Tuesday, January 19, 2010
Isu Kalimah Allah
Saya hanya paparkan kesimpulan daripada perbincangan yang panjang dari sebuah kertas kerja (25 m/s)di sini untuk tatapan pembaca budiman:-
6.1 Berasaskan perbincangan-perbincangan tersebut, ternyata bahawa pihak Kristian menggunakan metode penghujahan bahasa. Namun, oleh kerana kita menghujahkan hakikat bahawa bahasa dan fikiran adalah saling mencerminkan satu sama lain, sebarang istilah dari satu tradisi pemikiran, apabila diterjemahkan perlulah membayangkan tradisi pemikiran yang asal, jika tidak makna sebenar peristilahan yang diterjemahkan akan menjadi kacau bilau. Dalam hal ini, mereka menghujahkan bahawa menurut tradisi pemikiran Katholik, istilah “God” diterjemahkan dalam bahasa Melayu sebagai “Allah”, satu kalimah yang mencerminkan tradisi pemikiran Islam. Justeru itu, makna sebenar istilah asal “God”, seperti tergambar dalam tradisi pemikiran Katholik dengan sengaja sedang dikelirukan.
6.2 Tuntasnya, pihak Kristian tidak memiliki hak atau keizinan untuk menterjemahkan peristilahan yang terdapat dalam satu tradisi pemikiran akidah agama dengan menggunakan ungkapan-ungkapan tradisi pemikiran akidah agama yang lain, khususnya ungkapan-ungkapan yang merujuk kepada siapa itu Tuhan yang tidak ada faham tasdiqnya dalam tradisi agama Kristian. Rasa hormat perlu diperlihatkan kepada istilah-istilah penting dan erti-erti maknawi yang mencerminkan agama Islam dalam bahasa Melayu, persisi sikap orang Islam yang menghormati istilah dan faham dasar agama Kristian. Masyarakat Muslim Malaysia tidak merujuk tempat pemujaan non-muslim sebagai masjid, tetapi sebagai gereja, kuil, candi dan sebagainya. Masyarakat turut tidak menganggap pemimpin sembahyang berkumpulan non-Muslim sebagai imam, melainkan selaku paderi, sami dan seterusnya. Namun, atas dasar toleransi beragama, masyarakat Muslim Malaysia tidak menafikan hak mana-mana golongan penganut agama lain menterjemahkan buku suci masing-masing dalam bahasa Melayu. Cuma, seandainya ada yang hendak berbuat demikian, maka golongan tersebut mestilah memiliki ilmu dan keahlian mengenai bahasa Melayu, cukup berdaya cipta dan kreatif untuk menggunakan peristilahan yang benar-benar mencerminkan tradisi pemikiran akidah agama masing-masing.
6.3 Sehubungan dengan itu, adalah wajar bagi pihak gereja Roman Katholik dan seumpamanya untuk bersikap lebih teliti, waspada, berhati-hati dan memahami sensitiviti warga Muslim Malaysia dan dunia.
6.4 Secara umumnya dan ilmiahnya, adalah harus kepada non-Muslim menggunakan kalimah Allah kerana kalimah tersebut adalah milik umat manusia sejagat. Namun persoalan di sini bukannya boleh atau tidak boleh non-Muslim menggunakan kalimah Allah. Namun, persoalan di sini ialah sejauh mana telusnya penggunaan kalimah Allah oleh pihak gereja dan Kristian yang secara halusnya cuba memplagiat kalimah Allah dengan maksud tidak lagi menjaga kualiti kalimah tersebut sebagaimana yang ditegaskan Islam dan al-Qur’an tetapi dengan maksud cenderung kepada memperlihatkan falsafah ajaran Kristian. Ini dilihat telah mencabuli hak worldview Islam di Malaysia dan sekaligus boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian. Perkara ini wajar dipertahankan agar kalimah Allah tidak digunakan dengan maksud yang berbeza daripada worldview Islam.
6.5 Umat Muslim Malaysia wajar memahami perpaduan dan keharmonian nasional adalah penting. Namun, jati diri tidak boleh digadai dan dijual beli. Akidah Tauhid adalah dasar dan tunjang umat Muslim yang wajib dipertahankan. Umat Muslim wajar mengetahui perbezaan adalah penting dan memahami bahawa perbezaan wajar wujud dalam penggunaan kalimah Allah. Umat Muslim wajar memahami mengapa kalimah Allah dipertahankan adalah kerana kemampuan kalimah Allah dan konsep ketuhanan Islam memelihara kesucian ketauhidan Allah dan bukannya atas sebab keangkuhan dan etnosentrik mereka.
6.6 Tuntasnya, perpaduan dan keharmonian di Malaysia masih mampu dijayakan dalam keadaan wujudnya perbezaan agama yang ada dengan syarat wujudnya sikap saling ‘hormati perbezaan dan halusi persamaan’. Ini bererti, slogan yang menyatakan bahawa One God, Many Paths bukanlah satu-satunya metode yang baik untuk menyelesaikan masalah perpecahan agama dan sekaligus mampu memupuk perpaduan etnik demi kesejahteraan Malaysia. Tetapi sikap saling menghormati dan memahami mengapa umat Muslim itu memilih untuk berbeza dalam penggunaan kalimah Allah yang sewajarnya hanya digunakan oleh Muslim dan bukannnya pihak gereja dan Kristian itu yang perlu diperhalusi. Sekaligus juga, adalah wajar memperjelaskan mengapa umat Muslim Malaysia begitu beriya-iya mempertahankan kalimah Allah hanya eksklusif kepada mereka walhal realitinya kalimah Allah adalah untuk umat manusia sejagat. Wajar juga dijelaskan mengapa baru sekarang pula pihak gereja dan Kristian begitu beriya-iya untuk menggunakan kalimah Allah dalam maksud yang berbeza dengan realiti maksud kalimah dan kualiti kalimah Allah sebagaimana yang dijelaskan dalam perbincangan ini. “Perbezaan adalah suatu rahmat dan bukannya suatu yang keramat”.
RUJUKAN
-Al-Qur’an al-Karim
-The Holy Bible Containing Old Testament and New Testament, Grand Rapids.
- The Book of Mormon: Another Testament of Jesus Christ, Utah, U.S.A.
- Abdullah Yusuf Ali, The Meaning of the Holy Qur‘an, Brentwood, Maryland: Amana Corporation.
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------
-Ahmad Deedat (1981), Atnatu; a Novel Concept of God, Durban: Islamic Propagation Centre.
-Aliran (1980), One God, Many Paths, Penang.
-Amriah Buang (Prof) (2009), Mengapa Kalimah Allah?”, Interactive Muslimah Association.
-Ang, B.C (1980), One God, Many Paths, Aliran:Penang.
- Bulgakov S.N (1988). The Orthodox Church (Translation by Pravoslavie), St. Vladimir's Seminary Press.
- Chandra Muzaffar (1980), One God, Many Paths, Aliran: Penang.
-Chandra Muzaffar (1987), Islamic Resurgence in Malaysia, Petaling Jaya: Fajar Bakti.
- Enakmen Ugama Bukan Islam (1988), (Kawalan dan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam).
-Fahlbusch E. & Bromiley G.W. The Encyclopedia of Christianity, Wm. B. Eerdmans Publishing.
-Ibn Kathir (t.t.), Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, Beirut: Dar al-Kitab.
-Ibn Manzur (t.t.), Lisan al-‘Arab, Beirut.
-Jakim (2009), Kalimah Allah, bukan bermakna "God Semata-mata, Cawangan Aqidah, Bahagian Penyelidikan JAKIM.Perlembagaan Persekutuan
-James Hastings (1913), Encyclopedia of Religion and Ethics, Edinburgh: T&T
Clark.
-James Ng (1987) “Knowing what the Trinity is”, The Sunday Mail, March1, 1987.
- Khadijah Mohd Khambali @ Hambali (1993), “Konsep Trinity Menurut Kristian: Analisis Ilmiah: dalam Jurnal Usuluddin, Bil. 2, Kuala Lumpur: Akademi Islam, Universiti Malaya.
-Mangalam (1980) “A Hindu Views”, One God, Many Paths, Aliran: Penang.
- Meyendorff J (1995). Christ in Eastern Christian Thought, St. Vladimir's Seminary Press.
-Otto Friedrich August Meinardus (2007), Two Thousand Years of Coptic Christianity, American Univ in Cairo Press.
-S.P Subramaniam (1980), ‘A Hindu View”, One God, Many Paths, Aliran: Penang.
-T.C The (1980), “A Buddhist View’, One God, Many paths, Aliran: Penang.
-The Star, 28 December 2007.
-The Sun, 24 December 2007.
- Utusan Malaysia, 6 Januari 2008.
kertas kerja oleh:
PROF MADYA DR KHADIJAH MOHD HAMBALI
JABATAN AKIDAH DAN PEMIKIRAN ISLAM,
AKADEMI PENGAJIAN ISLAM,
UNIVERSITI MALAYA
No comments:
Post a Comment