Saturday, April 16, 2011

Selamatkan Hati-Mu!




Hati adalah tanah kosong yang subur, jika dibiarkan dan tidak pernah diusahakan maka akan tumbuh rerumputan dengan sendirinya, rerumputan yang menghijau akan menarik datangnya sapi dan kambing. Maka dalam diri manusia tersebut akan tumbuh perilaku sapi dan kambing. Hidup cuma sekadar mencari makan, kahwin dan punya anak kemudian mati. Yang ada dalam pemikiran orang sekelas sapi adalah memikirkan urusan perut dan dibawah perut. Ali bin Abu Talib RA. mengatakan”jika manusia cuma memikirkan isi perut maka harganya adalah apa yang keluar dari perut”.

Dari Nu'man bin Basyir diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari, Rasulullah SAW mengingatkan mengenai kepentingan menjaga hati, yang bermaksud : "Ingatlah sesungguhnya di dalam jasad manusia itu ada seketul darah, jika ia baik, maka baiklah jasad. Jika ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Itulah dia hati."

Hadis ini memberi gambaran bahawa hati manusia yang rosak boleh diibaratkan sebuah komputer yang mempunyai virus. Ia mengganggu sistem komputer dan mencacatkan penggunaannya. Begitulah hati, jika ia dijangkiti, seluruh badan akan rosak. Jika kerosakan hati itu menjadi semakin besar akan menyebabkan ianya keras dan tidak berfungsi.

Ibnul Qayyim rahimahullah berkata,

“Tidaklah seorang hamba mendapatkan hukuman yang lebih berat daripada hati yang keras dan jauh dari Allah.” (al-Fawa’id, hal. 95).

Allah SWT. Berfirman:
“Sungguh celaka orang-orang yang berhati keras dari mengingat Allah, mereka itu berada dalam kesesatan yang amat nyata).” (az-Zumar: 22)

Syeikh as-Sa’di rahimahullah menerangkan, “Maksudnya, hati mereka tidak menjadi lunak dengan membaca Kitab-Nya, tidak mahu mengambil pelajaran dari ayat-ayat-Nya, dan tidak merasa tenang dengan berzikir kepada-Nya. Akan tetapi hati mereka itu berpaling dari Rabbnya dan condong kepada selain-Nya…” (Taisir al-Karim ar-Rahman, hal. 722).

Ciri-Ciri Orang Berhati Keras
Syeikh as-Sa’di rahimahullah menerangkan, bahawa ciri orang yang berhati keras itu adalah tidak lagi member respon akan larangan dan peringatan dari Allah SWT, tidak mahu memahami apa maksud tuntutan Allah dan rasul-Nya kerana terlalu kerasnya hatinya. Sehingga tatkala syaitan melontarkan bisikan-bisikannya dengan serta-merta seruan itu dijadikan oleh mereka sebagai hujah untuk mempertahankan kebatilan mereka, mereka pun menggunakannya sebagai senjata untuk berdebat dan membangkang kepada Allah dan rasul-Nya (lihat Taisir al-Karim ar-Rahman, hal. 542)

Orang yang berhati keras itu tidak upaya mengambil pelajaran dari nasihat-nasihat yang didengarnya, tidak mampu mengambil manfaat dari ayat-ayat Allah mahupun peringatan-peringatan dari-Nya, tidak tertarik meskipun diberi motivasi dan dorongan, tidak merasa takut meskipun ditakut-takuti. Inilah salah satu bentuk hukuman terberat yang menimpa seorang hamba, yang mengakibatkannya tidak ada petunjuk dan kebaikan yang disampaikan kepadanya kecuali semakin memburukkan lagi keadaannya (lihat Taisir al-Karim ar-Rahman, hal. 225).

Orang yang memiliki hati seperti ini, tidak akan meningkat kesungguhannya dalam menuntut ilmu sebaliknya ianya akan semakin mengeraskan hatinya. Maka sangat wajar, apabila sahabat yang mulia Abdullah bin Mas’ud RA mengingatkan kita semua,

“Ilmu itu bukanlah dengan banyaknya riwayat. Akan tetapi hakikat ilmu itu adalah rasa takut.”

Abdullah anak Imam Ahmad pernah bertanya kepada bapanya, “Apakah Ma’ruf al-Kurkhi itu memiliki ilmu?”. Imam Ahmad menjawab, “Wahai puteraku, sesungguhnya dia memiliki pokok ilmu!! Iaitu rasa takut kepada Allah.” (lihat Kaifa Tatahammasu, hal. 12).

