Wednesday, January 21, 2009

NI’MAT UNTUK SEORANG DA’I DAN BALASAN KAUM YANG MENGINGKARI DA’WAH

TAFSIR SURAH YASIN AYAT 20 -32 :
NI’MAT UNTUK SEORANG DA’I DAN BALASAN KAUM YANG MENGINGKARI DA’WAH


20. Dan telah datang dari hujung kota, seorang lelaki dengan bergegas-gegas, ia berkata: "Hai kaumku, ikutilah rasul-rasul itu.
21. Ikutilah orang yang tiada meminta balasan kepadamu, dan mereka (rasul-rasul) adalah orang-orang yang mendapat petunjuk.
22. Mengapa aku tidak menyembah (Rab) yang telah menciptakanku dan yang hanya kepada-Nya-lah kamu (semua) akan dikembalikan?
23. Apakah wajar bagiku menyembah tuhan-tuhan selain-Nya, jika (Allah) yang Maha Pemurah menghendaki kemudharatan terhadapku, nescaya syafa’at mereka (tuhan-tuhan itu) tidak memberi manfaat sedikitpun bagi diriku dan mereka tidak (pula) dapat menyelamatkanku?
24. Sesungguhnya aku, kalau begitu (jika berbuat demikian), pasti berada dalam kesesatan yang nyata.
25. Sesungguhnya aku telah beriman kepada Rabmu, maka dengarkanlah (pengakuan keimanan) ku.”
26. Dikatakan (kepadanya setelah ia dibunuh): "Masuklah ke syurga". Ia berkata: "Alangkah baiknya sekiranya kamumku mengetahui.
27. Apa yang menyebabkan Rabku memberi ampun kepadaku dan menjadikan aku termasuk orang-orang yang dimuliakan".
28. Dan Kami tidak menurunkan kepada kaumnya sesudah dia (meninggal dunia) suatu pasukan pun dari langit dan tidak layak kami menurunkannya.
29. Tidak ada siksaan atas mereka melainkan satu teriakan suara saja, maka tiba-tiba mereka semuanya mati.
30. Alangkah besarnya penyesalan terhadap hamba-hamba itu, tiada datang seorang rasulpun kepada mereka melainkan mereka selalu memperolok-olokkannya.
31. Tidakkah mereka mengetahui berapa banyaknya umat-umat sebelum mereka yang telah kami binasakan, bahawasanya orang-orang (yang telah kami binasakan) itu tiada kembali kepada mereka.
32. Dan setiap mereka semuanya akan dikumpulkan lagi kepada Kami.


TAFSIRAN AYAT-AYAT:

1) Ayat-ayat di atas memperlihatkan contoh orang yang mengikut al-Quran dan takut kepada Allah walaupun ia tidak melihat-Nya, berbanding dengan orang-orang yang memiliki hati-hati yang tertutup dari da’wah para rasul.

2) Fitrah yang sihat akan menyambut da’wah yang benar dan lurus dengan sambutan yang mudah dan hangat. Lelaki yang dinyatakan dalam ayat-ayat di atas telah mendengar da’wah para rasul dan terus menyambutnya setelah mendengar dalil-dalil yang benar dan nyata.

3) Apabila hatinya merasai hakikat iman, maka iman itu akan bergerak. Lelaki ini tidak lagi dapat berdiam diri. Dia tidak dapat lagi berdiam diri di rumahnya apabila melihat kesesatan, kekufuran dan kejahatan di sekelilingnya. Dia terus keluar mendapatkan kaumnya dengan membawa keimanan yang tertanam di dalam hatinya, sedangkan kaumnya mendusta dan mengancam para rasul. Dia datang mendapatkan mereka dari daerah pedalaman untuk melaksanakan kewajipannya sebagai da’i, iaitu menyeru kaumnya kepada kebenaran dan menghalang mereka daripada melakukan kezaliman dan pendustaan terhadap para rasul.

