Tuesday, October 14, 2008
SEPULUH CIRI KEPERIBADIAN MUSLIM YANG SOLEH
Muslim yang salih adalah gelaran yang tinggi bagi seorang muslim. Untuk menjadi muslim yang salih, seseorang perlu menghayati Islam sepenuhnya.
Ciri-ciri berikut harus dimiliki agar seseorang muslim dapat menjadi muslim yang salih:
1. ( سليم العقيدة ) Aqidah yang sejahtera
Seorang muslim yang salih ialah muslim yang memiliki aqidah, keyakinan dan hubungan yang kuat dengan Allah Subhanahuwataala. Kekuatan tauhid yang dimilikinya membebaskannya daripada syirik. Dia meninggalkan ilah-ilah selain daripada Allah Subhanahuwataala, seperti harta, wanita, pangkat, kedudukan dan sembahan-sembahan yang lain. Dia juga membebaskan dirinya daripada tunduk kepada isme-isme dan budaya-budaya yang menyesatkan. Juga daripada tahayul, kurafat dan ramalan-ramalan dukun yang merosakkan ‘aqidah kepada Allah Subhanahuwataala. Keyakinannya hanya kepada Allah Subhanahuwataala kerana semua urusan berada di tangan Allah Subhanahuwataala.
Banyak ayat di dalam Al Qur’an Al Karim melarang keras semua bentuk syirik. Semua manusia diperintahkan agar hanya beribadah kepada Allah Subhanahuwataala serta meninggalkan ilah-ilah yang lain.
Seorang muslim yang salih akan memelihara perasaan takut kepada Allah Subhanahuwataala. Dia rasa selalu diawasi oleh Allah Subhanahuwataala berdasarkan firmanNya:
“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya.”
(Qaf : 16)
Firman-Nya:
“...Dan Dia bersama kamu di mana saja kamu berada, dan Allah Maha Melihat terhadap apa yang kamu kerjakan.”
(Al Hadid : 4)
2. ( صالح العبادة ) Ibadah yang salih
Seorang muslim yang salih akan selalu berhati-hati dalam beribadah kepada Allah Subhanahuwataala. Niatnya ikhlas dan caranya betul mengikut syara’. Dia beribadah berdasarkan dalil-dalil yang sahih dan meninggalkan amalan bid’ah atau yang berbau bid’ah.
Niat yang ikhlas dan amalan yang menepati syari’at Islam akan mendatangkan manfa’at untuk dirinya dan persekitaran. Dia akan dikumpulkan bersama para nabi dan syuhada’ di akhirat kelak.
3. ( متين الخلق ) Akhlak yang mantap
Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam adalah orang yang paling sempurna akhlaknya. Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam adalah contoh tauladan kita. Seorang muslim wajib mencontohi akhlak Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam.
Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam mempunyai akhlak yang baik dan mantap terhadap kawan dan lawan. Beliau tidak sekali-kali bersikap zalim terhadap manusia.
Ibadah kita kepada Allah Subhanahuwataala mungkin akan sia-sia kiranya kita mempunyai akhlak yang buruk.
Justeru itu muslim yang salih, wajiblah baginya memiliki akhlak yang mulia.
4. ( قوي الجسم ) Tubuh badan yang kuat
Seorang muslim perlu memiliki tubuh badan yang kuat dan sihat kerana dia memikul tanggungjawab yang berat. Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam menggalakkan muslim melakukan senaman dan menjaga pemakanan yang seimbang, baik lagi halal. Muslim yang aktif dalam hidupnya, samada dalam urusan da’wah atau mencari nafkah hidup, memerlukan tubuh badan yang sihat agar semua kerjanya dapat berjalan lancar.
Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam ada menyatakan bahawa muslim yang kuat lebih utama dam lebih dicintai Allah Subhanahuwataala daripada muslim yang lemah.
5. (مثقف الفكر ) Pemikiran yang terdidik dan matang
Muslim yang salih haruslah memperhatikan perkembangan akalnya. Akal perlu diasah dengan pengisian ilmu. Sahabat-sahabat Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam, seperti Saidina Ali, Saidina Omar Al Khattab dan Sayyidah A’isyah adalah orang-orang yang memiliki ilmu yang tinggi.
Medan da’wah sangat memerlukan penguasaan terhadap berbagai-bagai disiplin ilmu. Musuh-musuh Islam telah menyusup ke pelbagai bidang kehidupan melalui disiplin-disiplin ilmu yang mereka kuasai. Untuk melawan mereka, maka kita juga perlu menguasai berbagai-bagai disiplin ilmu. Di zaman yang mencabar kini, dalam berbagai-bagai bidang kehidupan, ketinggian pemikiran atau intelektual semakin diperlukan.
Begitu juga, tabi’at minat membaca perlu dimiliki oleh muslim yang salih.
