Friday, May 18, 2007

KEMBALI KEPANGKUAN ISLAM


KEMBALI KEPANGKUAN ISLAM

Alhamdulillah kita sungguh bersyukur kehadrat Allah SWT kerana dengan izinNya pada waktu ini dapat lagi kita bersama-sama meneliti bahan-bahan yang menjadi sumber kepada ilmu dan peningkatan kita disamping menjadi wasilah (jalan) untuk kita menyedari dan memahami akan hakikat Islam yang merupakan Deenul Hayah (cara hidup) yang semestinya menjadi pilihan kita semua.

Umat Islam diseluruh dunia hari ini sedang berada ditepi jurang kehancuran yakni kehancuran yang total dan tidak mungkin dan mustahil boleh diperbaiki lagi. Kehancuran yang akan menyebabkan mereka akan menyesal yang tiada berkesudahan yang tidak akan dapat ditebus dengan wang ringgit, pangkat, kekuasaan dan dengan diri mereka sendiri ataupun keluarga malah dengan dunia dan seisinya sekalipun.

Kehancuran di sini bukanlah bermaksud kelaparan, kebodohan, rasuah, dadah, penyalahgunaan kuasa, kemenangan pengaruh kominis ataupun berlakunya peristiwa seperti peperangan dan sebagainya, kerana semua itu baru hanya merupakan tanda-tanda dan bukanlah kehancuran yang sebenarnya. Tetapi kehancuran yang sebenarnya ialah apabila manusia manusia menjadi degil dan enggan untuk menerima Allah SWT sebagai Rabb, Malik dan Ilah mereka kerana keengganan dan kedegilan ini kelak akan mengakibatkan kemurkaan Allah SWT yang akan mengakibatkan manusia dilontarkan ke dalam api neraka.

Lantaran itu bagi menyelamatkan diri dari kehancuran ini, maka tidak ada pilihan yang lain bagi manusia melainkan harus dan mestilah kembali segera menyahut panggilan fitrah asal mereka yakni kembali kepangkuan Islam.

Di dalam Al Quran Al Karim terdapat banyak ayat-ayat Allah SWT yang menyeru dan memerintahkan sekelian makhluknya khususnya manusia supaya menyembah serta mengabdikan diri kepada hanya sanya Dia (Allah) dan meninggalkan segala bentuk sembahan yang selain daripadaNya. Firman Allah SWT ;


“Dan kepada Allah sahajalah bersujud segala apa yang berada dilangit dan semua makhluk yang melata dibumi dan semua para malaikat, sedang mereka (malaikat) tidak menyombong diri"

(Surah an Nahl : 49)


"Allah berfirman : Janganlah kamu menyembah dua tuhan; sesungguhnya Dialah Tuhan Yang Maha Esa maka hendaklah kepadaKu sahaja kamu takut "

(Surah an Nahl : 51)


"Dan taatilah Allah dan Rasul supaya kamu diberi rahmat "

(Surah ali Imran : 132)


Perintah ini diarahkan bukanlah tujuan untuk memaksa tetapi adalah satu peringatan bagi manusia terhadap hakikat penciptaan mereka serta hubungan mereka dengan Allah sebagai Rabb, Malik dan Ilah tadi. Allah SWT ingin menjelaskan kepada manusia melalui wahyu-wahyuNya bahawa mereka dicipta bersifat lemah dan memerlukanNya. Bahawa mereka tidak mampu dan tidak cukup ilmu untuk mentadbir diri mereka sendiri apatah lagi untuk mentadbir orang lain. Bahawa mereka tidak mengetahui tujuan mereka diciptakan dan kemana hendak mereka tuju. Bahawa mereka perlu bergantung kepada suatu kuasa yang besar dan kuat, yang kekal dan tidak akan hilang, yang perkasa dan tidak ada tandingannya iaitu Allah SWT. Allah SWT sahajalah yang merupakan sebaik-baik penjaga, pemelihara, pelindung, penolong dan pemberi rezeki kepada mereka.

"Hai manusia kamulah yang berkehendak kepada Allah dan Allah Dialah Yang Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) lagi Maha Terpuji "

(Surah al Faathir : 15)

"Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatupun, dan Dia memberi kamu pendengaran, penglihatan dan hati,agar kamu bersyukur "

(Surah an Nahl : 78)

"Dan ingatlah akan hari (ketika) Kami bangkitkan pada tiap-tiap umat seorang saksi atas mereka dari mereka sendiri dan Kami datangkan kamu (Muhammad) menjadi saksi atas seluruh umat manusia. Dan Kami turunkan kepadamu Al Kitab (Al Quran) untuk menjelaskan segala sesuatu dan sebagai petunjuk dan rahmat serta khabar gembira bagi orang-orang yang berserah diri "

(Surah an Nahl : 89)

Di atas dasar inilah maka manusia harus sedar, insafkan diri mereka dan bersegera untuk melaksanakan perintah tersebut dengan kembali kepangkuan Islam agar mereka semua akan mendapat rahmat dan keamponan daripada Allah SWT.


Apakah Tujuan Dan Peranan Islam

Dr. Abdul Karim Zaidan di dalam kitabnya Usul Dakwah, mengatakan bahawa tujuan atau matlamat Islam ialah untuk memberikan kemaslahatan atau kebaikan bagi manusia dan menghapuskan segala macam kerosakan dan keburukan dari mereka didunia dan akhirat. Ini menjelaskan bahawa manusia tanpa Islam tidak akan mampu untuk memberikan kemaslahatan atau kebaikan yang sebenar samada pada dirinya sendiri maupun kepada manusia-manusia lain malahapa yang akan terjadi ialah sebaliknya iaitu kerosakan dan kezaliman.

Sebagai contoh, marilah kita melihat perkembangan nasionalisma, kapitalisma, kominisma dan lain-lain ism di dunia ini dan kesannya terhadap manusia. Memanglah pada teorinya masing-masing bertujuan untuk memberikan kemaslahatan kepada manusia, tetapi apabila sistem mereka dilaksanakan secara praktik maka kita dapat melihat lahirlah satu demi satu kelemahan-kelemahan yang amat menonjol, yang tidak dapat ditampung dan diperbaiki lagi. Disamping itu juga didapati timbulah masalah-masalah yang semakin hari semakin rumit untuk diselesaikan. Sistem ataupun cara hidup yang mereka anjurkan ini sebenarnya amatlah bertentangan dengan naluri manusia dan lantaran kerana itulah kita dapati mereka menemui kegagalan demi kegagalan.

Sebaliknya Islam adalah suatu cara hidup (syariah) yang telah diciptakan oleh Allah SWT khusus untuk manusia. Dan oleh itu ianya adalah lengkap, sempurna dan bebas daripada segala bentuk kekurangan dan kelemahan. Kesempurnaan Islam menyebabkan mereka-mereka yang berpegang dengannya tidak perlu lagi bergantung kepada sumber-sumber asasi yang lain walau sedikit mana sekalipun, baik yang datang dari barat ataupun timur.Islam menghendaki pemeluknya supaya berpegang teguh kepada peraturan-peraturan yang telah ditentukan oleh Allah SWT kerana inilah sahaja caranya yang boleh memberikan kejayaan dan kemenangan kepada mereka.

Perlu dijelaskan di sini bahawa peranan Islam tidaklah hanya tertumpu kepada beberapa waktu ataupun suasana yang tertentu tetapi ianya berfungsi pada setiap masa dan ketika. Ini adalah kerana objek yang ditujuinya ialah untuk mengubah jiwa manusia supaya benar-benar tunduk dan patuh seluruhnya hanya kepada Allah SWT, dan melaksanakan syariatNya. Justeru itu matlamat ke arah ini memerlukan satu usaha yang berterusan dan bersungguh-sungguh, bukan sekali sekala dan hendaklah dilaksanakan didalam apa jua suasana dan tempat. Usaha yang sambil lewa dan tidak bersungguh-sungguh bukan sahaja tidak akan menghasilkan kejayaan malah akan melahirkan pula kesan-kesan yang tidak baik dan merugikan.

Sebagaimana realiti yang berlaku sekarang ini, usaha-usaha ke arah pembentukan cara hidup Islam ini kebanyakannya dijalankan secara sambil lewa sahaja yang mana diantara sebab berlaku demikian adalah kerana ramai daripada umat ini yang melepaskan mas'uliah (rasa tanggungjawab) mereka terhadap Islam. Kalau adapun usaha yang dijalankan hanyalah sekadar kerana orang lain buat program maka merekapun buat juga, atau kerana terpaksa ataupun kerana nak buat sambutan-sambutan tertentu yang berkaitan dengan Islam dan lain-lain lagi.


Langkah Kita

Pada hari ini kita sedang berada disuatu zaman yang dipenuhi dengan jahiliah MODEN yang bermacam ragam dan keadaan ini menjadi lebih tenat lagi kerana tidak adanya WA'YUL ISLAM (kefahaman Islam) yang sebenar melainkan kepada hanya segelintir manusia sahaja. Oleh itu, langkah kita yang paling awal ialah mendapatkan kefahaman Islam yang sebenar, sepertimana kefahaman yang telah diajarkan oleh baginda Rasulullah SAW.

Maka dari itu kita haruslah berusaha untuk mendapatkan dan membaca bahan-bahan bacaan yang bernilai seperti buku-buku, risalah-risalah, majalah-majalah yang dikarang oleh Ulama'-ulama' yang muktabar dan disamping itu perlulah kita mendampingkan diri dengan usrah-usrah, ceramah-ceramah, perbincangan dan sebagainya kerana semua itu akan menyambungkanke arah pembentukan kefahaman dan kesedaran Islam yang sebenarnya. Kita perlulah memahami asas-asas Islam, peranan Islam dalam kehidupan dan tuntutan-tuntutannya ke atas diri kita. Kita perlulah mengetahui akan kebaikan Islam, serangan musuh terhadapnya dan cara untuk mengembangkannya dan seribu satu lagi persoalan lain mengenainya.

Untuk mendapatkan kefahaman ini, menurut mujahid Fathi Yakan, seelok-eloknya ialah diwaktu sekarang sebelum kita ditimpa dengan kesibukan-kesibukan yang akan membantutkan usaha-usaha kita. Maknanya kita perlulah mencari ilmu dan kefahaman ini disaat usia masih muda lagi dan fikiran masih segar dan inilah sebaik-baik masa bagi kita sebelum datang kesibukan urusan kerja, urusan anak isteri dan keluarga, urusan persatuan dan sebagainya.

Kita juga perlulah sedar bahawa suasana jahiliah MODEN yang berada disekeliling kita ini amat mengancam dan sentiasa berusaha untuk memisahkan kita dengan Islam dari setiap sudut. Untuk menegakkan Islam pada diri kita dan masyarakat kita pada hari ini sambil berhadapan dengan jahiliah yang telah menguasai hampir seluruh inci kehidupan manusia, bukanlah satu perkara yang mudah. Oleh itu kita mestilah berikhtiar dan menentukan agar langkah yang akan kita ambil nanti bersesuaian dengan keadaan, masa, tempat dan suasana. Untuk ini kita haruslah meneliti kembali akan sirah Rasulullah SAW dengan tujuan supaya dapat kita mencari wasilah (jalan) ataupun langkah yang paling baik. Firman Allah SWT :


"Sesungguhnya pada Rasulullah itu ada contoh ikutan yang paling baik bagi kamu, iaitu bagi sesiapa yang mengharapkan ganjaran Allah dan balasan yang baik dihari kiamat serta sentiasa mengingati Allah "

(Surah al Ahzab : 21)


Kita dapati Rasulullah SAW diantara tindakannya yang awal untuk menegakkan Islam ialah melaksanakan satu manhaj tarbiyyah yang melahirkan pendokong-pendokong yang telah benar-benar sedar dan sefikrah serta bersedia pula untuk menerima dan melaksanakan perintah-perintah Rasulullah SAW. Melalui pembentukan barisan pendokong-pendokong akidah inilah seterusnya Rasulullah SAW telah berjaya menerapkan nilai-nilai Islam dan menjadikan kumpulan tersebut sebagai contoh kebaikan Islam kepada masyarakat Quraish pada masa itu.


Justeru itu kita perlulah meyakini bahawa melalui proses tarbiyyah sahajalah kita akan dapat memasukkan nilai-nilai Islam pada diri kita. Dan kerana itu haruslah kita bersedia untuk mengorbankan masa yang ada pada kita dengan kita menyerah diri sepenuhnya. Apabila kefahaman yang sebenar telah diperolehi dan diterjemahkan dalam bentuk praktik maka proses ini akan melahirkan keimanan yang mendalam pada diri kita yang mana ianya akan bertindak sebagai senjata untuk menahan kemaraan pengaruh jahiliyyah disamping menguatkan lagi penghayatan Islam kita.


SUATU KEHILANGAN


Penderitaan umat Islam hari ini bukan setakat tidak dapat memanfaatkan sumber kekayaan bumi mereka, yang lebih parah lagi ialah mereka tidak mempunyai sejarah atau tidak punya kebanggaan masa lalu.


Disaat seperti ini ummat Islam tidak akan memiliki motivasi untuk bangkit memperbaiki nasibnya.Akhirnya jiwa mereka terus tunduk dan menyerah kepada suasana.


Oleh itu kita perlu kembali menoleh kebelakang; iaitu generasi al Quran Yang Unik, kerana di sana tersimpannya;Peribadi-peribadi luarbiasa yang telah menundukkan alam jahiliyyah kepada kebenaran Islam, Pengorbanan yang tidak dijangkiti sifat tamak dan bakhil, Kecerdikan dan kegigihan yang tidak diresapi sebarang warna tipu daya dan Sistem didikan yang telah mengubah jiwa-jiwa manusia


Di sana terdapatnya peribadi-peribadi unggul iaitu keperibadian Rabbani yang sebelum disirami cahaya kebenaran Islam adalah merupakan mereka yang hidup di dalam kegelapan Jahiliyyah, yang menguburkan anak-anak perempuan hidup-hidup, minum arak dan berjudi.

Namun kini sirah yang cemerlang dan contoh-contoh yang gemilang ini semakin pupus dari kamus kehidupan umat Islam. Umat Islam kini lemah tidak bermaya, tidak ada sebarang kekuatan atau motivasi untuk bangkit dan membangun semula ummah.


Ada yang menyedari hakikat ini dan cuba merawatnya tapi tidak tahu punca-puncanya lantaran tidak tahu bagaimana seharusnya mendiagnosa semua penyakit ini dan memahaminya secara menyeluruh dalam rangka membina semula ummat dan melancarkan suatu usaha pemulihan yang baik, selamat, memadai dan moden. Kerana dengan semata-mata adanya keluhan, semata-mata keinginan melakukan perubahan secara benar, semata-mata merasai berada pada jalan yang salah dalam hampir semua segi, semata-mata adanya usaha-usaha serampangan untuk mengubati keadaan yang hina dan terkebelakang, dengan semata–mata itu semua! Maka keadaan ummat akan tetap buta terhadap jalan terang. Oleh itu kaedah pengdiagnosaan menyeluruh mesti diketahui.

Penyakit yang dideritai oleh ummat Islam hari ini adalah penyakit lama yang berulang kembali akibat dari kecuaian dan kealpaan ummat ketika sihatnya. Penyakit ini dulunya hampir memusnahkan ummat manusia tetapi Allah yang Maha Penyayang telah mengutuskan RasulNya lalu membimbing ummat manusia yang sedang dalam kegelapan menuju kepada cahaya dan keluasan hidup, dari penyembahan kepada sesama mahkluk kepada penyembahan Allah yang Maha Esa.

Tetapi kini penyakit ini semakin merebak dan makin hari makin tenat, hingga ada organ-organ yang lemah dan tak berfungsi, bahkan Tauhid ataupun keimanan kepada Allah yang menjadi jantung Islam itu sendiri telah tenat dan makin kehilangan fungsinya. Kini tanda-tanda kelemahan dan kehancuran ummat mula tampak dalam tingkahlaku dan pergerakan ummat itu sendiri.Ummat Islam hari ini telah mula menolak Syariat dan Hakimiyyah Allah taala, Deen Allah serta janji-janji dan ancaman-ancaman Allah. Dimana ini bermakna kita juga telah menolak redha,rahmat dan bantuan Allah taala; oleh itu hari ini kita melihat Ummat Islam telah hilang Daulah Islamiyyah, Syariat Islamiyyah, Ahklak Islam, Tamadun Islam, Tarbiyyah dan Keperibadian sebenar Islam.


Penyakit ini tidak akan sembuh melainkan kita merawatnya sebagaimana Rasulullah s.a.w merawatnya dahulu; kita mesti bermula pada titik permulaan dakwah Rasulullah s.a.w. Ummat ini perlu dididik sebagaimana Rasulullah s.a.w mendidik generasi awal dahulu dengan manhaj dan uslub Rasulullah s.a.w.

Kita perlu menoleh semula kebelakang untuk kita menggali semula khazanah-khazanah berharga dari sirah yang harum sebagai bekalan untuk kita bangkit dan membangun semula ummah. Kita perlu kembali kepangkuan Islam; Islam dalam ruang lingkup dan pengertian sepertimana yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Kita perlu memahami dan menghayati serta melaksanakannya dalam kehidupan kita sebagaimana generasi pertama(generasi Al Quran) memahami, menghayati dan melaksanakannya dalam kehidupan mereka.

1 comment: