Tuesday, October 20, 2009
Muhasabah: Apa Peranan Kita (1)
Allah telah mengutuskan untuk kamu seorang pemimpin dan Dia gubalkan suatu sistem untuk kamu. Dia gariskan segala undang-undang dan Dia turunkan sebuah kitab. Dia halalkan yang halal dan Dia haramkan yang haram. Dia bimbing kamu ke arah yang baik untuk kamu dan kebahagiaan kamu. Dia pimpin kamu ke arah jalan yang betul. Namun adakah kamu mengikut pemimpin yang dilantik oleh-Nya? Adakah kamu hormati sistem-Nya? Adakah kamu laksanakan undang-undang-Nya? Adakah kamu sanjungi kitab-Nya? Adakah kamu halalkan apa yang dihalalkan-Nya dan kamu haramkan apa yang diharamkan-Nya?
Jawablah dengan terus terang dan kamu akan lihat kenyataannya di hadapan mata kamu. Semua sistem yang kamu guna pakai dalam seluruh urusan hidup kamu adalah sistem yang diikut secara membuta tuli tanpa ada kaitan langsung dengan Islam. Tidak bersumberkan Islam dan tidak berpandukan ajaran Islam.
Sistem politik dalam negara.
Sistem hubungan antarabangsa.
Sistem kehakiman.
Sistem pertahanan dan ketenteraan.
Sistem kewangan dan ekonomi yang dilaksanakan oleh negara dan individu.
Sistem pendidikan dan kebudayaan.
Malah sistem keluarga dan rumah tangga.
Termasuklah sistem yang berkaitan dengan tingkah laku individu.
Keseluruhan budaya yang diamalkan oleh pemerintah dan rakyat hari ini malah seluruh aspek kehidupan, keseluruhannya menyimpang jauh daripada Islam dan ajaran Islam.
Apakah yang masih ada?
Suatu hakikat yang perlu kita akui, hari ini wujud arus yang begitu kuat melanda umat Islam. Kini wujud gelombang besar yang sedang menenggelamkan fikiran dan akal kita kerana kealpaan kita, kerana umat Islam terlena, juga kerana sebahagian umat Islam tenggelam dalam kemewahan dan kesenangan... Akibatnya lahirlah pelbagai ideologi dan dakyah, berkembanglah pelbagai sistem dan falsafah. Tumbuhlah pelbagai tamadun dan peradaban. Semua ini menggugat ajaran Islam yang ada pada umat Islam. Malah umat Islam diserang sehingga ke akar umbi dari segenap arah.
Fahaman ini menyerang dari segenap sudut. Fahaman ini menyusup masuk hingga ke daerah, rumah dan tempat tidur mereka. Malah berjaya menguasai hati, fikiran dan perasaan mereka. Pintu terbuka untuk mereka memperdaya, mempesona dan menguasai umat Islam sedangkan semua ini tidak mampu dilakukan oleh orang lain sebelum ini. Seluruh umat Islam dilanda fahaman ini. Negara-negara yang selama ini menjadi teras kepada negara Islam yang lain juga turut terpedaya. Apatah lagi negara-negara Islam lain, mereka begitu terpengaruh dengan fahaman ini. Akibatnya lahirlah generasi yang kehilangan identiti dan lebih cenderung kepada yang lain daripada Islam. Merekalah seterusnya yang menentukan hala tuju umat ini. Mereka menerajui aspek pemikiran, kerohanian, politik dan pelaksanaan dasar.
Dengan ini mereka meneraju rakyat yang terlena ke arah yang mereka kehendaki malah ke arah budaya mereka. Malangnya rakyat sendiri tidak tahu apa sebenarnya yang mereka kehendaki dan ke mana hala tuju mereka. Lantas suara pendokong-pendokong ideologi sesat ini semakin lantang bersuara, kata mereka: “Bebaskan kami daripada saki-baki Islam dan warisan Islam yang masih ada. Marilah bersama kami dengan penuh rela hati untuk menikmati semua keperluan hidup, tanggungjawab, fikiran dan budaya dalam hidup ini. Ketepikan semua fikiran kolot. Jangan kamu menipu, hipokrit dan berdegil; kamu bertindak seperti orang Barat dan bercakap seperti orang Islam.”
Kita perlu sedar bahawa kita sebenarnya telah begitu jauh daripada ajaran Islam, jauh daripada asas dan landasan Islam. Islam tidak melarang kita mencedok apa yang baik atau menerima sesuatu ilmu walau dari mana sekalipun. Apa yang dilarang keras oleh Islam ialah kita meniru bulat-bulat mereka yang tidak berpegang sedikitpun kepada agama Allah. Apatah lagi apabila kita menolak ke tepi akidah, kewajipan dan undang-undang Islam, hanya semata-mata untuk mengikut jejak langkah mereka yang terpesona dengan dunia dan diperdaya oleh syaitan.
Memang benar ilmu, pengetahuan, dan cara pemikiran semakin maju, harta semakin bertambah, dunia semakin canggih, kehidupan di bumi semakin indah dan menarik. Manusia semakin mewah dan senang. Namun apakah semua ini membawa kebahagiaan kepada manusia? Apakah hidup mereka semakin aman atau jiwa mereka semakin tenang dan tenteram?
Adakah tubuh ini dapat merasa tenang berlabuh di atas pembaringan?
Adakah mata ini tidak lagi berlinangan air mata?
Adakah jenayah telah berjaya dihapuskan dan masyarakat terselamat daripada angkara penjenayah?
Adakah fakir miskin terbela dan berjuta-juta perut yang kebuluran kini kekenyangan?
Adakah semua tempat hiburan dan menyeronokkan yang tumbuh ibarat cendawan ini dapat menghilangkan kesedihan?
Adakah semua bangsa dapat menikmati kesejahteraan dan keharmonian serta selamat daripada ancaman musuh atau mereka yang zalim?
Tidak, tiada apa yang dapat dicapai. Jadi apakah kelebihan tamadun ini berbanding tamadun yang lain?
Malah bukan setakat itu sahaja.
Kita sendiri dapat lihat bagaimana segala sistem, ajaran dan falsafah termasuk dari segi sains dan statistik, semuanya saling bercanggah. Akhirnya mereka terpaksa melihat ke belakang dan menilai semula segala hasil yang sekian lama diusahakan serta segala pengorbanan yang telah dicurahkan dan terpaksa merasai keperitan akibat sebuah kegagalan.
Jadi, Apakah Peranan Kita???
Bersambung....
No comments:
Post a Comment