Allah dan rasul-Nya. Tasdiq atau keyakinan yang tidak bercampur syak dan tidak ragu-ragu. Juga tidak ada rasa tidak puas hati, rasa tidak layak, rasa lapuk dan rasa was-was terhadap din sistem Allah SWT atau terhadap hukum-hukum Allah SWT. Keimanan yang penuh yakin dan tidak goncang lagi.

Keimanan seperti inilah yang akan melahirkan jihad dengan harta benda dan jiwa di jalan Allah SWT.

Hati yang telah memiliki iman akan berasa puas hati, tetap dan mantap. Hati ini akan mendesak tuannya untuk melaksanakan perintah-perintah Allah SWT. Hati ini mendesak supaya dia melak­sanakan Islam di dalam diri, masyarakat dan realiti hidup. Inilah tanda iman yang sudah bertakhta di hati. Ia tidak jumud. Apa yang dirasakan di dalam hati mesti disepadukan dengan amalan-amalan hidup. Jika berlaku di dalam hati lain dan di luar lain maka itulah yang dinamakan nifaq.

Inilah iman yang hakiki. Iman yang tidak sabar-sabar lagi untuk berjuang dan beramal. Iman yang tidak rela atau tidak sanggup untuk memisahkan apa yang berada di dalam jiwa dengan amalan hidup harian.

Jika seseorang itu cuma mendakwa bahawa dia beriman kepada Allah SWT, tetapi masih ada peraturan-peraturan Allah SWT yang dirasakan tidak puas hati, tidak mahu dilaksanakan, rasa tidak sesuai, rasa sudah ketinggalan zaman atau rasa tidak perlu maka itu bukan iman yang hakiki kerana dia tidak menyatukan apa yang ada di dalam jiwa dengan tindakan di luar.

Sekarang, sebahagian besar praktik hidup masyarakat berjalan tanpa di pandu oleh iman. Mengapa terjadi sedemikian? Mungkin hati-hati mereka menerima syahadah, tetapi syahadah itu tidak masuk dan tidak meresap ke dalam hati. Jika sekiranya terdapat amalan-amalan yang berlawanan dengan ajaran Allah, maka itu bermakna apa yang ada di dalam hati dengan amalan dan tindakan luaran tidak dapat disatukan. Tindakan-tindakan yang salah itu menandakan iman yang lemah atau iman palsu. Ini kerana orang yang beriman pasti tidak sanggup memisahkan apa yang ada di dalam hati dengan apa ada di luar kerana pemisahan ini amat menyeksakan dirinya.

Itulah sifat orang yang beriman. Jika dia tidak dapat melaksanakan Islam dia akan berasa sakit dan tersiksa. Apabila wujud perasaan sebegini, barulah akan lahir usaha-usaha jihad. Dia akan mara ke hadapan bila-bila masa sahaja untuk berjihad dengan harta benda, jiwa dan amalan.

Itulah perasaan semulajadi atau dorongan semulajadi yang terdapat dalam jiwa orang yang beriman. Dia berasa perlu untuk melaksanakan tasawur Islam (gambaran Islam) yang terang benderang itu ke dalam jiwanya dan diterjemahkan ke dalam kehidupannya. Tasawur Islam cukup jelas dan terang dalam jiwanya. Tidak ada lagi satu ruang pun yang terselindung dan dia tidak sabar lagi untuk melihat Islam berjalan dalam kehidupannya.

Permusuhan antara orang mukmin dengan jahiliyah adalah permusuhan semulajadi yang terpancar daripada perasaan tidak sanggup lagi bersekutu dengan jahiliyah. Ia tidak sanggup lagi bercampur baur, bertolakansur atau berkompromi dengan jahiliyah. Sebab itu berlaku permusuhan antara Islam dengan jahiliyah. Kalau seseorang itu beriman tetapi dia tidak menolak jahiliyah, maka itu menunjukkan imannya sudah tidak berfungsi . Kalau dia seronok dengan jahiliyyah, hatta apabila melihat keluarga sendiri yang terlibat dalam jahiliyah dia masih membatu, maka ini adalah alamat yang jiwanya sudah berpenyakit.

Kita mestilah melawan jahiliyah. Jahiliyah cuma boleh di runtuhkan dengan iman. Iman tidak pernah bersatu dengan jahiliyah sehinggalah jahiliyah itu tunduk di bawah telunjuk iman.

Sesungguhnya iman pasti menang. Apabila kemenangan sudah berpihak kepada iman maka barulah Allah mengakui kita sebagai orang-orang yang benar iaitu As-Sadiqun. Iaitu orang-orang yang benar di dalam aqidah. Dakwaan juga benar sepertimana amalan.

Orang-orang yang beriman hanyalah orang-orang yang beriman dengan Allah dan Rasulnya, kemudian mereka ini tidak ragu-ragu. Mereka tidak ragu dalam semua hal yang di tanzilkan oleh Allah. Mereka tidak ragu dalam semua hukum dan amalan yang telah di tentukan oleh Allah. Ini iman yang benar, iman yang sahih dan iman yang mesti di praktikkan dalam kehidupan. Ia bukan hanya perkara yang boleh bermain di bibir, tetapi mesti berlaku dalam waqi’ harian.

Seseorang yang rasa ragu terhadap Allah, maka keraguannya itu dicerminkan dalam amalan hidup dalam berbagai-bagai bidang. Dia ragu terhadap hukum-hakam yang ditanzilkan Allah SWT dan ragu terhadap sunnah Rasullullah SAW.

Apabila seseorang menerima peraturan hidup yang lain daripada peraturan hidup Allah, maka itu bermakna dia ragu-ragu terhadap peraturan Allah. Jika seseorang mendakwa beriman kepada Allah tetapi masih minat, suka dan gerun kepada yang lain daripada apa yang Allah tanzilkan maka ini bukan sahaja dikira ragu-ragu bahkan dikira sudah meninggalkan iman.

Allah SWT peringatkan kita semua dengan ayat-ayat-Nya supaya kita sedar dengan perkara-perkara yang bolah memesongkan kita daripada iman yang sebenarnya. Dalam realiti sekarang, banyak perkara yang boleh meragukan dan memutarbelitkan kita. Oleh itu kita perlu tetapkan perjalanan tarbiyyah agar betul-betul berlandaskan apa yang telah ditetapkan Allah sehingga kita sampai kepada keyakinan yang bulat kepada sistem Allah, tanpa syak lagi.

No comments:

Post a Comment