Sunday, January 15, 2012

Muhasabah Pelayaran Kehidupan

2012 telahpun membuka gelanggangnya. Saya berfikir bagaimana arah pelayaran saya pada tahun ini. Hidup umpama sebuah kapal yang berlayar di lautan luas, kitalah nakhoda yang mengemudi kapal, menentu arah tujuan. Kata bijak pandai, kehidupan umpama satu pelayaran. Cubaan dan ujiannya umpama gelombang yang sangat menggerunkan. Oleh sebab itu bahtera kehidupan mesti kukuh. Kemudinya mesti ampuh. Jika tidak, layar patah dan bahtera akan terolang-aleng lalu tenggelam dihempas gelombang. Jika boleh diumpamakan bahtera itu diri kita, maka kemudinya ialah iman. Kita tidak akan gusar betapapun hebatnya gelombang, jika kemudi di tangan mampu mengawalnya.

Kapal yang sekadar berada di pelabuhan tidak akan terserlah kejatidirian sekiranya ia tidak berlayar di tengah lautan yang penuh dengan cabaran, rintangan dan perjuangan. Tanyakan pada sang nelayan yang telah berhujan, berpanas dan berjuang melayari kapal mereka meredah lautan demi memenuhi keperluan kehidupan. Tatkala mereka pulang dari pelayaran, pasti mereka akan melihat ketidakputusanasaan kapal mereka untuk terus berbakti mencari rezeki. Esok kapal dan nelayan akan berlayar lagi. Beruntung menjadi kapal kepada sang nelayan kerana setiap masa digunakan untuk berkhidmat kepada tuannya. Beruntung menjadi nelayan kerana tidak pernah lupa kepada perjuangannya, mencari rezeki buat keluarga dan memenuhi keperluan orang lain. Kedua mereka, sang kapal dan sang nelayan punya jatidiri, mereka bersatu menempuh lautan, meredah ombak, hujan dan pulang ke pelabuhan dengan kecekalan.

Bagaimana dengan kita? Ke arah mana saat ini pelayaran kita, sudah menemui jalan pulang atau masih sesat di tengan lautan luas tanpa pedoman? Ada yang enggan berlayar kerana takut kegagalan? Atau sedang belayar tetapi tersadai di tengah pulau? Menjadi generasi pemuda saat ini seperti berada di tengah lautan bergelora. Tidak percaya? Temui anak muda dan tanyakan kepada mereka bagaimana cabaran anak muda hari ini. Baik di bandar mahupun di desa, mereka saat ini begitu terdedah dengan cabaran-cabaran kehidupan yang terkadang mengheret mereka hilang kejatidirian sebagai generasi mukmin. Kadang-kadang generasi ini mengeluh, sukar untuk menjadi anak muda beriman pada zaman keterbukaan hari ini.

Benar wahai anak-anak muda, hidupmu berdepan dengan cabaran. Namun bukan zaman kita sahaja cabaran begitu besar menimpa anak muda, bahkan sejak di zaman Rasulullah SAW lagi, generasi mudanya diuji oleh sang Penguasa dengan pelbagai cabaran dan mehnah bagi menyerlah kejatidirian dan ketekunan mereka dengan Islam dan keimanan. Lalu mereka tekad dan teguh bersama Rasulullah SAW. Kuncinya adalah mereka berpegang teguh dengan perintah Allah dan Rasulullah SAW. Inilah yang menjadi cabaran kepada generasi anak muda hari ini, istiqamah dengan perintah Allah dan Rasulullah SAW, malangnya suasana yang ada adalah kerosakan dan kelonggaran kehidupan berpaksikan iman.

Allah SWT berfirman buat seluruh hambaNya:

“Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang melupakan (perintah-perintah) Allah, lalu Allah membiarkan mereka lupa akan diri mereka sendiri. Mereka itulah orang-orang yang fasik.” (al-Hasyr:19)

Inilah kebimbangan kita. Kita takut dan bimbang, bukan sahaja Allah melupakan kita, bahkan kita sendiri lupa akan hakikat kejadian, makna kehidupan dan halatuju hidup kita. Jadilah kita seperti sebuah kapal yang nampak seperti hebat, indah, kuat dan cantik, malangnya ia sedang berlayar dalam haluan kesesatan dan kefasikan. Tidak ada halatuju, tersesat dan terus tersesat! Akhirnya jadilah kita seperti kapal yang terbiar. Derita hidup ini kalau kehidupan sudah terbiar dari kasih sayang dan perhatian Ilahi. Cuba bayangkan apabila Allah sudah tidak peduli akan kita, kepada Tuhan yang mana hendak kita merintih memohon pertolongan.

Anak muda, jangan sampai kerana mahu mengecap kebebasan, menikmati kecintaan, hiburan mahupun keseronokan, kita lupa kepada Tuhan. Lalu amal soleh sudah tidak menjadi pakaian kehidupan yang akan menjadi penyelamat di hari pembalasan. Mari kita bermuhasabah dengan pesanan Abu Bakar al-Siddiq dalam khutbah beliau:

“(Insaflah) hari demi hari berlalu kamu semua semakin dekat dengan ajal yang pasti. Sesiapa yang mampu biarlah umurnya dihabiskan untuk melaksanakan perintah Allah. Namun kalian tidak dapat berbuat demikian melainkan dengan izin Allah. Malangnya ada juga segelintir kamu yang menghabiskan umur bukan untuk Allah tetapi (untuk melakukan kerja sia-sia) yang lain daripada Allah. Jangankamu ikut jejak langkah mereka. Allah berfirman (maksudnya); “Janganlah Kami jadikan kamu seperti orang-orang yang melupakan Allah, lalu Allah menjadikan mereka lupa diri mereka sendiri.”

Abu Bakar al-Siddiq menambah lagi:

Tahukah kamu di mana sahabat-sahabat kamu yang telah (kembali kerahmatullah). Mereka semua sedang berhadapan dengan hari perhitungan terhadap segala amalan yang telah mereka lakukan. Ada yang bahagia serta ada pula yang malang dan celaka. Ke mana perginya manusia perkasa pembina Bandar dan Kota, pembangun benteng dan tembok pertahanan. Mereka semua telah terbujur kaku di bawah timbunan batu atau dihanyuti air lalu. Tapi (bersama kita) adalah kitab Allah. Keajaibannya tidak akan usang. Ambillah bekalan cahaya darinya untuk kegunaan hari kegelapan (kiamat). Sinarilah kehidupan kamu semua dengan sinar keterangan.”

Alhamdulillah, Abu Bakar a-Siddiq telah menjawab persoalan pelajaran kehidupan kita. Anda pilihlah ke mana pelayaran kehidupan anda, samada bersama dengan Allah atau melupakan Allah dan diri kita sendiri. Al Quran menjadi kompas kehidupan agar tidak sesat dalam pelayaran, janganlah tinggalkan Al Quran, dan jangan sekali-kali melihat Al Quran seperti majalah hiburan dan sukan. Sesat dan bergelumangnya kita dengan dosa dek kerana Al Quran sudah tidak menjadi paksi kehidupan. Bersegeralah tahun ini kita berlayar berpaksikan wahyu Ilahi, bukan mengikut jejak nafsu dan emosi negatif. Tidak salah kita bercita-cita tinggi meraih kejayaan di dunia kerana dunia adalah tempat kita bekerja meraih kejayaan di akhirat. Ya, miliki tekad, raih kecemerlangan kehidupan berpaksikan Al Quran, ia akan membawa kebaikan kepada kita di dunia dan akhirat. Berlayar dengan kejatidirian sebagai pemuda rabbani yang cintakan Ilahi tertinggi, rempuh segala cabaran bersama petunjuk dan hidayah Ilahi yang sedia memberi, maju meredah lautan badai dengan cita-cita meraih syurga bersama bidadari yang sedang menanti! Berlayarlah saat ini dengan ketekunan iman dan meninggalkan kefasadan. Selamat belayar wahai pemuda!

1 comment: