Petani membajak tanah dan menabur benih, kemudian dia menunggu rezeki dari Rabbnya. Seandainya seseorang itu berdiam diri di rumahnya tanpa mengerahkan tenaga sedikit pun untuk bercucuk tanam, lalu dia mengira bahawa rezekinya akan datang dari pertanian, padahal dia tidak membajak, tidak menabur benih dan tidak memupuk tanah, maka dia akan kecewa dan tertinggal dari bahtera kehidupan insani. Bahkan dia dianggap berdosa kerana menolak melakukan usaha dan asbab untuk berjaya.
Demikian pula para da‘i yang bercita-cita untuk melaksanakan perubahan. Dia harus mengerahkan segenap tenaga dan mencurahkan segenap potensi, idea, harta benda, jiwa dan hal-hal yang berharga untuk mencapai tujuan-tujuan yang mereka canangkan. Misalnya suasana hari ini ramai yang marah dan benci kepada Yahudi Israel atas sikap kejam dan buasnya. Kemarahan tadi hanya akan menjadi sejarah sekiranya umat Islam tidak melakukan perubahan dalam diri, perubahan yang dituntut oleh Islam iaitu membina keimanan, keperibadian dan kesolehan diri. Mana mungkin Israel akan gentar sekiranya umat masih dibuai dengan cara hidup barat, cara hidup yang tidak mengambil Islam seluruhnya dalam kehidupan, cara hidup yang tidak berpaksikan kepada ubudiyyah hanya sanya kepada Allah, cara hidup yang tidak lagi mengambil para sahabat dan Rasulullah saw sebagai qudwah hasanah.
Apa perubahan yang hendak kita laksanakan pada diri kita? Dalam realiti umat Islam tidak lagi mengambil Islam sebagai manhaj hayah, maka kita tiada pilihan lain melainkan menyediakan diri kita dengan profail da’i yang pernah di bina oleh Rasulullah saw dan para sahabat.
Dalam konteks pembentukan profail peribadi mukmin, Imam Hasan Al Banna menggambarkan kritiria profil da’i yang harus kita persiapkan pada diri kita, katanya:
“Aku mampu membayangkan akh al-Mujahid itu sebagai seorang laki-laki yang senantiasa melakukan persiapan dan menyiapkan perlengkapannya, mampu menguasai fikiran yang memenuhi setiap sudut jiwanya dan seluruh bahagian hatinya. Dia senantiasa berfikir memusatkan perhatian sepenuhnya terhadap persiapan yang terus menerus. Apabila dipanggil ia menyahut, apabila diajak ia menanggapi, datang dan perginya, perkataan dan bicaranya, kebenaran dan kelakarnya, tidak melampaui batas.
Dia tidak melaksanakan tugas selain dari yang telah diletakkan oleh keadaan dan tuntunan atasnya, dan dia berjihad di jalannya. Anda dapat membaca pada raut muka dan kilauan matanya, dan mendengar dari gerakan lidahnya semua apa yang bergelora di dalam hatinya, kesengsaraan yang tersimpan di dalam hati, semua tujuannya benar dan bersungguh-sungguh pelaksanaannya, cita-citanya tinggi dan sasarannya jauh untuk memenuhi jiwanya.”
Ini tuntutan perubahan peribadi unggul yang seharusnya menjadi agenda pemuda Islam hari ini.
Bicara perubahan memang mudah, apatah lagi saat darah muda bersemangat bicara perjuangan Palestin dan jihad melawan Israel. Macam-macam idea dan kerja dakwah yang hendak kita buat, terkadang seperti nak mengubah dunia ini serta merta, nak hancurkan Israel hari ini juga! Namun apakah ini yang dikatakan perubahan. Acapkali kita perhatikan semangat meluap tadi perlahan menjadi pudar apabila kisah permasalahan Palestin menjadi ”sejuk” kembali, tenggelam apabila ada arus bawa datang misalnya penangan bolasepak piala dunia. Inilah kesannya apabila semangat tadi tidak diiringi dengan perubahan diri yang total.
