Sunday, November 21, 2010

Membangkit Ruh Beramal Saat Futur Menyapa


Pernah merasa futur di jalan dakwah? Merasa tidak bersemangat untuk menghadiri halaqah tarbawiyah? Rasa lemah dan lamban untuk beramal soleh, menunaikan solat, baca Al Quran dan selainnya? Di saat itu apa yang anda lakukan? Yang pasti, pada saat jiwa dan ruhiyah kita lemah, banyak masa untuk beramal telah terbuang begitu sahaja. Masih ada banyak lagikah masa dan ruang untuk kita menebus kembali masa-masa yang berlalu dengan kebekuan dan kelesuan beramal?

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari Akhirat). dan (sekali lagi diingatkan): bertaqwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah amat meliputi pengetahuannya akan segala yang kamu kerjakan.” (Al-Hasyr:18)

Jom kita ambil masa sebentar untuk bermuhasabah!

Syed Qutb dalam bukunya “Hadzad-Deen” menjelaskan permasalahan futur kalangan duah dan pencinta dakwah. Permasalahan futur dan lemah jiwa ini adalah petanda berlakunya kerosakan jiwa manusia (nafsul insan). Perkara ini terjadi kerana rukud (berdiam diri, tidak bergerak, statik atau ruh jiwanya tidak mengalir), kesannya:

- Ruhnya membusuk akibat statik / kaku.
- Himmahnya (semangat) istirkha’ (mengendur, lembek, lesu, tidak kencang, longlai)
- Nafs (jiwanya) rosak disebabkan rakha’ (bergelimang harta dunia) dan tharawah (tidak teruji dan terlatihnya jiwa itu dengan kerja-kerja amal yang besar / berat.)
- Akhirnya sekuruh kehidupan menjadi rosak gara-gara rukud, hidupnya bergerak pada pengaruh syahwat semata, sebagaimana terjadi pada bangsa-bangsa yang terdahulu yang mendapat cubaan dan ujian dalam bentuk kesenangan dan kemewahan hidup.

Jalan Keluar

Tatkala menelusuri serah Rasulullah SAW dan para sahabat RA, dan mentadabbur Al Quran penawar bagi permasalahan jiwa manusia, terungkap satu jawapan yang pasti. Kita akan temui sekian banyak kisah dan ibrah dari serah mereka dan sekian banyak ayat-ayat Allah SWT yang mengajak kita untuk mengisi kehidupan ini secara efektif dan mengakhirinya dengan jihad di jalan Allah. Ya! Membangun potensi jihad, baik jihad da’awi, jihad ta’limi, jihad irsyadi, jihat tarbawi, jihad bina’i (jihad membina rijal/nisa’) jihad qitali dan jihad-jihad lainnya. ,
Allah SWT berfirman:

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (balasan syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar Yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.” (Al-Taubah:111)

Inilah dorongan dan sumber motivasi Rasulullah SAW dan para sahabat RA. Mereka teruja dan terbangkit jiwa untuk berjihad di jalan Allah SWT kerana menginginkan syurga Allah SWT yang pasti. Mereka telah mencagarkan diri mereka dalam proses “jual beli” mereka dengan Allah SWT. Bayangkan sahaja para sahabat RA. saat bersama Rasulullah SAW terlibat dalam 64 kali peperangan, 26 kali dipimpin oleh Rasulullah SAW dan bakinya dipimpin oleh para sahabat Rasulullah SAW sendiri. Mereka memaksimakan potensi iman yang dianugerahkan Allah SWT kepada mereka dengan prestasi amal yang luarbiasa. Kehidupan mereka bergerak dengan aktif dengan amal-amal qawwi (kuat). Firman Allah SWT:

“(Mereka itu ialah): orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji Allah, yang mengembara (untuk menuntut ilmu dan mengembangkan Islam), yang rukuk, yang sujud, yang menyuruh berbuat kebaikan dan yang melarang daripada kejahatan (dakwah), serta yang menjaga batas-batas hukum Allah. dan gembirakanlah orang-orang yang beriman (yang bersifat demikian).” (Al-Taubah:112)

Sungguh! Sebuah model nyata yang menggambarkan betapa Rasulullah SAW dan para sahabat RA sentiasa menumpahkan segala potensi dan kemampuan yang dimiliki secara maksima dan tiada henti. Tiada istilah futur dalam beramal, kerana bagi mereka setiap amal adalah jihad. Sehingga tiada waktu untuk beristirehat dan berangan-angankan akan hal-hal yang bersifat duniawi.

Mereka yang futur dan lemah beramal banyak menghabiskan masa di rumah sambil menonton televisyen atau menyibukkan diri dengan urusan kerja di pejabat atau melayari internet siang dan malam. Sedangkan para sahabat RA diuji kredibiliti iman dan taqwa mereka di medan jihad, medan yang sebenar. Peperangan Ahzab yang terjadi pada tahun 5 H. antara pengalaman getir Rasulullah SAW dan para sahabat dalam berjihad di medan amal. Peperangan ini sangat penting yang akan menentukan tertegaknya Islam, dimana para sahabat berada dalam situasi yang sangat mencengkam antara hidup dan mati, tergoncang dengan sekeras-kerasnya sebagaimana yang digambarkan suasananya oleh Allah SWT dalam surat Al Ahzab ayat 10-11

“Masa itu ialah masa tentera musuh datang melanggar kamu dari sebelah hulu dan dari sebelah hilir (tempat pertahanan) kamu; dan masa itu ialah masa pemandangan mata kamu tidak berketentuan arah (kerana gempar dan bingung) serta hati pun resah gelisah (kerana cemas takut), dan kamu masing-masing pula menyangka terhadap Allah dengan pelbagai-bagai sangkaan. Pada saat itulah diuji orang-orang yang beriman, dan digoncangkan perasaan dan pendiriannya dengan goncangan yang amat dahsyat.”

Subhanallah, besar sungguh ujian bagi mereka walaupun dalam rangka sedang berjihad. Ujian ini penting bagi melahirkan graduan yang benar-benar bercirikan rabbaniyah, graduan yang berkualiti dan berintegrasi disisi Allah SWT. Apakah selesa dengan kefuturan beramal memungkinkan kita layak untuk menyertai graduan yang luarbiasa ini?.

Rawat futur kita dengan bercerminkan Abu Thalhah RA. Beliau yang saat itu sudah sangat tua, sebahagian riwayat mengatakan usianya 90 tahun. Dengan umur sedemikian beliau layak untuk beristirehat. Ternyata umurnya tidak menyebabkan dia futur untuk memberi sumbangan kepada dakwah Islam. Beliau segera bangkit berjihad dan mampu mengatasi segala macam kesusahan disebalik usianya yang sudah dipenghujung untuk menyertai generasi rabbaniyah. Beliau bangkit berjihad, setelah beliau mendapat taujih dari Allah melalui Surah At-Taubah ayat 41:.

“Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan pelbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.”

Membangun Kekuatan

Firman Allah SWT:

“Dan sebutlah (dengan lidah dan hati) akan nama Rabb-mu (terus menerus siang dan malam), serta tumpukanlah (amal ibadatmu) kepadanya dengan sebulat-bulat tumpuan. Dia lah Tuhan yang Menguasai timur dan barat; tiada Tuhan melainkan Dia; maka jadikanlah Dia penjaga yang menyempurnakan urusanmu.” (Al-Muzzammil:8-9)

Sungguh! Zikir dan ingatlah kepada Allah sebanyaknya, taat, tunduk dan patuh kepada-Nya, bertawakkal dan beribadah hanya kepada-Nya, merupakan senjata yang ampuh di medan dakwah yang penuh dengan rintangan dan cubaan. Semuanya akan menjadikan para calon du’at dan mujahid terbiasa untuk bersabar atas cubaan yang datang. Merasa futur dan lemah jiwa adalah sebahagian dari ujian Allah SWT.

Bagi seorang da’i atau mujahid di atas bahunya terbeban dengan panji-panji dakwah, maka pastilah kita akan diuji Allah SWT. Maka teramat sangatlah kita memerlukan senjata untuk mengukuhkan jiwa dan meneguhkan hati. Senjatanya tidak lain dan tidak bukan adalah senjata yang sama dimiliki oleh Rasulullah SAW dan para sahabat RA., menjana iman kepada Allah SWT., menyertakan diri dalam generasi rabbaniyah. Allah SWT telah meletakkan amanah Iman, iaitu tanggungjawab yang paling besar ke atas kita supaya kita sentiasa menghubungkan diri dengan Yang Maha Esa iaitu Allah SWT; tempat bergantung dan menyerah diri. Segala sesuatu datangnya daripada Allah SWT.Segala apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi, adalah milik Allah SWT.

