Konflik adalah bahagian yang tidak dapat dielakkan dalam kehidupan berkeluarga (Patricia Noller dan Mary Anne Fitzpatrick,1993). Apakah konflik dalam keluarga? Konflik berlaku apabila terdapat ahli-ahli keluarga yang tidak bersetuju mengenai sesuatu perkara dalam kehidupan mereka. Antaranya ialah siapa yang patut melakukan tugas tertentu, bagaimana sumber digunakan secara bersama ataupun bagaimana keputusan harus dibuat. Perbezaan-perbezaan ini memberi kesan ke atas seluruh atau sebahagian ahli-ahli keluarga.
Kebahagiaan dalam keluarga adalah tanggungjawab semua ahli khususnya ibu dan ayah. Ayah atau suami khususnya, harus mempunyai peribadi yang baik, bertanggungjawab dan matang supaya penelitian yang saksama, adil dan berhati-hati dapat dilaksanakan dalam keluarga (Nina Kirana,1992). Kasih-sayang, mencintai dan keinginan terhadap satu sama lain telah dinyatakan
dengan jelas dalam surah Ar-Rum ayat 21 yang bermaksud ;
"Bahawa Dia menjadikan kamu dari jenis kamu jodoh-jodoh dan kamu bersenang-senang kepadanya dan Dia jadikan di antara kamu percintaan dan kasih-sayang, sesungguhnya tentang itu, ada tanda ayat-ayat bagi kamu yang mahu berfikir."
Istilah yang seringkali dikaitkan dengan keluarga ialah "kebahagiaan." Kebahagiaan melambangkan sesuatu yang indah dan menyeronokkan. Kehidupan yang bahagia memungkinkan seseorang itu berupaya menikmati kemanisan hidup yang begitu berharga di sepanjang hidup di dunia (Hasan Mohd Ali, 1994). Kehidupan berkeluarga bererti berinteraksi, berkomunikasi dan berhubung menggunakan tubuh badan, fikiran, emosi dan suara hati. Akal, perasaan dan emosi biasanya menjadi bibit-bibit awal kepada konflik yang merumitkan hubungan kekeluargaan. Akhirnya isu-isu yang kecil menjadikan ahli keluarga "berperang besar" kerana perselisihan faham disebabkan masing-masing menyalahkan satu sama lain di atas kegagalan menguruskan rumah tangga.
Antara punca konflik yang timbul dan meruncing dalam keluarga ialah :
1. Kurang kefahaman terhadap tanggungjawab sebagai suami/ayah dan isteri/ ibu dan anak
Tanggungjawab sebagai suami/ayah, isteri/ibu dan anak adalah mengikut saranan agama, tradisi masyarakat dan peranan-peranan baru yang dipelajari melalui pendidikan formal dan tidak formal. Pendedahan terhadap tanggungjawab ini memerlukan usaha yang berterusan kerana masyarakat masih percaya bahawa apabila berkahwin, telah cukup sempurna kedua-dua mempelai untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing. Ada sesetengah pandangan yang jahil tentang tanggungjawabnya, ada yang tahu secara samar-samar dan ada yang tahu tetapi tidak mahu mengamalkannya kerana tidak peduli.
2. Kurang bijak menguruskan masa
Hidup berkeluarga dalam masyarakat yang bekerja, perkara yang menjadi keutamaan ialah bijak menguruskan masa lebih-lebih lagi masa yang berkualiti. Ibu bapa yang kurang mahir menguruskan masa bersama keluarga akan mengalami kerugian besar. Kemesraan, interaksi dan sentuhan fizikal yang berkurangan akan menghilangkan kasih-sayang, akhirnya anak-anak akan lebih rapat dengan penjaga.
3. Ekonomi keluarga yang kurang mantap
Kos hidup yang semakin meningkat membuatkan pasangan keluarga mengehadkan perbelanjaan. Pembelian ke atas barangan yang tidak perlu hanya akan mengurangkan pendapatan keluarga dan menjadikan krisis kewangan lebih rumit. Faktor wang kadangkala menyebabkan pergaduhan di antara suami dan isteri yang menggugat kebahagiaan keluarga. Keluarga yang tidak mempunyai asas perancangan kewangan akan mengalami masalah menguruskan kewangan masing-masing terutama jika pendapatan isi rumah sangat kecil dan terhad.
