“Dan sesiapa yang mengerjakan amalan-amalan yang salih dari lelaki atau perempuan, sedangkan ia seorang yang beriman, maka mereka akan masuk ke dalam syurga dan mereka tidak akan dikurangi sedikitpun (pahala amalan mereka). An nisaa’: 124
Asy syahid Syed Qutb dalam tafsir Fi Dzilalul Quran dalam menafsirkan ayat ini menegaskan bahawa :
“ Keimanan itu adalah syarat bagi penerimaan sesuatu amalan dan mana-mana amalan yang tidak terbit daripada keimanan dan tidak disertai oleh keimanan adalah tidak mempunyai sebarang nilai di sisi Allah. Syarat ini memang tabi’i dan logikal kerana keimanan kepada Allah itulah yang menjadikan sesuatu perbuatan yang baik itu terbit dari kefahaman dan niat yang tertentu dan menjadikan perbuatan itu suatu harakat yang tabi’i dan teratur bukannya terbit kerana tujuan untuk memenuhi kehendak keinginan peribadi dan bukannya harakat yang kebetulan yang tidak diatur dengan rapi dan tidak ditegakkan di atas sesuatu asas atau dasar.”
Oleh itu iman tidak boleh dipisahkan daripada sebarang kegiatan hidup manusia. Setiap pekerjaan yang dilakukan hendaklah dibina dan didorong oleh iman kepada Allah ta’ala kerana niat yang ikhlas kerana Allah ta’ala lah yang menjadi penentu untuk suatu amalan itu diterima. Ini selari dengan sabda Rasulullah s.a.w daripada Saidina ‘Umar Al Khattab r.a:
عن أمير المؤمنين أبي حفص عمر ابن الخطاب رضي الله عنه قال : سمعت رسول الله صلّي الله عليه و سلّم يقول : "انما الأعمال بالنّيّات وانما لكل امرىء ما نوى فمن كانت هجرته الى الله ورسوله فهجرته الى الله ورسوله ومن كانت هجرته لدنيا يصيبها أو امرأت ينكحها فهجرته الى ما هاجر اليه "
“Sesungguhnya tiap amalan itu ialah dengan niatnya dan tiap urusan itu ialah dengan apa yang diniatkan. Maka sesiapa yang hijrahnya kerana Allah dan rasulnya, maka hijrahnya itu untuk Allah dan rasulnya. Maka sesiapa yang hijrahnya kerana dunia yang ingin dimilikinya atau kerana wanita yang ingin dinikahinya maka hijrahnya ialah untuk apa yang dihijrahkan ke atasnya”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dan di dalam satu hadith qudsi Rasulullah s.a.w ;
Zuhair bin Harb bercerita kepada kami, Ismail bin Ibrahim bercerita kepada kami, Ruh bin Qasim memberitakan kepada kami dari Al ‘ala’ bin Abdur Rahman bin Ya’qub, dari ayahnya dari Abu Hurairah r.a berkata; Rasulullah s.a.w bersabda: “Allah yang maha mulia dan maha besar berfirman : “Aku adalah penyekutu yang paling tidak memerlukan sekutu, barang siapa yang beramal suatu amal di dalamnya ia mensekutukan kepada selain Ku, maka Aku meninggalkannya dan sekutunya”.
(Riwayat Muslim)
Yusof Qardhawi dalam membincangkan mengenai fokus utama tarbiyyah Islamiyyah, meletakkan ‘niat yang ikhlas’ di tempat pertama. Menurutnya “amal islami itu adalah ibadah dan jihad, sedangkan ibadah tidak akan diterima Allah kecuali dengan niat yang ikhlas hanya kerana-Nya. Allah berfirman;
"Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan kata’atan kepadanya dalam (menjalankan) agama dengan lurus dan supaya mereka mendirikan shalat dan menunaikan zakat; dan yang demikian itulah agama yang lurus.” (Al Bayyinah : 5)
Menurut Mustafa Masyhur, ibadah yang sahih (betul) lahir daripada ‘aqidah yang baik. Perkataan ibadah itu mempunyai sifat kesyumulannya dan merangkumi segala urusan hidup, tidak terbatas kepada solat, puasa, zakat dan haji sahaja kerana risalah dan tugas manusia dalam hidup ini ialah beribadah kepada Allah. Hidup seluruhnya ialah ibadah kepada Allah.
“Tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada aku.”
(Az-Zaariyat: 56)
Oleh itu setiap muslim mestilah bersungguh-sungguh merealisasikan pengertian ini dengan niat yang betul dalam setiap pekerjaan mereka. Dengan itu, barulah makan minum, ilmu dan amalan, riadah dan perkahwinan menjadi wasilah (jalan)
mentaati Allah. Rumah menjadi mihrab (tempat beribadah kepada Allah). Begitu juga sekolah, kolej, kilang, tempat perniagaan, kebun, ladang, sawah, padang permainan, malah dunia seluruhnya menjadi tempat beribadah kepada Allah swt. Dengan perkataan lain, segala usaha dan perkataan yang terbit daripada seorang muslim merupakan ibadah kepada Allah.
Dengan itu hubungan sentiasa wujud antara hamba dengan penciptanya dalam semua aspek kehidupan. Semua urusan dirujuk kepada syariat Allah swt. Hubungan hati manusia dengan Allah pada setiap masa adalah asas utama bagi melaksanakan tarbiyyah islamiyyah dengan berkesan.
Oleh sebab itulah aspek rabbani dalam tarbiyah islamiyah adalah aspek yang paling penting kerana matlamat pendidikan islam ialah melahirkan insan mukmin dalam pengertian sebenar iaitu insan yang memiliki iman yang menguasai hati dan fikiran, lahir dalam bentuk amalan dan tindakan, seperti yang disebutkan dalam al-athar: “...ia sebati dalam jiwa dan dibenarkan dalam bentuk amalan.” Allah berfirman yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang yang beriman ialah orang yang beriman kepada Allah dan rasulnya, kemudian mereka tidak ragu-ragu, mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka di jalan Allah.mereka itulah orang-orang yang benar.”
(Al-Hujurat: 15)
Tunggak tarbiyyah rabbaniyah ialah hati yang subur, sentiasa berhubung dengan Allah swt, yakin akan menemui-nya, mengharapkan rahmat-nya dan takut akan azab-nya. Jiwa yang hidup inilah yang menjadi tumpuan Allah swt untuk dicampakkan nur kepadanya. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah tidak melihat pada rupa bentuk kamu tetapi sesungguhnya dia melihat kepada amalan-amalan dan hati-hati kamu.”
(Riwayat Ibn Majah)
Sumber: Silibus Tarbiyah Iltizam
No comments:
Post a Comment