Tuesday, October 16, 2012

Isteriku, Andai Aku Yang Pergi Dulu...




Alhamdulillah, ketika saya bermusafir dari Kuantan ke Kuala Lumpur, saya ditemani isteri tercinta. Kami saling berbual mesra, berusrah keluarga di sepanjang perjalanan. Saya amat bahagia memiliki isteri yang amat mencintai dan menyayangi saya kerana Allah. Semoga diri ini mampu memimpinmu dan anak-anak ke jalan yang Allah redha. Buat  isteriku, kuatkan aku, doakan aku dan bersama kita mendepani cabaran bersama.

Saya nukilkan satu kisah, moga menjadi ibrah dan pelajaran buat kami dan anda juga yang membaca…moga cinta dan perkahwinan kita semua melahirkan kasih dan sayang kerana Allah SWT. Khususnya buat para suami seperti saya yang mendambakan isteri yang solehah dan ikhlas mencintai diri, maka kitalah yang perlu memiliki kesolehan dan keikhlasan itu dahulu…

Satu saat, seorang wanita ketika selesai berdoa, airmatanya mengalir deras. Mengenangkan arwah suaminya yang telah kembali bertemu Allah. Dia mengimbau kembali saat dirinya menikahi suaminya yang amat dicintai.

"Kami saling bertukar kata mutiara." Bisiknya pada teman rapatnya. Dilembar kertas itu dia mendapatkan sebuah kata mutiara yang indah dari sang suami. 

"Aku mencintaimu kerana aku mencintai Allah." 

Kata itu terpatri didalam hatinya sehingga mampu mengharungi bahtera rumahtangganya. Sehinggalah satu hari suaminya jatuh sakit, terbaring lemah di hospital, suaminya tidak sedarkan diri. Sang isteri selalu berada disisinya, berdoa di dalam hati memohon kepada Allah untuk kesembuhan suaminya.

Beberapa kali suaminya tersedar dan senyum seolah mendengar semua doa-doanya. Dia
bersyukur disaat suaminya lemah masih selalu ingat tiba waktu solat, selalu ingat Allah. Dia merasakan kasih sayang Allah yang begitu besar. 


"Abang, terima kasih atas cintamu kepadaku, kerana cintamu kepada Allah." Suaminya tersenyum lemah, menggenggam erat tangannya disaat ia mengucapkan kata-kata itu. Sang suami akhirnya menghembuskan nafas terakhir. Air matanya mengalir tidak
tertahankan. Kepedihan begitu teramat mendalam. Sekalipun suaminya telah tiada,
senyumnya masih tertinggal didalam lubuk hatinya. Ia merasakan cinta yang tumbuh
dihatinya berasal dari limpahan cinta Allah untuk dirinya dan suaminya.

Dari luar bilik mayat hospital, seorang ustaz masuk dan bertanya apakah isterinya mahu memandikan jenazah suaminya, ustaz tadi bersama beberapa orang menemani si isteri memandikan jenazah suaminya… 

Sang isteri menangis ketika memandikan jenazah suaminya, sambil menangis isteri berkata,

" Inilah janji kami sebagai suami isteri..”

Jika abang pergi lebih dulu maka akulah yang memandikan jenazah abang, Andai aku yang pergi dulu dari abang, abang yang akan memandikan jenazahku ..."

Dengan tenang isteri membasuh muka suaminya sambil berdoa,
"Inilah wajah suami yang ku sayang tetapi Allah lebih sayang padamu ... Wahai suamiku, semoga Allah ampunkan dosamu dan satukan kita di akhirat nanti.."

Saat membasuh tangan jenazah suaminya sambil berkata..
"Tangan inilah yang mencari rezeki yang halal untuk kami, masuk ke mulut kami.. semoga Allah beri pahala untukmu wahai suami ku .."

Saat membasuh tubuh jenazah suaminya, iapun berkata...
" Tubuh inilah yang memberi pelukan kasih sayang padaku dan anak-anakku .., semoga Allah beri pahala berganda untukmu wahai suamiku..."

Kemudian saat membasuh kaki jenazah suaminya, kembali ia berkata..
"Dengan kaki ini abang keluar mencari rezeki untuk kami, berjalan dan berdiri sepanjang hari semata-mata untuk mencari sesuap nasi, terima kasih suamiku ... semoga Allah memberimu kenikmatan hidup di akhirat dan pahala yang berlipat kali ganda..."

Selesai memandikan jenazah suaminya, si isteri mengucup sayu suaminya dan berkata…

"Terima kasih suamiku .. kerana aku bahagia sepanjang menjadi isterimu dan terlalu bahagia .. dan terima kasih kerana meninggalkan aku bersama permata
hatimu yang persis dirimu .. dan aku sebagai seorang isteri redha akan
kepergianmu kerana kasih sayang Allah kepadamu..."


Rasulullah SAW ada bersabda:
"Barangsiapa yang menikah dengan dilandasi keyakinan kepada Allah dan hanya mengharapkan keredhaanNya niscaya Allah mewajibkan diriNya untuk menolongnya dan memberkahinya" (HR. Thabrani).

*Buat isteriku.. HACKSKA - Halimah.. Abang Cinta Kamu Sahaja kerana Allah

1 comment:

  1. Alhamdulillah akhi.. Syukran atas perkongsian..mohon share..

    ReplyDelete