Monday, July 11, 2011

Awas "Belitan Ular Sawa"


Awas belitan “Ular Sawa”! Begitulah kata-kata menggugah jiwa yang sehingga hari ini masih terngiang-ngiang di telinga penulis. Kalimat ini telah diungkap oleh Presiden HALUAN Malaysia, Dr. Abdullah Sudin Ab Rahman ketika muktamar HALUAN 2011 yang lalu di Universiti Sains Malaysia, P Pinang.

Beliau memperingatkan kami semua bahawa perangkap yang paling merbahaya bagi barisan da’i adalah kecintaan kepada dunia sehingga menghalang para da’i dari melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya sebagai pendakwah dengan penuh komitmen dan tetap bersemangat. Dunia yang dihiasi keindahan dan kesenangan diibaratkan oleh beliau umpama ular sawa yang perlahan-lahan menbelit mangsanya sehingga mangsanya tidak mampu bernafas lagi. Sukar untuk melepaskan diri, kemudian perlahan-perlahan mangsanya mati dalam belitan sang ular sawa. Terkadang berlaku pertembungan di antara melaksanakan tugas dakwah dan tarbiyah dengan memenuhi keperluan dunia seadanya. Kita harus mengakui dan menyedari bahawa keimanan kita akan diuji. Justeru setiap langkah dan keputusan kita dalam melayani amanah dakwah dan mengurusi keperluan dunia akan memberi kesan kepada kemenangan dakwah. Firman Allah SWT:

“Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan senja hari dengan mengharap keredhaan-Nya; dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (kerana) mengharapkan perhiasan dunia ini; dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batas.”(Al Kahfi 28)



Firman Allah SWT lagi dalam surah at-Taubah ayat 42,

“Kalaulah ia (perjuangan Islam) merupakan habuan dunia yang dekat dan perjalanan yang senang (ditujui) dan pendek nescaya mereka akan mengikut engkau tetapi perjalanan itu jauh dan penuh kesusahan”.


Penghalang Kemenangan

Sebagai penyeru kebenaran, menjadi kewajipan kepada kita untuk sentiasa memelihara keikhlasan dan kebersihan niat dalam melaksanakan kerja dakwah dan tarbiyah. Penulis semakin faham, mengapa dalam setiap perjumpaan tarbawiyah, kami diperingatkan untuk sentiasa memelihara niat dan hubungan dengan Allah SWT. Ini kerana dengan kekuatan hubungan dengan Allah dan kebersihan niat akan menyelamatkan kita dari menjadi mangsa belitan “ular sawa”(keduniaan) yang sedia menanti mangsanya. Cinta dunia merupakan salah satu dari penyakit wahan yang pernah disebutkan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadith. Apabila penyakit ini menguasai jiwa sang da’i maka hilangkan kekuatan, keberkatan dan pertolongan dari Allah SWT. Dalam sebuah ekspedisi ketenteraan pimpinan Amru bil al-Ash, mereka menghadapi kesukaran menakluki Mesir. Peristiwa ini memang di luar kebiasaan bagi pasukan Islam. Saat itu, Khalifah Islam, Umar al Khattab RA telah menulis sepucuk surat kepada komandan Amru bin al-Ash:

“Amma ba’dhu, aku sangat terkejut akan kelambatan kalian menakluki Mesir, padahal kalian telah berperang cukup lama. Perkara ini tidak akan terjadi kecuali perbuatan kalian sendiri dan kecintaan kalian kepada dunia, sebagaimana kecintaan musuhmu terhadapnya. Sesungguhnya Allah SWT tidak akan menganugerahkan kemenangan atas suatu kaum kecuali kerana kebersihan niat mereka…”

Ternyata setelah menerima peringatan ini, Amru bin al-‘Ash meminta pasukannya untuk bersuci dan mendirikan solat dua rakkat. Ia mengingatkan mereka kepada Allah SWT seraya memohon pertolongan-Nya. Setelah itu mereka bertolak ke medan tempur dan ternyata Allah berkenan memberikan kemenangan kepada mereka.

Sebagai manusia yang lemah, kita tidak akan pernah terluput dari di uji dengan kecintaan dunia. Wang, harta dan takhta memiliki daya penarik yang mampu mengikat manusia, apatah lagi sang pendakwah ilallah. Disebalik daya penarik wang, harta dan tahkta itu, terdapat candu yang akan menyebabkan pencarinya menjadi ketagih dan sentiasa menginginkannya tanpa batas. Maka dalam perjalanan dakwah yang telah dicontohkan oleh Rasulullah SAW kepada kita, ternyata baginda juga pernah diuji dengan tawaran wang, harta dan tahkta saat dakwah baginda sudah mulai menghimpun manusia untuk beriman kepada Allah SWT. Atas rasa kebimbangan kehilangan pengaruh, kalangan pembesar Quraish telah menawarkan kedudukan yang tinggi kepada Nabi SAW dengan harapan Rasulullah SAW menghentikan seruan risalah baginda. Nah kemudiannya baginda SAW mengajar kita erti keikhlasan dan kecintaan perjuangan hanya sanya kepada Allah SWT dengan kata-kata luarbiasa baginda:

”Demi Allah, andai saja mereka boleh meletakkan matahari di tangan kananku, dan bulan di tangan kiriku, (lalu mereka minta) agar aku meninggalkan urusan (agama) ini, maka demi Allah, sampai urusan (agama) itu dimenangkan oleh Allah, atau aku binasa di jalannya, aku tetap tidak akan meninggalkannya.” (HR Ibn Hisyam)



Bebaskan Diri Dari Belitan “Ular Sawa”
Mari kita menelusuri pula kehidupan Khalifah Islam yang luar biasa, Umar bin Abdul Aziz. Suatu saat, seorang alim dan qadhi yang terkenal di Madinah, Salmah bin Dinar berusaha untuk bertemu dengan khalifah Umar bin Abdul Aziz setelah sekian lama tidak menziarahinya. Salmah menemui Umar bin Abdul Aziz di rumah sang khalifah. Umar bin Abdul Aziz baru sahaja selesai memerah susu. Salmah bin Dinar hampir tidak dapat mengecam Umar bin Abdul Aziz kerana terdapat perubahan besar pada diri sang khalifah itu.

