Sederhana dan bijaksana. inilah gaya hidup Muhammad Ar Rasul SAW.
Hidup bersederhana dan bijaksana saya belajar dari Rasulullah SAW,
seorang yang bukan hanya nabi, tetapi beliau juga seorang pemimpin
tertinggi membangunkan daulah Islamiah. Sejarah hidup Nabi SAW amat
luarbiasa. Baginda adalah dari suku bangsa yang amat dihormati oleh
bangsa Arab. Keturunan mulia. Malahan boleh saja Baginda SAW memilih
untuk hidup bermewahan seperti para bangsawan dan hartawan. Namun
apabila kita menyelak sirah kehidupan baginda SAW kita akan tertunduk
malu dan terbangun inspirasi.
Nabi SAW amat bijaksana dalam mengatur kehidupan diri, keluarga
bahkan masyarakat Islami. Bermula dari wahyu Ilahi, dibumikan menjadi
realiti bahkan membentuk koloni manusia yang memiliki harga diri yang
tinggi di sisi Ilahi. Muhammad SAW, pemimpin unggul yang bijaksana namun
tetap bersahsiah tinggi. Baginda hidup serba sederhana tanpa mendabik
dada. Tidak seperti sesetengah dari kita, yang baru memiliki kekayaan
sekangkang kera, gempitanya lagak memiliki dunia dan seisinya.
Inilah Gaya Sederhana Nabi
Saya menangis tetapi tetap teruja ketika membaca sirah Baginda SAW
apabila sirah itu menggambarkan betapa sederhananya hidup Baginda
sedangkan pada saat itu Baginda boleh sahaja menikmati tampuk kekayaan.
Luarbiasa, bijaksana dan sederhana.
Satu ketika, sahabat Nabi SAW, Umar bin Khattab RA berkunjung ke
rumah Rasulullah SAW. Ketika beliau memasuki rumah Baginda, dia
tersentak seketika melihat isi rumah Baginda SAW, yang ada hanyalah
sebuah meja dan alasnya hanyalah sebuah jalinan daun kurma yang kasar,
sementara yang tergantung di dinding hanyalah sebuah geriba (tempat air)
yang biasa Baginda gunakan untuk berwudhuk. Kehibaan muncul dalam hati
Umar RA. Tanpa disedari air matanya berlinang…
Para pembaca sekalian, airmata anda sudah berlinang…? Apa yang anda
terbayangkan saat ini? Buat yang bijaksana, sudah berumahtangga dan
menjawat jawatan sini dan sana, perhatikan benchmark kehidupan Baginda
SAW.
Ini keluhan hati saya, “Ya Rasulullah..air mataku juga menitis wahai
Nabi. Tiap kali saya membaca sirah ini, saya tidak pernah gagal
menitiskan air mata..kerana saya malu dengan apa yang saya miliki di
rumah saya. Aku menyertaimu Umar… rasa hiba….!”
Setelah Rasulullah SAW melihat reaksi Umar, maka kemudian Rasulullah
SAW menyapanya. “Gerangan apakah yang membuatmu menangis?” Umar pun
menjawabnya, “Bagaimana aku tidak menangis ya Rasulullah? Hanya seperti
ini keadaan yang kudapati di rumah tuan. Tidak ada perkakas dan tidak
ada kekayaan kecuali sebuah meja dan sebuah geriba, padahal di tangan
Tuan telah tergenggam kunci dunia Timur dan dunia Barat, dan kemakmuran
telah melimpah.”
Lalu Baginda menjawab “Wahai Umar, aku ini adalah Rasul Allah, Aku
bukan seorang Kaisar dari Romawi dan bukan pula seorang Kisra dari
Parsi. Mereka hanya mengejar duniawi, sedangkan aku mengutamakan
ukhrawi.
Begitulah Nabi SAW mengajar kita erti kesederhanaan. Benchmark kehidupan!
“Sesungguhnya engkau Muhammad mempunyai akhlak yang terpuji” (An Naba’ :7).
Bercita-cita Tinggi Dalam Kesederhanaan
Ramai yang bijaksana tetapi tidak bersederhana. Maka yang lahir,
manusia yang sibuk mengejar cita-cita sehingga dunia menjadi tujuan
lantas alpa membina masa depan di syurga. Lalu sejarah kemanusiaan
dalam membina ketamadunan manusia dengan gaya kesederhanaan diukir
kembali oleh seorang lelaki yang luarbiasa. Orangnya amat bijaksana dan
pernah mengecap kemewahan kehidupan. Namun, dalam pencarian kehidupan,
dia memilih kesederhanaan sebagaimana yang telah dicontohkan oleh
Rasulullah SAW kepada kita. Bukan calang-calang orangnya, seorang
khalifah umat, Umar bin Abdul Aziz.
Sebelum menjawat jawatan sebagai Khalifah, beliau adalah Gabenor
Madinah. Saat itu beliau seorang yang bergaya. Bila berjalan, harum
wangiannya akan tertinggal jauh di belakang langkah-langkahnya. Namun
beliau semakin menapaki jalan kemuliaan. Diceritakan oleh pembantu
setianya Raja’ bin Haiwah, bagaimana Umar bin Abdul Aziz memilih
kesederhanaan di saat kebijakan beliau amat disegani umat. Raja’
bercerita;
“Dulu aku menemani Umar bin Abdul Aziz sewaktu ia menjadi Gabenor
Madinah. Beliau menyuruhku membeli baju. Maka aku belikan baju mahal
dengan harga lima ratus dirham. Ketika ia melihat dan berkata, “Baju ini
bagus, Cuma harganya terlalu murah.”
Namun, ketika Umar bin Abdul Aziz dilantik sebagai Khalifah, ia
pernah menyuruhku membeli baju. Maka aku belikan baju berharga lima
dirham. Sang Khalifah melihat baju itu dan berkata, “Baju ini bagus,
namun harganya mahal.”
Maka Aku menangis. Lantas Umar bin Abdul Aziz bertanya, ‘Kenapa kamu
menangis’. Aku menjawab, ‘Kerana aku ingat beberapa tahun lalu bagaimana
engkau menilai sebuah baju.’ Maka Umar bin Abdul Aziz mengatakan,
‘Sesungguhnya aku punya jiwa yang berkemampuan kuat. Tidaklah sebuah
kemahuan itu tercapai, kecuali aku akan punya kemahuan yang lebih tinggi
lagi. Jiwaku pernah menginginkan untuk menikahi Fatimah, anak saudaraku
Abdul Malik yang seorang Khalifah, maka aku menikahinya. Lalu jiwaku
ingin sekali menjadi Gabenor, aku telah mendapatkannya. Jiwaku kemudian
ingin menjadi Khalifah, aku pun mendapatkannya. Sekarang wahai Raja’,
jiwaku punya keinginan kuat untuk masuk syurga, dan aku sangat berharap
agar menjadi penghuninya.’
Begitulah nyanyian jiwa seorang hamba Allah yang luarbiasa dalam
menyikapi dirinya atas segala kurniaan yang telah Allah berikan
kepadanya. Memilih dari kemuliaan di dunia, menuju kepada kemuliaan
Ilahi. Kita selami kehidupan gaya sederhana Umar Bin Abdul Aziz lagi.
Satu saat ketika Khalifah Umar sakit, pakaian yang dipakainya telah
kotor. Muslimah Abdul Aziz kakak Fatimah isteri Khalifah datang menemui
adiknya dan melihat Khalifah yang sedang sakit. “Fatimah, basuhlah
pakaian Khalifah itu. Sekejap lagi orang ramai akan masuk menemuinya”,
tegur Muslimah. “Demi Allah, beliau tidak punya pakaian lagi kecuali
yang dipakai itu”, jawab Fatimah.
Seorang perempuan Mesir telah datang ke Damsyik kerana ingin bertemu
dengan Amirul Mukminin Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Dia bertanya-tanya
di mana istana Khalifah dan orang ramai menunjukkannya. Sampai saja di
rumah yang dimaksudkan, perempuan Mesir itu bertemu dengan seorang
perempuan yang memakai pakaian yang sudah lusuh dan buruk dan seorang
lelaki sedang bergelumang dengan tanah kerana memperbaiki rumahnya.
Perempuan itu bertanya lagi dan apabila mengetahui bahawa perempuan
yang ditanya adalah Fatimah isteri Khalifah, dia terkejut luar biasa.
Kerana mana ada seorang permaisuri raja yang layak memakai baju buruk
seperti itu. Dia merasa takut dan kagum. Akan tetapi Fatimah pandai
melayan, sehingga tetamu itu berasa suka dan tenang hatinya.
“Mengapa puan tidak menutup diri daripada lelaki tukang bancuh pasir
itu?” tanya perempuan Mesir itu. “Tukang bancuh pasir itulah Amirul
Mukminin” jawab Fatimah sambil tersenyum. Sekali lagi tetamu itu
terkejut dan beristighfar.
Luarbiasa teladan Umar bin Abdul Aziz kepada kita. Begitu juga sang
isteri Khalifah, redha dan setia bersama suami tercinta. Kedua mereka
tokoh yang hebat, bijaksana dan serba bersederhana. Benarlah kata Syeikh
Amru bin Murrah Al-Jamani RA, seorang tabi’in di Kufah tahun 118Hijrah;
“Barangsiapa yang mencari akhirat, dia akan mengorbankan
dunianya, dan barangsiapa yang mencari dunia, dia akan mengorbankan
akhiratnya, maka korbankanlah yang fana untuk yang kekal selamanya.”
