Sunday, June 13, 2010

Luarbiasa Hamba Yang Ikhlas


Apakah ikhlas itu? Orang yang ikhlas adalah orang yang tidak menyertakan kepentingan peribadi atau imbuhan duniawi dari apa yang dapat dia lakukan. Konsentrasi orang yang ikhlas cuma satu, iaitu bagaimana agar apa yang dilakukannya diterima oleh Allah swt. Misalnya ketika kita sedang memasukan wang ke dalam kotak infaq, maka fokus fikiran kita tidak ke kiri dan ke kanan, tapi fikiran kita terfokus bagaimana agar wang yang dinafkahkan itu diterima di sisi Allah. Tatkala kita berusaha untuk mendakwahi seseorang di tempat kita berada, kita fokuskan bahawa kita mengajak mereka kepada Allah, bukan untuk mencari pengaruh, mencari “ahli baru” atau mencari populariti.

Apapun yang dilakukan kalau konsentrasi kita hanya kepada Allah, itulah ikhlas. Seperti yang dikatakan oleh Saidina Ali, bahawa orang yang ikhlas adalah orang yang memusatkan fikirannya agar setiap amalnya diterima oleh Allah. Contohnya, jika berada di masjid untuk menunaikan solat tetapi pusat pemikirannya ”songsang”, agar orang mengatakan dia orang yang baik dan ”kaki masjid, maka hadirnya ke masjid tidak bernilai di hadapan Allah, tidak bernilai! Ingat lagi kisah muhasabah bersama 3 orang ”besar”, kisah yang akan menyebabkan kita memikir panjang mengkoreksi diri setiap amal yang telah kita lakukan.

Seorang pembicara yang ikhlas tidak perlu merekacipta kata-kata agar penuh pesona, tapi dia akan mengupayakan setiap kata yang diucapkan benar-benar menjadi kata yang disukai oleh Allah. Boleh dipertanggungjawabkan kebenarannya. Boleh dipertanggungjawabkan setiap katanya. Selebihnya terserah Allah. Kalau ikhlas walaupun sederhana kata-kata kita, Allah-lah yang kuasa menghujamkannya kepada setiap qalbu.

Buah apa yang didapat dari seorang hamba yang ikhlas itu? Seorang hamba yang ikhlas akan merasakan ketenteraman jiwa, ketenangan batin. Betapa tidak? Justeru dia tidak menjadi hamba penantian untuk mendapatkan pujian, penghargaan, dan imbuhan. Kita tahu bahawa penantian adalah suatu hal yang tidak menyenangkan. Begitu juga menunggu diberi pujian. Lebih lagi kalau yang kita lakukan ternyata tidak dipuji, pasti kita akan kecewa.

Namun bagi seorang hamba yang ikhlas, dia tidak akan pernah mengharapkan apapun dari siapapun, kerana kenikmatan baginya bukan dari mendapatkan, tapi dari apa yang boleh dipersembahkan atau diberikan kepada orang lain. Orang yang tidak ikhlas akan banyak tersinggung dan dikecewakan kerana dia memang terlalu banyak berharap.

Lalu, dimanakah letak kekuatan hamba-hamba Allah yang ikhlas? Seorang hamba yang ikhlas akan memiliki kekuatan ruhiyah yang besar. Ia seakan-akan menjadi pancaran energi yang melimpah. Keikhlasan seorang hamba Allah dapat dilihat pula dari raut muka, tutur kata, serta gerak-gerik perilakunya. Kita akan merasa aman bergaul dengan orang yang ikhlas. Kita tidak curiga akan ditipu, kita tidak curiga akan diadu domba olehnya. Setiap tumpahan kata-kata dan perilakunya tidak ada yang tersembunyi. Semua itu dia lakukan tanpa mengharap apapun dari orang yang dihadapinya, yang ia harapkan hanyalah memberikan yang terbaik untuk siapapun.

Sungguh akan nikmat bila bergaul dengan seorang hamba yang ikhlas. Setiap kata-katanya tidak akan bagai pisau yang akan menghiris hati. Perilakunya pun tidak akan menyempitkan diri. Tidak usah hairan jikalau orang ikhlas itu punya daya gugah dan daya ubah yang begitu dahsyat. Hidupnya penuh dengan agenda memberi kepada umat, ”khadimul ummah”. Hatta setiap amal yang dilakukannya tangan kirinya tidak langsung mengetahuinya. Luarbiasa!

Semoga kita dapat memelihara keikhlasan dalam setiap amal dan tindakan kerana dunia mendambakan hamba Allah yang ikhlas yang dapat mendasyatkan kembali muka bumi ini dengan barisan duah mukhlisin.

No comments:

Post a Comment