Friday, December 10, 2010

Episod Hijrah Yang Membangkitkan Jiwa (1)


1431H melabuhkan tirai, 1432H mendepani kehidupan kita. Pelbagai ragam dan pengalaman kehidupan telah kita rakamkan. Semoga 1431H yang kita lalui memberikan kebaikan kepada kehidupan kita, dan alangkah malang kiranya ianya berlalu dengan kerugian. Firman Allah SWT.:
“Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya sentiasa bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya rugilah orang yang menjadikan dirinya (yang sedia bersih) dengan kekotoran (dosa dan maksiat).” (As-Syam:8-9)
Memperingati Hijrah Rasul pasti tidak lengkap tanpa kita menelusuri pengorbanan Rasulullah SAW dan para sahabat RA dalam meneruskan misi rahmatan lil ‘alamin saat mereka melewati marhalah awal dakwah. Saban tahun tatkala kita melewati tahun hijrah, serah dan kisah mereka akan kita ulang dan hidangkan buat umat Islam hari ini. Apakah hidangan yang indah dan mulia ini mampu membangkitkan selera iman kita atau hati kita masih hambar dan tidak berselera untuk menjadikan ibrah hijrah mereka sebabagi momentum perubahan dalam kehidupan kita?

Asas Hijrah Mentauhidkan Allah
Hijrah Rasulullah SAW sarat dengan pelajaran buat kita semua. Allah SWT mengutuskan Rasulullah SAW adalah untuk menyerukan tauhid untuk menghidupkan kembali agama nabi Ibrahim AS. Baginda diperintahkan menyerukan seluruh umat manusia agar membebaskan diri dari segala bentuk penyembahan terhadap selain Allah SWT baik berupa manusia, benda, makhluk, ideologi mahupun berhala. Justeru mereka tidak menyekutukan Allah SWT dengan sesuatu apa pun. Mereka tidak bertuhankan satu sama lain kecuali Allah SWT. inilah dakwah Rasulullah SAW dan inilah juga dakwah kita saat ini. Hijrah kita seharusnya semakin menepati kepada tugas asasi kita iaitu mendakwahi diri kita, ahli keluarga kita dan seluruh manusia kepada Allah SWT.

Hijrah Rasulullah SAW sebelumnya bermula dengan siksaan dan penderitaan. Rasulullah SAW dan para sahabat RA yang bersama dengan baginda pada saat sebelum hijrah disiksa dan ditindas selama 13 tahun. Namun selama itu juga Rasulullah SAW tetap tidak menghentikan dakwahnya. Baginda masih terus berdakwah, baik secara sembunyi-sembunyi mahupun terang-terangan, baik ketika siang mahupun malam, terhadap penduduk Mekah dan kabilah-kabilah yang datang ke sana di musim haji.
Persoalannya sudahkah kita memulai dakwah? Apakah kita termasuk dalam sunnah terbesar yang Rasulullah SAW tunjukan kepada kita, menjadi aktivis dakwah! Inilah kerja payah yang telah Rasulullah SAW jalankan saat sebelum hijrah, saat daulah Islam tidak berbina lagi. Hijrah kita akan lebih bermakna tatkala kita mendaftarkan diri sebagai aktivis dakwah, kerana inilah sebenarnya tugas asasi kita.

Mencontohi Golongan Ansar
Kejayaan hijrah Rasulullah SAW sebenarnya bermula sebelum baginda memulakan hijrahnya lagi. Saat baginda berhadapan dengan kesukaran dan tekanan, akhirnya Allah swt membuka jalan kemenangan buat Rasulullah SAW. Tahun demi tahun berlalu dan musim berganti, dakwah Rasulullah SAW semakin mengukuh di bumi. Allah SWT telah menyiapkan sekelompok pendukung baginda dari Yathrib yang kemudiannya dikenali dengan Madinah. Allah SWT telah melapangkan hati mereka untuk menerima Islam. Kelompok kecil ini kemudiannya menjadi barisan hadapan kaum muslimin di Yathrib. Mereka pulang mebawa cahaya baru, berita gembira dan peringatan. Mereka melebarkan sayap dakwah yang suci ini. Akhirnya pada musin haji yang berikutnya jumlah mereka yang datang ke Mekah semakin bertambah, iaitu 73 orang lelaki dan 2 orang perempuan. Mereka berjanji setia kepada Rasulullah SAW untuk melindungi Rasulullah SAW sebagaimana mereka melindungi keluarga mereka sendiri. Mereka bertanya:

“Wahai Rasulullah, apa yang kami dapat apabila membaiatmu?”

Baginda menjawab: “Syurga”.

Mereka berkata: “Kami terima. Kami tidak akan menimbang-nimbang lagi. Kami sepakat.” Merekapun berbaiat untuk melindungi Allah dan Rasulnya.

Subhanallah, generasi Ansar dari Yathrib mengajar kita untuk bersama-sama mempertahankan dakwah Rasulullah SAW. Orentasi mereka adalah janji Allah dan janji Rasul iaitu meraih syurga yang hakiki. Mereka tidak berlengah dan tidak memberi asalasan untuk bersama menyertai perjuangan Rasulullah SAW.

Bagaimana dengan kita? Sudah berapa kali kita meraikan Ma’al Hijrah dan apakah komitmen kita terhadap dakwah dan Islam ini semakin kukuh atau sebaliknya? Kita boleh meletakkan apa sahaja slogan hijrah kita saban tahun, tetapi akar umbinya hijrah kita mestilah bersandarkan tauhid kepada Allah, mewarisi tugas dakwah sebagai tugas asasi kita dan mendaftatkan diri sebagai generasi ansar dalam mempertahankan Allah dan Rasul.

Selamat Berhijrah!

No comments:

Post a Comment