Tuesday, February 10, 2009

Kefahaman terhadap kematian

Sebahagian manusia merasakan bahawa sesungguhnya kematian itu ialah berakhirnya sebuah kehidupan, dan terhentinya perjalanan seorang manusia, tidak ada kehidupan dan perjalanan lagi selepas itu, dan tiada juga kebangkitan. Ia bagi mereka merupakan kehancuran dan ketiadaan yang.

Allah SWT sebagai Tuhan yang menciptakan kita, Allah juga telah mengutuskan Rasulnya, menurunkan kitab suci untuk menerangkan hakikat kehidupan dunia, kematian dan kehidupan akhirat. Allah SWT telah memberitahu manusia ia dihidupkan di dunia juga memerangkan bahawa kehidupan akhirat itulah yang hakiki dan abadi. Allah SWT telahpun menjelaskan kepada kita bahawa kehidupan dunia ini adalah sebenarnya peluang untuk kita diisi dengan bekalan selepas kematian.


Allah SWT telah memperjelaskan bahawa kehidupan dunia bukanlah alam kenikmatan, kenikmatannya terlalu sedikit dan kecil, kehidupan selepas kematian itulah yang kekal. Oleh yang demikian Allah SWT mengingatkan manusia dari terus tenggelam dalam arus kehidupan yang tidak mengenal kematian. Firman Allah:


مَنْ كَانَ يُرِيدُ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا وَزِينَتَهَا نُوَفِّ إِلَيْهِمْ أَعْمَالَهُمْ فِيهَا وَهُمْ فِيهَا لا يُبْخَسُونَ، أُولَئِكَ الَّذِينَ لَيْسَ لَهُمْ فِي الآخِرَةِ إِلا النَّارُ وَحَبِطَ مَا صَنَعُوا فِيهَا وَبَاطِلٌ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ.


Maksudnya: "Sesiapa Yang keadaan usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya (dengan tidak disaksikan sama oleh Al-Quran tentang sah batalnya), maka Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan sedikitpun padanya. Merekalah orang-orang Yang tidak ada baginya pada hari akhirat kelak selain daripada azab neraka, dan pada hari itu gugurlah apa Yang mereka lakukan di dunia, dan batalah apa Yang mereka telah kerjakan".

(Hud: 15-16)


Maksud Kematian


Kematian daripada perspektif Islam ialah suatu proses perpindahan daripada satu alam dari alam-alam Allah SWT ke alam Allah yang lain, iaitu berpindah dari alam dunia ke alam barzakh yang merupakan tempat penantian untuk sampai ke alam akhirat. Kematian merupakan perpindahan dari alam yang sementara ke alam yang kekal abadi. Perpindahan dari alam bercucuk tanam ke alam menuai hasil yang diusahakan di dunia.


Kematian juga adalah perpindahan dari alam taklif (tanggungjawab) dan amal kepada alam ganjaran dan balasan akhirat. Sesiapa yang melaksanakan walau sebesar zarah kebaikkan akan mendapat balasannya, sesiapa yang membuat walau sebesar zarah pun kejahatan akan menerima balasannya.


فَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ، وَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ.


Maksudnya: Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!

(Al-Zalzalah: 8-9)


Ibnu Qayyim berkata: "Allah menjadikan pusingan alam ini sebanyak tiga pusingan, iaitu alam dunia, alam barzakh dan alam akhirat yang kekal abadi. Pada setiap alam ini ada hukumnya yang tersendiri".

Oleh yang demikian, kematian ialah apabila tiba masa untuk seseorang hamba itu berpindah dari alam dunia ke alam barzakh seperti yang terkandung di dalam Al-Quran.


حَتَّى إِذَا جَاءَ أَحَدَهُمُ الْمَوْتُ قَالَ رَبِّ ارْجِعُونِ ، لَعَلِّي أَعْمَلُ صَالِحًا فِيمَا تَرَكْتُ كَلا إِنَّهَا كَلِمَةٌ هُوَ قَائِلُهَا وَمِنْ وَرَائِهِمْ بَرْزَخٌ إِلَى يَوْمِ يُبْعَثُونَ.


Maksudnya:

Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah ia: "Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia) -"Supaya Aku mengerjakan amal-amal yang soleh Dalam perkara-perkara Yang telah Aku tinggalkan". Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).

(Al-Mukminun: 99-100)


Jadi kematian itu ialah perpindahan dari satu tahap kepada satu tahap yang lain, dari satu kehidupan kepada satu kehidupan yang lain. Mukmin yang yakin dan beriman memahaminya, dan mereka akan bersungguh-sungguh mempelajari ayat-ayat Al-Quran dan hadis yang memuatkan penjelasan supaya mereka bersedia untuk menghadapi saat tersebut dan beramal untuk kehidupan yang kekal selepas kematian tersebut.


Dalam menceritakan tentang kematian dan kehidupan selepasnya, Islam mempunyai keistimewaannya yang tersendiri berbeza dengan agama dan anutan-anutan yang lain. Islam menceritakan setiap peristiwa kematian dan alam yang selepasnya itu secara terperinci berbeza dengan agama-agama lain. Setiap satu diperjelaskan dan juga hukum setiap alam yang bakal dilalui oleh semua manusia. Muslim amat jelas tentang kehidupan akhirat sekiranya ia jelas tentang matlamat hidupnya di dunia.


Maka memikirkan tentang kematian yang dimaksudkan termasuklah kita memikirkan tentang sakit dan kesakitan, tentang peristiwa sakaratul maut dan kesusahan menghadapinya, memikirkan tentang dosa dan pahala dan amalan yang telah dilakukan, juga berfikir tentang alam kubur, kebangkitan dan hisaban amalan, titian dan timbangan, syurga dan neraka, dan pengakhiran diri manusia itu sendiri, dan lain-lain lagi.


Persepsi yang salah dikalangan ummat tentang mengingati kematian


Kebanyakkan muslim pada hari ini tidak menghiraukan tentang urusan mengingati kematian, mereka menganggapnya sebagai tidak penting bagi kehidupan mereka. Lebih parah lagi apabila lahir suanana tidak mahu lagi mempelajari tentang kematian, hakikatnya dan aspek-aspek keimanan lain yang berkaitan dengannya. Bahkan ada dikalangan ummat Islam yang berasa takut untuk membicarakannya dan mula dari apabila mendengarkannya seolah-olah pembicaraan tentangnya adalah ibarat binatang buas yang mahu menerkam dan membinasakan mereka.


Akibat daripada persepsi tersebut, sifat ketakutan dan salah faham terhadap konsep kematian maka kesannya membawa mereka kepada kejahilan dan berpandangan negatif mengenainya, ia boleh membawa sehingga mereka berusaha untuk melupakan perkataan "kematian" tersebut daripada kamus hidup mereka. Lantas mereka berasa bebas untuk melaksanakan apa sahaja di atas muka bumi ini, bebas untuk tidak melaksanakan perintah-perintah Allah, dan bebas untuk melakukan larangan-larangan Allah.


Pada hakikatnya, tidak ada seorang pun dikalangan manusia yang ragu-ragu tentang kematian, begitu juga tidak ada seorang pun dikalangan manusia yang dapat lari daripada kematian pada saat yang telah ditetapkan ajalnya. Namun begitu, kita mendapati sangat ramai dikalangan manusia yang melupakan kematian, seolah-olah kematian itu ditulis untuk orang lain, dan bukan untuk mereka. Ini kerana hati yang sudah terlalu asyik dengan dunia.


Akibat dari menjadikan dunia sebesar-sebesar tempat mereka mencurahkan perhatian, kita dapat melihat begitu ramai manusia menghabiskan setiap waktu mereka, tenaga yang ada, pemikiran mereka untuk urusan dunia, tanpa memberikan kepada akhirat mereka sesuatu yang memberikan manfaat buat mereka. Sehinggalah datang saat yang dijanjikan buat mereka. Maka terlaksanalah firman Allah SWT:


كَلا إِذَا دُكَّتِ الأرْضُ دَكًّا دَكًّا، وَجَاءَ رَبُّكَ وَالْمَلَكُ صَفًّا صَفًّا، وَجِيءَ يَوْمَئِذٍ بِجَهَنَّمَ يَوْمَئِذٍ يَتَذَكَّرُ الإنْسَانُ وَأَنَّى لَهُ الذِّكْرَى، يَقُولُ يَا لَيْتَنِي قَدَّمْتُ لِحَيَاتِي، فَيَوْمَئِذٍ لا يُعَذِّبُ عَذَابَهُ أَحَدٌ،وَلا يُوثِقُ وَثَاقَهُ أَحَدٌ .


Maksudnya: "Jangan sekali-kali bersikap demikian! (sebenarnya) apabila bumi (dihancurkan Segala Yang ada di atasnya dan) diratakan serata-ratanya, Dan (perintah) Tuhanmu pun datang, sedang malaikat berbaris-baris (siap sedia menjalankan perintah),Serta diperlihatkan neraka jahannam pada hari itu, (maka) pada saat itu manusia akan ingat (hendak berlaku baik), dan Bagaimana ingatan itu akan berguna lagi kepadanya? Ia akan berkata: "Alangkah baiknya kalau Aku dahulu sediakan amal-amal baik untuk hidupku (di sini)!" Maka pada hari itu tiada sesiapapun Yang dapat menyeksa seperti azab (yang ditimpakan oleh) Allah. Dan tiada sesiapapun Yang dapat mengikat serta membelenggu seperti ikatan dan belengguNya".

(Al-Fajr 21-26)


Al-Marhum al-Ustaz Mustafa Masyur menyebut contoh beberapa perkara yang akan berlaku dalam kehidupan andaikata kematian tidak diingati di dalam kehidupan. Antara aspek yang disebut ialah seperti manusia akan bebas dalam memenuhi syahwatnya, merasakan kebahagiaan rumahtangga itu terletak pada kebendaan, hanya menitik beratkan kesihatan badan tetapi mengabaikan hati yang sakit, mengutamakan keperluan jasad dari keperluan ruh, sikap pentingkan diri sendiri, bakhil, amat tamakkan ganjaran dunia, berlumba-lumba dalam kebendaan, bertabarruj, melakukan kezaliman dan sebagainya. Secara pendetailan nya boleh dirujuk di dalam buku beliau fiqh ad-dakwah.

No comments:

Post a Comment