Saturday, July 24, 2010

Istiqamahlah Beramal Walaupun Sedikit


Semangat kepemudaan Islam harus diiringi dengan amal soleh yang konsisten walaupun sedikit, berbanding semangat yang sementara kemudian hilang entah ke mana. Menyanyikan lagu-lagu semangat perjuangan Shouhu Harakah memang membangkitkan cita pemuda untuk berjihad, namun harus diikuti dengan semangat juang bekerja di jalan Allah swt., walaupun sedikit tetapi harus istiqamah.

Langkah pemuda menyahut seruan dakwah hasil dari proses tarbiah yang mantap adalah kebangkitan melakukan amal soleh dengan istiqamah walaupun sedikit. Diriwayatkan dari A’isyah r.a, bahawa saat menjelaskan bentuk amal soleh apakah yang paling dicintai oleh Rasulullah saw., A’isyah menerangkan:

Bentuk kepatuhan yang paling Rasulullah saw. cintai adalah amal yang dikerjakan berterusan oleh pelakunya.” (Diriwayatkan oleh Tirmidzi dalam Sahihnya, kitab al-Iman)

Dari A’isyah r.a juga menyebut bahawa Nabi saw. ada bersabda:

“Sesungguhnya amal yang paling dicintai oleh Allah adalah yang dikerjakan terus menerus walaupun sidikit.” (Diriwayatkan oleh Muslim)

Kesibukan kita dalam melayari bantera kehidupan, samada sebagai mahasiswa mahupun berkerjaya janganlah sampai tuntutan amal soleh kita khususnya amal dakwah dan istiqamah di jalan tarbiyah terencat, hidup segan mati tak mahu. Penyakit ingin berehat dari beramal adalah perangkap keduniaan yang telah memerangkap umat Islam, khususnya pemuda Islam yang dinantikan untuk meneruskan misi amal soleh Rasulullah saw. Ketahuilah bahawa istirehat bagi seorang mukmin itu adalah kelalaian, waktu yang luang adalah pembunuh, dan pengangguran amal adalah kemandulan iman.

Yakinlah, kita mampu beramal soleh, walaupun sidikit, yang penting istiqamah. Allah swt tidak akan membebani kita dengan sesuatu yang tidak kita mampu memikulnya. Firman Allah swt.:

“Dan Allah tidak membebankan kepada seseorang kecuali sesuai dengan apa yang
dimampui”. (Al Baqarah: 286)

Justeru bergeraklah dan bekerjalah, berlatihlah dan kajilah sesuatu, bacalah Al-Quran dan bertasbihlah, sebarkan dakwah, perkasakan tarbiha, tulislah sesuatu dan kunjungilah sahabat dan murabbi, tetap istiqamah walaupun sedikit, jangan berhenti dan berehat.

Imam Nawawi rahimahullah mengingatkan kita bahawa kerjakanlah sesuatu amal dengan terus menerus, sesungguhnya amal yang sedikit tetapi dikerjakan dengan terus menerus dan rutin, adalah lebih baik daripada amal yang banyak tetapi terputus dan terhenti.
Istiqamah beramal adalah kunci penyuburan semangat bearmal soleh, sebaliknya kelalaian dari istiqamah adalah kunci kerugian di akhirat nanti.

Firman Allah swt. :

“Maka tetaplah (istiqamahlah) kamu pada jalan yang benar, sebagaimana diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang telah taubat beserta kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.”(Q.S. Hud:112)

Kejarlah ganjaran besar buat mukmin yang memelihara sikap istiqamahnya dalam beramal soleh.

Firman Allah swt. lagi:

“Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap istiqamah, maka tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan mereka tiada pula berduka cita. Mereka itulah penghuni-penghuni syurga, mereka kekal di dalamnya; sebagai balasan atas apa yang telah mereka kerjakan”. ( Al-Ahqaf: 13-14.)

Bagi membina sikap istiqamah itu menjadi sebati dalam kehidupan, maka kita harus melatih diri kita secara sungguh-sungguh, berusaha agar setiap amal perbuatan kita diikuti dengan tiga formula yang telah diparktikkan oleh para ulama terdahulu, iaitu ijtihad, mujahadah, dan jihad. Dengan berijtihad kita dapat memastikan bahawa tindakan kita adalah suatu pilihan terbaik setelah melalui pertimbangan-pertimbangan yang mendalam. Tindakan itu harus diikuti dengan mujahadah (usaha yang bersungguh-sungguh) dan terus menerus jangan sampai berhenti di tengah jalan. Dan tentu saja semuanya harus disertai dengan jihad (suatu perjuangan keras yang berkesinambungan) yang memerlukan pengorbanan-pengorbanan dalam pelbagai bentuk, seperti tenaga, harta, fikiran, masa, bahkan nyawa. Tanpa tiga formula ini, sukar rasanya istiqamah dapat terwujud dalam kehidupan kita. Istiqamahlah, walaupun amalnya sedikit.

No comments:

Post a Comment