Wednesday, March 16, 2011

Bangkitkan Jiwa Melawan Maksiat


Awas pemudaku!, Jauhi maksiat, hindari dosa-dosa kecil, syubhat, apatah lagi dosa-dosa besar. Jangan dekati perkara-perkara yang jelas haramnya, dan jangan sesekali cuba untuk berjinak-jinak dengan maksiat, walaupun maksiat itu kecil pada kaca mata pandangan kita. Kata pepatah, alah bisa, tegal biasa. Sudah berapa ramai para pemuda yang dulu hatinya bersih dari noda dan dosa, tetapi malangnya akibat berjinak-jinak dengan maksiat, mereka kini kelam dan hilang kekuatan. Firman Allah SWT:

“Katakanlah: Apakah akan kami beritahukan kepadamu tentang orang-orang yang paling merugi perbuatannya?” Iaitu orang-orang yang telah sia-sia perbuatannya dalam kehidupan di dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka berbuat sebaik-baiknya.” (al-Kahfi: 103-104)

Dosa Adalah Petaka

Wahai pemudaku, ingatkan diri kita dengan firman Allah SWT;

“Dan tinggalkanlah dosa yang nyata dan yang tersembunyi, kerana sesungguhnya orang-orang yang berusaha melakukan dosa, mereka akan dibalas dengan apa yang mereka telah lakukan.” (al-An’aam: 120)

Ayat di atas diturunkan kepada para sahabat RA. Mereka merasakan ayat ini sangat berat. Itu perasaan mereka. Bagaimana dengan kita? Sebagai seorang pemuda/pemudi mukmin, ayat di atas sepatutnya amat menakutkan diri kita dan menyebabkan bulu roma kita berdiri! Ayat di atas adalah loceng bahaya yang di titip dari kalamullah untuk menyedarkan kita semua. Jangan berasa selesa dan aman dengan sedikit maksiat yang kita lakukan.

Dosa dan maksiat itu sumber petaka. Petaka terjadi kerana dosa, dan ianya akan hilang kerana taubat. Maksiat itu akan melahirkan maksiat juga. Jika maksiat sering dilakukan, bererti dirimu pusat pengumpulan maksiat.

Sehingga ada kalangan kamu merasa bangga dengan maksiatnya dan merasakan tidak ada hukuman yang ia terima pun dari Rabbnya, kerana dia masih bebas melakukan maksiat. Ketahuilah wahai pemudaku, jangan tertipu dengan koleksi maksiatmu, kerana kamu sebenarnya sedang melalui hukuman dari Tuhan-Mu tanpa kamu sedari. Diriwayatkan seorang rahib Bani Israel bermimpi bertemu Allah dan ia berkata, “Tuhanku. Aku bermaksiat kepada-Mu, tetapi Engkau tidak menghukumku.” Allah berfirman; “Aku sudah sering menghukummu, tetapi engkau tidak tahu. Bukankah aku telah membuatmu tidak lagi dapat bermunajat kepada-Ku dengan manis?” Itu hukuman Allah yang masih lagi lembut tapi tetap keras kesannya kelak, bagaimana pula dengan azab di alam kubur , di padang masyhar dan di neraka Allah SWT kelak?

Kesan Maksiat

Ibnu Qayyim RA dalam kitabnya Al Fawaid dengan indah mengkomentarkan kepada kita wahai pemuda, akibat-akibat dari maksiat, katanya:

“Di antara kesan maksiat ialah pelakunya tidak banyak mendapatkan petunjuk, fikirannya kacau, ia tidak melihat kebenaran dengan jelas, hatinya rosak, daya ingatannya lemah, waktunya hilang dengan sia-sia, dibenci manusia, hubungannya dengan Allah renggang, doanya tidak dikabulkan, hatinya keras, keberkatan rezeki dan umurnya hilang, diharamkan mendapatkan ilmu, hina dan dihinakan musuh, dadanya sesak, diuji dengan rakan-rakan yang jahat yang merosakan hati dan mensia-siakan masa, cemas berpanjangan, sumber rezekinya terhad, dan hatinya tergoncang. Maksiat dan lalai membuat dirinya tidak upaya berzikir kepada Allah.

Wahai pemuda!, Kini rahsia kelemahan pemuda Islam telah diformulakan dengan jelas oleh Ibnu Qayyim. Inilah akibatnya apabila maksiat dipandang remeh dan dibiarkan menyelaputi hati dan jiwa ragamu. Ayuh segera kita bersihkan sebelum terlambat. Firman Allah SWT:

“Dan kembalilah kepada Rabb kamu dan serahlah diri kamu kepadaNya sebelum azab menimpa kamu dan selepas itu kamu tidak akan ditolong lagi. Dan ikutilah (al-Qur’an) sebaik-baik (hidayah) yang diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu sebelum azab menimpa kamu secara mendadak, sedangkan kamu tidak sedar.” (Az-Zumar: 54-55)

Kata Sayyid Qutb RA, kembali kepada Allah menyerahkan diri kepadaNya dan pulang semula kepada bayangan keta’atan dan penyerahan diri yang teduh, inilah sahaja langkah yang perlu untuk mendapat rahmat Allah. Di sana tidak ada upacara-upacara, tidak ada istiadat-istiadat, tidak ada halangan-halangan, tidak ada orang-orang tengah dan tidak ada tukang-tukang syafa’at! Itulah hisab secara langsung di antara hamba dan Allah. Dan itulah hubungan secara langsung antara makhluk dan Khaliq, justeru itu barangsiapa dari orang-orang yang menyeleweng yang ingin kembali kepada Allah, maka silakan kembali dan barangsiapa dari orang-orang sesat yang ingin kembali kepada Allah, maka silalah bertaubat, sesiapa dari penderhaka-penderhaka yang ingin menyerah diri kepada Allah, silalah menyerah, silalah datang dan masuk, kerana pintu sedang terbuka dan bayangan yang teduh, lembut, selesa semuanya berada di sebalik pintu ini di mana tiada pengawal dan tiada pula pemeriksa! Silalah bertaubat segera sebelum luput waktu… Silalah pulang! Sebelum kamu menyesal kerana terlepas peluang, kerana cuai menunaikan kewajipan terhadap Allah.

Introspeksi Diri

Wahai pemuda muslim! Bangkitlah jiwamu dengan iman dan kebersihan hati, kerana dikau adalah harapan umat untuk menegakkan kebenaran. Bebaskan dirimu dari belenggu kemaksiatan, pertahankan hatimu dari selaput dosa dengan taubat kepada Allah SWT kerana ianya kunci kekuatan perjuangan buat para pemuda beriman. Imam Hassan Al Banna ada berpesan kepada kita:

Jauhilah maksiat, singkiri mungkarat! Dosa itu akan menodai dirimu, akan menghitamkan wajah riwayatmu. Engkau tidak akan sanggup menghadap, jika mukamu tebal dan hitam dengan dosa dan maksiat, Namamu akan cemar dihadapan Rabbi, kalau laranganNya tidak engkau singkiri dan jauhi. Bersihkanlah keluargamu, jiran dan tetanggamu, masyarakat bangsamu daripada maksiat dan mungkarat dan dosa dan noda. Bangsa dan Negaramu akan karam-tenggelam dalam lembab kehancuran dan kebinasaan, jikalau maksiat dan mungkarat telah menjadi pakaiannya. Ma’ruf yang harus tegak dan mungkar yang harus roboh, adalah program perjuanganmu. Al-Haq yang mesti dimenangi dan bathil yang harus dibinasakan, adalah acara dan jihadmu.

Untuk itu, marilah kita introspeksi diri, apakah selama ini kita merasa menang melawan hawa nafsu dan godaan syaitan atau malah kalah? Tingkatkan taubat, tinggalkan maksiat. Jauhi dosa yang dipandang remeh dan kecil. Kerana dosa mampu membakar satu negara dan bangsa. Hai pemuda pemudi yang berdosa berkali-kali, cubalah berfikir apa yang membuat anda berdosa?