Tips Sederhana Dalam Kehidupan
Benar, setiap saat, kita berusaha memenuhi hajat kehidupan. Hajat
manusia tidak pernah mengecil. Sentiasa mahu dan mahu lagi. Maka tidak
hairanlah tatkala Nabi SAW pernah bersimulasi bahawa manusia ini
sekiranya dapat memiliki seluruh kekayaan bumi ini, akan bertanya lagi,
apakah ada bumi lain yang boleh mereka kerumuni. Inilah manusia. Maka
datanglah agama mulia ini, lantas dicontohkan oleh baginda kita
Rasulullah SAW dengan mengajar kita “pengurusan kesederhanaan” dalam
kehidupan.
Imam Al Ghazali ada memberikan kita tips pengurusan kesederhanaan,
agar kita memiliki sifat bersederhana dalam kehidupan. Mari kita
selidiki dalam kitabnya
Ihya ‘Ulumuddin.
Tips pertama, kesederhanaan dalam penghidupan dan perbelanjaan.
Kesederhaan tidak hanya tercermin dalam gaya hidup saja, tetapi juga
dalam pola berfikir membina penghidupan. Seorang yang berfikiran
sederhana, tentunya tidak akan sampai melebihi batas keperluan hidup.
Tuntutan dan keinginan akan selalu disesuaikan dengan kemampuan.
Sehingga tidak ada rasa ingin menguasai dan memiliki hak orang lain di
luar haknya.
Sebaliknya, latihlah diri dalam pengurusan kewangan kehidupan, samada
individu dan keluarga, perlu ada strategi kewangan yang efektif yang
berakar pada penghambaan pada Ilahi, kemudian barulah ia akan mengurus
tuntutan nafsu berbelanja dan membeli. Kita harus kembali belajar
memilih antara perkara yang harus dibeli, yang boleh dibeli, dan yang
tidak perlu dibeli. Secara rasionalnya ramai yang faham perbezaan yang
primer dan sekunder, akan tetapi rayuan nafsu yang mengikat diri
mengalahkan rasional untuk memilih satu diantara dua. Oleh kerana
itulah, kesederhanaan mempunyai hubungan yang erat dengan permasalahan
hati, nafsu dan hubungannya dengan Allah SWT.
Tips kedua, pendek angan-angan. Lawannya panjang angan-angan. Maksud
“panjang angan-angan” di sini ialah menaruh anggapan bahawa maut masih
lambat menimpa diri, sehingga terlupa kepada saat kematian yang akan
berlaku bila-bila masa sahaja”.
Penyakit ini adalah satu daripada penyakit-penyakit hati yang kronik.
Mangsa penyakit ini akan hanyut dengan cita-cita (angan-angan) yang
panjang di lautan khayalan dalam melayari kehidupan duniawi di dunia
yang fana ini, sehingga terlupa kepada kematian dan kehidupan ukhrawi di
akhirat yang abadi.
Satu saat, Abu Darda’ RA ketika melihat penduduk Himsh beliau berkata:
“Apakah kamu tidak malu membangun apa yang tidak akan kamu tempati
selamanya dan angan-angan yang tidak dapat kamu capai dan mengumpulkan
apa yang tidak dapat kamu makan. Sesungguhnya orang-orang yang sebelummu
telah membangun yang megah-megah dan mengumpulkan sebanyak-banyaknya
dan angan-angan yang sejauhnya, akhirnya tempat mereka itu didalam kubur
dan angan-angannya merupakan tipu daya dan yang mereka kumpulkan itu
hancur lebur.”
Tips ketiga, Imam al Ghazali menyatakan hendaklah ia mengetahui apa
yang terkandung di dalam sifat bersederhana iaitu berupa kemuliaan dan
terhindar dari sikap meminta-minta serta menghindari kehinaan dan
ketamakan. Huraian ini telah kita fahami dari teladan Rasulullah SAW dan
Umar bin Abdul Aziz. Bercita-citalah walau setinggi mana, namun semakin
tunduklah kita kepada Allah SWT. Maka Allah SWT akan mengukuh dan
memuliakan kedudukan kita sebagai hamba-Nya.
Semoga kita mampu membangunkan kebijakan pada diri kita dengan ilmu
yang kita pelajari, dan dipagari dengan jiwa yang bersederhana dalam
mengurus kehidupan. Rasulullah SAW sendiri mengajar kita agar
berhati-hati dalam kehidupan. Dan kesederhanaan menjadi pakaian
kehidupan.
Baginda sering berdoa;
“
Ya Allah, ya Tuhanku, aku berlindung kepadaMu dari dunia yang
menghalang kebajikan untuk akhirat. Aku berlindung kepadaMu lagi dari
kehidupan yang menghalang kebajikan untuk mati. Dan aku berlindung
kepada-Mu dari cita-cita yang mengganggu kebajikan untuk beramal.
Persoalan akhir buat kita semua, lalu di mana gaya hidup sederhana
yang dicontohkan oleh
Rasulullah SAW serta para pengikut setia baginda
dalam kisah penghidupan kita?
Tulisan saya di
langitlahi.com