Wednesday, March 16, 2011
Fahami Islam Yang Sebenar
Ramai orang telah berpuas hati dengan mengakui menganut Islam. Persoalan yang kita perlu fikirkan, apakah telah memadai dengan pengakuan sahaja? Jawapannya, apabila kita menganut Deen Islam tidaklah memadai dengan pengakuan sahaja tanpa memenuhi tuntutan-tuntutannya.
Ramai juga orang yang menganggap bahawa apabila ibubapa mereka Islam maka mereka pun terus menjadi Islam sebenar walau pun tidak melaksanakan hak-haknya. Sesungguhnya, Islam itu bukanlah suatu warisan. Juga, Al-Quran bukanlah suatu warisan daripada Rasulullah SAW semata-mata. Al Qur’an merupakan kitab Allah SWT yang diturunkan kepada Rasulullah SAW untuk difahami dan dijadikan panduan hidup ummat manusia.
Ramai juga orang yang memeluk Islam seperti suatu hobi atau suatu fesyen yang mempamerkan diri secara zahir sahaja melalui pakaian atau beberapa amal ibadah seperti solah.
Menurut Asy-Syahid Dr. Abdul Qadir ‘Audah di dalam kitabnya, Al-Islam Wa Audha’una as-Siyasiyyah, bahawa semua orang Islam di dunia ini mengaku beragama Islam dan kebanyakan mereka berbangga dengan nama tersebut. Tetapi dukacita sekali kebanyakan mereka tidak mengetahui hakikat Islam yang sebenarnya. Islam tidak ada hubungan dengan hati mereka meskipun ada hubungan dengan tutur kata mereka.
Kejahilan dengan Islam telah membawa mereka jauh daripada hukum-hukum Islam .Mereka menolak hukum-hakamnya menyebabkan berlaku keruntuhan umat Islam itu sendiri.
Sebenarnya Islam adalah satu sistem hidup pilihan Allah SWT Ini telah ditegaskan oleh Allah SWT,:
“Sesungguhnya agama (yang diredhai) di sisi Allah hanyalah Islam. Tiada berselisih orang-orang yang diberi Al-Kitab kecuali sesudah datang pengetahuan kepada mereka, kerana kedengkian (yang ada) di antara mereka. Barangsiapa yang kafir terhadap ayat-ayat Allah maka sesungguhnya Allah sangat cepat HisabNya.“ (Surah ali ‘Imran ayat 19)
Islam adalah deen (peraturan hidup) yang ditentukan Allah SWT. Allah SWT yang menjaga kepentingan Islam. Manusia yang menerima Islam bererti mengambil Allah SWT sebagai Ilah dan Rabb. Dia tidak mempunyai pilihan lain melainkan mesti melahirkan Islam dalam praktik kehidupan meliputi semua lapangan hidup
Manusia yang menolak Islam bererti menolak Allah SWT sebagai Ilah. Bermakna, dia telah memindahkan Ilahnya daripada Allah SWT kepada yang lain, berkemungkinan hawa nafsu atau pemikiran atau perasaan atau syaitan serta kuncu-kuncunya.
Sesungguhnya apabila seseorang memeluk Islam, dia mestilah menganut Islam sepenuhnya, iaitu dengan menjadikan Islam sebagai cara hidup. Apa sahaja yang dilakukannya samada berfikir, bercakap dan bertindak mestilah mengikut cara Islam. Begitu juga, daripada urusan peribadi hinggalah urusan pemerintahan mestilah mengikut cara Islam. Dengan kata lain, semua tingkahlakunya hendaklah tidak terkeluar daripada Islam. Apabila seseorang memeluk Islam, dia mestilah berpegang teguh dengannya dalam apa keadaan sekali pun. Rasulullah SAW pernah menggambarkan bahawa di akhir zaman seorang muslim mesti berpegang dengan sunnah baginda walau pun hingga terpaksa menggigitnya dengan geraham sampai mati.
Tugas kita saat ini adalah besar dan penting. Kita perlu memenangkan Islam dalam setiap masa dan tindakan. Kita perlu berkeyakinan penuh bahawa Islam mempunyai masa depan yang cemerlang. Masa depan adalah untuk Islam, bukan untuk sistem hidup yang lain.
Siapakah Yang Akan Menyambut Seruan Kesedaran?
Manusia yang menerima Islam mestilah menyesuaikan diri dengan Islam. Adalah suatu kesilapan bagi orang yang menyesuaikan Islam dengan kehendak dirinya. Atau dia mengambil Islam sebagai tempelan-tempelan sahaja dan tidak mengambil Islam sebagai suatu cara hidup yang syamil dan kamil.
Hati yang sedar dan insaf mula mencari hati-hati yang turut merasai hakikat yang sama. Mereka akan berhubung dan berkumpul untuk membentuk suatu kehidupan yang diredhai Allah SWT. Inilah tindakan hati-hati yang beriman. Allah SWT mengetahui segala rahsia hati. Mereka berkumpul semata-mata untuk mencari keredhaan Allah SWT. Mereka gugurkan segala tujuan yang lain. Seperti perhimpunan rahsia di rumah Arqam Bin Abi Arqam.
InsyaAllah, kita yakin, di sana sini masih ada insan yang ikhlas dan merasai keperluan untuk bertindak segera. Mereka perlu dikumpulkan dan dibimbing agar keikhlasan mereka berada di bawah telunjuk syara’. Begitu juga kembali kepada Allah SWT mestilah mengikut cara yang betul dan diredhaiNya. Kembali menjadi hamba kepada Allah SWT.
Justeru itu mari kita melayakkan diri kita menjadi salah seorang duta dan da’i agama ini. Kita perlu keluar mencari jiwa-jiwa yang merasai kehilangan Rahmat Allah SWT dan yang mencari serta ingin menyahut seruan Allah SWT Fitrah Insaniah untuk kembali kepada fungsi tauhid sebenar sememangnya ada. Ada yang sanggup melalui proses, ada yang sedang melalui proses dan ada yang telah melalui proses. Ada juga yang lambat melaui proses. Proses apa? Proses tarbiyah islamiyyah.
Juga ditegaskan bahawa da’i perlu mencari dan mengumpulkan hati-hati yang merasai kehilangan Rahmat Allah SWT. Hati-hati yang merasai kehilangan neraca syara’ dalam praktik hidup umat sekarang. Hati-hati yang ingin kembali kepada hakikat hidup yang memperhambakan diri hanya kepada Allah SWT dalam setiap bidang.
Al Marhum Datok Kaya Bakti Ustaz Dahlan Md Zain, seorang murabbi, da'i, pemimpin dakwah Islam di Malaysia ada berkata,: ”Hati-hati ini perlu diasuh agar menyedari kehilangan Islam sebagai ad-Deen. Umat Islam bukanlah kehilangan ekonomi Islam, politik Islam atau pembangunan Islam sahaja. Umat juga bukan kehilangan masjid dan rumah-rumah ibadat. Umat sebenarnya kehilangan pokok, bukan ranting-ranting. Umat kehilangan rumah, bukan bahagian-bahagian rumah. Juga, umat bukan kehilangan kuantiti tetapi kehilangan kualiti yang ingin mengambil Islam sebagai ad-Deen.”
