Tuesday, December 14, 2010

Kuasa Kemaafan: Lepaskan Bebanmu


Anda ada rasa tidak puas hati dengan seseorang, kawan, mak, ayah, adik, atau dengan siapa sahaja ? Lepaskan bebanan anda dengan memaafkan mereka. Jiwa anda bukan sahaja akan tenang kembali malahan anda akan beroleh ganjaran tanpa batas. Menarikkan ? Dengan hanya memaafkan kesalahan orang lain, kehidupan anda akan menjadi lebih baik dan beroleh keuntungan. Firman Allah SWT yang bermaksud :

"...dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak suka bahawa Allah mengampunimu? Dan Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang." (An Nuur:22)

Luarbiasa sungguh! Kita maafkan orang lain, kita akan beroleh keampunan dari Allah. Tak nak? Jika ingin mendapatkan ampunan Allah, belajarlah untuk memaafkan orang lain. Lagipun apa faedahnya untuk kita terus berdendamkan?

Menanggung Beban vs Lepaskan Bebanmu

Andaikata kita membenci seseorang bererti kita telah mewakafkan hidup kita dan fikiran kita untuk terus memikirkan orang tersebut. Kebahagiaan kita akan terhalang bahkan hati jadi tidak tenteram, makan tak kenyang dan tidur tak lena kerana geram memikirkan kesalahan yang telah orang itu lakukan ke atas kita sedangkan orang itu mungkin sudah tertidur nyenyak.

Suatu hari, ada seorang guru yang meminta seluruh murid-murid di kelasnya untuk membawa satu karung guni ke sekolah. Guru itu juga meminta setiap muridnya ke pasar dan membeli kentang sebanyak 10 kilo. Keesokan hari ketika di sekolah, guru meminta semua anak murid, masing-masing memilih sebiji kentang bagi setiap orang yang tidak ingin mereka maafkan, kemudian tulis nama orang itu dan tarikh dia berbuat kesalahan. Kemudiannya kentang tersebut dimasukkan ke dalam karung guni yang telah disediakan, pelajar perlu membawa guni itu ke mana sahaja mereka pergi.Ianya merupakan tugasan setiap muridnya di sekolah dan di rumah untuk sepanjang bulan tersebut.

Di hari pertama murid-murid merasa seronok dan menarik dengan aktiviti tersebut. Seorang pelajar di dalam karung guninya sudah terdapat sembilan biji kentang. Satu demi satu nama kawannya di tulis di atas kentang kerana pelbagai sebab dan kesalahan yang beliau enggan memaafkan. Setiap kejadian membuatkan pelajar itu dengan senang hati melemparkan kentang-kentang ke dalam karung, dan masih tetap untuk tidak akan memaafkan sesiapa pun yang telah berbuat salah kepadanya.

Setelah seminggu berlalu, karung guni yang berisikan kentang itu sudah menjadi beban yang sangat berat pada murid-muridnya. Dalam karung guni itu sudah terisi lebih kurang lima puluh buah kentang, ada yang mencecah lapan puluh buah kentang. Sungguh situasi itu merupakan suatu beban berat yang menyebabkan lenguh tangan dan badan untuk memikulnya. Murid-murid tersebut sudah tidak tahan menanti hari akhir dari tugasan yang telah diberikan oleh guru mereka. Minggu kedua guru bertanya kepada semua pelajarnya,

“Apakah kalian sudah mengetahui akibat dari tidak ingin memaafkan orang lain? Ternyata ada beban berat di atas pundak kalian, semakin banyak orang yang tidak ingin kalian maafkan, maka semakin berat pula beban yang harus kalian pikul. Menghadapi beban berat tersebut, bagaimana kita harus bertindak?”

Guru berhenti berbicara untuk beberapa saat, memberikan waktu kepada pelajarnya untuk berfikir, lalu guru menjawab sendiri pertanyaannya,

“Semua beban itu dilepaskan saja dengan memberi kemaafan! Sebenarnya waktu boleh saja membuatkan manusia menjadi sedar dari keegoan dan kesumat.


Meneladani Rasulullah SAW dan Orang Soleh

Memang menghukum orang lain lebih mudah daripada memaafkannya. Namun, mari kita belajar dari Rasulullah SAW dan orang-orang yang soleh, bagaimana sikap mereka dalam hal ini.

Suatu hari, ketika Rasulullah SAW sedang berehat-rehat, datanglah seorang wanita Yahudi membawa hidangan yang lazat berupa kambing panggang.

Wanita itu mengetahui bahawa Rasulullah amat gemar kambing panggang. Bahagian kegemaran baginda ialah paha kanan bahagian depan. Lalu wanita tersebut menabur racun di atas kambing panggang itu. Dia melebihkan racun di paha kanan hadapan kambing yang dihidangkan itu.

Setelah melihat hidangan itu, maka Rasulullah pun berasa lapar. Selepas membaca bismillah, baginda pun makan dengan berselera sekali. Baginda makan bersama seorang sahabat, Bisyir bin Barra bin Ma'rur. Namun, sewaktu baginda sedang mengunyah makanan itu, timbul perasaan was-was di hati. Rasulullah pun meluahkan kembali daging kambing panggang yang sedang dikunyah. Ternyata suara hati baginda itu benar, Bisyir bin Barra bin Ma'rur telah menjadi korban. Sahabat baginda itu meninggal dunia kerana termakan racun dalam makanan tersebut.

Rasulullah pun bertanya dan wanita Yahudi itu mengaku secara berterus terang tanpa berselindung berkata:

"Aku mahu menguji kamu. Jika engkau seorang rasul, sudah pasti engkau akan mendapat petunjuk mengenai hal ini. Tetapi kalau engkau hanya orang biasa, maka aku pasti merasa puas kerana dapat menyingkirmu kerana engkau telah banyak membawa kemusnahan kepada kaum Yahudi."

Rasulullah SAW mendengar penjelasan wanita itu dengan tenang. Kemudian, baginda pun memaafkan wanita itu. Baginda tidak menghukum wanita itu walaupun perbuatannya itu telah mengakibatkan kematian seorang sahabat baginda. Baginda sanggup memberi kemaafan kepada seorang wanita yang ternyata mahu membunuh baginda.

Rasulullah SAW seorang pemaaf yang luarbiasa. Kualiti pemaaf baginda wajar kita contohi dalam kehidupan kita.

Aisyah pernah menyatakan: “Rasulullah SAW tidak pernah memukul sesiapa pun, tidak juga kepada isteri dan pembantu Baginda, kecuali dalam berperang di jalan Allah. Dan dia tidak pernah membalas sedikitpun kepada seseorang yang menyakiti hatinya, kecuali dalam hal larangan Allah.” (Hadis riwayat Muslim)

Anas menceritakan: “Ketika saya sedang berjalan bersama Rasulullah SAW dan pada waktu itu Baginda sedang mengenakan selimut tebal dari Najran. Seorang Arab Badwi mengetahui hal itu lalu menariknya dengan kasar sambil berkata: Hai Muhammad, serahkan padaku harta Allah yang kamu miliki. Maka Rasulullah pun tersenyum dan Baginda pun memakbulkan permintaan orang itu.” (Hadis riwayat Muttafaq Alaih)

Sahabat Rasulullah SAW, Umar Al-Khatthab RA turut meneladani akhlak pemaaf yang ada pada Rasulullah SAW. Ketika mendapati lailatul qadar bakal menyapa, Umar selalu berkata, “Ya Allah sesungguhnya pada malam ini semua orang telah aku ampuni.” Maksudnya, beliau telah memaafkan semua orang atas kesalahan-kesalahan yang dilakukan kepadanya.

Begitu juga Imam Ahmad bin Hambal ra. Ia telah disiksa, dipukul, dihukum dan di penjara. Meskipun begitu, beliau masih memberi maaf kepada orang-orang yang menyakitinya. Beliau berkata dengan mengutip firman Allah SWT:

“Dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada.”


Raih Kemuliaan

Berbahagialah, tatkala kita memiliki sikap saling memaafkan kesalahan orang lain, kita akan tergolong sebagai manusia yang mulia dan terpuji di sisi Allah SWT.

"Tetapi barang siapa bersabar dan memaafkan (kesalahan orang terhadapnya),, sungguh yang demikian itu termasuk perbuatan yang mulia." (Asy Syuura:43)

Rasulullah SAW ada bersabda:

Dari Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Musa bin Imran AS pernah berkata, “Wahai Tuhanku, siapakah orang yang paling mulia pada pandanganMu? Allah SWT menjawab: Barangsiapa yang memberi maaf meskipun dia memiliki kemampuan untuk membalas dendam.”(HR Baihaqi)

3 comments: