Monday, February 02, 2009

PENDORONG UNTUK BERAMAL

Bagi setiap amalan atau kerja, sebelumnya, ada sesuatu yang mendorong atau menolak manusia untuk melakukannya. Samada pendorong itu kuat atau lemah, namun pendorong itu tetap wujud.



Pelbagai pendorong
Antara pendorong bagi manusia melakukan sesuatu adalah harta benda. Manusia sanggup bersusah payah untuknya. Pendorong ini telah mempengaruhi ramai manusia. Dorongan yang lain ialah mencari kemasyhuran, pangkat, pujian dan yang sejenis dengannya. Manusia membuat berbagai-bagai strategi dan bertindak dengan berbagai-bagai tindakan untuk mendapatkan kemahsyuran. Tidak kurang jumlah manusia yang mengambil faktor-faktor ini sebagai pendorong bagi beramal. Kadang-kadang, mereka yang terlibat dengan kerja-kerja Islam pun dicemari dengan pendorong-pendorong ini. Bagi orang mukmin, keadaan ini adalah merbahaya dan wajib diubati segera. Pendorong lain lagi adalah wanita. Ia menjadi pendorong, terutamanya bagi mereka yang masih muda. Demikianlah contoh-contoh dorongan yang mendorong manusia melaku¬kan sesuatu. Memang manusia memerlukan pendorong. Kalau pendorong itu lemah maka akan lemahlah amalnya. Kalau pendorong itu kuat maka akan kuatlah amal. Samada pendorong itu betul atau tidak, namun pendorong itu mempengaruhi amal.

Pendorong sebenar
Sudah pastilah kita perlukan pendorong yang betul dan kuat. Pendorong yang berbeza daripada pendorong-pendorong manusia biasa. Kita perlukan pendorong yang betul, hakiki dan abadi. Sesungguhnya dorongan iman adalah pendorong sebenar, yang datang dari lubuk hati yang yakin kepada Allah Subhanahuwata’ala. Sesungguhnya pendorong ini lebih kuat, gagah, istiqamah dan menjamin keiltiza¬man. Pendorong ini lebih bersih, suci dan dirasai nikmatnya oleh orang-orang mukmin. Hakikat imanlah yang mendorong orang mukmin melakukan perintah-perintah Allah Subhanahuwata’ala. Adapun pendorong lain boleh membawa kepada syirik dan sia-sia. Syirik telah banyak berlaku dalam masyarakat disebabkan manusia tidak memahami tauhid dan hakikat ‘ubudiyah kepada Allah Subhanahuwata’ala. Kita sentiasa disuruh menyemak akan objektif dan niat kita supaya semata-mata ingin mencari keredhaan Allah Subhanahuwata’ala .

Dua punca kekuatan
Ada dua perkara yang menjadi punca kekuatan iaitu hati dan akal. Ini dua kekuatan kurniaan Allah Subhanahuwata’ala yang sangat berharga. Fitrah hati adalah ingin kembali kepada Allah Subhanahuwata’ala. Ia ingin berhubung dan merujuk kepada Allah Subhanahuwata’ala dam inginkan kurniaan-Nya. Manusia akan menjadi kuat apabila hati betul-betul dengan Allah Subhanahuwata’ala. Sebaliknya, apabila hati ada gangguan dan halangan maka manusia akan menjadi lemah. Demikian juga akal. Jika diberi hak padanya, benar-benar diguna¬kannya dan diberikan kebebasan untuk mencari kebenaran maka pasti akal itu menemui kebenaran. Akal itu berfitrah sentiasa berpihak kepada kebenaran. Ia akan menuju kepada Allah Subhanahuwata’ala . Hadis Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam (yang bermaksud):

“Tidaklah beruntung seseorang lelaki dengan mendapat sesuatu pemberian sebagaimana beruntungnya mendapat nikmat akal yang membimbingnya kepada kebaikan dan menahan daripada kebinasaan.” (Riwayat Termizi)

Hadis Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam yang lain (bermaksud):
“Allah tidak menjadikan sesuatu kejadian lebih mulia daripada akal”.
(Hadis Riwayat Tarmizi)

Oleh itu hati dan akal adalah nikmat Allah Subhanahuwata’ala yang sangat bernilai. Manasabahlah Allah Subhanahuwata’ala menjadikan manusia sebaik-baik kejadian dan sebagai khalifah di bumi. Halangan bagi hati dan akal Antara halangan bagi hati dan akal ialah nafsu dan syaitan. Keduanya menghijab dan mengganggu. Sekiranya tidak ada halangan-halangan ini maka manusia akan nampak nur Allah Subhanahuwata’ala . Sebuah hadis yang diriwayatkan dari Ahmad bahawa Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah bersabda (yang bermaksud):

“Kalaulah tidak kerana syaitan mengelilingi dan menghasut hati anak Adam, nescaya mereka dapat menjangkau akan kekuasaan Allah di langit dan di bumi”.

Oleh itu jika manusia tidak diganggu oleh syaitan dan nafsu, maka pengamatannya akan menjadi cukup tinggi. Begitulah hebatnya potensi manusia.

Artikel ini adalah tulisan Al Marhum Ustaz Abdullah Akhili, Murabbiku ketika berada di UiTM Shah Alam. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau. Al Fatihah.

No comments:

Post a Comment