Sunday, May 16, 2010
Bahagia Kerana Dapat Memberi
Rasulullah saw pernah di tanya tentang ciri mukmin yang kuat. Lantas baginda saw menjawab:
“Yang paling bermanfaat kepada sekitarnya.”
Rasulullah saw juga bersabda:
”Barangsiapa menunjuki orang lain pada kebaikan baginya pahala seperti orang yang melakukannya.”
Itulah nikmat kebahagiaan bagi seorang dai'e, bahagia dapat memberi kepada masyarakat sekitarnya.
Sesungguhnya kehidupan manusia tidak boleh lari dari bermasyarakat, samada sebagai pelajar, mahasiswa, pekerja mahupun suri rumah tangga. Ia tidak mungkin mampu hidup bersendirian. Sekiranya ia mengambil keputusan untuk hidup bersendirian, dia tidak termasuk dalam golongan orang-orang mukmin. Rasulullah saw bersabda:
”Perumpamaan orang-orang mukmin dalam saling cinta mencintai, saling mengasihi dan saling membantu, laksana satu tubuh. Bila salah satu anggotanya merasa sakit, maka seluruh anggota tubuhnya turut merasakan sakit.” (HR Ahmad dan Muslim)
Kepada juru dakwah Islam, sudah tentulah fungsi mampu memberi manfaat kepada masyarakat menjadi ciri utama yang perlu dimiliki. Sayyid Qutb ada berkata:
”Tatkala nilai hidup hanya untuk diri sendiri, maka kehidupannya kecil dan singkat. Tetapi apabila kita hidup juga untuk orang lain, maka jadilah hidup ini bermakna, panjang dan dalam. Bermula dari adanya kemanusiaan itu sendiri dan berlanjutan sehingga kita meninggalkan dunia ini...”
Ayuh kita menjadi mukmin yang kuat dalam 3 perkara:
"Read the rest of the entry>>"
1. Memberi manfaat kepada masyarakat.iaitu dengan sentiasa proaktif memberikan sumbangan positif kepada masyarakat, khususnya yang memerlukan, samada dalam bentuk keilmuan, kepakaran, wang ringgit, tenaga dan lain-lain lagi.
2. Penunjuk jalan kebenaran. Seorang da’isdat pasti memiliki visi dan mkisi untuk mengajak manusia untuk mengenal Allah dan Islam, menyeru masyarakat agar menjalani kehidupan berpandukan Al Quran dan As Sunnah. Terlibat aktif dalam dakwah adalah penting bagi memastikan keberlangsungan dakwah. Misi Al Quran iaitu amar ma’ruf nahi munkar perlu disebarluaskan agar tercipta suasana kondusif bagi tertegaknya risalah Islam.
3. Menjadi da’i tarbawi iaitu karektor da’i yang aktif membina umat. Bukan sekadar mampu menyampaikan atau taklim, tetapi juga membentuk dan melahirkan barisan da’i baru untuk menjadi penyambung nadi dakwah dan menjadi pelanjut penyebaran secara meluas risalah dakwah.
Amanah dakwah yang mulia ini akan berat apabila dipikul sendirian, tetapi menjadi nikmat dan ringan apabila ada penglibatan aktif dalam amal jama’i dan menjadi semakin bertenaga apabila generasi baru turut serta dalam misi yang mulia ini.
No comments:
Post a Comment