Kata al marhum lagi,; ”Hati-hati ini perlu diasuh agar memahami bahawa penyakit sedang menyerang umat dan merosakkan ‘aqidah umat. Tauhid pada hati-hati umat semakin futur atau tidak berfungsi dengan betul. Hati-hati ini perlu diasuh agar menyedari bahawa segala tindakan berpunca dari permasalahan aqidah yang mesti dirongkai terlebih dahulu. Juga, memahami makna dan fungsi Iman sebenar agar tindakan yang lahir selaras dengan tuntutan Iman. Iman kepada Allah SWT adalah pemancar. Dari pemancar ini lahirlah kerja-kerja Islam. Da’i atau murabbi perlu memahami bahawa `mukmin’ adalah natijah yang lahir daripada tarbiyah yang menekankan keimanan kepada Allah SWT. Terdapat perbezaan antara tarbiyah dan natijah tarbiyah.”
Wajib mengikuti jalan Rasulullah SAW
Bagaimana kita hendak bermula? Islam tidak akan lahir semula melainkan dengan mengikuti jalan yang asal. Jalan yang asal ialah jalan yang telah dianjurkan oleh Rasulullah SAW yang dibimbing oleh Allah SWT. Kita mesti faham dan yakin kepada jalan Rabbani ini. Ia dirancang oleh Pencipta Deen itu sendiri. Kita tidak berhak untuk membuat sebarang pindaan terhadap cara (uslub)nya. Kita hanya wajib untuk mematuhi dan mengikut jalan-jalan yang telah dianjurkan itu.
Kita mestilah bermula dengan langkah yang telah di mulakan oleh Rasulullah SAW. Jalan tarbiyyah yang kita perlu ikuti ialah jalan tarbiyyah Rasulullah SAW. Tarbiyyah Islamiyyah memerlukan hati-hati yang menyerah sepenuhnya untuk dididik. Hati-hati yang tidak diserahkan sepenuhnya kepada tarbiyyah Islamiyyah tidak akan berkesan dengan sempurna. Ini kerana hati-hati itu sedang mengalami penyakit-penyakit hati seperti sombong, takabbur, riya’ dan sebagainya.
Begitu juga, Islam sebagai deen bukanlah boleh diwujudkan dalam praktik hidup secara kebetulan tetapi ia adalah satu natijah (hasilan) daripada tarbiyyah (pendidikan). Tarbiyyah yang dirancang, direncana dan disusun dengan rapi serta berhati-hati dan melalui ransangan-ransangan serta bimbingan-bimbingan yang bertujuan untuk melahirkan manusia yang Islam dalam pemikiran, aqidah, akhlaq, jiwanya dan segala tindakan.
Sesungguhnya setiap sistem memerlukan rijal-rijal (pejuang-pejuang). Marilah kita menyahut panggilan untuk menjadi pejuang-pejuang Deen Islam, bukan pejuang-pejuang taghut (menolak sistem Islam). Allah SWT akan membantu orang yang membantu Deen-Nya, insyaAllah.
Artikel di atas adalah merupakan petikan tulisan penulis di web: langitilahi.com
Bangkitkan Jiwa Melawan Maksiat
Awas pemudaku!, Jauhi maksiat, hindari dosa-dosa kecil, syubhat, apatah lagi dosa-dosa besar. Jangan dekati perkara-perkara yang jelas haramnya, dan jangan sesekali cuba untuk berjinak-jinak dengan maksiat, walaupun maksiat itu kecil pada kaca mata pandangan kita. Kata pepatah, alah bisa, tegal biasa. Sudah berapa ramai para pemuda yang dulu hatinya bersih dari noda dan dosa, tetapi malangnya akibat berjinak-jinak dengan maksiat, mereka kini kelam dan hilang kekuatan. Firman Allah SWT:
“Katakanlah: Apakah akan kami beritahukan kepadamu tentang orang-orang yang paling merugi perbuatannya?” Iaitu orang-orang yang telah sia-sia perbuatannya dalam kehidupan di dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka berbuat sebaik-baiknya.” (al-Kahfi: 103-104)
Dosa Adalah Petaka
Wahai pemudaku, ingatkan diri kita dengan firman Allah SWT;
“Dan tinggalkanlah dosa yang nyata dan yang tersembunyi, kerana sesungguhnya orang-orang yang berusaha melakukan dosa, mereka akan dibalas dengan apa yang mereka telah lakukan.” (al-An’aam: 120)
Ayat di atas diturunkan kepada para sahabat RA. Mereka merasakan ayat ini sangat berat. Itu perasaan mereka. Bagaimana dengan kita? Sebagai seorang pemuda/pemudi mukmin, ayat di atas sepatutnya amat menakutkan diri kita dan menyebabkan bulu roma kita berdiri! Ayat di atas adalah loceng bahaya yang di titip dari kalamullah untuk menyedarkan kita semua. Jangan berasa selesa dan aman dengan sedikit maksiat yang kita lakukan.
Dosa dan maksiat itu sumber petaka. Petaka terjadi kerana dosa, dan ianya akan hilang kerana taubat. Maksiat itu akan melahirkan maksiat juga. Jika maksiat sering dilakukan, bererti dirimu pusat pengumpulan maksiat.
Sehingga ada kalangan kamu merasa bangga dengan maksiatnya dan merasakan tidak ada hukuman yang ia terima pun dari Rabbnya, kerana dia masih bebas melakukan maksiat. Ketahuilah wahai pemudaku, jangan tertipu dengan koleksi maksiatmu, kerana kamu sebenarnya sedang melalui hukuman dari Tuhan-Mu tanpa kamu sedari. Diriwayatkan seorang rahib Bani Israel bermimpi bertemu Allah dan ia berkata, “Tuhanku. Aku bermaksiat kepada-Mu, tetapi Engkau tidak menghukumku.” Allah berfirman; “Aku sudah sering menghukummu, tetapi engkau tidak tahu. Bukankah aku telah membuatmu tidak lagi dapat bermunajat kepada-Ku dengan manis?” Itu hukuman Allah yang masih lagi lembut tapi tetap keras kesannya kelak, bagaimana pula dengan azab di alam kubur , di padang masyhar dan di neraka Allah SWT kelak?
Kesan Maksiat
Ibnu Qayyim RA dalam kitabnya Al Fawaid dengan indah mengkomentarkan kepada kita wahai pemuda, akibat-akibat dari maksiat, katanya:
“Di antara kesan maksiat ialah pelakunya tidak banyak mendapatkan petunjuk, fikirannya kacau, ia tidak melihat kebenaran dengan jelas, hatinya rosak, daya ingatannya lemah, waktunya hilang dengan sia-sia, dibenci manusia, hubungannya dengan Allah renggang, doanya tidak dikabulkan, hatinya keras, keberkatan rezeki dan umurnya hilang, diharamkan mendapatkan ilmu, hina dan dihinakan musuh, dadanya sesak, diuji dengan rakan-rakan yang jahat yang merosakan hati dan mensia-siakan masa, cemas berpanjangan, sumber rezekinya terhad, dan hatinya tergoncang. Maksiat dan lalai membuat dirinya tidak upaya berzikir kepada Allah.
Wahai pemuda!, Kini rahsia kelemahan pemuda Islam telah diformulakan dengan jelas oleh Ibnu Qayyim. Inilah akibatnya apabila maksiat dipandang remeh dan dibiarkan menyelaputi hati dan jiwa ragamu. Ayuh segera kita bersihkan sebelum terlambat. Firman Allah SWT:
“Dan kembalilah kepada Rabb kamu dan serahlah diri kamu kepadaNya sebelum azab menimpa kamu dan selepas itu kamu tidak akan ditolong lagi. Dan ikutilah (al-Qur’an) sebaik-baik (hidayah) yang diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu sebelum azab menimpa kamu secara mendadak, sedangkan kamu tidak sedar.” (Az-Zumar: 54-55)
Kata Sayyid Qutb RA, kembali kepada Allah menyerahkan diri kepadaNya dan pulang semula kepada bayangan keta’atan dan penyerahan diri yang teduh, inilah sahaja langkah yang perlu untuk mendapat rahmat Allah. Di sana tidak ada upacara-upacara, tidak ada istiadat-istiadat, tidak ada halangan-halangan, tidak ada orang-orang tengah dan tidak ada tukang-tukang syafa’at! Itulah hisab secara langsung di antara hamba dan Allah. Dan itulah hubungan secara langsung antara makhluk dan Khaliq, justeru itu barangsiapa dari orang-orang yang menyeleweng yang ingin kembali kepada Allah, maka silakan kembali dan barangsiapa dari orang-orang sesat yang ingin kembali kepada Allah, maka silalah bertaubat, sesiapa dari penderhaka-penderhaka yang ingin menyerah diri kepada Allah, silalah menyerah, silalah datang dan masuk, kerana pintu sedang terbuka dan bayangan yang teduh, lembut, selesa semuanya berada di sebalik pintu ini di mana tiada pengawal dan tiada pula pemeriksa! Silalah bertaubat segera sebelum luput waktu… Silalah pulang! Sebelum kamu menyesal kerana terlepas peluang, kerana cuai menunaikan kewajipan terhadap Allah.
Introspeksi Diri
Wahai pemuda muslim! Bangkitlah jiwamu dengan iman dan kebersihan hati, kerana dikau adalah harapan umat untuk menegakkan kebenaran. Bebaskan dirimu dari belenggu kemaksiatan, pertahankan hatimu dari selaput dosa dengan taubat kepada Allah SWT kerana ianya kunci kekuatan perjuangan buat para pemuda beriman. Imam Hassan Al Banna ada berpesan kepada kita:
Jauhilah maksiat, singkiri mungkarat! Dosa itu akan menodai dirimu, akan menghitamkan wajah riwayatmu. Engkau tidak akan sanggup menghadap, jika mukamu tebal dan hitam dengan dosa dan maksiat, Namamu akan cemar dihadapan Rabbi, kalau laranganNya tidak engkau singkiri dan jauhi. Bersihkanlah keluargamu, jiran dan tetanggamu, masyarakat bangsamu daripada maksiat dan mungkarat dan dosa dan noda. Bangsa dan Negaramu akan karam-tenggelam dalam lembab kehancuran dan kebinasaan, jikalau maksiat dan mungkarat telah menjadi pakaiannya. Ma’ruf yang harus tegak dan mungkar yang harus roboh, adalah program perjuanganmu. Al-Haq yang mesti dimenangi dan bathil yang harus dibinasakan, adalah acara dan jihadmu.
Untuk itu, marilah kita introspeksi diri, apakah selama ini kita merasa menang melawan hawa nafsu dan godaan syaitan atau malah kalah? Tingkatkan taubat, tinggalkan maksiat. Jauhi dosa yang dipandang remeh dan kecil. Kerana dosa mampu membakar satu negara dan bangsa. Hai pemuda pemudi yang berdosa berkali-kali, cubalah berfikir apa yang membuat anda berdosa?
Allah Bersama Dengan Generasi Bertaubat
Wahai pemuda muslim, bersatulah dalam kita membina generasi yang sentiasa bertaubat kepada Allah SWT. Allah menyeru kita menyertai pasukan yang sentiasa sedar dan menginsafi atas dosa dan maksiat yang telah dilakukannya dengan sebenar-benar taubat. Firman Allah SWT:
“Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubatan nasuhaa (taubat yang semurni-murninya). Mudah-mudahan Rabbmu akan menutupi kesalahan-kesalahanmu dan memasukkanmu ke dalam jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, pada hari ketika Allah tidak menghinakan nabi dan orang-orang mukmin yang bersama Dia; sedang cahaya mereka memancar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, sambil mereka mengatakan: “Ya Rabb kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan ampunilah Kami; Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (At Tahrim:8)
Firman Allah SWT lagi:
“Katakanlah kepada hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri: Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah bersedia mengampuni semua dosa. Sungguh, Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
(Az-Zumar: 53)
Itulah rahmat Allah yang dapat menampung semua maksiat walau bagaimana besar sekalipun. Itulah seruan Allah mengajak kita kembali kepadaNya, iaitu mengajak kita yang melakukan maksiat yang melampaui batas, liar dan begitu jauh di belantara kesesatan, kepada harapan dan kepercayaan untuk mendapat keampunan dari Allah kerana Allah Maha Penyayang terhadap hamba-hambaNya dan mengetahui segala kelemahan kita, juga mengetahui segala faktor-faktor yang mempengaruhi kita dari dalam jiwa kita sendiri dan dari luar.
Allah mengetahui bahawa syaitan sentiasa memerangkap kita di setiap tempat untuk menyerang hendap ke atas jiwa para pemuda Islam. Setiap jalan yang dilalui mereka dihalang syaitan, dan syaitan mengemblengkan angkatan tenteranya yang berkuda dan berjalan kaki untuk menyerang hati para pemuda Islam. Syaitan bekerja keras dan bertungkus lumus melaksanakan kerja-kerja jahatnya, dan syaitan tahu bahawa kejadian manusia itu lemah dan bahawa manusia itu cepat gugur apabila sahaja terlepas dari tangannya tali hubungan dengan Allah. Tugas-tugas, kecenderungan-kecenderungan dan keinginan hawa nafsu yang ada di dalam jiwa para pemuda begitu cepat menyeleweng dan hilang imbangannya. Ini menyebabkan para pemuda terumbang-ambing di sana-sini dan jatuh ke dalam maksiat.
Wahai pemuda pemudi yang mendambakan keampunan dari Allah. Bersegeralah kamu bertaubat kepada-Nya. Sesungguhnya Allah SWT, mengetahui semua kelemahan yang ada pada kita, dan dosa-dosa yang telah kita lakukan. Namun kasih sayang Allah Maha Luas, justeru itu Dia menghulurkan pertolongan dan meluaskan rahmat kepada kita semua.
Allah tidak membiarkan para pemuda muslim yang mahu kembali kepada-Nya terkapar-kapar kelemasan. Allah SWT menyediakan segala wasilah (sarana dan jalan) kepada kita untuk memperbaiki kesalahan kita dan membetulkan langkah kita supaya berjalan di atas jalan yang lurus. Dan apabila kita terjerumus di dalam maksiat dan melakukan dosa yang keterlaluan sehinggakita mengira bahawa kita telah diusir dari rahmat Allah dan nasib kesudahannya telah berakhir dan tidak dapat ke mana-mana lagi, maka di saat-saat putus asa inilah maka kita mendengar seruan Ilahi yang lembut dan amat halus:
“Katakanlah kepada hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri: Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah bersedia mengampuni semua dosa. Sungguh, Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
(Az-Zumar: 53)
Semoga Allah menerima iman dan amal soleh kita dan semoga Allah mengampuni dosa kita. Hendaklah kita tanpa jemu memohon taubat kepada Allah dengan tidak henti-henti dan memohon kepada Allah agar mengurniakan kelestarian taufiq-Nya kepada kita semua.
Artikel di atas merupakan petikan tulisan penulis di langitilahi.com
Tuesday, March 15, 2011
Tsunami Jepun vs Tsunami Acheh
’’ Katakanlah: Dialah yang berkuasa menghantar kepada kamu azab seksa (bala bencana), dari sebelah atas kamu, atau dari bawah kaki kamu, atau Ia menjadikan kamu bertentangan dan berpecah, dan Ia merasakan sebahagian daripada kamu akan perbuatan ganas sebahagian yang lain.Perhatikanlah bagaimana Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan dengan berbagai cara, supaya mereka memahaminya”. (Surah Al An’aam: 65).
Ketika Acheh dilanda gempa bumi dan tsunami pada akhir Disember 2004, ribuan mangsa terkorban. Penulis sempat menyertai pasukan misi pertama bantuan kemanusiaan HALUAN ke Acheh seminggu selepas kejadian tersebut. Penulis dapat melihat sendiri kerosakan dan kemusnahan yang sangat dashyat. Malahan saat kami melalui kawasan perkampungan yang telah berubah menjadi padang jarak padang terkukur, kaki penulis ketar, hati penulis berdebar, penulis menahan air mata dari mengalir di pipi, gentar melihat alunan ombak yang indah pada pandangan mata tetapi mampu berubah menjadi “ganas” membadai bumi. Di Acheh, Allah SWT memperlihatkan sebahagian daripada tanda-tanda kebesaran-NYA. Acheh digelar serambi Mekah, majoriti penduduknya adalah Islam dan berusaha melaksanakan undang-undang syariah di negeri mereka. Sebelum tsunami, umat Islam di sana bergolak dan berhadapan dengan palbagai ancaman dan permasalahan. Tsunami telah merubah mereka, bukan sekadar landskap geografi negeri mereka, tetapi turut memberi impak perubahan kepada landskap politik, keimanan dan kehidupan mereka. Tsunami telah mengajar mereka erti dan hakikat kehidupan! Memahamkan mereka makna kesatuan umat dan kebesaran Tuhan! Mengajar mereka kepada siapa manusia patut berharap dan berserah diri? Dan pengajaran besarnya, Allah SWT memperingatkan manusia bahawa Dia-lah pemilik alam ini dan seluruhnya. Bukan sekadar mereka yang di Acheh sahaja yang boleh mengambil ibrah, tetapi kita juga yang di sini.
Tsunami Membadai Jepun
Terkini, Jepun dilanda gempa bumi dan tsunami, ribuan juga dijangkakan terkorban. Takziah buat masyarakat Jepun. Jepun adalah ikon Negara paling maju, memiliki sistem pertahanan dan teknologi yang jauh ke hadapan berbanding Acheh. Mereka memiliki kepakaran dan perancangan untuk berhadapan dengan sebarang kejadian alam seperti gempa bumi dan tsunami. Jepun telah lebih awal melakukan persiapan berbanding Acheh dalam berhadapan dengan gempa bumi dan tsunami, sehingga jumlah yang terkorban lebih sedikit dibandingkan Acheh. Di Acheh mencapai angka 120 ribu nyawa terkorban akibat tsunami, di Jepun dijangka 10 ribu yang terkorban pada saat ini. Sedangkan kerosakan fizikal yang berlaku di Jepun lebih teruk berbanding Acheh. Hal ini disebabkan kerana Jepun memiliki sistem amaran awal gempa dan alat pengesan gempa dan tsunami yang berfungsi dengan baik. Ianya berjaya mengelakan lebih ramai rakyat Jepun terkorban akibat tsunami. Tetapi kecepatan pergerakan manusia masih kalah berbanding dengan kecepatan air bah yang dihasilkan oleh tsunami. Sehingga kematian tetap berlaku. Saat ini Jepun masih “dikejutkan” dengan ujian tsunami. Hampir 2 juta kehilangan tempat tinggal, entah berapa billion kerugian yang mereka hadapi. 1 juta mangsa menghadapi krisis air bersih.Tsunami Jepun juga dilaporkan mampu mencetuskan tsunami ekonomi dunia. Tsunami pada kali ini berbeza daripada tsunami di Acheh. Kesan tsunami Jepun turut akan melanda Negara-negara lain melalui tsunami ekonomi.
Islam di Jepun
Acheh dan Jepun, 2 buah Negara yang berbeza iklim politik, agama, kekayaan, budaya, ekonomi dan kefahaman mereka tentang kehidupan. Jepun telah dikenali sebagai sebuah Negara paling maju dan kuasa besar dalam ekonomi. Jepun berusaha mengekalkan ‘kejepunan’ (japaneseness) mereka dalam proses membina kemajuan. Nilai-nilai masyarakat Jepun yang baik cuba dikekalkan. Banyak nilai-nilai mulia dan tinggi dalam masyarakat Jepun. ‘Japanese values’ ini sebahagian besarnya seiras dengan tuntutan Islam. Masyarakat Jepun terkenal dengan nilai-nilai mulia seperti bersih, menepati waktu, santun, kuat bekerja dan hubungan kekeluargaan. Sebenarnya, nilai-nilai mulia ini adalah nilai yang dipegang oleh masyarakat Jepun sebagai adat dan budaya. Ia bukan kerana asas agama. Masyarakat Jepun mempunyai pelbagai agama. Bahkan agama tidak mempunyai peranan besar dalam kehidupan mereka. Dalam sebahagian kajian menunjukkan kebanyakan masyarakat Jepun tidak berpegang kepada apa-apa agama. Nilai-nilai agama juga tidak ditonjolkan di khalayak awam. Sementara nilai-nilai mulia bangsa itu dipatuhi dan diwarisi dari generasi ke generasi.
Jika budaya dan adat yang tidak menjanjikan syurga dan neraka, tidak berpaksikan konsep ketuhanan atau tauhid mampu membentuk kualiti masyarakat Jepun, bagaimana dengan kita umat Islam, jika agama yang kita anuti gagal berperanan dalam membangunkan kualiti masyarakat kita. Sepatutnya Islam yang bersumberkan wahyu, arahan dari Allah patut memberi lebih impak dalam masyarakat kita melebihi masyarakat Jepun.
Islam di Jepun masih baru. Menurut Professor Kosugi Yasushi, pengarah Center for Islamic Area Studies, muslim pertama di Jepun adalah pada tahun 1891. Orang Jepun pertama pergi haji pada tahun 1909. Masjid pertama di Jepun ialah di Kobe, pada tahun 1934. Kemudian Masjid Tokyo pada tahun 1938. Ertinya, Islam masih baru di Jepun. Hanya sekitar 100 tahun. Ada beberapa krisis Dunia yang menyebabkan timbul minat masyarakat Jepun ingin mengenali Islam, antaranya krisis minyak pada tahun 1973, Revolusi Iran 1979 dan tragedi 11 September 2001. Hari ini dianggarkan 10,000 rakyat Jepun yang menganut Islam. Perkahwinan dengan muslim salah satu faktor kemasukan rakyat Jepun ke dalam Islam.
Bangsa Jepun adalah bangsa yang maju. Penulis yakin mereka akan cepat belajar daripada kejadian Tsunami yang paling dashyat melanda mereka pada kali ini. Mereka akan berusaha mempertingkatkan lagi kecanggihan teknologi mereka untuk berhadapan dengan bencana mendatang. Persoalannya apakah cukup sekadar bergantung kepada ketinggian intelektual dan kecanggihan teknologi? Firman Allah SWT:
” Maka masing-masing Kami binasakan dengan sebab dosanya, iaitu di antaranya ada yang Kami hantarkan angin ribut menghujaninya dengan batu;dan ada yang dibinasakan dengan letusan suara yang menggemparkan bumi; dan ada yang Kami timbuskan dia di bumi;dan ada pula yang Kami tenggelamkan di laut. Dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri”. (Al-'Ankabut:4).
Kejadian tsunami di Jepun memberi peluang kepada umat Islam dari seluruh dunia, khsuusnya NGO Islam dan pertubuhan kebajikan Islam unttk turun padang memberi khidmat dan bakti kepada mangsa tsunami di Jepun. Sebagaimana missionari Barat berbondong-bondong memasuki Acheh saat di landa tsunami. IHH, sebuah badan kebajikan dan kemasyarakatan Islam yang bertaraf antarabangsa dari Turki telah pun menghantar pasukan pertama mereka ke Jepun, NGO Islam dari Malaysia bila lagi? Benar Jepun negara maju dan mereka tidak perlu bantuan luar. Yakinlah dakwah tidak akan bergerak ke mana sekiranya alasan demi alasan kita longgokkan di hadapan kita untuk tidak ke sana. Peluang ini hanya datang sekali, semoga banyak lagi NGO Islam dan pertubuhan Islam mengikuti jejak langkah pertubuhan IHH. Dengan hadirnya kita di sana akan mendekatkan lagi peribadi, sahsiah dan keindahan Islam kepada mereka. Inilah masanya mereka melihat bahawa Islam adalah merentasi sempadan dan Islam mengambil berat permasalahan mereka.
Belajar Dari Tsunami
Sebagai muslim, setiap kejadian musibah pasti ada hikmah dan pengajarannya. Wujud pandangan yang menyatakan gempa bumi dan tsunami adalah perancangan Allah untuk menyucikan dosa umat manusia. Namun, sejauh manakah kita mampu akur dengan kenyataan ini, jika masing-masing masih mempertikaikannya. Jika benar musabab ini yang sedang ditunjukkan Allah, maka sewajarnya semua pihak bermuhasabah diri, terutama terhadap tanggungjawab dan amanah kepada-Nya.
Sesungguhnya, Allah mampu menurunkan ujian yang lebih perit dan hebat daripada apa yang kita dapat pada hari ini. Bahkan Allah SWT mampu turunkan bala dan ujian samada di Negara miskin mahupun di Negara termaju. Samada di Indonesia, Jepun, Amerika, Sudan, Palestin, Mesir, mahupun Malaysia.
Dalam Al-Quran Surat 11 (Huud) ayat 3 dan 11, Allah SWT berfirman yang ertinya:
“dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhanmu dan bertaubat kepada-Nya. (Jika kamu mengerjakan yang demikian), niscaya Dia akan memberi kenikmatan yang baik (terus menerus) kepadamu sampai kepada waktu yang telah ditentukan dan Dia akan memberikan kepada tiap-tiap orang yang mempunyai keutamaan (balasan) keutamaannya. Jika kamu berpaling, maka sesungguhnya aku takut kamu akan ditimpa siksa hari kiamat.” (Huud ayat 3)
“kecuali orang-orang yang sabar (terhadap bencana), dan mengerjakan amal-amal soleh; mereka itu beroleh ampunan dan pahala yang besar.” (Huud ayat 11)
Allah SWT berfirman:
"Dan biasanya kami tidak menurunkan tanda-tanda itu melainkan untuk menjadi amaran" (Al Israa: 59).
Maknanya, Allah SWT menimbulkan rasa takut dalam jiwa hamba-hamba-Nya dengan tanda-tanda yang agung itu. Berkata Qatadah rahimahullah:
"Sesungguhnya AllahSWT menakutkan manusia dengan tanda-tanda kekuasaan yang Dia hendaki, agar mereka mengambil pengajaran, ingat bahawa mereka akan kembali kepada Allah SWT".
Maka sebagai seorang mukmin itu, perlulah kita bina rasa takut kepada azab Allah SWT, merenung dan mengambil pengajaran dari setiap ujian yang diturunkan-Nya kepada kita. Wallahu’alam.
Wednesday, March 09, 2011
34 Muhasabah Buat Diri
Alhamdulillah, 2-3 minggu yang lalu, penulis banyak melaksanakan tugas di luar kawasan, ke Perlis, Kedah, Selangor, Terengganu dan KL. Kemudian Allah izin, penulis jatuh sakit untuk beberapa hari. Ketika penulis di”rehat”kan oleh Allah SWT beberapa hari dengan demam, batuk, selsema, sakit kepala dan sakit badan, penulis berkesempatan menghabiskan masa menelaah bahan bacaan di mini perpustakaan di rumah penulis, membaca pelbagai kitab tulisan ulama muktabar yang membicarakan pelbagai persoalan kehidupan kita sebagai muslim. Penulis mencari dan menggali makna kehidupan dan kesempurnaan sebagai muslim.
Ternyata masih banyak lagi yang perlu diperbaiki diri ini selagi mana kita bernama manusia. Terlalu banyak kelemahan diri yang perlu diperhalusi. Kebanyakan tulisan ulama terdahulu banyak menulis dan memberi perhatian kepada persoalan HDA (Hubungan Dengan Allah). Itulah persoalan asas yang telah di bawa oleh junjungan besar Rasulullah SAW, persoalan aqidah dan keimanan, permasalahan qubra (besar) iaitu penghambaan manusia hanya sanya kepada Allah SWT.dalam seluruh aspek kehidupan manusia. Rasulullah SAW dan para sahabat RA berjuang mempertahankan keimanan dan kedaulatan sistem kehidupan yang berpaksikan ubudiyyah (penghambaan) kepada Allah SWT semata. Firman allah SWT yang bermaksud:
“Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepadaKu” (Az-Dzariyat:56)
" Kamu tidak menyembah yang lain selain Allah kecuali hanya (menyembah) nama-nama yang kamu dan nenek moyangmu membuat-buatnya. Allah tidak menurunkan suatu keteranganpun tentang nama-nama itu. Tiada Hukum melainkan kepunyaan Allah. Ia memerintahkan kamu agar jangan beribadah melainkan kepada-Nya. Itulah sahaja Din yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. "
(Surah Yusuf: ayat 40.)
Kita bersyukur atas keislaman kita, namun perlu kita refleksi sejauh maka penghambaan kita kepada-Nya, sesuai dengan makna Islam itu sendiri. Abul Ala Al Maududi, seorang tokoh sarjana Islam mutakhir, ketika menjelaskan makna Islam beliau menulis, "Islam adalah kalimah arab yang membawa erti tunduk, patuh dan menyerah. Sebagai satu agama, Islam terdiri di atas asas ketundukan dan kepatuhan yang total kepada Allah". Al Imam As Shahid Sayyid Qutb, beliau menegaskan bahawa Islam itu adalah manhaj Ilahi kepada kehidupan manusia.
Al Bayuni dalam kitabnya Min Mahasin Al Islam menjelaskan Islam dengan erti tunduk patuh kepada Allah serta menerima rela segala dasar-dasar hukumnya. Oleh itu seorang muslim yang sebenar beramal dengan apa yang disuruh dan menjauhi segala larangan serta tunduk patuh kepada segala hukum hakamnya dan berhukum kepada-Nya dalam segala perkara. Takrifan ini dibuat berdasarkan firman Allah SWT.:
"Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya." (An Nisa: 65)
Dan firman Allah lagi;
"Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak ke pada Kitab Allah dan Sunnah RasulNya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka berkata: "Kami dengar dan kami taat.” (An-Nur: 51)
Begitulah rincinya makna kehidupan ini, tugas kita adalah merealisasikan pembuktian ketaatan kita yang bulat kepada Allah SWT.
Untuk seketika, mari kita bermuhasabah sebentar, sejauh mana keimanan kita dan kehidupan kita berjalan atas paksi yang benar. Sejauh mana kita berusaha mendekatkan diri kita kepada-Nya. sebenar mana kita melaksanakan amal ibadah kita tanda kita dahagakan iman dan keampunan dari-Nya. Nukilan muhasabah ini penulis tujukan buat diri penulis sendiri.
