Manusia merupakan makhluk yang sering terlibat dalam melakukan dosa dan maksiat. Ini kerana mereka bukan sahaja dibekalkan dengan akal, malah perasaan, nafsu dan pancaindera yang sentiasa mendorong mereka ke arah kejahatan.
Allah SWT menjelaskan menerusi ayat 7-8 surah as-Syams yang bermaksud: "Dan jiwa manusia serta kesempurnaan penciptaannya. Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu jalan kefasikan (kejahatan) dan takwa (kebaikan).
Terdapat golongan Mufassirun (ahli-ahli tafsir) menjelaskan bahawa Allah SWT menjadikan hati manusia cenderung kepada kejahatan kemudian baru cenderung kepada kebaikan atau makruf, itupun jika ditakdirkan umurnya dipanjangkan oleh Allah SWT.
Kedatangan Ramadan kali ini, perlu diambil peluang seluas-luasnya oleh setiap insan beragama Islam, baik lelaki mahupun perempuan, kerana bulan Ramadan disifatkan oleh sesetengah para ulama sebagai bengkel, iaitu bengkel yang menghilangkan tompok-tompok hitam yang masih melekat pada hati manusia sebelum menjelang Ramadan, serta mengetatkan skru-skru lutut yang longgar, kerana tidak berapa pentingkan tarbiah di rumah Allah, sama ada masjid atau surau.
Kita tidak mahu menjadi seperti manusia yang beranggapan bahawa Allah SWT hanya wujud pada bulan Ramadan, sedangkan pada bulan-bulan sebelum dan selepas Ramadan batang hidung pun tidak kelihatan di rumah Allah, ini kerana di rumah Allah apabila kita menjadi tetamu-Nya, banyak juadah rohani disediakan yang tidak ada di tempat-tempat lain, akhirnya diri kita ini dinaik-tarafkan setelah menjadi orang Islam kepada orang beriman dan kemuncaknya ialah orang yang bertakwa.
Dengan dinaikkan taraf orang yang bertakwa, sudah tidak menjadi masalah untuk sentiasa bertaubat dari segala kesalahan yang besar dan yang kecil, kerana selagi mana kita bernama manusia, kita terdedah kepada melakukan dosa, sama ada yang besar ataupun yang kecil.
Bulan Ramadan yang disebut oleh baginda Rasulullah s.a.w. terdapat di dalamnya keampunan Allah SWT, mengapa kita perlu memohon keampunan-Nya? Tidak lain kerana terlalu banyak dosa yang dilakukan, sama ada yang disedari atau sebaliknya. Antara dosa besar yang kita lakukan adalah tidak pernah melaksanakan hukum-hakam Allah dalam al-Quran, malah kita tukarkannya dengan undang-undang ciptaan manusia seperti hukum zina ditukarkan kepada denda atau penjara.
Sehubungan itu, Syeikh Prof Dr Yusuf al-Qaradawi ada menegaskan, bahawa ramai di kalangan manusia tidak sedar terjebak dalam melakukan dosa dan maksiat, terutamanya yang dilakukan oleh pancaindera yang zahir (luaran) seperti dosa tangan, kaki, mata, telinga, lidah, hidung dan sebagainya termasuk dosa perut dan kemaluan.
Dosa tangan ialah dengan melakukan kecurian atau mengambil hak orang lain secara paksa, dosa kaki iaitu berjalan menuju tempat yang ditegah oleh agama seperti tempat pelacuran dan sebagainya.
Dosa mata melihat kepada yang diharamkan oleh Allah seperti melihat aurat orang lain, dosa telinga melalui pendengaran kepada perkara mengumpat dan sebagainya, dosa lidah dengan mengutuk orang lain atau memfitnah, dosa hidung dengan menghidu sesuatu yang diharamkan Allah, dosa perut memakan makanan yang diharamkan atau sumber riba dan dosa kemaluan dengan melakukan perbuatan zina.
Tetapi sebahagian besar daripada mereka lupa dan mungkin tidak mengetahui sedalam-dalamnya dosa serta maksiat yang dilakukan oleh hati, sedangkan dosa hati adalah lebih bahaya daripada dosa-dosa di atas, ini kerana hati seseorang itu boleh terjebak pada niat yang serong daripada agama, tidak ikhlas dalam melakukan sesuatu kebaikan dan yang lebih parah lagi terlibat pada syirik, riyak, bangga diri, cinta pada dunia, kufur (ingkar kepada hukum Allah), hasad dan banyak lagi.
Inilah yang membezakan antara dosa yang dilakukan oleh Nabi Adam a.s. dan Iblis. Dosa Nabi Adama hanya melibatkan pancaindera kerana memakan dari pokok yang terlarang, sementara dosa Iblis lebih teruk daripada itu kerana melibatkan persoalan hati iaitu kufur kepada perintah Allah kerana enggan sujud kepada Adam lantaran sombong.
Walau apapun dosa atau maksiat yang dilakukan oleh seseorang Muslim/Muslimah, besar atau kecil, sengaja atau tidak, sedar atau sebaliknya, dia perlu memohon keampunan daripada Allah Yang Maha Pengampun terhadap dosa-dosa pancaindera dan hati dengan bertaubat kepada Allah.
Dia perlu berazam untuk meninggalkan dosa-dosa yang pernah dilakukannya dan bersungguh-sungguh untuk tidak mahu mengulanginya pada masa-masa akan datang. Perkara ini pernah ditegaskan oleh baginda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Setiap anak Adam itu melakukan kesalahan, dan sebaik-baik kesalahan itu adalah bertaubat kepada Allah."
No comments:
Post a Comment