4. Mengabaikan pendidikan agama
Kebahagiaan keluarga terletak pada banyak faktor dan yang paling utama ialah beragama. Awal kepada agama ialah mengenal Tuhan (akidah). Mendidik keluarga kepada Tuhan pada hakikatnya ialah usaha menanam keyakinan bahawa hidup adalah untuk mendapat keredhaan Allah swt. Instrumen yang diguna pakai ialah mengerjakan solat lima kali sehari dan yang terbaik ialah berjemaah. Pengabaian amalan agama membentuk keluarga yang pincang, resah, mudah bergelora dan kesan jangka masa panjang yang negatif kepada ibu bapa.
5. Campur tangan keluarga
Perbezaan keturunan (miskin-kaya) pada sesuatu pasangan akan menjadi masalah apabila ianya menjadi fitnah dan batu api. Di pihak yang miskin, ia menimbulkan rasa malu dan rendah diri. Akhirnya tentulah ia akan jauh hati dan enggan bercampur-gaul dengan masyarakat. Manakala bagi yang kaya pula, ia turut berasa malu dan menganggap dirinya diketepikan dalam keluarga. Bagi menghilangkan rasa malu, penceraian adalah jalan keluar yang terbaik. Perbezaan status adalah lumrah dalam masyarakat hari ini dan mengundang fitnah khususnya apabila melibatkan harta atau kekayaan. Ahli keluarga yang iri hati akan mempastikan kedua-dua pihak bersengketa dan akan berasa puas setelah penceraian berlaku.
6. Kahwin paksa
Keluarga yang melihat hubungan saudara lebih penting daripada perasaan sayang di antara anak dan pasangannya akan memaksa si anak untuk menerima pilihan mereka. Ibu bapa yang memaksa pilihan mereka ini tidak memahami bahawa anak-anak sekarang sangat terdedah kepada pelbagai rupa bentuk manusia – di pejabat, tempat perniagaan, kenalan dan kawasan perumahan. Anak-anak yang berkahwin paksa pada zahirnya nampak bahagia tetapi batin mereka terseksa kerana tidak punya rasa kasih dan sayang.
7. Perubahan hidup
Kenaikan pangkat bererti gaji dan elaun akan naik. Status hidup juga bertambah baik. Keadaan sesebuah keluarga akan lebih malang jika perubahan kerjaya ini membawa sekali perubahan pemikiran, emosi dan tingkah laku seperti anggapan tidak setaraf, membeli jenama pakaian yang mahal dan melihat pengorbanan pasangan sebagai tidak ada harga. Malah ada yang mengambil kesempatan perubahan hidup bererti mengubah pasangan. Justeru itu, wujudlah orang ketiga yang mengganggu ketenteraman hidup keluarga sedia ada.Potensi untuk konflik yang lebih besar dalam keluarga moden hari ini disebabkan kekurangan persetujuan tersirat berkenaan peranan gender, desakan untuk peranan yang lebih fleksibel dan boleh ditukar ganti serta harapan perubahan untuk melihat bagaimana keluarga harus membuat sesuatu keputusan. Dalam keluarga, sebarang isu boleh bertukar menjadi konflik. Sebuah keluarga boleh bergaduh mengenai isu yang bersifat tunggal, jelas ataupun yang melibatkan hubungan seperti kuasa, kasih-sayang dan autonomi pasangan.
"Dan terimalah pesanku untuk berbuat kebajikan kepada wanita-wanita kerana mereka itu dijadikan dari tulang rusuk yang paling bengkok iaitu yang paling atas. Jika kamu hendak luruskan nescaya kamu patahkan dia, jika kamu biarkan dia, tetaplah dia bengkok kerana itu terimalah pesanku untuk berbuat baik kepada wanita." (Hadis muttafa'alaihi dari Imam Bukhari).
Kemerdekaan Malaysia pada tahun 1957 membawa keuntungan kepada umat Islam antara lain disebabkan Islam dijadikan sebagai agama rasmi dalam Perlembagaan. Kesempatan terbuka luas untuk pembinaan kaedah dan nilai-nilai perkahwinan yang sebelum itu tenggelam atau tertutup oleh konsep adat (Zaleha Kamaruddin,1997). Keluarga adalah asas kepada masyarakat dan negara. Institusi kekeluargaan harus ditadbir dengan baik kerana keluarga yang mantap dan stabil dapat menyumbang kepada keharmonian negara. Kadar jenayah yang meningkat, remaja yang rosak akhlak dan ibu bapa yang lalai akan menjadi bahan sejarah jika keluarga sedia ada dapat berfikiran terbuka bagi mencari ilmu dan kemahiran untuk menguruskan kecemerlangan keluarga masing-masing.
Keluarga bermula dengan perkahwinan di antara lelaki dan perempuan membentuk perkongsian hidup untuk beberapa tujuan seperti memenuhi kehendak naluri semula jadi, membina rumah tangga dan menambah umat (Noralina Omar dan Amaludin Ab. Rahman,2007). Keutuhan perkahwinan menentukan keutuhan keluarga. Masalah yang dihadapi dalam sesebuah perkahwinan akan mengundang konflik keluarga yang sangat berpengaruh. Konflik adalah rencah hidup yang tidak dapat dielakkan dan akan terus wujud dalam keluarga. Namun begitu bilangan konflik yang banyak bukan satu yang penting kerana cara penyelesaian dan kaedah bagi menangani konflik adalah resepi untuk menamatkan konflik yang dihadapi.
Punca konflik dalam keluarga adalah akibat salah faham dalam pelbagai perkara sama ada isu berkenaan remeh atau serius. Suami berkonflik dengan isteri, ayah berkonflik dengan anak dan ibu juga berkonflik dengan anak malah anak-anak turut berkonflik sesama sendiri.
Bagi menghadapi konflik keluarga, sumber kepada konflik berkenaan harus dikaji dan diteliti supaya strategi yang diguna pakai dapat mengurangkan konflik tersebut. Memilih strategi yang bersesuaian dengan mengambil kira siapa, apa, di mana dan kenapa dapat merapatkan jurang di antara punca konflik dan kaedah penyelesaian.
Antara strategi yang berkesan untuk mengatasi konflik keluarga ialah :
1. Mendengar
Tuhan memberi dua telinga supaya manusia dapat mengimbangkan pendengarannya. Seimbang di sini bermaksud dapat menilai baik dan buruk sesuatu isu sebelum membuat keputusan. Kemahiran mendengar adalah kaedah mudah untuk mengawal emosi dan menurunkan perasaan marah yang meluap-luap. Bagi kanak-kanak atau remaja, ibu bapa harus mendidik mereka untuk mendengar biar apa pun yang berlaku supaya proses mendengar itu menjadi kebiasaan. Keajaiban mendengar ialah menurunkan perasaan orang yang sedang marah dan membina kembali hubungan yang lebih produktif.
2. Memujuk
Memujuk memerlukan kemahiran diplomasi yang sangat tinggi. Matlamat membina keluarga dari segi emosi ialah menyuburkan kasih-sayang sesama ahli keluarga. Konflik yang muncul memerlukan satu pihak untuk melihat kehadapan apakah yang perlu dilakukan tanpa menjejaskan prasangka buruk dan meninggalkan keserabutan. Menggunakan pujukan bagi menyelesaikan konflik bermaksud menggunakan fikiran, bukannya tangan atau kaki. Elemen memujuk termasuk lenggok bahasa, pernyataan emosi dan perlakuan membantu ke arah mengurangkan ketegangan. Kaedah memujuk yang terbaik adalah berdialog (Sherman, J.R, 1987). Tidak perlu untuk menggesa orang lain menghabiskan percakapan kerana lambat-laun ia akan memberitahu apa yang difikirkannya.
3. Melibatkan orang tengah
Penglibatan orang tengah atau mediator atau orang ketiga kadangkala dapat membantu menguruskan konflik keluarga dengan lebih cepat dan berkesan. Jika diambil satu kes pergelutan rumah tangga melibatkan penjagaan ibu bapa yang sudah tua. Suami atau isteri lebih rela ibu bapa mereka dijaga oleh orang lain dan membayar sahaja upah berkenaan kerana terikat dengan komitmen kerja, persekolahan anak-anak dan tidak mahu berpindah rumah. Kecetekan pengalaman dalam hal ini mungkin menimbulkan keadaan tuduh-menuduh dan prasangka. Orang tengah seperti saudara-mara atau rakan-rakan yang lebih berpengalaman dapat membantu meredakan keadaan dengan menjelaskan pendekatan terbaik untuk menjaga ibu bapa yang telah lanjut usia. Ciri utama yang harus dikenal pasti ialah orang ketiga ini boleh mengambil sikap berkecuali dan tidak mengambil kesempatan mengadu domba kedua-dua pihak.
4. Mengutamakan yang utama
Konflik adalah satu lumrah dan menjadi sebahagian daripada kehidupan, berkongsi pendapat, perspektif dan matlamat. Keadaan akan bertambah rumit apabila ibu, bapa dan anak mempunyai personaliti berbeza-beza. Stephen R. Covey (1998) dalam bukunya Utamakan Yang Utama, memberikan panduan untuk menambah ruangan antara rangsangan dan respon serta kuasa untuk bertindak. Beliau memberi tips untuk menambah ruangan yang positif tersebut dengan katanya "dengar tanpa alasan." Panduan ini dapat mengubah paradigma orang yang berkonflik untuk mendengar dan membuat sisihan bagi meletakkan keutamaan ke atas isu yang menjadi pertikaian. Beliau mengulangi sekali lagi kepentingan paradigma ini di dalam buku terbaru, "Tabiat Ke8 : Daripada Keberkesanan Kepada Keagungan" iaitu : "Jika anda ingin melakukan perubahan yang meningkat dan penambahbaikan secara kecil-kecilan, beri tumpuan kepada amalan, tingkah laku ataupun sikap. Tetapi jika anda ingin melakukan penambahbaikan yang signifikan dan amat besar, beri tumpuan kepada paradigma."
5. Khidmat nasihat yang profesional
Kedangkalan menguraikan konflik rumah tangga mengundang para pakar yang mahir seperti kaunselor dan ahli psikologi untuk memberi panduan bagi mengendurkan konflik yang dihadapi. Jika isu yang melibatkan kedua-dua pihak atau terdapat pihak ketiga seperti perebutan harta pusaka atau anak, khidmat pakar dapat diguna pakai sebagai sebahagian daripada penyelesaian.Namun begitu, khidmat nasihat mempunyai dua cabaran utama iaitu kos yang perlu dibayar dan jangka masa penyelesaian yang tidak ditetapkan. Kedua-dua cabaran ini kadangkala mengundang proses perundangan yang lebih lama dan merumitkan serta melibatkan ramai orang. Kewajaran mendapatkan khidmat pakar lebih menguntungkan kerana masing-masing meletakkan kepakaran sebagai sandaran dan lebih mudah menerima keputusan.
6. Menyenarai setiap ruang yang boleh bagi mendapatkan bantuan
Kesedaran masyarakat terhadap penyelesaian konflik keluarga memaksa agensi kerajaan mempelbagaikan jenis bantuan. Sekitar tahun 1990-an yang lalu, kerajaan membentuk Talian Teledera bagi memaklumkan kepada orang ramai jika mereka menghadapi masalah untuk melaporkan kes penderaan kanak-kanak. Hari ini khidmat seperti itu dipelbagaikan kepada kumpulan sasar yang lebih luas seperti ibu tunggal. Konflik rumah tangga yang dihadapi bukan sahaja mengundang bantuan emosi malah bantuan lain berupa kewangan, khidmat nasihat dan harta benda. Bagi kes keluarga yang melibatkan jenayah, Polis Diraja Malaysia menubuhkan Rakan Cop yang dapat bertindak dalam masa empat minit sahaja. Selain itu Lembaga Kaunselor Malaysia turut prihatin dengan meletakkan senarai nama kaunselor berdaftar untuk dihubungi di laman web mereka sebagai satu sumber rujukan.
7. Kaedah penyelesaian secara bekerjasama
Penyelesaian konflik melalui Kaedah Penyelesaian Secara Bekerjasama (KPSB) adalah melalui beberapa tahap (Abdul Rahman Abdul Aziz,2000). Kaedah ini diperkenalkan oleh Mary Parker Folet yang lebih mengkhususkan kepada konflik yang melibatkan dua orang. Melalui kaedah ini, dua orang yang berkonflik tadi memilih cara yang diterima oleh mereka berdua. Dalam kaedah penyelesaian begini, tidak ada pihak yang kalah kerana kedua-duanya berkompromi untuk kebaikan bersama.
Enam langkah untuk menyelesaikan proses ini ialah :
a. Memberi takrifan terhadap masalah dalam rangka keperluan.
b. Percambahan fikiran untuk kemungkinan-kemungkinan penyelesaian.
c. Memilih penyelesaian yang bersesuaian dan menyemak kembali kemungkinan akibat- akibatnya.
d. Rancangkan siapa yang akan melakukan apa, di mana dan bila.
e. Laksanakan perkara yang dirancang.
f. Menilai kembali proses penyelesaian masalah.
8. Sistem S-TLC
Lulofs dan Cahn (2000) dalam buku Conflict : From Theory to Action mencadangkan sistem S-TLC bagi mengurangkan konflik antara perorangan melalui kemahiran komunikasi yang menggalakkan.
S-Stop (Berhenti)
Berhenti apabila menyedari terdapat konflik yang sedang berlaku. Contoh untuk berhenti ialah meminum seteguk air kosong sambil berlegar-legar sebelum memberi maklum balas terhadap isu yang dibincangkan. Kaedah lain ialah mengira dari belakang bermula dengan 100 hingga 0 bagi mengurangkan tekanan.
