Tuesday, May 05, 2009

Pesanan Tarbawi Buat Para Da'ie

Salam kasih sayang kerana Allah kepada para pembaca usrahkeluarga...

Imam Al-Banna berkata tentang erti Tsabat, ‘Berterusan akh itu bekerja dan berjihad di jalan mencapai matlamatnya, walau sepanjang mana tempoh dan silih berganti tahun demi tahun, hingga dia bertemu Allah dalam keadaan demikian dan dia telah menang dengan mendapat salah satu dari dua Kebaikan, samada Matlamat tersebut atau Mati Syahid di penghujungnya.

Firman Allah swt bermaksud, “Dari kalangan orang-orang beriman terdapat mereka yang benar janji mereka kepada Allah. Dari kalangan mereka ada yang telah Syahid. Dan sebahagian lagi masih menunggu dan mereka tidak menrubah sedikitpun janji mereka itu” (Al-Ahzab:23).

Pada kita, waktu adalah sebahagian dari rawatan (penyakit diri dan umat ini). Jalan ini panjang tempohnya, jauh fasa-fasanya, banyak halangan-halangannya, akan tetapi itulah satu-satunya Jalan yang menyampaikan kepada apa yang dituju, disamping beroleh pulangan yang besar dan pahala yang indah.

Betapa kita saat ini perlu untuk bangkit seperti bangkitnya umat dahulu; membawa tauhid yang murni yang dipersenjatai dengan ilmu yang tinggi, mengikuti warisan para nabi, menyeru dengan cara dialog dan kaedah serta pendekatan yang baik!!

Kejayaan generasi para sahabat yang dibentuk Rasulullah SAW dalam mengejar matlamat hidup bukanlah kerana mereka memiliki pelbagai wasilah dan alat kelengkapan yang cukup. Rahsia kejayaan mereka ialah keimanan sejati, kepatuhan maksimum terhadap titah perintah Allah SWT dan cita-cita mendalam untuk mendapat keredhaan serta pahala daripada-Nya. Inilah rahsia menyebabkan mereka bersedia penuh menyahut setiap hajat dan keperluan Islam dari masa ke semasa. Juga rahsia yang mendorong mereka berkorban dan bangun melaksanakan setiap tuntutan Islam tanpa rasa berat walaupun menghadapi pelbagai kesukaran.

Islam berhajatkan kerja-kerja da’wah. Maka tampillah para du’at yang jujur, berani dan sabar menyampaikan risalah Allah SWT melalui lisan dan contoh teladan meskipun menghadapi berbagai halangan dan tentangan daripada musuh. Mereka tetap meneruskan kerja-kerja da’wah tanpa takut atau mundur ke belakang.

Islam memerlukan pengorbanan harta benda. Maka tampillah mereka yang memiliki harta benda dan kekayaan, lalu menginfaq kepada Rasulullah SAW dengan penuh rela tanpa rasa bakhil atau sayang kepada harta benda itu. Hinggalah terdapat di kalangan mereka yang berkata kepada Rasulullah SAW, “Apa yang tuan ambil daripada kami adalah lebih baik daripada apa yang tuan tinggalkan.”

Islam berkehendakkan pengorbanan jiwa untuk mempertahankan kesuciannya daripada dicemari musuh. Maka berlumba-lumbalah mujahid-mujahid dan pejuang-pejuang Islam memberi khidmat suci demi menyahut panggilan Allah SWT. Sungguh banyak pengorbanan, sumbangan dan khidmat bakti mereka untuk kepentingan Islam semata-mata.

Semoga Allah berkati.. teruskan mendidik & berbakti dengan akhlak islami..

No comments:

Post a Comment