Risalah muhasabah ini dinukilkan dari kitab Al-Wabil Ash-Shoyyib oleh Imam Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah rahimahullah, semoga ianya memberi kebaikan kepada kita dalam merefleksi kehidupan kita selama ini.
34 kehidupan seharian sebagai muslim :
1. Apakah Anda selalu solat subuh berjama'ah di masjid setiap hari ?
2. Apakah Anda selalu menjaga Solat yang lima waktu di masjid ?
3. Apakah Anda hari ini membaca Al-Qur'an ?
4. Apakah Anda rutin membaca zikir setelah selesai melaksanakan Solat wajib ?
5. Apakah Anda selalu menjaga Solat sunnah Rawatib sebelum dan sesudah Solat wajib ?
6. Apakah Anda (hari ini) Khusyu dalam Solat, menghayati apa yang Anda baca ?
7. Apakah Anda (hari ini) mengingat Mati dan Kubur ?
8. Apakah Anda (hari ini) mengingat hari Kiamat, segala peristiwa dan kedahsyatannya ?
9. Apakah Anda telah memohon kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala sebanyak tiga kali, agar memasukkan Anda ke dalam Syurga ? Maka sesungguhnya barang siapa yang memohon demikian, Syurga berkata : "Wahai Allah SWT. masukkanlah ia ke dalam Syurga".
10. Apakah Anda telah meminta perlindungan kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala agar diselamatkan dari api neraka sebanyak tiga kali ? Maka sesungguhnya barangsiapa yang berbuat demikian, neraka berkata : "Wahai Allah peliharalah dia dari api neraka". (Berdasarkan hadits Rasulullah SAW yang artinya : "Barangsiapa yang memohon Syurga kepada Allah sebanyak tiga kali, Syurga berkata : "Wahai Allah masukkanlah ia ke dalam Syurga. Dan barangsiapa yang meminta perlindungan kepada Allah agar diselamatkan dari api neraka sebanyak tiga kali, neraka berkata : "Wahai Allah selamatkanlah ia dari neraka". (Hadits Riwayat Tirmidzi dan di sahihkan oleh Syaikh Al-Albani dalam Shahih Al-Jami No. 911. Jilid 6).
11. Apakah Anda (hari ini) membaca hadith Rasulullah SAW?
12. Apakah Anda pernah berfikir untuk menjauhi teman-teman yang tidak baik ?
13. Apakah Anda telah berusaha untuk menghindari banyak tertawa dan bergurau ?
14. Apakah Anda (hari ini) menangis kerana takut kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala ?
15. Apakah Anda selalu membaca Dzikir pagi dan petang hari ?
16. Apakah Anda (hari ini) telah memohon ampunan kepada Allah SAW atas dosa-dosa (yang engkau telah perbuat) ?
17. Apakah Anda telah memohon kepada Allah SWT dengan benar untuk mati Syahid ? Kerana sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda yang ertinya : "Barangsiapa yang memohon kepada Allah SWT dengan benar untuk mati syahid, maka Allah SWT akan memberikan kedudukan sebagai syuhada meskipun ia meninggal di atas tempat tidur". (Hadits Riwayat Tirmidzi, Nasa'i, Ibnu Majah, Ibnu Hibban dalam shahihnya, Al-Hakim dan ia mensahihkannya).
18. Apakah Anda telah berdo'a kepada Allah SWT agar ia menetapkan hati Anda atas agama-Nya ?
19. Apakah Anda telah mengambil kesempatan untuk berdo'a kepada Allah SWT di waktu-waktu yang mustajab?
20. Apakah Anda telah membeli buku-buku agama Islam untuk memahami agama ? (Tentu dengan memilih buku-buku yang sesuai dengan pemahaman yang difahami oleh para Sahabat Nabi SAW, kerana banyak juga buku-buku Islam yang tersebar di pasaran justru merosakan kefahaman Islam yang benar).
21. Apakah Anda telah memintakan ampunan kepada Allah SWT untuk saudara-saudara mukminin dan mukminah ? Kerana setiap mendo'akan mereka Anda akan mendapat kebajikan pula.
22. Apakah Anda telah memuji Allah SWT (dan bersyukur kepada-Nya) atas nikmat Islam ?
23. Apakah Anda telah memuji Allah SWT atas nikmat mata, telinga, hati dan segala nikmat lainnya ?
24. Apakah Anda hari ini telah bersedekah kepada fakir miskin dan orang-orang yang memerlukannya ?
25. Apakah Anda dapat menahan marah yang disebabkan urusan peribadi, dan berusaha untuk marah kerana Allah SWT saja ?
26. Apakah Anda telah menjauhi sikap sombong dan membanggakan diri sendiri ?
27. Apakah Anda telah mengunjungi saudara seagama, ikhlas kerana Allah SWT ?
28. Apakah Anda telah menda'wahi keluarga, saudara-saudara, tetangga, dan siapa saja yang ada hubungannya dengan diri Anda ?
29. Apakah Anda termasuk orang yang berbakti kepada orang tua ?
30. Apakah Anda mengucapkan "Innaa Lillahi wa innaa ilaihi raji'uun" jika mendapatkan musibah ?
31. Apakah Anda hari ini mengucapkan do'a ini : "Allahumma inii a'uudubika an usyrika bika wa anaa a'lamu wastagfiruka limaa la'alamu = Ya Allah sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari menyekutukan Engkau sedangkan aku mengetahui, dan aku memohon ampun kepada-Mu terhadap apa-apa yang tidak aku ketahui". Barangsiapa yang mengucapkan yang demikian, Allah Subhanahu wa Ta'ala akan menghilangkan darinya syirik besar dan syirik kecil. (Lihat Shahih Al-Jami' No. 3625).
32. Apakah Anda berbuat baik kepada tetangga ?
33. Apakah Anda telah membersihkan hati dari sombong, riya, hasad, dan dengki ?
34. Apakah Anda telah membersihkan lisan dari dusta, mengumpat, mengadu domba, berdebat dan berbuat serta berkata-kata yang tidak ada manfaatnya ?
35. Apakah Anda takut kepada Allah SWT dalam hal rezeki, makanan dan minuman, serta pakaian ?
36. Apakah Anda selalu bertaubat kepada Allah SWT dengan taubat yang sebenar-benarnya di segala waktu atas segala dosa dan kesalahan ?
Tundukkanlah pandanganmu, pandanglah wajah hatimu, tariklah nafasmu sedalam-dalamnya, apakah 36 senarai di atas mendepani hidupmu. Ya Allah! Ternyata kami telah menzalimi diri kami sendiri, maka ampunilah kami!
Selama ini kita banyak bersukaria dengan kehidupan dan jarang melakukan intropreksi diri dengan ikhlas. Kita banyak tidur dan bermain. Salah seorang ahli ibadah berkata: Aku mendatangi Ibrahim bin Adham lalu aku mendapatinya telah menunaikan solat isyak, kemudian aku duduk memerhatikannya, lalu dia menyelimuti dirinya dengan sehelai jaket kemudian berbaring tanpa bergerak sama sekali semalam suntuk hingga terbit fajar dan dikumandangkan azan untuk solat subuh tetapi dia tidak berwuduk. Hal ini mengusik dadaku lalu aku berkata kepadanya. “Semoga Allah melimpahkan rahmat kepadamu, engkau telah tidur semalam suntuk dengan berbaring tetapi engkau tidak berwuduk lagi.” Ibrahim bin Adham menjawab “Selama semalam suntuk tadi kadang-kadang aku berkeliling di taman-taman syurga dan kadang-kadang di lembah-lembah neraka. Apakah keadaan seperti itu tidur?
