Wednesday, October 27, 2010

Demi Pemacuan Ekonomi Negara Prinsip ISLAM Disisihkan?


Menurut perancangan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang dikeluarkan kelmarin (25/10), kerajaan Malaysia mahu menjadikan Malaysia sebagai hab hiburan malam bagi memacu industri pelancongan, antara perancangannya adalah dengan penubuhan kelab malam terkemuka, menganjurkan konsert utama, melonggarkan garis panduan penghibur antarabangsa dan "mempakejkan" semula acara antarabangsa seperti Formula 1 dan MotoGP, mencadang menubuhkan zon hiburan di Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang, Genting Highlands, Pulau Pinang, Langkawi dan Kota Kinabalu bagi menggandakan pendapatan hiburan malam Malaysia kepada RM1.8 bilion menjelang 2020. Langkah itu akan menyaksikan penubuhan enam kelab malam baru yang mampu menampung kehadiran 900 pengunjung pada hujung minggu menjelang awal 2012. Dua lagi akan beroperasi pada 2013 dan 2014. Menjelang 2014, akan terdapat sekurang-kurang 10 kelab malam di zon hiburan. Ini akan menghasilkan impak pendapatan kasar negara RM0.7 bilion dan mewujudkan 5,614 pekerjaan baru menjelang 2020.

Di Mana Nilai Keimanan?
Apakah dasar dan halatuju ini membantu keberkatan ekonomi bagi sebuah Negara yang bermajoritikan Islam? Apakah kepimpinan Negara sudah tidak ada idealisma tulen, cadangan dan strategi lain sehinggakan masih menggunapakai pemikiran penjajah dalam merangka perancangan ekonomi negara? Apakah kepimpinan Negara merasakan pelaburan ekonomi tersebut akan dapat menyekat pengaruh budaya barat dan kerosakan akhlak yang teruk melanda umat, khususnya generasi muda? Ke manakah sebenarnya halatuju dan agenda Negara dalam membangun bangsa yang bermodal insan kelas pertama? Apakah nilai kelas pertama modal insan Negara terjana dengan memiliki pusat hiburan terbesar Negara? Apakah kepimpinan Negara merasakan projek gempak ini akan mendapat keberkatan dan keredhaan Allah swt. ?

Pada Februari 2010 yang lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, rakyat perlu membantu kerajaan meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara tanpa bergantung model ekonomi lama. "Sebab itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah berbincang bagaimana model ekonomi baru boleh membantu meningkatkan pertumbuhan," kata TPM itu. (Utusan Malaysia 07/02/10). Apakah dengan menghidupkan kembali budaya hiburan sebagai punca pendapatan ekonomi Negara merupakan pendekatan baru yang telah difikirkan oleh cerdik pandai ekonomi Negara yang terlibat dalam ETP?

Apakah Pandangan Islam?

Menurut Muhammad Asad, dalam bukunya The Principles of State and Government in Islam, dalam Islam, Kerajaan yang dipilih bertanggungjawab untuk:
a.Menyediakan satu sistem pendidikan yang membolehkan setiap rakyat, lelaki dan wanita, mendapat ilmu dengan mudah. Dengan ilmu, setiap insan akan mendapat kebebasan yang sebenar daripada pelbagai sudut; dan

b.Menyediakan kemudahan terutama peluang-peluang ekonomi yang membolehkan setiap rakyat mencapai dan mengekalkan kebahagiaan (happiness ) dan maruah diri (dignity).
Prinsip asas sistem ekonomi Islam adalah unik berbanding sistem ekonomi lain waima sistem ekonomi British yang diagung-agungkan oleh Barat. Adam Smith, ahli ekonomi Barat pada abad ke-18 menegaskan prinsip asas ekonomi Barat seperti berikut: hak harta persendirian, kuasa individu seperti pemerintah atau raja (pemonopoli mata wang), keyakinan, rasional dan keadaan ekonomi itu sendiri. Tiada nilai akhirat diambil kira.