4) Lelaki itu, nampaknya, bukanlah seorang yang mempunyai pangkat dan kuasa. Bukan pula seorang yang disegani di kalangan kaumnya atau mempunyai keluarga yang kuat di belakangnya, tetapi iman yang hidup di dalam hatinya telah mendorongnya datang dari daerah pedalaman untuk berda’wah.


20. Dan telah datang dari hujung kota, seorang lelaki dengan bergegas-gegas ia berkata: "Hai kaumku, ikutilah utusan-utusan itu.


5) Orang yang berda’wah tanpa meminta upah dan mencari keuntungan adalah penda’wah yang benar. Bukti kebenarannya ialah apabila ia sanggup bersusah payah memikul beban da’wah semata-mata untuk menjunjung perintah Allah, dalam menghadapi manusia yang berlainan ‘aqidah. Ia juga sanggup mendedahkan dirinya kepada gangguan tindakan jahat, ejekan dan penindasan orang-orang yang menentang da’wah, sedangkan ia tidak mendapat apa-apa hasil dan tidak pula meminta apa-apa upah daripada manusia.

21. Ikutilah orang yang tiada minta balasan kepadamu, dan mereka adalah orang-orang yang mendapat petunjuk.”


6) Tanda da’i yang mendapat hidayah daripada Allah dapat dilihat dengan jelas pada tabiat da’wahnya, iaitu ia menyeru manusia supaya menyembah Allah Yang Maha Esa serta mengikut jalan yang terang. Ia menyeru kepada satu aqidah yang tidak ada di dalamnya sebarang khurafat dan kesamaran.

7) Kemudian lelaki (da’i) itu kembali menceritakan kepada kaumnya tentang dirinya dan sebab-sebab mengapa dia beriman kepada Allah:

Pertanyaan telah terbit dari fitrah yang mengakui adanya Khaliq yang menjadi punca kewujudannya:

22. Mengapa aku tidak menyembah (Rab) yang telah menciptakanku dan yang hanya kepada-Nya-lah kamu (semua) akan dikembalikan?


Mengapa fitrah yang berih seharusnya menyeleweng daripada jalan yang tabi’i? Fitrah manusia, sebenarnya, tertarik kepada Pencipta yang menjadikannya. Ia tidak akan menyeleweng daripada keadaan asalnya melainkan disebabkan dorongan lain yang bertentangan dengannya. Ia tidak akan membelok ke jalan yang lain melainkan dengan pengaruh yang asing. Dari awal-awal lagi, fitrah itu bertawajjuh kepada Allah Yang Maha Pencipta.

Lelaki yang beriman itu merasakan semua hakikat ini di lubuk hatinya. Oleh sebab itulah dia mengeluarkan kata-katanya yang amat jelas dan lurus tanpa berpura-pura dan berbelit-belit.

Dia juga sedar terhadap fitrahnya yang benar dan bersih bahawa seluruh makhluk, pada akhirnya, akan kembali kepada Khaliqnya sepertimana segala sesuatu itu akan pulang kepada asalnya.

22. ...hanya kepada-Nya-lah kamu (semua) akan dikembalikan?


Dia memperkatakan tentang pengembalian kaumnya kepada Allah yang telah menciptakan mereka. Oleh itu mereka sepatutnya menyembah-Nya.


8) Kemudian lelaki ini menyebut tentang tabi’at yang bententangan dengan fitrah yang lurus dan memandangnya sebagai suatu kesesatan yang nyata:

23. Apakah wajar bagiku menyembah tuhan-tuhan selain-Nya, jika (Allah) yang Maha Pemurah menghendaki kemudharatan terhadapku, niscaya syafa’at mereka (tuhan-tuhan itu) tidak memberi manfa’at sedikitpun bagi diriku dan mereka tidak (pula) dapat menyelamatkanku?
24. Sesungguhnya aku, kalau begitu, pasti berada dalam kesesatan yang nyata.