6. ( منظم فى شؤونه) Teratur dalam urusan atau kerja
Muslim yang salih harus berkerja secara teratur hingga melahirkan hasil kerja yang berkualiti. Di samping penghasilan kerjanya baik, niat yang ikhlas sangat dituntut.
Muslim yang menghayati sifat ihsan akan melakukan kerja yang terbaik. Pekerjaan yang dilakukan secara membabi-buta dan tidak teratur, akan mengakibatkan kekecewaan dan kerugian. Jika berlaku sedemikian, kepercayaan orang lain terhadapnya mungkin hilang.
Apatah lagi kerja yang berkaitan dengan da’wah Islamiyyah, maka ia perlu dilakukan dengan teratur. Kerja da’wah yang berkualiti mempunyai pengaruh yang besar untuk mengeluarkan hasil yang juga berkualiti.
7. Menguasai diri sendiri
Muslim yang salih mampu menguasai diri sendiri. Beliau dapat bersabar sewaktu ditimpa kesusahan dan bersyukur kepada Allah Subhanahuwataala sewaktu mendapat kegembiraan atau menerima nikmat daripada Allah Subhanahuwataala.
Beliau juga tenang sewaktu melaksanakan masuliyah da’wah yang mencabar, optimis dengan kejayaan da’wah dan pertolongan Allah Subhanahuwataala. Begitu juga, beliau takut hanya kepada Allah Subhanahuwataala dan mengharap hanya kepada Allah Subhanahuwataala.
8. ( حريس على وقته) Menjaga waktu dengan baik
Allah Subhanahuwataala telah mengingatkan kita betapa ruginya seseorang yang mensia-siakan waktunya. Akhirnya, dia akan menyesal dengan sesalan yang tidak berguna lagi.
Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam ada berpesan supaya kita jangan membuang masa atau melengah-lengahkan kerja. Sabda baginda:
“Jika engkau di waktu petang maka janganlah engkau menunggu pagi, dan jika engkau di waktu pagi maka janganlah menunggu petang, dan pergunakanlah sihatmu sebelum kamu sakit dan pergunakanlah di waktu hidupmu sebelum kamu mati.”
(Riwayat Imam Bukhari)
Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam juga pernah mengingatkan kita bahawa ramai manusia lalai terhadap dua nikmat yang sangat berharga iaitu kesihatan dan waktu yang terluang.
Muslim yang salih melihat waktu hidupnya sebagai satu tempoh yang sangat penting dan genting. Dia selalu bertanya pada dirinya, “Adakah waktu hidupku yang berlalu diisi dengan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat untuk kehidupan di dunia dan akhirat?”.
Imam Hasan Al Banna mengingatkan kepada kita bahawa “Waktu itu kehidupan”. Ini bermakna jika waktu itu tidak digunakan sebaik-baiknya bererti kita telah mensia-siakan hidup.
Waktu kita sangat terbatas. Oleh itu waktu itu perlu digunakan dengan cara yang paling berkesan dan efisyen. Janganlah sampai kita gunakan waktu untuk perbuatan yang sia-sia, jauh sekali daripada melakukan ma’siat. Bukankah kewajipan kita lebih banyak daripada waktu yang kita ada?
9. ( قادر على الكسب ) Mampu untuk berkerja
Seorang muslim yang salih bersifat berdikari. Dia boleh berusaha sendiri untuk mencari nafkah bagi diri sendiri, keluarga dan orang-orang yang berada di bawah tanggungannya.
Muslim yang salih akan berusaha sedapat mungkin untuk mengelakkan diri daripada bergantung kepada orang lain. Jauh sekalilah pergantungan itu melebihi daripada pergantungan kepada Allah Subhanahuwataala.
Dalam soal-soal untuk memenuhi keperluan-keperluan hidup (ma’isyah), muslim yang salih lebih suka untuk berdikari atau berusaha sendiri. Bagi da’i atau murabbi, kemampuan beruasaha sendiri dalam soal ma’isyah adalah penting. Sehingga dengan kemampuan maddi yang ada padanya, dia mampu pula untuk menghidupkan atau mengukuhkan da’wah Islamiyyah.
10. ( نافع للغير ) Bermanfaat terhadap orang lain
Islam diturunkan sebagai rahmatan lil ‘alamin. Seorang muslim yang salih harus menjadi rahmat bagi ‘alam. Dia membawa manfaat kepada diri sendiri, orang lain dan ‘alam sekitarnya dalam rangka menegakkan Islam.
Muslim yang salih harus membawa keberkatan. Kebaikannya sangat diperlukan orang lain, baik dari segi harta benda, tenaga mahu pun ilmu. Muslim yang sebegini akan boleh melahirkan ramai penyokong Islam, InsyaAllah.
No comments:
Post a Comment