Saturday, November 06, 2010

Saat Jiwa Merasa Lemah Beramal


Minggu lepas penulis bersama dengan team motivasi dan fasilitator KTD menjayakan program motivasi jatidiri dan pemantapan sahsiah pelajar SMK Paya Besar. Seramai 58 pelajar menyertainya. Allah izin, penulis kurang sihat pada 2 hari program tersebut, syukur ada anak-anak muda KTD yang telah sedia terlatih berupaya meneruskan program dengan baik. Penulis mengajak Ustaz Ali Irfan ke klinik di Kuantan kerana sakit tekak dan batuk penulis semakin menjadi-jadi.
Ketika balik dari klinik, seorang mutarabbi (ahli halaqah) penulis menghubungi penulis dan meminta nasihat bagaimanakah beliau dapat istiqamah dan fokus kepada matlamat besar sebagai mahasiswa, cemerlang dan konsisten sebagai da’i dengan urusan dakwah dan tarbiah. Beliau merupakan seorang pelajar diploma tahfiz. Beliau memang sering menghubungi penulis tatkala beliau diuji dengan perasaan lemah jiwa dan kelunturan semangat. Inilah seharusnya sikap seorang pemuda rabbani, segera mendapatkan nasihat dan pesanan dari sesiapa sahaja agar jiwa dan imannya sentiasa recharged! Penulis nukilkan tambahan pesanan buat para pemuda yang jiwanya cinta kepada Islam dan dakwah, semoga pesanan ini bermanfaat, khususnya kepada diri penulis.

Fahami Matlamat Perjuangan
Pertamanya penulis berpesan agar kita sentiasa merasai tuntutan tanggungjawab yang telah Allah taklif ke atas kita semua, apatah lagi kepada generasi pemuda Islam yang sedang belajar, fokus kepada akademik agar sentiasa konsisten cemerlang dan menguasai Ilmu. Dengan kekuatan ilmu ianya kelak akan dapat membantu kita menjayakan misi yang lebih besar, iaitu memanfaatkan ilmu untuk meneruskan agenda besar yang di bawa oleh Rasulullah saw. , menyeru manusia kepada Allah swt. (dakwah Ilallah), sebagaimana ruh jihad yang terbit dari Rab’i bin Amir yang berseru di hadapan pemimpin diktator :

“Kami adalah kaum yang diutus oleh Allah untuk mengeluarkan hamba-hamba dari penyembahan manusia menuju penyembahan kepada Tuhan manusia, dari kezaliman agama-agama menuju keadilan Islam, dan dari sempitnya dunia menuju luasnya dunia dan akhirat”.

Kita perlu sentiasa memperbaharui niat dan matlamat kehidupan kita agar sentiasa selari dengan tuntutan Allah dan Rasulullah saw. Jangan biarkan matlamat sebenar kita sebagai hamba Allah dan da’i Ilallah menjadi semakin kabur dek kerana racun rumpai jahiliah dan mabuk dunia yang mengasyikkan ini menutupi cahaya kebenaran. Kita perlu sentiasa fokus kepada matlamat kehidupan kita, firman Allah swt. yang bermaksud:

"Katakanlah: Sesungguhnya sholatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah Tuhan semesta alam, tiada sekutu bagi-Nya dan demikianlah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang yang pertama-tama menyerahkan diri kepada Allah."
(Al-An'aam 162-163)

Tarbiah di Mana-mana.
Keduanya sentiasa istiqamah dengan program-program tarbiah. Kita mesti mencari dan meningkatkan penglibatan kita dengan program-program tarbiah. Tidak cukup sekadar hadir halaqah seminggu sekali, memandangkan ujian dan mehnah yang membentangi para pemuda hari ini sangat dasyat, khususnya ujian wanita!
Pemuda yang ikhlas terhadap perjuangan dakwahnya kepada Allah, pasti akan melipat gandakan program-program pentarbiahan dirinya. Lihat sahaja contoh yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah saw. dan para sahabat, mereka tiada masa untuk membuang masa serta melayan perasaan dan emosi, sebaliknya mereka sibuk dengan taqarub kepada Allah dan berprestasi di medan amal / jihad. Rahib di malam hari, singa di siang hari!

Para pengikut Rasulullah dibentuk dan diproses melalui tarbiyah islamiyah yang merealisasikan ‘ubudiyahnya hanya kepada Allah saja; ‘ubudiyah yang meliputi i’tiqad, ibadah dan aturan yang benar-benar diterapkan dalam segala aktiviti hidup mereka. Proses ‘ubudiyah seperti ini akan membersihkan jiwa, hati, dan spiritualiti mereka dari beriman kepada selain Allah dan meluruskan aktiviti mereka dari orientasi yang lain daripada Allah semata-mata.

