Thursday, August 12, 2010
"Saya Tinggal Dengan Sahabat.."
Semasa penulis belajar di UiTM Shah Alam, ada satu memori yang membuatkan penulis tersenyum sendirian apabila teringatkannya. Saat itu penulis berada dalam kelas statistik, pensyarah memanggil penulis ke hadapan untuk menjawab satu soalan setelah 4 orang pelajar lainnya gagal menjawab dengan tepat. Alhamdulillah penulis dapat menjawab soalan tersebut dengan tepat. Kemudian pensyarah bertanya, kamu di sini tinggal dengan siapa? Lantas dengan penuh yakin penulis menjawab,
“Dengan sahabat-sahabat…”
“Sahabat-sahabat..? Bukan kawan-kawan ke? ” Tanya pensyarah tersebut sambit ketawa kecil kerana mungkin beliau merasa janggal dengan istilah sahabat-sahabat. Kawan-kawan di dalam kelas turut ketawa kecil.
“Ya”, jawab penulis dengan tenang sambil di benak fikiran penulis membayangkan wajah-wajah sahabat penulis saat tinggal bersama di rumah sewa dan markas tarbiah kami, antaranya akhi Halim (sekarang pensyarah di UiTM Segamat), Dr. Kamarudin (sekarang pensyarah UiTM S Alam), Akhi Zaini (sekarang peguam di Perlis), akhi Surail (sekarang pensyarah UiTM Melaka), akhi Anas (sekarang Mudir Rumah HALUAN Penyayang S Alam), akhi Hamdan (pensyarah di sebuah IPTA di Johor).
Kami membahasakan teman-teman yang sama-sama mengikuti halaqah tarbawiyah dengan panggilan “sahabat”, jelas dengan panggilan sebegini mengakrabkan lagi ukhwah di antara kami. Tiada yang pelik, sebaliknya yang pelik adalah apabila kita tiada “sahabat” yang sebenar.
Setiap kita memerlukan kawan dalam kehidupan. Apatah lagi seorang sahabat yang boleh menjadi qudwah dan teman untuk saling nasihat menasihati, ingat mengingati dan saling membimbing kearah ketaatan kepada Allah swt.
Nabi saw. ada bersabda:
“Seandainya manusia mengetahui bahaya yang terdapat pada orang yang bersendirian, sebagaimana apa yang saya ketahui, nescaya tidak ada seorang pengendara yang berani berjalan malam sendirian.”
Dalam realiti hari ini, kita harus memiliki sahabat yang dapat memberikan kasih saying kepadanya, membantunya membawa sebahagian beban perjalanan dan meringankan kesulitannya.
Apatah lagi kita sebagai da’i ilallah. Bekerja dalam dakwah dan tarbiyah amat menuntut kita untuk memiliki sahabat-sahabat yang soleh dan musleh. Hatta Nabi Musa as. memohon kepada Allah agar diberikan pendamping dalam mengembang tugas kerasulan.
“Jadikanlah untukku penolong dari keluargaku. iaitu Harun saudaraku. Kukuhkanlah dengannya kekuatanku. Dan jadikanlah dia sekutu dalam urusanku. Supaya kami banyak bertasbih kepadaMu, serta banyak mengingatMu.” (Thaha: 29-34)
Sahabat dalam perjalanan kehidupan ini bagaikan garam dalam masakan. Tanpanya hidup akan terasa hambar. Tanpa cinta dan persahabatan ini hidup tentu tidak ada dinamika dan akan terasa gersang. ‘Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat hakikat kematian...’ demikian petikan ucapan murabbi penulis suatu ketika dulu saat penulis mula mengikuti halaqah tarbawiyah.
Jalinan ukhwah atas jalan tarbiah dan dakwah yang dibina akan kian bermakna lagi apabila berada dalam satu mozaik indah beridentiti Islam. Ini kerana sahabat yang telah sama-sama diproses dengan jalan tarbiah dan dakwah, insyaAllah akan akan mengesampingkan segala perbezaan kelas sosial, ragam suku, bahasa, budaya, negara, politik hingga nuansa pemikiran sehingga menjadi satu pelangi yang indah dan tidak terpisahkan. Sepertimana pinta Nabi Musa as untuk memiliki seorang sahabat yang akan menjadi peneguh kekuatan dan teman dalam memuji dan mengingat-Nya. Subhanallah, begitulah indahnya bersaudara dalam Islam.
Imam Ghazali menasihati seorang musafir:
“Ia harus memilih seorang sahabat dan tidak keluar bersendirian. Sahabat sebelum jalan. Sahabat tersebut harus dapat membantu urusan agamanya, mengingatkannya jika lupa dan membantunya jika sudah ingat. Sebab seseorang itu mengikuti agama sahabat karibnya dan seseorang itu tidak diketahui kecuali melalui sahabatnya..” (Ihya’ Ulumuddin)
Saat ini penulis tersenyum bahagia, kerana penulis dikelilingi sahabat-sahabat yang ikhlas bersama mendukung cita mulia, meraih syurga yang pasti atas jalan dakwah dan tarbiyah.
selalunya apabila saya sudah mempercayai seseorang yang saya gelarkan sahabat mesti akan kecewa selepas itu kerna mereka akan berubah sikap... menengking, tidak lagi mempercayai, tidak ada kejujuran, mempergunakan kebaikan yang telah saya berikan...
ReplyDelete