Saturday, June 05, 2010

"Salahkah Saya Menangis?"


Seusai penulis menyampaikaan ceramah motivasi kepada pelajar di sebuah sekolah, ramai pelajar lelaki yang menghampiri penulis, bersalaman dan mengucapkan terima kasih. Ada 3 orang pelajar putera mengejutkan penulis kerana mereka bukan sekadar bersalaman tetapi memeluk penulis dengan erat sambil menangis. Pelajar yang terakhir berbisik kepada penulis, "Ustaz, saya sudah lama tidak menangis kerana memikirkan dosa yang terlalu banyak saya lakukan".

Penulis tidak berniat untuk membuat mereka menangis. Penulis sekadar membacakan ayat-ayat Allah swt. Penulis hanya menyampaikan apa yang diperingatkan oleh para ulama yang ikhlas menyedarkan umat.

"Ustaz, salahkah saya menangis, saya takut saya hanya sekadar menangis pada saat ini." tanya pelajar itu lagi. Penulis memandang bola matanya.

"Semoga Allah berkati anda, semoga Allah berikan kekuatan kepada anda untuk istiqamah berubah kepada kebaikan. Teruskan menangis, kiranya menangis itu dapat melembutkan hatimu dan menyedarkan hakikat kejadianmu." pesanan saya kepada pelajar tersebut.

Ya, apa salahnya menangis, jika memang dengan menangis itu manusia menjadi sedar. Sedar akan kelemahan-kelemahan dirinya, saat tiada lagi yang sanggup menolongnya dari terperosok dengan anasir jahiliah moden selain Allah Swt. Bukankah situasi hati manusia tiada pernah stabil? Selalu berbolak balik menuruti keadaan yang dihadapinya.

Sebahagian manusia menganggap menangis itu adalah emosi yang hina dan merupakan tanda lemahnya seseorang. Ada yang menganggap menangis itu sikap hipokrit dan hanya aksesori semata. Bangsa Yahudi selalu mengecam ketika anaknya menangis dan dikatakan tidak akan mampu melawan musuh-musuhnya. Para orang tua di Jepun akan memarahi anaknya jika mereka menangis kerana dianggap tidak kuat menghadapi kehidupan. Menangis digambarkan sebagai sesuatu yang dilakukan oleh mereka yang tidak mempunyai prinsip hidup.

Bagi seorang muslim yang mukmin, menangis merupakan buah kelembutan hati dan petanda kepekaan jiwanya terhadap pelbagai peristiwa yang menimpa dirinya mahupun umatnya. Rasulullah Saw menitiskan air matanya ketika lematian anaknya tercinta Ibrahim. Abu Bakar ra. digelari oleh anaknya Aisyah ra sebagai Rojulun Bakiy (Orang yang selalu menangis). Beliau senantiasa menangis, dadanya bergolak saat solat dibelakang Rasulullah saw. kerana mendengar ayat-ayat Allah.
Abdullah bin Umar suatu ketika melewati sebuah rumah yang di dalamnya ada seseorang sedang membaca Al Qur'an, ketika sampai pada ayat: "Hari (ketika) manusia berdiri menghadap Tuhan semesta alam" (QS. Al Muthaffifin: 6). Pada saat itu juga beliau diam berdiri tegak dan merasakan betapa dirinya seakan-akan sedang menghadap Rabbnya, kemudian beliau menangis. Lihatlah betapa Rasulullah aaw. dan para sahabatnya benar-benar memahami dan merasakan getaran-getaran keimanan dalam jiwa mereka.

Bukankah diantara tujuh golongan manusia yang akan mendapatkan naungan pada hari dimana tiada naungan kecuali naungan Allah adalah orang yang berdoa kepada Rabbnya dalam kesendirian kemudian dia menitiskan air mata? Tentunya begitu sulit menitiskan air mata saat berdo'a sendirian jika hati seseorang tidak lembut.

Orang yang keras hatinya, akan sulit menangis saat dibacakan ayat-ayat Allah. Barangkali di antara kita yang belum pernah menangis, maka menangislah disaat membaca Al Qur'an, menangislah ketika berdo'a di sepertiga malam terakhir, menangislah kerana melihat realiti umat yang lesu dan longlai, atau tangisilah dirimu kerana tidak upaya menangis ketika mendengar ayat-ayat Allah. Semoga hal sedemikian dapat melembutkan hati dan menjadi penyejuk serta penyubur iman dalam dada. (emc)

5Jun, Kemaman

No comments:

Post a Comment