Sunday, December 05, 2010

"Izinkanlah Aku Berzina"


Makna hadis:

Abu umamah r.a. berkata: “Ada seorang pemuda datang menghadap Nabi SAW seraya berkata, “Wahai Rasulullah, izinkanlah aku berzina.” Orang-orang yang ada di sekitarnya menghampiri dan memaki, “Celaka engkau, celaka engkau!” Setelah Rasulullah SAW menyuruhnya untuk mendekatinya, pemuda itu pun menghampiri dan duduk mendekati beliau, lalu beliau bertanya, “Apakah engkau suka apabila zina itu terjadi pada ibumu?” Pemuda itu menjawab, “Demi Allah, aku tidak suka, wahai Rasulullah, kiranya Allah menjadikan aku tebusanmu.” Beliau membalas, “Begitu juga setiap orang, mereka tidak suka apabila zina itu terjadi pada ibu mereka.”

Beliau bertanya, “Apakah engkau suka apabila zina itu terjadi pada saudara perempuanmu?” Pemuda menjawab, “Demi Allah, aku tidak suka, wahai Rasulullah, kiranya Allah menjadikan aku sebagai tebusanmu.” Beliau membalas, “Begitu juga setiap orang, mereka tidak suka apabila zina itu terjadi pada saudara perempuan mereka.” Beliau bertanya, “Apakah engkau suka apabila zina itu terjadi pada saudara perempuan ayahmu (ibu saudara)?” Pemuda menjawab, “Demi Allah, aku tidak suka, wahai Rasulullah, kiranya Allah menjadikan aku sebagai tebusanmu.” Beliau menjawab, “Begitu juga setiap orang, mereka tidak suka apabila zina itu terjadi pada ibu saudara mereka.”

Beliau bertanya, “Apakah engkau suka apabila zina itu terjadi pada saudara perempuan ibumu (ibu saudara)?” Pemuda menjawab, “Demi Allah, aku tidak suka, wahai Rasulullah, kiranya Allah menjadikan aku sebagai tebusanmu.” Beliau membalas, “Begitu juga setiap orang, mereka tidak suka apabila zina itu terjadi pada ibu saudara mereka.” Kemudian Rasulullah saw meletakkan tangannya di dada pemuda itu seraya berdoa, “Ya Allah, ampunilah dosanya,sucikanlah hatinya, dan lindungilah farjinya.” Setelah itu, pemuda tersebut tidak menoleh sedikit pun kepada hal- hal yang haram.”
(Hadis Riwayat Ahmad)


SENI DAKWAH:

1. Rasulullah SAW mengajak pemuda menghampiri Baginda. Baginda tidak memarahi, bahkan mempersilakan pemuda itu duduk dekat dengannya (sebab pemuda ini, terlebih dahulu mendekati baginda dan bertanya kepada baginda). Justeru itu para dai hendaklah sentiasa menghargai kesediaan para pemuda apabila mereka sendiri datang mendekati para dai.

2. Di sini, sekali lagi, baginda Rasulullah SAW memperlihatkan contoh kedekatan fizikal apabila menjemput pemuda itu duduk menghampirinya. Kedekatan fizikal mencerminkan kedekatan hati, keprihatinan, kasih sayang dan perlindungan yang diperlukan oleh pemuda yang sering bingung, gelisah dan dihantui pelbagai masalah dan kelemahan.

3. Baginda menggunakan kaedah pendidikan dua hala, yakni berdialog atau berbincang dengan pemuda. Baginda tidak tergesa-gesa menguasai pentas dakwah dengan berceramah atau berpidato semata-mata. Bahkan, baginda melontarkan pendapat-pendapatnya dan mengajak pemuda itu berfikir. Baginda bersabar mendengar segala pandangan balas, tanpa memintas percakapan pemuda tersebut.

4.Baginda memberi fokus kepada permasalahan yang sedang dihadapi oleh pemuda dan memberikan misalan-misalan (mathal a’la) yang sesuai dan mudah difahami oleh pemuda (mad’u).

5. Dalam teori tarbiah, apabila pendakwah mengemukakan sesuatu konsep, maka pendakwah perlu sertakan contoh-contoh atau misalan-misalan yang sesuai untuk menjelaskan konsep yang ingin diketengahkannya. Semakin banyak misalan-misalan yang diutarakan, maka semakin mudahlah mad’u memahami dan yakin dengan sesuatu konsep. Perkara penting yang ingin diketengahkan oleh Rasulullah SAW, dalam konteks hadis ini, ialah mengenai hukum haram berzina dan kewajipan menjahuhi zina.

6. Baginda mengukuhkan kaedah pengubatan baginda terhadap pemuda/mad’u itu dengan:

a. Berdoa kepada Allah SWT (kerana Allah lah yang memberi hidayah dan merobah hati manusia)

b. Memohon kepada Allah SWT supaya mengampuni dosa pemuda itu. Ini bermakna baginda mendorong pemuda itu untuk bertaubat kepada Allah SWT (kerana cara pembersihan dosa ialah melalui jalan taubat)

c. Memohon kepada Allah SWT supaya mensucikan hati pemuda (kerana hati yang bersih adalah titik tolak bagi kehidupan yang bersih).

Hal ini selaras dengan sabda Rasulullah SAW dalam kesempatan yang lain:

Yang bermaksud:

“Dan ketahuilah pada setiap jasad itu ada seketul daging. Andainya ia baik, baiklah seluruh jasad itu dan sekiranya ia rosak maka rosaklah seluruh jasad itu. Itulah hati.”

d. Memohon kepada Allah SWT supaya memelihara kehormatan pemuda itu.

Ungkapan dari hadis – Setelah itu, pemuda tersebut tidak menoleh sedikit pun kepada hal-hal yang haram – mengisyaratkan bahawa:

- Pemuda itu disediakan altenatif-alternatif yang baik untuk beramal.

- Pemuda itu disibukkan dengan kerja-kerja Islam, belajar dan berjihad.

Oleh itu pendakwah hari ini perlu memperbanyakkan altenatif-altenatif yang soleh bagi para pemuda untuk beraktiviti atau beramal. Ini kerana manusia sering terdorong mengikut suasana dan persekitaran yang dihadapinya. Manusia akan mengikut apa yang dipermudahkan baginya.

Susunan oleh: Abu Taqiyuddin Hussein

Rujukan:
1. Syarah Lengkap Arba’in Da’awiyah – Teladan Aplikatif Dakwah Rasulullah SAW, Fakharuddin Nursyam Lc, Bina Insani.
2. Hadith Arbain, Susunan Imam Nawawi

No comments:

Post a Comment