Wednesday, September 26, 2012

“Apa yang Telah Engkau Persiapkan Untuk Menyambut Datangnya Hari Kiamat?”


Pernah di zaman Rasulullah SAW ada seorang Arab Badwi meluru masuk ke tengah-tengah jamaah solat untuk mendekati Rasulullah SAW.

Ketika Arab Badei mendekati Rasulullah SAW dan Rasulullah sudah bersiap sedia untuk menunaikan solat, orang itu bertanya :

“Bilakah kiamat akan berlaku?”

Nabi SAW tidak menjawab kerana solat sudah hampir ditunaikan.

Ucapan takbir terucap dari mulut Rasulullah SAW yang mulia, ayat demi ayat Al Quran baginda senandungkan, begitu bersungguh-sungguh, khusyuk dan penuh penghayatan.

Titisan air mata berjatuhan dari pelupuk matanya yang jernih lagi mulia. Para sahabat pun tenggelam dalam limpahan kasih sayang Ilahi.

Apabila solat telah selesai dilaksanakan dengan lembut penuh wibawa, Rasulullah SAW bersabda:
“Di manakah orang yang tadi bertanya tentang hari kiamat?”

Orang itu segera menjawab : Saya, wahai Rasulullah.

Nabi kemudian bertanya kembali :

“Apa yang telah engkau persiapkan untuk menyambut datangnya hari kiamat?”

Sejurus selepas itu, majlis diliputi suasana hening sehingga orang itu berucap :

"Saya tidak mempersiapkan amal yang banyak. Saya hanya mencintai Allah dan RasulNya."
Seiringan dengan itu terukir senyuman di wajah Nabi SAW yang mulia lalu menjawab :

"Engkau akan bersama dengan orang yang kau cintai."

Sungguh luar biasa ungkapan Rasulullah SAW ini, begitu dalam dan penuh makna sehingga menggugah keprihatinan para sahabat untuk ikut bertanya :

"Wahai Rasulullah, apakah ucapan itu hanya berlaku untuk dia sahaja?”

 Rasulullah SAW menjawab :

"Tidak, ucapanku ini berlaku pula untuk kamu dan orang-orang sesudah kamu."
Kegembiraan mulai menyelimuti relung sanubari orang-orang yang hadir di dalam majlis itu sehingga Anas bin Malik berkata :

"Aku belum pernah melihat kaum Muslimin begitu berbahagia setelah masuk Islam kerana sesuatu, seperti bahagianya mereka ketika mendengar sabda Nabi SAW tersebut."

No comments:

Post a Comment