PERKAHWINAN IBADAH
Suatu ketika Rasulullah saw bertanya kepada para sahabat, siapakah orang yang paling taat dan takwa kepada Allah? Maka, satu per satu mereka memberikan jawaban.
Sahabat yang lain memberikan jawaban berbeza. Menurutnya, orang yang paling taat dan takwa kepada Allah adalah orang yang melakukan solat terus sampai tak sempat tidur. Rasulullah menggelengkan kepala, sambil berkata: Aku adalah Rasul Allah. Aku menjalankan solat, tapi juga menyempatkan untuk tidur.
Orang yang ke tiga menjawab berbeza lagi, menurutnya, orang yang taat dan takwa kepada Allah itu adalah orang yang tidak kahwin, agar ibadahnya kepada Allah tidak terganggu. Tapi sekali lagi Rasulullah menggelengkan kepala. "Aku Rasul Allah. Aku beribadah, tapi aku juga tetap melakukan perkahwinan"
Ah, pembaca, begitu banyak orang yang berlebihan dalam beribadah. Sehingga ada yang sampai tidak kahwin atas nama ibadah. Maka Rasulullah mengkritik secara halus orang-orang yang berlaku demikian.
Ibadah adalah bentuk ketaatan kepada Allah. Upaya untuk mendekatkan diri kepadaNya. Tetapi jangan sampai keliru sehingga terjebak kepada perilaku melampaui batas. Sebagaimana yang Allah tujukan kepada para rahib Nasrani yang tidak melakukan perkahwinan dengan alasan ibadah. Padahal perkahwinan itu sendiri adalah bentuk ibadah seorang manusia kepada Allah.
QS. Al Maidah (5): 77
“Katakanlah: "Hai Ahli Kitab, janganlah kamu berlebih-lebihan dengan cara tidak benar dalam agamamu. Dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang yang telah sesat dahulunya (sebelum kedatangan Muhammad) dan mereka telah menyesatkan kebanyakan (manusia), dan mereka tersesat dari jalan yang lurus."
Bahkan Rasulullah saw pernah bersabda, barangsiapa tidak kahwin, padahal ia mampu, maka ia bukanlah termasuk umat beliau. Begitulah, perkahwinan bukan hanya bersifat lahiriah dan sesaat, serta bertujuan jangka pendek, melainkan lebih jauh dari itu. Untuk memberikan berbagai macam kemudahan dan kebahagiaan kepada kita.
Allah tidak menghendaki kesulitan atas hamba-hambaNya. Justru sebaliknya, Allah menghendaki kemudahan dan kebahagiaan buat kita semua. Dan perkahwinan adalah salah satu jalan untuk mencapai kebahagiaan. Ketenteraman dan kasih sayang.
QS. Ar Ruum (30): 21
“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”
Kalau kita cermati ayat di atas, kita memperoleh kesimpulan bahawa tujuan perkahwinan itu setidak-tidaknya ada 3 hal. Yang pertama, untuk menunjukkan kekuasaan Allah. Kedua, agar tercipta ketenteraman. Dan yang ketiga, untuk membangun kasih sayang.
Inilah salah satu cara Allah membahagiakan hamba-hambaNya. Melalui jalan perkahwinan. Kerana itu Rasulullah pernah menyampaikan bahawa rumah tangga beliau itu bagaikan syurga bagi beliau. Baiti jannati - rumahku adalah syurgaku.
Bagaimana hal itu mampu terjadi? Sementara kita melihat demikian banyaknya rumah tangga yang justru menjadi neraka bagi penghuninya. Pertengkaran terjadi setiap hari. Suami jarang pulang. Isteri pun membalas menginap di rumah teman. Anak-anak telantar, entah siapa yang mengurusi keperluannya.
Ketika perkahwinan tidak dilandasi niat ibadah, biasanya yang muncul adalah keretakan rumah tangga. Bermunculannya segala masalah.
Begitulah keterkaitannya. Ketika kita meniatkan ibadah kepada Allah melalui jalan perkahwinan, maka DIA pun menjadikan rumah tangga kita sebagai syurga. Di situlah bakal muncul ketenteraman. Disitu pula bakal muncul kasih sayang. Dan di situ bakal tercipta syurga dunia. Bagaimana? Kerana Allah sendiri yang bakal menjaga rumah tangga kita dengan kekuasaanNya.
Di ayat lain Allah juga memberikan gambaran bahawa perkahwinan bertujuan untuk menghasilkan keturunan yang soleh dan solehah sehingga melengkapi kebahagiaan. Bukan hanya kebahagiaan bersama isteri dan suami tercinta, tetapi bersama anak-anak sang buah hati.
QS. Al Furqaan (25): 74
“Dan orang-orang yang berkata: "Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati, dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.”
Jadi, kunci kebahagiaan rumah tangga sebenarnya berada pada niatan kita untuk melakukan pernikahan tersebut. Jika kita hanya berniat untuk bersenang-senang secara biologis, maka kita pun hanya akan memperoleh kesenangan sesaat. Kerana yang namanya kesenangan biologis itu hanya sementara dan dangkal sifatnya.
Sangat terkait dengan waktu. Boleh jadi, satu-dua tahun kemudian kita sudah merasa bosan. Kerana ternyata ia hanya ‘gitu-gitu aje’. Mulailah melirik kiri-kanan, mencari variasi dan alternatif.
Pada saat itu, bahaya mulai mengintai. Betapa banyaknya perkahwinan selebriti yang berkecai, dan hanya bertahan ‘seumur jagung’. Kerana mereka hanya berorientasi kepada hal-hal yang bersifat fizik. Sekadar kerana kecantikan dan ketampanan.
Padahal kata orang bijak, Beauty is just skindeep - kecantikan hanyalah setipis kulit. Begitu kulitnya mengeriput sudah tidak cantik lagi. Apalagi kalau kulitnya mengelupas, kecantikan itu pun menjadi hilang. Bahkan mungkin mengerikan.
Jangan. Jangan mengorientasikan perkahwinan hanya kerana alasan biologis. Meskipun kita sedar, bahawa kecantikan dan ketampanan merupakan salah satu alasan seseorang menyukai pasangannya.
Jangan pula meniatkan sebuah perkahwinan hanya kerana harta benda dan kekuasaan. Kerana seperti kecantikan dan ketampanan, harta kekayaan tidak berumur panjang. Dan sering menjebak pada persoalan.
Tak sedikit orang yang kahwin kerana kekayaan pasangannya. Sehingga selama perkahwinannya itu yang menjadi sorotan hanya soal harta benda. Begitu tidak sesuai dengan yang dibayangkan, maka bertengkarlah mereka. Dan akhirnya, sidang perceraian hanya berkisar pada rebutan harta
Perkahwinan bukan hanya berorientasi pada kekayaan harta benda. Meskipun kekayaan menjadi salah satu daya tarik seseorang untuk melakukan perkahwinan.
Perkahwinan juga bukan sekadar berorientasi pada kekuasaan. Meskipun kita melihat tidak sedikit orang-orang yang melakukan perkahwinan politik. Tapi, begitu kepentingan politik itu sudah selesai, yang muncul adalah masalah.
Dan perkahwinan pun bukan sekadar untuk tujuan-tujuan duniawi lainnya. Kerana semua itu ternyata bakal menjebak pelakunya menemui masalah-masalah yang rumit tentang keduniawiannya.
Allah menawarkan penyelesaian tentang kebahagiaan perkahwinan menerusi sebuah konsep ibadah. Bahawa perkahwinan akan menjadi syurga ketika kita memformatnya sebagai sebuah pengabdian yang tulus kepada Allah. Beribadah kepadaNya. Sebab fitrah manusia memang adalah makhluk ibadah. Siapa yang tidak beribadah bakal gelisah dan bertemu dengan masalah.
Kerana itu, perkahwinan akan mencapai kebahagiaannya ketika dikembalikan ke fitrahnya. Bahawa perkahwinan adalah perintahNya. Bahawa perkahwinan adalah ladang untuk berbuat amal kebajikan. Dengan cara membahagiakan isteri dan suami. Dan kemudian memperoleh keturunan anak-anak yang soleh dan solehah...
QS. Adz Dzaariyaat (51): 56
“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadah kepadaKu.”
Barangsiapa tidak beribadah dalam setiap aktivitinya, maka ia akan menemui masalah. Termasuk di dalam kehidupan rumah tangganya.
No comments:
Post a Comment