Khalifah menyambutnya dengan berkata, “Mari menghampiriku wahai Abu Hazim.” Salmah menghampirinya lalu bertanya, “Apakah anda Amirul Mukminin Umar bin Abdul Aziz? Khalifah menjawab, “Ya, aku Umar bin Abdul Aziz.”

Salmah bin Dinar masih tidak faham apa yang sudah terjadi kepada Umar bin Abdul Aziz lantas bertanya: “Apa yang menimpamu? Bukankah dulu wajahmu bagus, kulitmu halus dan hidupmu penuh dengan kenikmatan dan kemudahan?” Khalifah menjawab, “Ya.”

Lalu Salmah bertanya lagi, “Lalu apa yang menjadikan keadaanmu seperti ini, setelah kau menjadi amirul mukminin dan memiliki emas dan perak?” Namun khalifah bertanya kembali, “Sememangnya apa yang berubah pada diriku wahai Abu Hazim?” Salmah menjelaskan, “Tubuhmu kini menjadi kurus, kulitmu kasar, mukamu kelihatan pucat…dan dua kelopak matamu menjadi cenkung.”

Tiba-tiba khalifah Umar bin Abdul Aziz menangis sambil berkata, “…Lalu bagaimana jika anda melihat diriku berada dalam kubur, ketika air mataku mengalir di atas tulang pipi dan perutku terkoyak-koyak…lalu cacing-cacing mengerumuni tubuhku? Jika engkau melihat aku pada saat itu ya Abu Hazim, nescaya engkau lebih tidak percaya lagi kepadaku daripada apa yang engkau lihat pada hari ini.”

Kemudian khalifah Umar bin Abdul Aziz memohon kepada Salmah bin Dinar untuk membacakan sebuah hadis yang pernah dibacakan oleh Salmah kepada Umar pada suatu saat di Madinah.

Salmah berkata, “Bukankah aku telah membacakan banyak kali hadis itu kepadamu wahai amirul mukmin. Hadis yang mana yang engkau maksudkan?” “Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA. Tolong diulang kembali hadis itu dihadapanku ya Abu Hazim …”

Salmah bin Dinar lalu membacakan hadis tersebut:

“Aku mendengar dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya di hadapan kalian ada jalanan yang sangat sulit dilewati dan sangat merbahaya, tidak akan ada yang dapat melaluinya kecuali setiap tubuh yang kurus kerana ibadah dan jihad.”

Sebaik mendengar hadis tersebut, khalifah Umar Bin Abdul Aziz menangis tersedu sedan, sehingga Salmah bin Dinar khuatir keadaan itu akan menghilangkan kewibawaan seorang khalifah.

Khalifah kemudian berulang kali mengusap air matanya, ia menoleh kepada Salmah bin Dinar seraya berkata:

“Apakah engkau menyindirku wahai Abu Hazim jika aku menguruskan badan kerana jalan yang sulit itu sambil berharap agar dapat selamat darinya..? Aku tidak mengira bahawa aku dapat selamat.”

Subhanallah, demikianlah dialog generasi beriman yang mengajar kita erti mujahadah dan bersederhana dalam melawan pelukan “ular sawa”; sikap berjati-hati dalam menerima kemewahan, jawatan, harta, pangkat dan kemasyhuran kerana ianya boleh menggelapkan masa depan kita di akhirat kelak. Umar Abdul Aziz melihat dunia yang menawarkan seribu satu kesenangan dan kemewahan merupakan ancaman masa depan beliau di akhirat kelak. Inilah cara pandang generasi beriman. Melihat dari kacamata akhirat, mengutamakan keselamatan akhirat dan kesenangan hakiki di syurga Allah SWT.


Menjawat Jawatan Mantan Murabbi
Semoga saat ini kita termotivasi agar tetap bertahan dalam dakwah ini , tidak goyah walaupun tarikan dunia dan ujian kebendaan senantiasa menghampiri kita yang sering kali berhasil memalingkan sebahagian besar saudara- saudari seperjuangan, termasuk juga ujian dakwah yang datang dari keluarga para da’i itu sendiri. Janganlah kita biarkan diri kita terlalu cepat menyandang jawatan MM (mantan Murobbi,Mantan Muharrik, Mantan Mujahid). Sebaliknya kejutkanlah hati kita dengan peringatan dari Allah SWT yang bermaksud:

“Katakanlah: “jika bapa-bapa , anak-anak , saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan RasulNYA dan dari berjihad di jalan NYA, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan NYA”. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.”(At Taubah 24)

2 comments:

  1. Subhanallah, perkongsian yg begitu menyedarkan...
    jazakallah..

    ReplyDelete
  2. Allahuakbar..btol2 menyentuh jiwa..
    moga terus menulis lantas menyentuh hati2 yang sentiasa perlukan makanan ia..

    ReplyDelete