Tuesday, December 01, 2009

Bersegera Lakukan Kebajikan - Dari Medan Teori Ke Medan Amal


Nabi saw. ada bersabda yang bermaksud:
“Barangsiapa di antara kamu yang mampu memberikan manfaat kepada saudaranya, maka hendaklah ia bersegera memberikan manfaat kepadanya.” (Diriwayatkan Muslim dari Jabir r.a)

Mengapa Rasulullah saw. menyerukan agar kita bersegera dalam memberikan bantuan kepada orang yang memerlukan? Sudah tentulah seruan bersegera ini datangnya juga dari Allah swt. sebagaimana firman Allah swt. yang bermaksud:
”Maka berlumba-lumbalah kamu dalam pelbagai kebajikan.” (Al-Baqarah:148)

Melayani orang lain dan membantu keperluan mereka adalah termasuk daripada salah satu syarat yang harus dimiliki oleh seorang da’ie agar dakwahnya sampai kepada masyarakat. Seorang da’ie bukanlah radio yang sentiasa memutar ulang pelbagai konsep dan pemikiran semata, tetapi seorang da’ie wajib menterjemahkan pemikiran dan konsep kefahamannya dalam bentuk tindakan nyata. Salah satunya adalah dengan turut merasakan permasalahan dan kesusahan umat. Dan berusaha semaksima mungkin untuk ikut membantu dan menyelesaikannya.

Rasulullah saw bersabda:
”Barangsiapa yang tidur tanpa peduli terhadap permasalahan kaum Muslimin maka ia tidak termasuk golongan mereka.”

Memang benar bahawa kita tidak mampu memenuhi segala keperluan masyarakat , juga tidak mungkin kita mampu memberi khidmat kepada semuanya. Namun hal ini tidak boleh menghalang kita untuk melakukan sesuatu yang mampu kita lakukan. Malahan kita diwajibkan untuk membantu dan memberi khidmat kita pada masyarakat sesuai dengan batas dan kemampuan, selebihnya adalah akhlak yang terpuji, sepertimana yang disabdakan oleh Rasulullah saw:
”Kalian tidak akan mampu mencukupi keperluan manusia dengan harta kalian, kerananya cukupilah dengan akhlak kalian.”

Keimanan sebenarnya menuntut kita untuk mencintai saudara kita sepertimana kita mencintai diri sendiri. Hal ini hanya akan terealisasi tatkala kita berusaha dengan membantu dan turut serta menyelesaikan masalah dan keperluan mereka.

Demikian juga ukhwah, tidak akan teraplikasi di dunia ini kecuali dengan saling bantu membantu serta memenuhi keperluan mereka.

Justeru, da’ie yang sejati adalah da’ie yang hidup untuk orang lain dan bukan untuk dirinya sendiri. Sentiasa sensitif dan peka terhadap keperluan masyarakat dan orang-orang mukmin, dan bukannya pada kepentingan peribadi. Ia merasa bahagia tatkala dapat membahagiakan orang lain. Inilah yang dimaksudkan oleh Presiden HALUAN, merasa bahagia kerana dapat memberi.

Jika hal ini dapat kita laksanakan, maka akan terjalin hubungan yang erat antara da’ie dan masyarakat. Pada masa itu pengaruh da’ie akan sangat dirasai oleh masyarakat tersebut, sehingga dakwahnya membumi di hati masyarakat. Inilah yang dirasai oleh ahli-ahli HALUAN yang turun padang ketika kita mendidik berbakti di Misi Banjir Johor dan Pahang. Juga dipelbagai lagi misi dan projek kebajikan dan pendidikan yang kita jayakan. Masyarakat merasai kehadiran dakwah kita dan menuntut agar kita terus berkhidmat di bumi mereka.

Sebagai penutupnya, penulis hidangkan kepada anda, wahai relawan HALUAN yang dikasihi, pesanan Rasulullah saw kepada kita yang siap sedia mendidik berbakti:
”Seorang muslim adalah saudara bagi muslim yang lain, tidak menzaliminya dan tidak membiarkannya. Barang siapa yang memenuhi keperluan saudaranya, maka Allah akan memenuhi keperluannya. Barang siapa yang mengeluarkan seorang muslim dari kesusahan (di dunia) maka Allah akan mengeluarkannya dari kesusahan hari kiamat dan barang siapa yang menutupi aib seorang muslim maka Allah akan menutupi aibnya pada hari kiamat” (HR. Bukhari, Muslim dan Abu Dawud)

”Allah tidak henti-hentinya memenuhi keperluan seseorang, selama orang itu memnuhi keperluan saudaranya” (HR. Thabrani)

”Sesiapa yang memasukan kebahagiaan ke dalam penguni rumah kaum muslimin, maka Allah tidak rela memberinya pahala selain syurga” (HR. Thabrani)

Penulis ucapkan tahniah kepada sekretariat dan pasukan Misi Kemanusiaan Padang HALUAN yang diberi peluang mendidik dan berbakti di Pariaman, Sumatera Barat Indonesia akibat gempabumi. Segala perasaan dan pengalaman dikongsikan kepada ahli HALUAN dan masyarakat di sepanjang mereka di sana sehingga membangkitkan rasa tidak sabar kepada pasukan Misi seterusnya terjun ke medan amal.

Dalam masa yang sama, musim tengkujuh mula melanda negeri-negeri pantai timur dan utara Semenanjung Malaysia. Beberapa kawasan sudah mula di landa bah akibat lebihan hujan yang turun tanpa henti. Ini peluang kita beramal, berkongsi perasaan dan duka dengan mangsa-mangsa banjir.

Sempena Aidil Adha yang baru meninggalkan kita, pasukan misi ”korbankan lembu” HALUAN sibuk mengadakan program korban di seluruh neara termasuk di perkampungan orang asli di Malaysia, program korban di Kemboja dan di perkampungan gemba bumi Padang Indonesia.

Manakala pasukan bantuan HALUAN untuk rakyat Palestin juga khabarnya baru pulang dari menziarahi perkhemahan pelarian Palestin disamping membawa bantuan dan sumbangan rakyat Malaysia.

Syabas para relawan HALUAN, teruskan memberi khidmat. Ayuh relawan HALUAN, khidmat anda masih diperlukan oleh masyarakat. Mari kita sertai gerombolan generasi yang bahagia berkerja untuk ummah. Mari kita menjadi generasi yang bersedia memberi khidmat tanpa di minta. Mari kita dekati masyarakat di saat-saat mereka memerlukan pertolongan kita.

Selamat mendidik dan berbakti dengan akhlak maknawiyah. Semoga kita tergolong dalam golongan yang benar-benar bekerja di medan dakwah dan tarbiyah.

Sumber

No comments:

Post a Comment