Sunday, May 16, 2010
Yang Lebih Berharga Dari Segulung Ijazah: Sekalung Tahniah Untuk KTD
Pendidikan hari ini benar-benar telah bertukar wajah kepada pusat-pusat perniagaan yang menggunakan segala upaya untuk menarik sebanyak mungkin pelajar-pelajar untuk menjadi pelanggan yang akan menguntungkan mereka. "Education is a bussiness" itulah ungkapan yang entah berapa ratus kali saya ulang-ulangkan kepada pelajar dan remaja yang saya temui samada dalam kelas atau dalam ceramah-ceramah saya.
Matlamat perniagaan bagi unit perniagaan yang dibangunkan diatas dasar kapitalis adalah memaksimumkan keuntungan. Semakin banyak pelajar, semakin banyak keuntungan yang akan mereka jana. Matlamat mereka adalah mencari sebanyak mungkin pelajar dan memastikan segelintir mereka cemerlang akademiknya supaya menjadi daya tarik kepada pelajar-pelajar lain untuk menjadi 'pelanggan' seterusnya. Bagaimana dengan syakhsiyah, bagaimana dengan iman dan ibadah? Itu bukan lagi persoalan penting dan utama, yang penting pelajarnya ramai dan pencapaian akademiknya meransangkan pasaran pendidikan.
Lihatlah masyarakat IPT dengan hati dan Iman kita, apa yang dapat kita lihat hari ini? Krisis identiti untuk lepasan sekolah-sekolah agama, taman percintaan luar batasan syarak, pergaulan tanpa mengenal batasan hukum, medan perlumbaan kebebasan hidup bahkan ada yang menjadi 'rumah-rumah' bersalin yang menyambut kelahiran bayi-bayi luar nikah malahan ada juga yang dijadikan sebagai tempat pembuangan bayi. Dimanakah nilai sijil yang mereka terima? Adakah nilai 'sekeping kertas' itu lebih berharga dari maruah dan keimanan. Ya, memang pahit untuk diterima tetapi lihatlah di media massa dan media cetak adakah fakta ini salah? Walaupun saya bukan staff atau tenaga pengajar di IPT tetapi hampir setiap minggu saya keluar masuk ke IPT untuk mengendalikan program-program pelajar. Saya cukup masak dengan permasalahan yang sedang berlaku ini. Benarlah kata Abu Hassan Ali An Nadwi "Sistem pendidikan hari ini gagal untuk melahirkan 2 golongan: pertamanya golongan yang khusyuk bila beribadah, keduanya ialah golongan yang menangis bila melakukan dosa". Zaman sekarang adalah zaman manusia berbangga dengan dosa bukan menangisinya, sebahagian besar remaja hari ini bukan sekadar tidak khusyuk bahkan ada yang tahu bagaimana cara mengerjakan solat.
"Read the rest of the entry>>"
Al Maududi pernah satu ketika dijemput untuk memberi ucaptama dalam satu majlis konvokesyen di sebuah universiti. Di awal ucapanya dia menyebut; "Ini mungkin kali terakhir dia diberi peluang untuk memberi ucaptama dalam majlis begini memandangkan apa yang bakal diucapkan. Beliau seterusnya menjelaskan bahawa pusat pendidikan tinggi hari ini umpama sebuah pusat pemyembelihan yang besar yang menyembelih aqidah pemuda-pemuda Islam. Ijazah yang diterima hari ini adalah sijil pengesahan bahawa aqidah umat benar-benar telah mati." Mungkin ada yang sukar untuk menerima hakikat ini namun saya yang selalu terlibat dengan program-program IPT terpaksa akur dengan kenyataan ini. Memang tidak semua pelajar IPT itu rosak aqidahnya kerana masih ada program-program tarbiyyah yang dijalankan oleh individu-individu atau gerakan-gerakan dakwah serta NGO-NGO namun peluang untuk remaja-remaja kita memelihara aqidah dan akhlaqnya terlalu tipis dan mencabar. Saya sendiri yang mengajar di sekolah agama swasta yang menekankan tarbiyyah pelajar masih dapat melihat keguguran pelajar-pelajar ini bila memasuki IPT-IPT.
Melihat keadaan remaja hari ini menjadikan saya begitu risau dan hilang kepercayaan. Kerisaun itu menyebabkan sering saya menggesa pelajar supaya menyambung pelajarannya di institusi-institusi yang masih menjadikan pembangunan syakhsiyah sebagai agenda utama seperti Kolej Teknologi Darul naim (KTD). bahkan kepada pelajar yang baru tingkatan 2 dan 3 yang masih jauh perjalanannya pun saya sering ulanginya kerana kerisauan yang menguasai diri saya.