Begitulah kehidupan seorang ulama yang zuhud, hidupnya berfikir dan merenung antara nikmat syurga dan azab neraka. Semoga hari ini lebih baik dari semalam. Semoga diri ini kembali kepada fitrahnya iaitu membersihkan hati dar segala karat-karat “jahiliyah” kehidupan yang merosakan keimanan kita kepada Allah SWT.
Tuesday, March 08, 2011
Berguru Bersama Ali Bin Abi Talib RA
Hari ini mari kita berguru bersama Ali bin Abi Thalib RA, kita meneladani beliau untuk menjadi pemuda muslim yang luarbiasa di sisi Allah SWT. Manakan tidak, beliau dikenali sebagai orang yang alim dan bijaksana, penghafal Quran, seorang sasterawan dan ahli pidato,seorang pahlawan perang dan negarawan. Dia seorang yang berilmu dan cintakan ilmu. Ali juga adalah pelopor ilmu tauhid, ilmu mantiq, fiqih, ilmu nahu dengan penulisan bahasa Arab.
Segera Menyahut Seruan Dakwah
Beliau dilahirkan 10 tahun sebelum kenabian Rasulullah SAW. Beliau adalah remaja paling kecil dari saudara-saudaranya, dan dididik di rumah Nabi SAW, dan saat wahyu diturunkan kepada Rasulullah SAW, baginda SAW mengajak Ali bin Abi Thalib untuk beriman kepada Allah yang Maha Esa, maka segeralah Ali menerima da’wah tersebut dan memeluk agama Allah (Islam), sehingga Ali dianggap sebagai orang pertama yang masuk Islam dari golongan anak-anak. Saat Rasulullah SAW memulakan dakwah kepada sanak saudaranya, Rasulullah SAW telah mengundang sekalian sanak saudaranya pada satu jamuan di rumahnya. Setelah mereka datang maka Rasulullah SAW pun menerangkan kepada mereka itu tentang agama Islam yang dibawanya itu. Maka Abu Lahab memutuskan pembicaraannya serta menyuruh hadirin yang lain supaya meninggalkan jamuan makan itu. Pada keesokan harinya Rasulullah SAW mengadakan pula jamuan makan, dan setelah selesai bensantap, maka bersabdalah Rasul SAW.:
"Saya rasa tidak ada seorang yang membawa sesuatu yang lebih mulia daripada yang ku bawa sekarang. Maka siapakah di antara kalian yang akan menolongku? Tatkala mendengarkan rayuan Rasul itu mereka semua marah lalu bangkit untuk meninggalkan rumah itu. Tetapi Ali yang masih lagi belum baligh ketika itu lantas bangun seraya berkata, "Hai Rasulullah, akulah yang akan menolongmu. Aku akan memerangi sesiapa sahaja yang akan memerangimu, lalu disambut oleh hadirin dengan tertawa sambil melihat-lihat Abu Talib dan anaknya itu. Kemudian mereka meninggalkan rumah Rasul itu sambil mengejek-ejek. Begitulah sikap Ali yang optimis dan segera menyahut seruan dakwah Ilallah.
Saat bapa Ali bin Abi Thalib melihatnya solat bersama Rasulullah SAW, ayahnya berkata kepadanya : “Wahai anakku, agama apakah yang engkau anut ini?” Ali berkata : “Wahai Abi, saya beriman kepada Allah, dan percaya dengan apa yang dibawa oleh Muhammad, saya solat bersamanya dan mengikutinya”. Lantas bapanya berkata : “Ketahuilah bahawa dia (Nabi) tidak akan mengajak kamu kecuali dalam kebaikan, maka ikutilah dia”. Ali amat akrab dengan Rasulullah SAW. sehingga beliau pernah berkata:
"Nabi membesarkan aku dengan suapannya sendiri. Aku menyertai beliau kemanapun beliau pergi, seperti anak unta yang mengikuti induknya. Tiap hari aku dapatkan suatu hal baru dari karakternya yang mulia dan aku menerima serta mengikutinya sebagai suatu perintah".
Rasulullah SAW sangat mencintai Ali dan selalu memujinya, pernah baginda bersabda kepadanya : “Engkau adalah sebahagian dariku, dan Aku adalah sebahagian darimu”. (Al-Bukhari)
Pemuda Yang Berani
Rasulullah SAW ada bersabda: "Tiada pemuda sehebat AlĂ®". Ali bin Abi Thalib mengajar kita erti keberanian, ketaatan dan kepatuhan dalam melaksanakan tanggungjawab dakwah dan jihad. Saat Rasulullah SAW akan melakukan hijrah ke Madinah, baginda memerintahkan kepada Ali bin Abi Thalib untuk tidur diatas dipannya, dan disaat malam mulai gelap sekelompok kafir Mekah melakukan pengepungan dimana setiap orang diantara mereka menggenggam pedang yang menghunus tajam, mereka berdiri di depan pintu rumah Rasulullah SAW menunggu keluar untuk menunaikan solat fajar agar mereka dapat memenggal baginda sekaligus, namun Allah SWT telah membongkarkan konspirasi tersebut dan menyuruh baginda untuk keluar dari hadapan mereka. Lalu Nabipun keluar dari rumahnya sedangkan Allah SWT telah membutakan penglihatan orang-orang musyrik, dan nabi menaburkan debu diatas kepala mereka sambil membacakan firman Allah SWT :
“Dan kami jadikan penghalang dihadapan mereka dan dibelakang mereka, dan kami butakan mereka hingga mereka tidak dapat melihat”. (Yasin : 9)
Kemudian saat matahari mulai terbit; orang-orang musyrik baru sedar lalu masuk ke rumah Nabi sambil menghunuskan pedang mereka untuk membunuh orang yang sedang tidur, namun mereka tidak menemukan Rasulullah SAW disana kecuali menemukan Ali bin Abi Thalib, yang segera bangkit dari tidurnya sambil berhadapan dengan mereka dengan gagah berani.
Setelah Rasulullah SAW hijrah ke Madinah, Ali tinggal di Mekah selama beberapa saat untuk menunaikan tugasan yang diwasiatkan kepadanya seperti yang telah diperintahkan oleh Rasulullah SAW. Dan setelah Ali hijrah ke Madinah Rasulullah SAW telah mempersaudarakan antara Muhajirin dan Ansar, lalu beliau berkata kepada baginda :
“Wahai Rasulullah, engkau telah mempersaudarakan antara para sahabatmu, tapi saya belum engkau persaudarakan dengan siapapun?.” Lalu baginda bersabda kepadanya : “Engkau adalah saudaraku di dunia dan di Akhirat”. (ibnu Abdil Bar)
Pemuda Syurga
Ali bin Abi Thalib adalah pemuda syurga. Tidak rugi kita menjejaki kehidupan beliau. Suatu hari Rasulullah SAW telah memberikan khabar gembira kepada Ali bin Abi Thalib dengan syurga, beliau adalah salah seorang calon penghuni syurga yang tidak akan dihisab terlebih dahulu.
Kita juga boleh belajar kehidupan cinta dan kasih sayang dari Ali bin Abi Thalib terhadap wanita pilihannya. Rasulullah SAW telah mengahwinkan beliau dengan salah seorang puterinya, Fatimah. Ali telah memberikan mahar dengan wang dari harga baju besi yang dihadiahkan oleh Rasulullah SAW kepadanya, lalu beliau menjualnya dan memberikan wang tersebut kepada wanita yang paling mulia di dunia dan puterinya Rasulullah SAW.