Sebab Hati Menjadi Keras
Sebab utama hati menjadi keras adalah kemusyrikan. “Orang-Orang Musyrik” adalah mereka yang menyekutukan Allah SWT. Firman Allah SWT :

“Dan apabila mereka berjumpa dengan orang yang beriman mereka berkata ‘kami telah beriman’ tetapi apabila mereka kembali kepada syaitan – syaitan (para pemimpin) mereka, mereka berkata “sesungguhnya kami bersama kamu, kami hanya berolok – olok” (Al Baqarah : 14)

“Dan bacakanlah (Muhammad) kepada mereka, berita orang yang telah Kami berikan ayat – ayat Kami kepadanya, kemudian dia melepaskan diri dari ayat – ayat itu, lalu dia diikuti oleh syaitan, maka jadilah dia termasuk orang – orang yang tersesat. Dan sekiranya Kami menghendaki niscaya kami tinggikan darjatnya dengan (ayat – ayat) itu, tetapi dia cenderung kepada dunia dan mengikuti keinginannya yang rendah, maka perumpamaan mereka seperti anjing. Jika kamu menghalaunya dijulurkan lidahnya dan jika kamu membiarkannya ia tetap menjulurkan lidahnya juga. Demikianlah perumpamaan orang – orang yang mendustakan ayat – ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah – kisah itu agar mereka berfikir” (Al A’raf : 175 – 176).

Antara faktor lain yang menyebabkan kerasnya hati termasuklah:

1. Ketergantungan Hati kepada Dunia serta Melupakan Akhirat
Kalau hati sudah keterlaluan mencintai dunia melebihi akhirat, maka hati tergantung terhadapnya, sehingga lambat laun keimanan menjadi lemah dan akhirnya merasa berat untuk menjalankan ibadah. Kesenangannya hanya kepada urusan dunia belaka, akhirat terabaikan dan bahkan dilupakan. Hatinya lalai mengingat mati, maka jadilah dia orang yang panjang angan-angan.

Seorang salaf berkata, "Tidak ada seorang hamba, kecuali dia mempunyai dua mata di wajahnya untuk memandang seluruh urusan dunia, dan mempunyai dua mata di hati untuk melihat seluruh perkara akhirat. Jika Allah menghendaki kebaikan seorang hamba, maka Dia membuka kedua mata hatinya dan jika Dia menghendaki selain itu (keburukan), maka dia biarkan si hamba sedemikian rupa (tidak mampu melihat dengan mata hati), lalu dia membaca ayat, “Maka apakah mereka tidak memperhatikan al-Qur'an ataukah hati mereka terkunci.” (Muhammad : 24)

2. Lalai
Lalai merupakan penyakit yang berbahaya apabila telah menjalar di dalam hati dan bersarang di dalam jiwa. Kerana akan mengakibatkan anggota badan saling mendokong untuk menutup pintu hidayah, sehingga hati akhirnya menjadi terkunci. Allah berfirman, “Mereka itulah orang-orang yang hati, pendengaran dan penglihatannya telah dikunci mati oleh Allah, dan mereka itu lah orang-orang yang lalai” (An-Nahl:108)

Allah SWT memberitahukan, bahawa orang yang lalai adalah mereka yang memiliki hati keras membatu, tidak mahu lembut dan lunak, tidak memperdulikan segala bentuk nasihat. Dia bagai batu atau bahkan lebih keras lagi, kerana mereka punya mata, namun tidak mampu melihat kebenaran dan hakikat setiap perkara. Tidak mampu membezakan antara yang bermanfaat dan membahayakan. Mereka juga memiliki telinga, namun hanya digunakan untuk mendengarkan berbagai bentuk kebatilan, kedustaan dan kesia-siaan. Tidak pernah digunakan untuk mendengarkan al-haq dari Kitabullah dan Sunnah Rasul SAW.

“Dan sesungguhnya Kami jadikan isi Neraka Jahannam kebanyakan jin dan manusia, mereka mempunyai hati tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat tanda-tanda kekuasaan Allah dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakan untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak bahkan lebih sesat lagi.Mereka itulah orang-orang yang lalai. (Al A’raf : 179)

3. Kawan yang Buruk
Ini juga merupakan salah satu sebab terbesar yang mempengaruhi kerasnya hati seseorang. Orang yang hidupnya di tengah gelombang kemaksiatan dan kemungkaran, bergaul dengan manusia yang banyak berkubang dalam dosa, banyak bergurau dan tertawa tanpa batas, banyak mendengar muzik dan menghabiskan hari-harinya untuk filem, maka sangat memungkinkan akan terpengaruh dengan suasana tersebut.

4. Terbiasa dengan Kemaksiatan dan Kemungkaran
Dosa merupakan penghalang seseorang untuk sampai kepada Allah. Ia merupakan penghalang perjalanan menuju kepada-Nya serta membalikkan arah perjalanan yang lurus.

Kemaksiatan meskipun kecil, terkadang memicu terjadinya bentuk kemaksiatan lain yang lebih besar dari yang pertama, sehingga semakin hari semakin bertumpuk tanpa terasa. Dianggapnya hal itu biasa-biasa saja, padahal satu persatu kemaksiatan tersebut masuk ke dalam hati, sehingga menjadi sebuah ketergantungan yang amat berat untuk dilepaskan. Maka melemahlah kebesaran dan keagungan Allah di dalam hati, dan melemah pula jalannya hati menuju Allah dan kampung akhirat, sehingga menjadi terhalang dan bahkan terhenti tidak mampu lagi bergerak menuju Allah.