Allah Bersama Dengan Generasi Bertaubat

Wahai pemuda muslim, bersatulah dalam kita membina generasi yang sentiasa bertaubat kepada Allah SWT. Allah menyeru kita menyertai pasukan yang sentiasa sedar dan menginsafi atas dosa dan maksiat yang telah dilakukannya dengan sebenar-benar taubat. Firman Allah SWT:

“Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubatan nasuhaa (taubat yang semurni-murninya). Mudah-mudahan Rabbmu akan menutupi kesalahan-kesalahanmu dan memasukkanmu ke dalam jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, pada hari ketika Allah tidak menghinakan nabi dan orang-orang mukmin yang bersama Dia; sedang cahaya mereka memancar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, sambil mereka mengatakan: “Ya Rabb kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan ampunilah Kami; Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (At Tahrim:8)

Firman Allah SWT lagi:

“Katakanlah kepada hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri: Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah bersedia mengampuni semua dosa. Sungguh, Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
(Az-Zumar: 53)

Itulah rahmat Allah yang dapat menampung semua maksiat walau bagaimana besar sekalipun. Itulah seruan Allah mengajak kita kembali kepadaNya, iaitu mengajak kita yang melakukan maksiat yang melampaui batas, liar dan begitu jauh di belantara kesesatan, kepada harapan dan kepercayaan untuk mendapat keampunan dari Allah kerana Allah Maha Penyayang terhadap hamba-hambaNya dan mengetahui segala kelemahan kita, juga mengetahui segala faktor-faktor yang mempengaruhi kita dari dalam jiwa kita sendiri dan dari luar.

Allah mengetahui bahawa syaitan sentiasa memerangkap kita di setiap tempat untuk menyerang hendap ke atas jiwa para pemuda Islam. Setiap jalan yang dilalui mereka dihalang syaitan, dan syaitan mengemblengkan angkatan tenteranya yang berkuda dan berjalan kaki untuk menyerang hati para pemuda Islam. Syaitan bekerja keras dan bertungkus lumus melaksanakan kerja-kerja jahatnya, dan syaitan tahu bahawa kejadian manusia itu lemah dan bahawa manusia itu cepat gugur apabila sahaja terlepas dari tangannya tali hubungan dengan Allah. Tugas-tugas, kecenderungan-kecenderungan dan keinginan hawa nafsu yang ada di dalam jiwa para pemuda begitu cepat menyeleweng dan hilang imbangannya. Ini menyebabkan para pemuda terumbang-ambing di sana-sini dan jatuh ke dalam maksiat.

Wahai pemuda pemudi yang mendambakan keampunan dari Allah. Bersegeralah kamu bertaubat kepada-Nya. Sesungguhnya Allah SWT, mengetahui semua kelemahan yang ada pada kita, dan dosa-dosa yang telah kita lakukan. Namun kasih sayang Allah Maha Luas, justeru itu Dia menghulurkan pertolongan dan meluaskan rahmat kepada kita semua.

Allah tidak membiarkan para pemuda muslim yang mahu kembali kepada-Nya terkapar-kapar kelemasan. Allah SWT menyediakan segala wasilah (sarana dan jalan) kepada kita untuk memperbaiki kesalahan kita dan membetulkan langkah kita supaya berjalan di atas jalan yang lurus. Dan apabila kita terjerumus di dalam maksiat dan melakukan dosa yang keterlaluan sehinggakita mengira bahawa kita telah diusir dari rahmat Allah dan nasib kesudahannya telah berakhir dan tidak dapat ke mana-mana lagi, maka di saat-saat putus asa inilah maka kita mendengar seruan Ilahi yang lembut dan amat halus:

“Katakanlah kepada hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri: Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah bersedia mengampuni semua dosa. Sungguh, Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
(Az-Zumar: 53)

Semoga Allah menerima iman dan amal soleh kita dan semoga Allah mengampuni dosa kita. Hendaklah kita tanpa jemu memohon taubat kepada Allah dengan tidak henti-henti dan memohon kepada Allah agar mengurniakan kelestarian taufiq-Nya kepada kita semua.

Artikel di atas merupakan petikan tulisan penulis di langitilahi.com

No comments:

Post a Comment