T-Think (Fikir)
Fikir sebelum bertindak. Elakkan daripada membuat kesimpulan awal kerana banyak perkara harus diberi pertimbangan dan pilihan. Yang sangat utama ialah memikirkan hubungan dengan orang lain yang terlibat. Bijak berfikir adalah penentu kepada kejayaan bagi menyelesaikan konflik.
Listen (Dengar)
Dengar sebelum berkata sesuatu. Kecenderungan kebanyakan orang ialah mempertahankan diri mereka sejurus mendengar kritikan berbanding mendengar terlebih dahulu keseluruhan ucapan orang lain. Dengar apa yang dikatakan dan juga cuba memahami kenapa ia berkata demikian.
Communicate (Berkomunikasi)
Rancang bagaimana untuk bercakap. Walau bagaimanapun pilihan untuk melakukan tindakan kekerasan adalah pilihan terakhir, itu pun sebagai pertahanan diri. Yang paling digalakkan ialah bercakap atau berbual terlebih dahulu tetapi dengan cara yang bukan agresif. Menyatakan fakta dapat membantu mempercepatkan konflik berakhir.
Dalam Sistem S-TLC ini, peringkat T (Fikir) dan L (Dengar) adalah sangat penting kerana ia sedikit sebanyak membantu mengurangkan tekanan ke atas konflik. Kemahiran S-TLC boleh dimulakan dengan isu yang kecil-kecil seperti pertengkaran untuk memilih nama anak kucing atau menentukan restoran pilihan untuk makan malam.
Sillars dan rakan-rakan (1983) mencadangkan tiga cara untuk memberi respon kepada konflik iaitu ; 1) elak konflik, 2) bergaduh kerana konflik, dan 3) bekerjasama dengan konflik. Elak konflik bererti konflik tidak selesai dan akan muncul kembali. Bergaduh kerana konflik akan membawa kepada perbincangan dalam ketegangan yang menghalang daripada diselesaikan dan membina kesan negatif seperti marah dan membalas dendam yang memusnahkan hubungan. Manakala bekerjasama dengan konflik akan membina kemurnian idea, emosi yang positif dan bersedia mencari penyelesaian. Emosi positif ini akan memimpin hubungan yang lebih erat di kalangan ahli terlibat. Ia juga membina keinginan untuk berkongsi masalah seterusnya mewujudkan suasana tolak ansur dalam membuat keputusan.
Konflik tidak seharusnya difikirkan akan membawa malapetaka dan bencana sebaliknya konflik membawa manfaat. Petikan dari buku Tabiat Ke8 : Daripada Keberkesanan Kepada Keagungan mengenai Gandhi sangat bererti kepada kita.
"Ironinya, sekiranya tidak disebabkan oleh perkauman dan prejudis, kita mungkin tidak akan dapat seorang Gandhi. Dia mungkin hanya menjadi seorang peguam yang berjaya mendapatkan banyak wang. Tetapi disebabkan oleh prejudis di Afrika Selatan, dia telah diaibkan dalam masa seminggu setelah sampainya di sana. Dia telah dihalau turun dari sebuah kereta api disebabkan oleh warna kulitnya, dan itu telah sangat memalukannya sehingga dia duduk semalaman di platform stesen kereta api tersebut memikirkan bagaimana untuk dia mendapat keadilan. Respon pertamanya ialah kemarahan. Dia berasa amat marah sehingga dia inginkan keadilan berbentuk dendam. Dia ingin bertindak secara ganas ke atas orang-orang yang telah memalukannya. Tetapi dia telah menghentikan dirinya dari berfikir begitu dan berkata, "Itu tidak betul." Itu tidak akan mendapatkan dia sebarang keadilan. Ia mungkin membuatkan dia berasa lega buat seketika, tetapi itu tidak akan mendapatkannya sebarang keadilan.
Respon keduanya adalah untuk pulang ke India dan hidup di kalangan kaumnya sendiri dengan penuh kehormatan. Pandangan itu juga telah ditolak oleh Ghandi. "Anda tidak boleh lari daripada masalah-masalah. Anda perlu tinggal di sini dan hadapi masalah-masalah tersebut." Dan pada masa itulah respon ketiga muncul kepadanya - respon untuk bertindak secara aman. Dari pada masa itu, dia telah membentuk satu falsafah tentang keamanan dan mempraktikkannya dalam kehidupannya dan pada masa yang sama dalam pencariannya untuk keadilan di Afrika Selatan. Akhirnya dia telah menetap di negara itu selama dua puluh dua tahun, dan kemudian dia telah pergi dan memimpin pergerakan India."