Tarbiyah yang benar-benar diikuti akan dapat membentuk peribadi muslim yang mempunyai karakteristik-karakteristik pemuda luarbiasa; mempunyai aqidah yang lurus, ibadahnya benar, akhlak terpuji, fikiran yang kaya dengan ilmu, tubuh yang kuat, mampu berusaha untuk mencari reziki, mampu mengendalikan hawa nafsu dan mahu melakukan mujahadah pada dirinya, pengurusan waktu yang teratur, urusan dan pekerjaannya diurus dan diatur dengan disiplin, dan mampu memberi manfaat kepada orang lain.

Obsesi Ukhrawi
Ketiga, Rasulullah saw. ada berpesan:,
“Barangsiapa akhirat menjadi obsesinya, maka Allah menjadikan semua urusannya lancar, hatinya kaya dan dunia datang kepadanya dalam keadaan tunduk. Dan, barangsiapa dunia menjadi obsesinya, maka Allah mengacaukan semua urusannya, menjadikannya miskin dan dunia datang kepadanya sebatas yang ditakdirkan untuknya.” Ibnu Majah meriwayatkan dengan sanad shahih.

Barangsiapa akhirat menjadi kesibukan utamanya dan obsesinya, maka setiap hari dia ingat perjalanan hidupnya kelak, apa pun yang dia lihat di dunia pasti dia hubungkan dengan akhirat, dan akhirat selalu dia sebut di setiap tuturkatanya. Dia tidak bahagia kecuali kerana akhirat, tidak sedih kecuali kerana akhirat. Tidak redha kecuali kerana akhirat. Tidak marah kecuali kerana akhirat. Tidak bergerak, kecuali kerana akhirat. Dan tidak berusaha kecuali kerana akhirat.

Motivasi Kematian
Pesan As Syahid Dr. Abdullah Azam, carilah kematian niscaya anda akan dikurniakan kehidupan. Bukanlah bermakna kita mencari mati kerana mati pasti tiba, tetapi apakah kita sudah merancang untuk mati? Pemuda berjiwa da’i pasti sentiasa mengingati hari kematiannya. Apabila terkenang sakaratul maut, ada di kalangan sahabat Rasulullah saw. pengsan dan sentiasa menangis.

Rasulullah pernah bersabda dalam sebuah hadis diriwayatkan Ibnu Abi Dunya dari Ibnu Umar bermaksud: “Kematian itu apabila dikenangkan, seseorang itu lebih banyak menangis daripada ketawa.”

Daripada Abu Hurairah, katanya, Rasulullah bersabda bermaksud: “Tidakkah kamu lihat apabila seorang manusia mati, matanya terbeliak ke atas?” Jawab mereka: “Ya kami melihatnya, ya Rasulullah.” Sabda baginda lagi: “Hal itu terjadi kerana penglihatannya mengikut rohnya ketika roh itu pergi.” (Riwayat Muslim)

Firman Allah swt:

“Tiap-tiap diri (yang berjiwa) mesti merasai mati. Kami akan uji kamu dengan kejahatan dan kebajikan sebagai suatu ujian; dan kepada Kami kamu akan dikembalikan.”(al-Anbiya’:35)

“Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu siapa di antara kamu yang lebih baik amalannya. Dia Maha Perkasa lagi Pengampun.” (Al-Mulk:2)

Jadikan kematian sebagai motivasi untuk kita berusaha sedaya upaya supaya kita dapat meninggalkan sesuatu yang bermakna apabila kita pergi kelak. Kehidupan yang singkat di dunia ini amat penting dalam menentukan kehidupan yang panjang di akhirat kelak. Apakah kita masih ada masa untuk membuang masa lagi?

Rumusan
Kepada generasi pemuda Islam yang mencintai dakwah dan tarbiyah ini, fahamilah bahawa Islam memandang posisi pemuda bukan sekadar komuniti yang sekadar bersukaria, berfoya-foya, bermalasan dan membuang-buang waktu dengan aktiviti-aktiviti yang bersifat sia-sia dan tidak ada manfaatnya. Melainkan Islam menaruh harapan yang besar kepada para pemuda untuk menjadi pelopor dan motor penggerak dakwah Islam. Pemuda adalah kelompok masyarakat yang memiliki pelbagai kelebihan, kekuatan dan potensi dibandingkan dengan kelompok masyarakat yang lainnya, diantaranya mereka masih bersih dari pencemaran (baik aqidah mahupun pemikiran), mereka memiliki semangat yang kuat dan kemampuan mobilititi yang tinggi untuk memenangkan dakwah. Ayuh kita bangunkan jiwa kita menjadi pemuda harapan ummah! Jangan bertangguh lagi!

No comments:

Post a Comment