Ali menjalani kehidupan keluarganya bersama isterinya dengan aman, tenteram dan penuh kasih sayang, dan keluarga beliau dikurniakan anak kembar Hasan dan Husain.
Suatu hari Rasulullah SAW pergi ke rumah Ali namun baginda tidak menemui Ali di sana, lalu baginda bertanya kepada isterinya : “Dimana suamimu berada ?” Fatimah menjawab : “Di masjid” lalu Rasulullah SAW pun pergi ke sana, dan baginda mendapati baju Ali bin Abi Thalib terjatuh dari pundaknya dan terkena debu, lalu bagindapun membersihkannya, dan berkata : “Duduklah wahai pemuka debu… duduklah wahai pemuka debu”. (Al-Bukhari)
Pahlawan Perkasa
Ali bin Abi Thalib adalah seorang pahlawan yang hebat. Ali telah mengikuti seluruh peperangan, beliau terkenal dengan keberanian dan kepahlawanannya. Ketika berlaku Perang Badar, yang merupakan perang pertama yang terpaksa diharungi oleh kaum muslimin menghadapi musuh yang jauh lebih besar jumlahnya, untuk pertama kalinya panji perang Rasulullah SAW berkibar di medan pertempuran. Orang yang diberi kepercayaan memegang panji yang melambangkan tekad perjuangan menegakkan agama Allah SWT itu ialah Ali bin Abi Thalib.
Dalam perang Badar itu pasukan muslimin tidak sedikit yang menerjang musuh hanya dengan senjata-senjata tajam yang sangat sederhana. Sedangkan musuh yang dilawan mempunyai senjata lengkap dengan kuda-kuda tunggangan dan unta-unta. Tetapi sebenarnya kaum muslimin mempunyai senjata yang lebih ampuh berbanding lawannya, iaitu kepimpinan Rasulullah SAW dan kepercayaan kuat bahawa Allah pasti akan memberikan pertolongan-Nya. Allahu Akbar.
Ketika peperangan mula berkobar, Ali bin Abi Talib RA bersama Hamzah bin Abdul Mutalib RA dan beberapa orang lainnya, berada di barisan hadapan. Pada tangan Ali RA berkibar panji perang Rasulullah SAW. Beliau terjun ke medan perang menerjang pasukan musuh yang jauh lebih besar dan kuat. Dalam perang ini untuk pertama kalinya kalimah Allahu Akbar berkumandang menyuburkan tekad pasukan muslimin. Saat itu terdengar suara musuh menentang, Wahai Muhammad, suruhlah orang-orang yang berwibawa yang berasal dari Quraisy supaya tampil!
Mendengar cabaran itu, laksana singa lapar, Ali Bin Abi Talib RA meloncat mara ke depan mendekati suara yang mencabar itu. Terjadilah perang satu lawan satu antara beliau dengan Al Walid bin Utbah, saudara Hindun isteri Abu Sufyan. Dalam pertempuran yang sengit itu, Al Walid mati di hujung pedang Ali Bin Abi Talib RA.
Pada saat terjadi perang Khaibar, Nabi SAW bersabda : “Besok saya akan memberikan bendera kepada seseorang yang dicintai Allah dan Rasul-Nya (atau dia berkata : orang yang mencintai Allah dan Rasul-Nya), semoga Allah membukakan tangannya (memberkahinya)”. (Al-Bukhari)
Lalu para sahabatpun berharap mendapatkan apa yang telah Rasulullah SAW sabdakan menjadi pemegang bendera, lalu setelah hari menjelang pagi, Nabi bertanya keadaan Ali, dikatakan kepadanya : “Sesungguhnya mata beliau sedang sakit wahai Rasulullah”. Nabi bersabda : “Utuslah salah seorang dari kalian kepadanya dan datangkanlah dia kepadaku”
Setelah Ali menghadap Rasulullah SAW, baginda membasuh matanya dan mendoakannya, maka setelah itu mata Ali sembuh seakan tidak pernah mengalami sakit apapun, kemudian Ali berkata kepadanya : “Wahai Rasulullah, saya akan memerangi mereka sampai menjadi seperti kami. Nabi bersabda :
“Lakukanlah dengan mengutus delegasi hingga dapat mengetahui keadaan mereka, kemudian serukanlah kepada mereka akan Islam, dan khabarkanlah tentang kewajiban dari hak Allah di dalamnya, demi Allah, jika seorang diantara mereka mendapatkan hidayah melaluimu lebih baik bagimu dari unta merah” (Al-Bukhari) kemudian Allah memberikan kemenangan melalui tangannya.
Ilmuwan Terbilang, Tekun Beribadah
Ali bin Abi Thalib juga seorang cendikiawan. Beliau banyak menguasai ilmu pengetahuan, saat Aisyah RA ditanya tentang sesuatu dia menjawab : “Tanyakanlah kepada Ali. Sebagaimana Umar juga berkata demikian. Sedangkan Ali pernah berkata : “Tanyakanlah kepada saya , demi Allah tidak ada pertanyaan yang kalian tanyakan kepada saya kecuali akan saya khabarkan kepada kalian, tanyakanlah kepada saya tentang Al-Qur an, kerana demi Allah tidak satu ayatpun yang turun kecuali saya mengetahui waktu malam atau siang turun ayat tersebut, di daratan ataupun dipergunungan.
Ali bin Abi Thalib juga seorang ahli ibadah. Beliau sangat tekun beribadah, sentiasa melakukan qiyamul lail dan memanjangkan solatnya, dan beliau berkata : “Apa urusan saya dengan dunia, wahai dunia yang menyimpangkanku dari selainku”.
Wasiat Terakhir
Allah SWT mentakdirkan Ali Bin Abi Talib RA meninggal dunia pada 17 Ramadhan tahun 40 Hijrah. Ketika beliau sedang berjalan menuju ke masjid untuk sembahyang Subuh, tiba-tiba muncul Abdul Rahman bin Muljam dengan pedang terhunus. Pedang itu telah mencederakan Ali Bin Abi Talib RA dengan parah hingga beliau rebah.
Ali Bin Abi Talib RA kemudiannya telah diusung pulang ke rumahnya oleh Sahabat. Ketika itu ramai yang ingin membalas dendam tetapi Ali Bin Abi Talib RA sendiri dengan lapang dada dan ikhlas langsung tidak menyebut tentang balas dendam. Umat Islam merasa sedih melihat keadaan Ali Bin Abi Talib RA yang semakin lemah.
Ali Bin Abi Talib RA tahu bahawa sudah hampir masanya untuk beliau menyusuli Rasulullah SAW dan tiga orang Khalifah baginda sebelum ini.
Dalam keadaan sangat yang sungguh berat itu, Ali Bin Abi Talib RA sempat berwasiat:
"Ku wasiatkan kepada kamu supaya tetap bertaqwa kepada Allah. Janganlah kamu mengejar-ngejar dunia walau dunia mengejar kamu dan janganlah menyesal jika ada sebahagian dunia itu terlepas darimu. Hendaklah kamu mengatur baik-baik urusan kamu dan jagalah hubungan persaudaraan antara kalian. Ketahuilah, pertengkaran itu merosakkan agama dan ingatlah bahawa tidak ada kekuatan apa pun selain atas perkenan Allah. Perhatikan anak-anak yatim agar jangan sampai mereka kelaparan dan jangan sampai kehilangan hak. Perhatikan Al Quran, jangan sampai kamu mendahulukan orang lain dalam mengamalkannya. Perhatikan tetangga kamu sebab mereka adalah wasiat Nabi kamu."