Tuesday, November 09, 2010

Melahirkan Kepimpinan Masa Depan

Pada saat penulis mencoretkan tulisan ini, penulis sedang berprogram bersama pelajar-pelajar lepasan PMR Sekolah Menengah Agama Kg. Laut (SMAKL) Kuala Terengganu sejak semalam dan akan berakhir esok. Menariknya pada kem tahun ini pihak sekolah menjadikan tema “Menjana Kepimpinan Masa Depan” sebagai maudu’ pengisian. Biasanya tema kepimpinan dijalankan dalam program untuk pemimpin-pemimpin sekolah. Namun pihak sekolah melakukan anjakan paradigm dengan menjadikan kepimpinan sebagai tema program bagi meransang setiap peserta untuk merasai bahawa mereka adalah pemimpin masa depan, minimanya pemimpin pada diri sendiri, seterusnya memiliki jiwa kepimpinan Islam. Rasulullah saw. bersabda:

“Setiap kamu adalah pemimpin dan kelak kamu akan dimintai pertanggungjawaban” (HR Bukhari Muslim).

Mewarisi Acuan Pendidikan Rasulullah saw.
Pendidikan kepimpinan Islam wajar dijadikan modul dalam pentarbiahan anak-anak sejak dari kecil. Anak-anak yang terdidik dengan didikan iman dan Islam, adalah merupakan aset utama untuk kita meletakkan harapan meneruskan misi dan risalah Rasulullah saw. Ternyata dalam sirah kebangkitan Islam semenjak dipimpin oleh Rasulullah saw., para pemuda diberikan perhatian yang amat tinggi oleh Rasulullah dengan acuan tarbiah imaniyah yang amat mantap sehinggakan para pemudalah yang memperkuatkan sendi dan perjuangan dakwah Baginda. Diantaranya adalah Ali bin Abi Thalib dan Zubair bin Awwam, yang paling muda ketika itu keduanya berumur 8 tahun, Thalhah bin Ubaidillah (11), al Arqam bin Abi al Arqam (12), Abdullah bin Mas’ud (14) yang kelak menjadi salah seorang ahli tafsir terkemuka, Saad bin Abi Waqqash (17) yang kelak menjadi panglima perang yang menundukkan Parsi, Jaafar bin Abi Thalib (18), Zaid bin Haritsah (20), Utsman bin Affan (20), Mush’ab bin Umair (24), Umar bin Khatab (26), Abu Ubaidah Ibnul Jarah (27), Bilal bin Rabbah (30), Abu Salamah (30), Abu Bakar Ash Shidiq (37), Hamzah bin Abdul Muthalib (42), Ubaidah bin al Harits, yang paling tua diantara semua sahabat yang berusia 50 tahun.

Pendekatan yang dilaksanakan oleh Rasulullah saw. telah menjadi ikutan kepada generasi seterusnya. Penulis mengambil contoh kekuatan utuh spiritual dan ruhiyah yang dimiliki oleh para tentera Sultan Muhammad Al Fateh, yang merupakan khalifah ke-7 Kerajaan Uthmaniyyah, yang di bina sejak mereka kecil lagi. Ketika Kota Konstantinople telah berjaya ditawan kembali, dan waktu Jumaat telah masuk, Sultan Muhammad Al Fateh berkenan untuk memilih imam bagi memimpin solat Jumaat yang pertama di Kota Konstantinople. Namun cara pemilihannya agak unik, beliau memanggil seluruh tenteranya dan meminta mereka semua berdiri dengan teratur.

Setelah semuanya dalam kedudukan yang tersusun, maka baginda bertanya kepada tentera-tenteranya:

“Siapa di antara kamu yang pernah meninggalkan solat fardhu sejak baligh, sila duduk…”

Tidak ada siapa di kalangan anggota tenteranya yang duduk. Kemudian baginda bertanya lagi.

“Siapa di antara kamu yang pernah meninggalkan solat-solat sunat yang utama sejak baligh?”

Ketika ini sebilangan kecil dari anggota tenteranya duduk. Kemudian baginda bertanya lagi.

“Siapa di antara kamu yang pernah meninggalkan solat tahajud sejak baligh walaupun semalam, sila duduk.”

Kali ini seluruh anggota tenteranya duduk kecuali baginda sendiri dan akhirnya bagindalah yang memimpin solat berjemaah di Kota Konstantinople.

Tentera Yang Tidak Pernah Tinggalkan Solat Sejak Baligh!
Luar dari Biasa! Siapakah ibu bapa mereka sehingga berjaya mendidik anak-anak mereka sekualiti ini. Ternyata ibu bapa para tentera Sultan Muhammad Al Fateh memberikan fokus utama pendidikan iman terhadap anak-anaknya. Pendidikan Iman di zaman Sultan Muhammad Al Fateh melahirkan pemimpin yang berkualiti di sisi Allah swt, maka layaklah Allah berikan kekuatan dan kemenangan kepada mereka. Sultan Muhammad Al Fateh sendiri telah menaiki takhta ketika berusia 19 tahun dan memerintah selama 30 tahun (1451 - 1481). Baginda merupakan seorang negarawan ulung dan panglima tentera agung yang memimpin sendiri 25 kempen peperangan. Semanjak kecil Baginda menerima pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu. Di dalam bidang keagamaan, gurunya adalah Syeikh Shamsuddin Al Wali dikatakan dari keturunan Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq ra. Di dalam ilmu peperangan pula, Baginda diajar tentang taktik peperangan, memanah dan menunggang kuda oleh panglima-panglima tentera. Di dalam bidang akademik pula, Baginda adalah seorang cendekiawan ulung di zamannya yang fasih bertutur dalam 7 bahasa iaitu Bahasa Arab, Latin, Greek, Serbia, Turki, Parsi dan Hebrew. Baginda sentiasa bersifat tawadhu’ dan rendah diri . Semasa membina Benteng Rumeli Hissari, Baginda membuka baju dan serbannya, mengangkat batu dan pasir hingga ulama-ulama dan menteri-menteri terpaksa ikut sama bekerja. Seusia 12 tahun lagi, baginda pernah menjawat jawatan sebagai pemangku khalifah.

Ternyata Sultan Muhammad Al Fateh melalui proses pendidikan yang terancang yang berpaksikan kepada IMAN. Begitu juga dengan bala tenteranya, sehinggakan kesemuanya tidak pernah meninggalkan solat fardhu semenjak baligh.

Harapan Bersama
Menjadi harapan kita bersama untuk berusaha mendidik anak-anak kita dengan acuan yang benar dengan menjadikan pendidikan Iman merentasi segala-galanya. Seterusnya kita melatih anak-anak kita mencontohi Rasulullah saw, para sahabat dan mereka-mereka yang berjuang meneruskan perjuangan Rasulullah, kerana mereka memiliki jiwa kepimpinan Islam yang luarbiasa. Ayuh persiapkan anak-anak kita menjadi pemimpin masa depan Islam. Semoga Allah berkati.

No comments:

Post a Comment