Saya menyebut KTD bukan kerana tidak ada institusi lain yang menekankan aspek ini tetapi setakat ini itulah yang Allah pamerkan untuk saya tatapi dan kagumi. Mungkin ada IPT-IPT lain yang melakukan perkara sama cuma ianya tidak sampai kepengetahuan saya. Saya sendiri sering ke KTD untuk mengendalikan program-program pembinaan syaksiyah dan kepimpinan. Saya juga mengagumi kesungguhan dan keikhlasan tenaga-tenaga kerjanya untuk menjadikan pelajar-pelajarnya sebagai insan soleh yang mengenali Allah sebagai Robb dan Ilah. Saya sendiri melihat bagaimana pelajar-pelajar yang 'berisiko' dengan berbagai masalah akhlaq bahkan ada yang tidak solat kini berubah pada keadaan yang jauh lebih baik.
Saya yakin, yang menjadikan KTD terbaik dari sudut ini bukan kerana fasilitinya, bukan juga kerana faktor kewangan tetapi kesungguhan, doa-doa dan munjat yang lahir dari jiwa-jiwa yang bersih dan ikhlas. Bahkan gaji-gaji yang diterima oleh tenaga-tenaga kerjanya jauh lebih rendah dari gaji yang ditawarkan dipasaran kerja namun mereka masih setia dengan istitusi tarbiyyah yang sedang cuba untuk membangun dan berperanan yang hanya boleh menjanjikan pahala dari Allah SWT. Dan saya yakin inilah faktor utama kenapa KTD mula melonjakkkan kecemerlangan akademiknya walaupun kebanyakan pelajar-pelajar yang belajar disana bukanlah pelajar-pelajar cemerlang. Semoga satu hari nanti KTD akan jadi pilihan utama generasi wawasan.
Saya merasa begitu tersentuh apabila menbaca email yang ditulis oleh salah seorang pegawai kanan KTD dan kerana itulah jari saya menari laju menulis artikel ini.
Sebagai salah seorang yang berada di RIBATH (kubu/perbatasan) ana hanya mengadu kepada Allah SWT dan telah lebih sebulan ana bermunajat kepada Allah SWT agar Allah pilihkan kepada ana dan pasukan tarbiyah KTD, 400/500 orang pemuda/pemudi untuk kami bawa melalui proses menikmati Islam dan mencintai Islam. Dari pengalaman hampir 2 tahun di KTD ana sudah memahami satu hakikat bahawa mereka yang akan memikul mas'uliyah DnT adalah mereka yang merasakan kenikmatan tarbiyyah walaupun sebelumnya tidak solat dan tak tahu membaca al Qur'an. Ana sudah menyediakan hati ana dan shbt/sohibah muda KTD untuk menerima pelajar2 walau bagaimanapun gelap latarbelakang mereka. Sirah telah mengajar kami bahawa Rasulullah terus menerus mentarbiyyah sehingga Allah SWT membuat pilihan-Nya. Lihat sajalah Ikrimah bin Abu Jahal dan Hindun bint Utbah, antara contoh.
Tarbiyah akan berkesan jika adanya: Murobbi, manhaj dan biah. Ketiga2 faktor ini ada di KTD dan kami dgn penuh keyakinan bahawa Allah SWT akan membantu kami. Kami sudah melihat tanda2 bahawa latarbelakang pelajar bukan faktor utama tetapi ada banyak faktor lain. Anak2 yang besar dalam lumpur maksiat dan kejahilan sudah mula menunjukkan cinta mereka kepada tarbiyah dan jhd. Mereka akan menjadi tenaga dakwah di masa depan sebagaimana diri ana dulu, seorang yg sangat jahil dan dihidupkan semula hati ini dengan tarbiyyah. Ana bersyukur kerana diberikan peluang berada di KTD yang merupakan 'medan jhd yang penuh keberkatan ini'. Ana sudah belajar mencintai anak2 yang dahagakan tarbiyah ini dan memberikan apa yang ana miliki untuk membawa mereka melalui proses tarbiyyah yang menjadikan mereka tenaga dakwah akan datang.
Bagi saya inilah kelebihan KTD berbanding IPT-IPT lain yang ada diseluruh dunia; ia adalah mimbar untuk insan-insan yang mengharapkan janji-janji Allah, medan jidad dan pengorbanan untuk jiwa-jiwa yang takutkan "hari dimana kejahatan nmerata-rata(surah al Insan)" serta medan munajat dan zikir untuk jiwa-jiwa yang mengharapkan pengampunan Allah SWT ketika "tidak akan memberi manfaat harta dan anak-anak melainkan sesiapa yang pulang dengan hati yang sejahtera"
Moga Allah menerima amal kalian, moga Allah perteguhkan hati kalian untuk menghadapi berbagai karenah jiwa yang dimatikan dan dihitamkan oleh sistem hidup yang tidak bertuhan, moga Allah menjadikan jiwa-jiwa kalian sabar dengan kerasnya penolakan dan fitnah.
Untuk jiwa-jiwa yang merasakan dirinya serba kekurangan mohonlah pada Allah yang maha sempurna, untuk jiwa-jiwa yang merasa lemah dan tertekan rebutlah kemanisan bermunajat padaNya dan untuk jiwa-jiwa yang merasa putus asa dan harap yakinlah dengan rahmat Allah.
Sekalung penghargaan dan tahniah untuk kalian seluruh warga KTD.
Sumber
No comments:
Post a Comment