Inilah hubungan yang pertama yang mesti lahir di dalam jiwa kita. Penyakit futur dan lemah beramal adalah berpunca dari iman yang lemah dan hati yang sakit. Maka solusinya adalah menghubungkan kembali ikatan perhubungan di antara yang dicipta (makhluq) dengan Yang Maha Pencipta (Khaliq). Hakikat keimanan ini perlulah meresapi , menjiwai sehingga ianya sebati dalam lubuk hati. Inilah hakikat hubungan yang pertama yang dituntut oleh Allah SWT sehinggalah perhubungan ini dapat melahirkan keberkesanannya di dalam kenyataan hidup kita. Ia juga merupakan titik permulaan hidup manusia dengan gerakan amal yang berterusan. Ini bererti setiap perkembangan hidup kita itu mestilah terpancar daripada asas perhubungan yang bersih ini.

Maknanya kita perlu memiliki persediaan hati untuk memampukan kita melakukan setiap apa yang diperintahkan oleh Allah s.w.t serta menjauhi segala laranganNya. Hakikat perhambaan atau pengabdian ini hanya dapat lahir apabila jelas hubungan hati kita dengan Allah SWT sepertimana yang dapat kita lihat pada diri para Nabi dan para Rasul serta pengikut-pengikut (umat-umat) mereka yang setia itu.

Kita perlu duduk bersama dengan saudara-saudara kita yang ikhlas hatinya, yang ada persediaan hati dan jiwa yang dikosongkan untuk menjalani tarbiyah (didikan) yang boleh membawa kita kepada matlamat yang suci murni ini iaitu untuk beramal dan berjihad di jalan Allah, menerima kedaulatan Allah SWT Yang Maha Esa tanpa berbelah bagi atau menyekutukan Allah SWT dengan yang lain. Inilah tugas yang besar yang dipikulkan ke atas setiap dari kita. Kekuatan hubungan dengan Allah SWT sahajalah yang menjadi tenaga untuk menggerakkan hati dan rasa, membangun ruh bekerja dan berjihad , berfikir dan berakhlak sejajar dengan hakikat perhambaan yang sebenarnya kepada Allah SWT.

Proses pendidikan seperti inilah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ke atas diri para sahabat yang dikenali sebagai Generasi al Quran, sehingga lahirlah satu golongan yang beriman yang diiktiraf oleh Allah SWT sendiri. Mereka menjadi ikutan kita semua. Contoh dari ikutan itu ialah keimanan mereka, tentang bagaimana mereka berhubung dengan Allah SWT dan Rasul Nya, tentang keyakinan mereka, cara berfikir , contoh tingkah laku mereka, amal mereka dan jihad mereka. Ini semua menjadi contoh kepada kita. Kita perlu yakin dan jelas akan hakikat ini sekiranya kita ingin mengikuti jejak langkah mereka. Jejak langkah yang melahirkan generasi rabbani yang thabat dalam perjuangan dan jihad.

Jika mereka bersungguh-sungguh melalui proses keimanan kepada Allah SWT sebagai titik tolak dalam melaksanakan ‘Ubudiyyah kepada Allah SWT, maka kita juga menerima hakikat ini sebagai suatu yang prinsip dan yang utama. Kita perlu mendekati dengan didikan al Quran sepertimana mereka mendekati, perlu merasai sebagaimana yang mereka rasai, yakin sebagaimana yang mereka yakin. Sehingga segala pemikiran dan tingkah laku kita selaras dengan kehendak Allah SWT. Inilah tenaga penggerak yang akan mencorak dengan corakan Allah SWT (Sibghah Allah SWT) walaupun di tempat yang sunyi ataupun di khalayak ramai, gelap atau terang, susah atau senang, sibuk atau lapang. Bahkan di mana sahaja atau di setiap masa. Dalam keadaan apa sekalipun.

InsyaAllah, semoga terbangun kembali jiwa yang hidup dan ruh baru berjihad di medan amal yang terbentang luas. Medan dakwah ini hanya menanti mujahid yang setia untuk tangkas berprestasi! Sambutlah syair jihad dari Abdullah Bin Rawahah RA.sebagai penutup bicara;

Wahai jiwa dan nafsuku,
Aku bersumpah dengan nama Allah SWT.,
Kamu harus turun ke medan amal,
Turun dengan sukarela atau harus aku paksa.

2 comments:

  1. ALhamdulillah.

    syukran atas perkongsiaannya Abu Ridhwan.

    sangat kena pada masanya.

    Alhamdulillah

    ReplyDelete
  2. inilah artikel yg ana cari...

    terima kasih atas perkongsian...

    ReplyDelete