Tuesday, November 22, 2011

Mesir: Ketika Mereka Kembali ke Tahrir Square!

Ingatan rakyat Mesir masih segar lagi tatkala pada 10 Februari 2011, Hosni Mubarak muncul di siaran televisyen kerajaan dan dengan penuh sombong menyatakan bahawa dia tidak akan meletak jawatan sehinggalah pilihanraya pada bulan September nanti. Namun pada keesokannya, Allah Yang Maha Kuasa telah merentap kekuasaan Mubarak yang kejam itu. Rakyat Mesir seluruhnya bergembira dengan kejatuhan regim Mubarak, ternyata demonstrasi dan kebangkitan mereka membawa kepada kejatuhan regim tersebut.

Namun, hari ini mereka yang berdemonstrasi sekian hari di Tahrir Square ketika menggulingkan diktator Hosni Mubarak kini kembali lagi!

Diktator telah pergi, namun 9 bulan semenjak kejatuhan diktator, yang diharap tidak banyak berbeza!

Yang dulunya di zaman Mubarak, hari ini peninggalannya masih di situ semuanya dengan "seragam dan nama" yang baru! Dalam pada banyak pihak sedang bercakap mengenai tumbangnya seorang Firaun, kita mesti ingat bahawa arkitek Mubarak dan penggantinya masih tetap sama! Hakikatnya, tentera yang sama masih berkuasa di Mesir. Tentera ini adalah tentera yang dibiaya hampir sepenuhnya oleh Amerika dan dilatih oleh Amerika di mana Ketua Turus Angkatan Tenteranya, Jenderal Mohamed Hussein Tantawi, tidak pernah putus merujuk kepada Amerika.

Jadi terpaksalah rakyat yang dulunya berdemo, kembali lagi ke Tahrir Square! Kerja belum selesai sehingga ada pemerintahan yang dipilih rakyat dan demokrasi yang adil dapat ditegakkan!

Inilah bahayanya kalau perjuangan terhambat setengah jalan dan regim yang sama masih muncul dan berkuasa! Pilihan yang tertinggal pada rakyat Mesir adalah "lawan"!

Saat cetusan rasa ini ditulis, sudah mencecah 33 orang patriot kebangkitan rakyat Mesir meninggal dunia dan lebih 2000 orang cedera akibat pertempuran dengan polis diktator kerajaan Mesir.

Ribuan aktivis dan rakyat Mesir berhimpun kembali memenuhi jalan-jalan di Kaherah bagi kebangkitan ''revolusi kedua” untuk memaksakan regim yang masih membawa wajah diktator “lama” berundur, kerana mereka dikatakan telah gagal untuk menstabilkan negara, menyelamatkan ekonomi atau membawa demokrasi yang adil. Maka pada hari ini (Selasa), aktivis menyeru aksi "perarakan jutaan manusia"

Di mana saja di dunia, selama ada anak muda yang berani berjuang seperti patriot di Tahrir Square ini, masa depan masih boleh diharapkan! Semoga Mesir kembali aman.

”Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)Nya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa” (al-Hajj (22):40).

1 comment:

  1. "gagal untuk menstabilkan negara, menyelamatkan ekonomi atau membawa demokrasi yang adil".

    ini ke sebab berlaku revolusi kedua? adakah ia disepakati majoriti seperti revolusi pertama atau hanya gerakan sesetengah kelompok. kemudian, mengapa dikatakan telag gagal?

    mohon penjelasan, syukran.

    ReplyDelete