Siapakah lagi orang yang lebih sesat daripada orang yang meninggalkan logik fitrah yang menyeru supaya menyembah Penciptanya (yang memeliharanya daripada segala bencana)?


Lelaki itu telah menyatakan keputusannya yang muktamad di hadapan kaumnya (yang telah mendustakan para rasul) berasaskan fitrahnya yang sangat kuat.

25. Sesungguhnya aku telah beriman kepada Rabmu, maka dengarkanlah (pengakuan keimanan) ku.


Inilah pengakuan iman yang yakin dan menjadikan kaumnya sebagai saksi-saksi di atas keimanannya. Dia menyarankan mereka supaya membuat pengakuan beriman sepertinya dan tidak mempedulikan apa yang mereka katakan.


9) Ayat berikut menggambarkan (walaupun tidak disebut secara terus terang) bahawa lelaki itu telah syahid akibat dibunuh oleh kaumnya. Kemudian lelaki yang syahid itu berada di ‘alam akhirat dan melihat penghormatan yang disediakan Allah untuknya, iaitu penghormatan yang layak dengan darjatnya sebagai mu’min yang berani dan ikhlas:


26. Dikatakan (kepadanya setelah ia dibunuh): "Masuklah ke syurga". Ia berkata: "Alangkah baiknya sekiranya kamumku mengetahui.
27. Apa yang menyebabkan Rabku memberi ampun kepadaku dan menjadikan aku termasuk orang-orang yang dimuliakan".


10) Hidup di dunia sebenarnya berhubung dengan hidup di akhirat. Kematian itu hanyalah suatu perpindahan dari ‘alam fana’ ke alam baqa’. Kematian itu adalah satu hayunan langkah yang menyelamatkan orang beriman daripada kesempitan bumi kepada keluasan syurga, daripada kekacauan kebatilan kepada ketenteraman kebenaran, daripada ancaman kezaliman kepada keselamatan ni’mat hidup yang kekal abadi.


11) Ayat-ayat seterusnya menerangkan balasan untuk orang-orang yang melakukan kezaliman dan melampaui batas. Bagi Allah balasan itu lebih mudah daripada mengirimkan bala tentera malaikat untuk menghancurkan mereka. Ini kerana mereka terlalu lemah.

28. Dan kami tidak menurunkan kepada kaumnya sesudah dia (meninggal) suatu pasukan pun dari langit dan tidak layak kami menurunkannya.
29. Tidak ada siksaan atas mereka melainkan satu teriakan suara saja, maka tiba-tiba mereka semuanya mati.


Al-Qur’an tidak menerangkan dengan panjang lebar tentang bentuk kebinasaan yang menimpa kaum itu kerana memperkecilkan taraf kedudukan mereka. Hanya dengan satu pekikan sahaja, maka mereka binasa dan mati. Maka kesudahan mereka itu amat malang dan hina.


12) Ayat-ayat yang berikutnya menekankan lagi tentang akibat orang-orang yang mendustakan da’wah.

30. Alangkah besarnya penyesalan terhadap hamba-hamba itu, tiada datang seorang rasulpun kepada mereka melainkan mereka selalu memperolok-olokkannya.
31. Tidakkah mereka mengetahui berapa banyaknya umat-umat sebelum mereka yang telah kami binasakan, bahawasanya orang-orang (yang telah kami binasakan) itu tiada kembali kepada mereka.
32. Dan setiap mereka semuanya akan dikumpulkan lagi kepada Kami.


Allah telah menggambarkan golongan manusia sesat di sepanjang zaman. Mereka akan kecewa pada kesudahannya. Tidak dapat tidak mereka akan dikumpulkan kembali di hadapan Allah pada hari Qiyamat.

Rujukan:
Tafsir Fi Zilal Al-Qur’an, Syed Qutb.

No comments:

Post a Comment