5. Melupakan maut, Sakarat, Kubur dan Kedahsyatannya.
Termasuk seluruh perkara akhirat baik berupa azab, nikmat, timbangan amal, mahsyar, shirath, Syurga dan Neraka, semua telah hilang dari ingatan dan hatinya.

Muhammad bin Assammaak ketika melihat kubur berkata:

“Kamu jangan tertipu kerana tenangnya dan diamnya kubur-kubur ini, maka alangkah ramainya orang yang sudah bingung di dalamnya, dan jangan tertipu kerana ratanya kubur ini, maka alangkah jauh berbeza antara yang satu pada yang lain di dalamnya. Maka seharusnya orang yang berakal memperbanyakan ingatannya pada kubur sebelum masuk ke dalamnya.”


6. Melakukan Perosak Hati
Yang merosak hati sebagaimana dikatakan Imam Ibnul Qayyim ada lima perkara, iaitu banyak bergaul dengan sembarang orang, panjang angan-angan, bergantung kepada selain Allah, berlebihan makan dan berlebihan tidur.


Lembut dan Kuatkan Hatimu!
Sudah semestinya seorang muslim, apatah lagi sebagai seorang penuntut ilmu, berusahalah untuk memelihara keadaan hatinya agar tidak menjadi keras membatu. Ibnul Qayyim rahimahullah menjelaskan bahawa hati seorang hamba akan menjadi sihat dan kuat apabila kita melaksanakan beberapa perkara:

Menjaga kekuatan hati. Kekuatan hati akan terjaga dengan iman dan wirid-wirid ketaatan. Melindunginya dari segala gangguan/bahaya. Perkara yang membahayakan itu adalah dosa, kemaksiatan dan segala bentuk penyimpangan. Mengeluarkan virus-virus perosak yang bersarang di dalam dirinya iaitu dengan senantiasa melakukan taubat nasuha dan istighfar untuk menghapuskan dosa-dosa yang telah dilakukannya
.
Sungguh indah perkataan Ibnu Taimiyah rahimahullah,

“Setiap hamba pasti memerlukan waktu-waktu tertentu untuk menyendiri dalam memanjatkan doa, berzikir, solat, merenung, berintrospeksi diri dan memperbaiki hatinya.”

Ibnu Taimiyah juga berkata,

“Zikir bagi hati laksana air bagi seekor ikan. Maka apakah yang akan terjadi apabila seekor ikan telah dipisahkan dari dalam air?”

Ada seseorang yang mengadu kepada Hasan al-Basri, “Aku mengadukan kepadamu tentang kerasnya hatiku.” Maka beliau menasihatinya, “Lembutkanlah ia dengan berzikir.”

Ibnul Qayyim rahimahullah berkata, “Barangsiapa yang menginginkan kejernihan hatinya hendaknya dia lebih mengutamakan Allah daripada menuruti pelbagai keinginan hawa nafsunya. Hati yang terkongkong oleh syahwat akan terhalang dari Allah sesuai dengan kadar kebergantungannya kepada syahwat. Hancurnya hati disebabkan perasaan aman dari hukuman Allah dan terbuai oleh kelalaian. Sebaliknya, hati akan menjadi baik dan kuat kerana rasa takut kepada Allah dan ketekunan berzikir kepada-Nya.”

Langkah Selanjutnya?
Dari keterangan-keterangan di atas, dapatlah kita simpulkan bahawa untuk menjaga hati kita agar tidak keras dan membatu adalah dengan cara:

Beriman kepada Allah dan segala sesuatu yang harus kita imani. Mentauhidkan-Nya, iaitu dengan mempersembahkan segala bentuk ibadah hanya kepada-Nya dan membebaskan diri dari segala bentuk penghambaan kepada selain-Nya
Melaksanakan ketaatan kepada-Nya dan taat kepada rasul-Nya.

Meninggalkan perbuatan dosa, maksiat dan penyimpangan. Banyak mengingat Allah, ketika berada di keramaian mahupun ketika bersendirian. Banyak bertaubat dan beristighfar kepada Allah untuk menghapus dosa-dosa kita. Menanamkan perasaan takut kepada Allah dan berusaha untuk senantiasa menghadirkannya dimana pun kita berada.

Merenungi maksud ayat-ayat al-Qur’an dan hadits Nabi SAW. Selalu bermuhasabah/berintrospeksi diri untuk memperbaiki diri dan menjaga diri dari kesalahan yang pernah dilakukan di masa lalu. Bergantung kepada Allah dan mendahulukan Allah di atas segala-galanya .

Ya Allah, lunakkanlah hati kami dengan mengingati-Mu dan bersyukur kepada-Mu…

1 comment:

  1. Hati selalu berkata kata.. dunia ini tak adil... bos tak adil... teman2 tak adil... suami tak adil... dunia tak adil... Allah swt Maha Adil. Tak nak bos yg tak adil...kojo sendiri, tak perlukan teman2 yg tak adil carilah sahabat yg solleh... dunia tak adil...dunia ini sementara cuma. Carilah jln pulang dan cinta Illahi yg sejati...sabarlah hati ..sob3

    ReplyDelete