Imam Al-Ghazali dalam kitabnya “Ihya Ulumuddin” mentakrifkan ekonomi sebagai `Iqtisad`. Sementara itu, As-Sadr mengulas mengenai `Iqtisad` dengan meletakkan tiga prinsip asas yang digabung jalin secara teoritikal dan praktikal dalam sistem ekonomi Islam. Prinsip-prinsip itu adalah prinsip pemilikan harta bersandarkan bahawa semua harta adalah kepunyaan Allah, prinsip keadilan sosial dan prinsip kebebasan berekonomi dengan batasan tertentu (mengikut syariah Islamiah).
Allah berfirman yang bermaksud:

“Kepunyaan Allah segala apa yang ada di langit dan di bumi. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati atau kamu sembunyikannya, nescaya Allah akan membuat perhitungan dengan kamu tentang perbuatanmu itu. Maka Allah mengampuni siapa yang dikehendakiNya dan menyiksa siapa yang dikehendakiNya. Allah Maha
Berkuasa atas segala sesuatu.” (Surah al-Baqarah: 284)

Jelas di sini, bahawa Islam meletakkan umat manusia sebagai pengurus, pelaksana segala apa yang diwujudkan oleh Allah di atas muka bumi ini sebagai khalifah. Justeru, dalam ekonomi Islam, pelaku ekonomi adalah khalifah yang memakmurkan, menjana segala sumber alam dalam proses mentadbir jagat raya ini. Ini bermakna manusia bertanggungjawab secara langsung terhadap Allah kerana sumber ekonomi manusia datangnya daripada Allah yang memiliki alam ini.

Oleh yang demikian, tugas pemakmuran ekonomi ini dipertanggungjawabkan kepada pemerintah dan individu itu sendiri bertunjangkan prinsip syariah Islamiah. Soal halal-haram termaktub dalam prinsip ekonomi berlandaskan Islam ini.
Maruah dan Ruhiyah Bangsa

Inilah peranan asasi bagi sebuah Negara umat Islam dalam membina halatuju ekonominya. Memelihara maruah dan membina ruhiyah bangsa. Islam sangat prihatin dengan pembangunan ekonomi di mana perkara ini dilihat sebagai sebahagian daripada yang penting daripada masalah yang lebih besar iaitu pembangunan insani. Fungsi utama Islam ialah untuk memandu pembangunan manusia berlandaskan asas arah tuju yang betul. Justeru, kerangka pembangunan ekonomi Islam mempunyai ciri-ciri yang komprehensif yang meliputi aspek-aspek pembangunan moral, kerohanian dan kebendaan (material). Pembangunan menjadi aktiviti yang berorentasikan matlamat dan nilai, yang ditumpukan kepada mengoptimumkan kemaslahatan manusia dari semua segi.
Teori ekonomi konvensional setidaknya menumpukan kepada dua perkara fundamental berkaitan dengan tujuan pembangunan ekonomi. Pertama memperbaiki tingkat pendapatan sebenar individu / rakyat dan yang kedua menegakkan keadilan agihan pendapatan.

Namun sebagai sebuah Negara yang bermajoritikan Islam, tujuan pembangunan ekonomi Negara tidak boleh lari daripada peranannya untuk membentuk iklim yang kondusif bagi keagungan nilai-nilai Islam dalam suatu masyarakat yang sejahtera. Dengan demikian, pembangunan ekonomi yang memiliki karakteristik Islami harus dapat meningkatkan komitmen umat Islam terhadap agamanya, menseimbangkan pembangunan ekonomi dengan kewajiban-kewajiban keagamaan. Menurutnya Dr. Yusof Qhardawi, tujuan pembangunan ekonomi harus dapat merubah masyarakat dari keadaan yang tidak diredhai Allah kepada keadaan yang diredhai-Nya

Iman dan Akhlak Paksi Membangun Model Ekonomi Islam

Islam memandang ekonomi sebagai perkara serius kerana Islam menilai bahawa harta itu sendiri meruapakan salah satu daripada lima keperluan asas dalam kehidupan. Lima keperluan asas itu ialah: Agama, Jiwa, Akal, Nasab Keturunan dan Harta. Inilah lima perkara asas yang tidak boleh dilengahkan oleh manusia. Sebab melengahkan perkara sedemikian boleh membahayakan diri sendiri.

Islam merupakan risalah akhlaqiyah dan tamadun Islam merupakan tamadun akhlaqiyah. Seluruh misi dan risalah Nabi Muhammad s.a.w. mengandungi unsur akhlak. Bahkan baginda telah mendifinisikan risalahnya dalam sabdanya:
Maksudnya: Sesungguhnya (tujuan) saya diutus hanyalah untuk menyempurnakan akhlak dan budi pekerti yang mulia.

Sejarah telah menceritakan kepada kita betapa banyak tamadun masa silam yang maju dan gemilang tetapi runtuh dan musnah dalam masa yang singkat kerana tidak diiringi dengan kawalan akhlak dan budi pekerti yang baik.

Akhlak merupakan salah satu unsur-unsur yang paling utama dalam ekonomi Islam. Unsur ini begitu menyerlah sehingga seorang cendekiawan Perancis mendefinisikan ekonomi Islam itu sebagai ekonomi yang berakhlak. Di samping akhlak, terdapat nilai-nilai lain yang mewarnai ekonomi Islam, iaitu nilai Rabbani (ketuhanan), nilai Insani (kemanusiaan) dna nilai Wasathi (moderat dan sederhana).

Ekonomi Rabbani mempunyai dua konotasi makna. Makna pertama daripada ekonomi Rabbani ialah: hak untuk mengatur dan menetapkan hukum-hakam ekonomi ini hanya milik Allah. Allah yang mengharam riba, penipuan, memakan harta manusia dengan cara yang batil dan lain-lain, dan Allah juga yang mensyariatkan dan mengesahkan transaksi urus niaga yang bersih dan benar.

Makna kedua daripada ekonomi Rabbani ialah: ekonomi yang merupakan sarana dan bukan tujuan. Ekonomi merupakan satu fasiliti yang boleh dimanfaatkan oleh setiap Muslim untuk membantunya dalam memenuhi perintah Allah dan mendekatkan diri kepadaNya. Sebab bagaimanapun juga seluruh kehidupan ini akan berakhir dan bermuara di sisi Allah.

Terjemahan: Dialah (Allah) yang menjadikan bumi itu mudah bagi kamu, maka berjalanlah di segala penjurunya dan makanlah sebahagian daripada rezekiNya. Dan hanya kepadaNya lah kamu (kembali setelah) dibangkitkan. (surah al-Mulk 67: 15)

Ekonomi Insani pula membawa maksud perhitungan kemanusiaan sebagai asas dan prinsip ekonomi. Tidak boleh manusia dikorbankan untuk memperolehi materi. Sebaliknya materilah yang harus dikorbankan demi kepentingan manusia.
Ekonomi Wasathi bermaksud ekonomi yang mengambil sikap pertengahan dan moderat. Jika sistem ekonomi kapitalis menjadikan kepentingan individu sebagai paksi kepada seluruh aktiviti ekonomi, dan sistem ekonomi komunis pula menjadikan kepentingan negara sebagai paksi kepada seluruh aktiviti ekonomi, maka Islam mengambil jalan pertengahan yang menyeimbangkan antara kepentingan individu dengan negara sehingga tercapailah kehidupan yang harmoni.

Dan kriteria yang terakhir ialah Ekonomi yang berakhlak. Seluruh aspek dalam ekonomi seperti aspek pengedaran, urus niaga, pengeluaran dan penggunaan bersatu padu dengan nilai akhlak dan budi pekerti yang baik. Allah tidak membenarkan seseorang untuk memperolehi harta dengan cara yang batil untuk membina masjid atau rumah-rumah kebajikan. Sebab Allah itu suci dan baik dan Allah hanya menerima perkara-perkara yang suci dan baik pula. (Innallaha Tayyibun La Yaqbalu Illa Tayyiba)

Soal halal-haram dan impaknya ke atas pihak lain, tidak pernah ada dalam kamus ekonomi Barat. Apa yang dipentingkan adalah sistem ekonomi yang dilaksanakan itu dapat memberikan keuntungan kepada pelaku ekonomi. Dalam ertikata lain ‘matlamat menghalalkan cara’ tidak kira walau apa pun sistem yang dilaksanakan, keuntungan tetap menjadi isu utama bukannya soal keadilan sosial sebagaimana yang dianjurkan oleh Islam.

Umat Islam seharusnya bersyukur dengan wujudnya satu sistem ekonomi Islam yang benar-benar mapan ke arah merealisasikan ummah yang cemerlang daripada aspek sahsiah, jasmani, emosi, rohani dan ekonominya.
Peringatan Allah swt. buat kita semua;

“Bekerjalah kalian maka Allah dan RasulNya , dan orang-orang mukmin akan melihat pekerjaan itu, dan kalian akan dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata (At Taubah:105)

No comments:

Post a Comment