Namun hakikatnya kita tidak ada pilihan, kita perlu melakukan perubahan, kerana perubahan tidak akan berlaku tanpa kita mulakan, firman Allah swt:
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah Ar-Ra’d: 11)
Justeru persiapan berubah itu perlu, kerana ia termasuk dalam agenda dakwah yang merupakan projek besar umat Islam. Dakwah bukan hanya proses singkat yang boleh kita ketahui hasilnya. Tetapi ia merupakan proses perjalanan panjang. Bahkan sesungguhnya, hanya ALLAH saja yang tahu hasil dari dakwah ini. Tarbiyah juga adalah kerja besar. Projek raksasa. Sistem yang terbaik membaiki umat. Dahsyat. Mengubah yang sederhana menjadi luar biasa. Pekerjaan-pekerjaan besar dalam sejarah hanya dapat diselesaikan oleh orang-orang yang memiliki naluri kepahlawanan.
Persoalannya sejauh mana komitmen perubahan diri kita dalam menempatkan peranan kita menjayakan misi dakwah dan tarbiyah? Tuntutan dakwah dan tarbiyah amat besar. Menuntut kita untuk berubah. Perubahan adalah peralihan dari satu keadaan kepada keadaan yang lain, dari satu fasa ke fasa yang lain, dari satu sifat ke sifat yang lain, dari negatif kepada positif, dari sekadar pemerhati kepada amilin Islam, dari pengikut kepada pemimpin umat, dari satu halaqah kepada pembentukan 2-3 halaqah, dari dakwah statik kepada dakwah merubah masyarakat.
Kita sedari bahawa umat Islam pernah mengubah diri dari jelek menjadi baik di masa lalu, lalu Allah mengubah keadaan mereka menjadi terbaik. Sesudah itu, mereka mengubah diri dari yang terbaik menjadi yang terjelek, lalu Allah pun mengubah keadaan mereka menjadi jelek. Perubahan pada dua keadaan itu telah terjadi di masa lalu dan masa sekarang, positif dan negatifnya, sehingga kesannya hari ini kita kehilangan sebuah daulah Islam yang pernah mentadbir alam ini Islam. Inilah dunia zaman sekarang. Berabad jauhnya kita dari Rasululullah. Ajaran baginda pun telah banyak kita lupakan. Jahiliyah moden bermaharajalela. Yang haram boleh dihalalkan. Islam menjadi dagang bagi kali keduanya. Umat Islam pun mengalami kemunduran. Bahkan hampir hilang ditelan masa, maruahnya diperkotak katek oleh musuhnya.
Sukarnya nak berubah? Benar, apatah lagi untuk berubah dari muslim biasa menjadi perajurit dakwah. Mengapa? Allah swt berfirman:
“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta. ” (Surah Al-Ankabut : 2,3)
“Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)?.” (Surah Ali-Imran : 142)
Perjuangan dakwah tidak ditaburi bunga, harta, apalagi kesenangan. Justeru jalannya penuh onak duri dan kerikil-kerikil tajam.
Agenda halaqah tidak dihidangkan dengan keseronokan dan gelak ketawa. Malahan menuntut pula pengorbanan, masa, idea, wang ringgit, harta, tenaga malahan jiwa.
Rasulullah saw. telah mengisyaratkan:
“Syurga itu diiringi dengan makarih (sesuatu yang tidak disukai) dan neraka itu diiringi dengan syahwat.”
Kita terperangkap dengan syahwat dan nafsu kita sendiri. Bibirnya bicara perjuangan Islam, namun hatinya bersarang dengan hawa nafsu.
Firman Allah s.w.t :
“ Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, – (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).” (Surah At-Taubah : 24)
Pesanan akhir buat coretan hari ini, kita pelajari pesanan Imam Hasan Al-Banna:
“Mati itu mempunyai tiga kedudukan, yakni Mautu al-Hayat, Mautu al-Fana, dan Mautu al-Baqa’. Mautu al-Hayat ialah orang yang hidupnya seperti bangkai yang adanya seperti tiada. Ia hidup tanpa pemikiran mahupun aqidah. Adapun Mautu al-Fana ialah orang yang matinya seperti binatang dan tumbuh-tumbuhan. Ia mati tanpa meninggalkan sesuatu yang bererti. Ia musnah dengan kemusnahannya dan hilang dalam ketiadaannya. Sedang yang terakhir adalah Mautu al-Baqa’. Ini kematiannya Pejuang Aqidah. Kematiannya merupakan pembangkit semangat generasi dan jasanya tetap dikenang dalam sejarah. Sesungguhnya ia manusia al-Haq, kerana selama al-Haq masih hidup, maka ia tidak akan mati dan tidak akan musnah. Sebab ia adalah da’i ilallah. Dan adalah Allah Maha Kekal.”
Bersedia untuk berubah? Tahu apa yang perlu kita ubah? Jom kita memasuki halaqah perubahan!
No comments:
Post a Comment